Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, April 2, 2016

Misi Mencari Helikopter Terhempas

Bismillahirrahmanirrahim...

Lokasi kejadian: Taman Saujana Hijau, Putrajaya
Kemalangan Jiwa: Tiada

Pagi ini aku dan MakTeh bawa Adam, Adeef dan Qhaleef ke padang di Taman Saujana Hijau untuk bermain helikopter kawalan jauh yang baru mereka beli semalam. 

Tiba di sana, kami terus menghidupkan helikopter dan secara tiba2 ia berada di luar kawalan kami. Ia terbang sayup tinggi dan jauh menuju ke arah pokok2 di dalam taman lalu hilang dari pandangan. 

Terhempas! 

Maka misi pencarian pun bermula. Aduh, haru biru sekejap jadinya. Puas kami melilau di kawasan kejadian tapi tiada sebarang tanda terhempas ditemui. Adeef pula jatuh tergolek sewaktu memanjat tebing yang curam. 


Tanda2 berputus asa muncul kerana kami hilang punca untuk mencarinya. Kalau ia tersangkut pada pokok pun, bagaimana kami hendak menurunkannya? Takkan aku nak panjat pokok pula. Lalu kami teruskan perjalanan ke pondok2 di taman untuk mengurangkan rasa kecewa. 

Dengan nada bergurau, aku katakan kepada Adeef, 

"Adeef, kalau Abah tanya, jawablah Allah bagi pinjam sekejap je helikopter tu. Takde benda yang kekal dalam dunia ni."

Adeef hanya tersengih mendengar kata2ku itu. Tiba2 muncul sebuah lori yang dipandu oleh 2 orang pekerja taman dan kami berhenti untuk memberi laluan kepada mereka. 

Dengan tidak semena2 pekerja tersebut menghulurkan helikopter yang terhempas tadi kepada kami. Lucu ada, syukur pun ada. Masih ada rezeki Qhaleef nampaknya. Aku sambung bergurau lagi dengan Adeef,

"Tengok, Allah bagi semula helikopter ni pada kita. Cakap apa?" 

"Alhamdulillah," jawab Adeef sambil tersengih2. 


Wajah gembira apabila mendapat semula helikopter yang terhempas. Walaupun ada sedikit kerosakan tapi lebih baik daripada hilang terus.


Begitulah aturan hidup ini. Saat kita menyangka sudah kehilangan sesuatu, Allah sebenarnya sudah mempunyai perancangan untuk menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Alhamdulillah ala kulli hal. 



No comments: