Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, August 31, 2016

Kembara Slovenia 01

31 Ogos 2016.

Hari ini hati terasa ingin mencoret kisah yang sudah kualami kira-kira setahun yang lalu. Satu kisah yang akan kekal mekar di memoriku dan menjadi kenangan manis yang akan dikenang hingga akhir hayat. Kisah ini agak panjang tetapi akan cuba aku ringkaskan.

Tarikh yang sama, setahun yang lalu. Lokasi yang sama.

Diri ini sujud syukur di KLIA kerana selamat tiba di tanah air tercinta, Malaysia setelah diberi peluang oleh Allah Taala untuk menjejakkan kaki ke bumi asing yang tidak pernah aku bayangkan akan tiba di situ, Slovenia. Lebih bermakna kerana ia adalah kembara sendirian pergi dan balik. Meninggalkan tanahair tercinta Malaysia pada malam 22 Ogos 2015, transit seketika di bumi Paris untuk menaiki penerbangan seterusnya iaitu Air France untuk ke lapangan terbang Ljubljana, Slovenia. Cuak? Itu pasti tetapi sedikit terubat saat memasuki kabin business class. MasyaAllah, maka nikmat tuhan kamu yang manakah yang ingin didustakan? Perjalanan yang panjang terasa tidak terlalu panjang dan menyelesakan termasuk kemudahan menunaikan solat. 




Tiba di lapangan terbang Charles de Gaulle di awal pagi dan aku perlu menaiki penerbangan seterusnya untuk ke bandar Ljubljana. Masih terbayang-bayang betapa aku nekad meredah lautan manusia untuk mendekati petugas lapangan terbang (Tinggi dan kacak. Motif? Hahaha.) untuk mendapatkan bantuan kerana aku sudah terlewat untuk menaiki penerbangan seterusnya. Betapa banyak mata yang menjeling pergerakan aku yang memotong laluan mereka tetapi aku terpaksa kerana jika terus menunggu pasti aku akan terlepas penerbangan seterusnya. Tempoh transit sepatutnya 4 jam tetapi menjadi 2 jam sahaja akibat penerbangan delay sewaktu di KLIA. Segalanya berhikmah dan aku redha dengan apa jua ketentuanNya. Rupa-rupanya tindakan aku itu tidak salah kerana penumpang business class sememangnya memiliki kelebihan melalui express lane di situ. MasyaAllah! 

Selepas meneliti tiket aku, petugas tersebut terus membawa aku ke laluan yang sepatutnya dan aku hanya mebuntuti dia tanpa ragu. Katanya aku perlu segera ke terminal seterusnya untuk mengelakkan terlepas penerbangan. Serius aku rasa seperti rusa masuk kampung tapi aku redah saja. Tiba di pintu masuk terminal, dia menulis nombor bas yang perlu aku naiki untuk ke terminal penerbangan Air France kerana percakapan kami yang kelihatan seperti ayam dan itik. Siapa ayam dan siapa itik wallahualam. 

Tanpa banyak soal, aku meneruskan perjalanan ke terminal tersebut, memang tahap redha paling tinggi yang aku akan sempat sampai untuk penerbangan seterusnya. Tiba di terminal tersebut, aku terus mendaftar masuk dan ternyata aku penumpang terakhir dan pintu masuk sudah hampir ditutup. Pada siapa lagi patut aku panjatkan kesyukuran melainkan kepada Dia jua. AllahuAkbar! Mujur juga beg sudah aku daftar masuk sewaktu di KLIA lagi. 

Lega rasanya apabila sempat untuk menaiki penerbangan seterusnya kerana aku tidak dapat membayangkan apakah yang perlu aku lakukan sekiranya aku terlepas penerbangan tersebut. Tiba masanya, aku beratur untuk menaiki penerbangan Air France dan ia ternyata lebih kecil daripada kapal terbang AirAsia. Mungkin kerana ia untuk penrbangan domestik sahaja. Melihat susuk tubuh pramugara dan pramugari di dalam penerbangan tersebut membuatkan aku terasa sangat kerdil, lebih-lebih lagi aku satu-satunya penumpang Muslim yang berada dalam penerbangan tersebut, menuju bumi Ljubljana. Penerbangan ke sana memakan masa selama 2 jam dan aku tiba di lapangan terbang Ljubljana, yang sederhana dan sesuai dengan keperluan mereka. Untuk ke hotel yang telah ditempah, aku telah berjanji dengan salah seorang peserta konferens berbangsa India tetapi menetap di Australia, Mr. Hitendra Pillay. Yang ini pun aku redah juga apabila dia emel mengajak aku menaiki teksi bersama menuju ke hotel. Aku jadi terharu apabila mendapat tahu yang dia sanggup menunggu aku tiba 2 jam lebih awal di situ. Aku sangkakan waktu ketibaan penerbangan dia lebih kurang dengan penerbangan aku. Usianya sudah mencecah 60 tahun tetapi masih aktif menyumbang kepada dunia akademik. Mungkin kerana itu dia nampak lebih muda dari usia sebenar. 

Dari situ, kami menaiki teksi untuk hotel dan ia memakan masa selama 2 jam juga. Hotel kami terletak di bandar Maribor dan ia lokasi konferens yang kami hadiri. Mengenai hotel ini juga, ada perkara menarik yang berlaku sewaktu aku ingin menempahnya kerana dimaklumkan oleh pensyarah-pensyarah aku yang akan turut hadir ke konferens ini bahawa bilik telah penuh ditempah dan mereka telah menempah 1 unit apartmen yang memakan masa 15 minit perjalanan ke hotel. Memang perangai aku suka mencuba sendiri, maka aku emel terus kepada pihak hotel dan ternyata bilik masih ada dan lebih menarik, diberikan kadar harga lebih rendah untuk peserta konferens.

Pemandangan sepanjang perjalanan menuju ke hotel sangat indah dan tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. MasyaAllah indahnya bumi ciptaan Dia. Hijau saujana mata memandang dan sungguh menenangkan jiwa malah terbayang-bayang lagi di hadapan mataku ini akan keindahannya. Dek kerana itu, perjalanan yang jauh terasa mendamaikan meskipun aku masih terasa jetlag

Tiba di hotel, urusan pendaftaran sangat lancar dan aku diberikan bilik seperti dijanjikan tetapi aku minta untuk pertukaran bilik kerana signal WIFI tidak dapat diterima di situ. Tanpa banyak soal, mereka menggantikan bilik lain kepadaku dan agak terkejut kerana diberikan bilik dengan keluasan yang lebih besar dari sebelumnya. Lucu juga bila dikenang cara kami berkomunikasi sewaktu di kaunter kerana Bahasa Inggeris bukan bahasa utama di sini. 


Penat? Memang tak terkata tapi keterujaan berada di bumi asing mengatasi segalanya. Aku segera bersiap dan menunaikan solat jamak kerana sudah tidak sabar untuk meneroka bandar kecil ini. Oleh kerana aku tiba pada hari Ahad, suasana memang aman damai dan kelihatan tidak banyak trafik yang berada di atas jalan raya. Yang ada hanyalah pengangkutan awam dan basikal merupakan pengangkutan utama mereka. Sejuk hati apabila mereka mengutamakan pejalan kaki meskipun berwajah ganas siap bertatu. Nyata, rupa tidak semestinya menggambarkan isi hati sebenar. 

(Bersambung...)

No comments: