Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, August 31, 2016

Kembara Slovenia 01

31 Ogos 2016.

Hari ini hati terasa ingin mencoret kisah yang sudah kualami kira-kira setahun yang lalu. Satu kisah yang akan kekal mekar di memoriku dan menjadi kenangan manis yang akan dikenang hingga akhir hayat. Kisah ini agak panjang tetapi akan cuba aku ringkaskan.

Tarikh yang sama, setahun yang lalu. Lokasi yang sama.

Diri ini sujud syukur di KLIA kerana selamat tiba di tanah air tercinta, Malaysia setelah diberi peluang oleh Allah Taala untuk menjejakkan kaki ke bumi asing yang tidak pernah aku bayangkan akan tiba di situ, Slovenia. Lebih bermakna kerana ia adalah kembara sendirian pergi dan balik. Meninggalkan tanahair tercinta Malaysia pada malam 22 Ogos 2015, transit seketika di bumi Paris untuk menaiki penerbangan seterusnya iaitu Air France untuk ke lapangan terbang Ljubljana, Slovenia. Cuak? Itu pasti tetapi sedikit terubat saat memasuki kabin business class. MasyaAllah, maka nikmat tuhan kamu yang manakah yang ingin didustakan? Perjalanan yang panjang terasa tidak terlalu panjang dan menyelesakan termasuk kemudahan menunaikan solat. 




Tiba di lapangan terbang Charles de Gaulle di awal pagi dan aku perlu menaiki penerbangan seterusnya untuk ke bandar Ljubljana. Masih terbayang-bayang betapa aku nekad meredah lautan manusia untuk mendekati petugas lapangan terbang (Tinggi dan kacak. Motif? Hahaha.) untuk mendapatkan bantuan kerana aku sudah terlewat untuk menaiki penerbangan seterusnya. Betapa banyak mata yang menjeling pergerakan aku yang memotong laluan mereka tetapi aku terpaksa kerana jika terus menunggu pasti aku akan terlepas penerbangan seterusnya. Tempoh transit sepatutnya 4 jam tetapi menjadi 2 jam sahaja akibat penerbangan delay sewaktu di KLIA. Segalanya berhikmah dan aku redha dengan apa jua ketentuanNya. Rupa-rupanya tindakan aku itu tidak salah kerana penumpang business class sememangnya memiliki kelebihan melalui express lane di situ. MasyaAllah! 

Selepas meneliti tiket aku, petugas tersebut terus membawa aku ke laluan yang sepatutnya dan aku hanya mebuntuti dia tanpa ragu. Katanya aku perlu segera ke terminal seterusnya untuk mengelakkan terlepas penerbangan. Serius aku rasa seperti rusa masuk kampung tapi aku redah saja. Tiba di pintu masuk terminal, dia menulis nombor bas yang perlu aku naiki untuk ke terminal penerbangan Air France kerana percakapan kami yang kelihatan seperti ayam dan itik. Siapa ayam dan siapa itik wallahualam. 

Tanpa banyak soal, aku meneruskan perjalanan ke terminal tersebut, memang tahap redha paling tinggi yang aku akan sempat sampai untuk penerbangan seterusnya. Tiba di terminal tersebut, aku terus mendaftar masuk dan ternyata aku penumpang terakhir dan pintu masuk sudah hampir ditutup. Pada siapa lagi patut aku panjatkan kesyukuran melainkan kepada Dia jua. AllahuAkbar! Mujur juga beg sudah aku daftar masuk sewaktu di KLIA lagi. 

Lega rasanya apabila sempat untuk menaiki penerbangan seterusnya kerana aku tidak dapat membayangkan apakah yang perlu aku lakukan sekiranya aku terlepas penerbangan tersebut. Tiba masanya, aku beratur untuk menaiki penerbangan Air France dan ia ternyata lebih kecil daripada kapal terbang AirAsia. Mungkin kerana ia untuk penrbangan domestik sahaja. Melihat susuk tubuh pramugara dan pramugari di dalam penerbangan tersebut membuatkan aku terasa sangat kerdil, lebih-lebih lagi aku satu-satunya penumpang Muslim yang berada dalam penerbangan tersebut, menuju bumi Ljubljana. Penerbangan ke sana memakan masa selama 2 jam dan aku tiba di lapangan terbang Ljubljana, yang sederhana dan sesuai dengan keperluan mereka. Untuk ke hotel yang telah ditempah, aku telah berjanji dengan salah seorang peserta konferens berbangsa India tetapi menetap di Australia, Mr. Hitendra Pillay. Yang ini pun aku redah juga apabila dia emel mengajak aku menaiki teksi bersama menuju ke hotel. Aku jadi terharu apabila mendapat tahu yang dia sanggup menunggu aku tiba 2 jam lebih awal di situ. Aku sangkakan waktu ketibaan penerbangan dia lebih kurang dengan penerbangan aku. Usianya sudah mencecah 60 tahun tetapi masih aktif menyumbang kepada dunia akademik. Mungkin kerana itu dia nampak lebih muda dari usia sebenar. 

Dari situ, kami menaiki teksi untuk hotel dan ia memakan masa selama 2 jam juga. Hotel kami terletak di bandar Maribor dan ia lokasi konferens yang kami hadiri. Mengenai hotel ini juga, ada perkara menarik yang berlaku sewaktu aku ingin menempahnya kerana dimaklumkan oleh pensyarah-pensyarah aku yang akan turut hadir ke konferens ini bahawa bilik telah penuh ditempah dan mereka telah menempah 1 unit apartmen yang memakan masa 15 minit perjalanan ke hotel. Memang perangai aku suka mencuba sendiri, maka aku emel terus kepada pihak hotel dan ternyata bilik masih ada dan lebih menarik, diberikan kadar harga lebih rendah untuk peserta konferens.

Pemandangan sepanjang perjalanan menuju ke hotel sangat indah dan tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. MasyaAllah indahnya bumi ciptaan Dia. Hijau saujana mata memandang dan sungguh menenangkan jiwa malah terbayang-bayang lagi di hadapan mataku ini akan keindahannya. Dek kerana itu, perjalanan yang jauh terasa mendamaikan meskipun aku masih terasa jetlag

Tiba di hotel, urusan pendaftaran sangat lancar dan aku diberikan bilik seperti dijanjikan tetapi aku minta untuk pertukaran bilik kerana signal WIFI tidak dapat diterima di situ. Tanpa banyak soal, mereka menggantikan bilik lain kepadaku dan agak terkejut kerana diberikan bilik dengan keluasan yang lebih besar dari sebelumnya. Lucu juga bila dikenang cara kami berkomunikasi sewaktu di kaunter kerana Bahasa Inggeris bukan bahasa utama di sini. 


Penat? Memang tak terkata tapi keterujaan berada di bumi asing mengatasi segalanya. Aku segera bersiap dan menunaikan solat jamak kerana sudah tidak sabar untuk meneroka bandar kecil ini. Oleh kerana aku tiba pada hari Ahad, suasana memang aman damai dan kelihatan tidak banyak trafik yang berada di atas jalan raya. Yang ada hanyalah pengangkutan awam dan basikal merupakan pengangkutan utama mereka. Sejuk hati apabila mereka mengutamakan pejalan kaki meskipun berwajah ganas siap bertatu. Nyata, rupa tidak semestinya menggambarkan isi hati sebenar. 

(Bersambung...)

Saturday, July 16, 2016

Racekit Collection


Ok, kit dah ambil masa bulan puasa. Gigih ke Menara TM Bangsar di pagi hujung minggu bersama Ummi dan MakTeh.


Esok adalah harinya. Aku daftarkan untuk Ummi dan PakSoo sekeluarga tapi nampak gaya, tinggal aku, MakTeh dan TMot saja. Ummi masih di kampung dan PakSoo diarahkan bertugas. 


Seronok pula melayan aktiviti santai begini bermula awal tahun ini. Paling puas hati bila tengok medal yang diterima. Yalah, aku ini bukannya atlit pun tapi pentingkan kesihatan. Nawaitu, nak mudah ibadah dan dalam keadaan sempurna sampai hujung hayat. Yang lain2 tu kira bonuslah. 

Tak sabar tunggu esok!

Ramadhan 1437H

Sekelip mata sahaja Ramadhan sudah meninggalkan kita namun kenangan manis bersama keluarga akan tetap mekar di hati. Tahun ini Ramadhan kami diserikan dengan penampilan istimewa, Kak Izzani, anak sulung PakSoo, mengikut kami menunaikan solat tarawih di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya. Memang itu lokasi tetap kami untuk solat tarawih sejak tahun lepas. 


Kagum aku dengan kesungguhan dan keikhlasan Izzani mengikut kami menunaikan solat Isyak dan seterusnya solat tarawih sebanyak 8 rakaat. Teguh berdiri di antara aku dan MakTeh sehingga selesai solat sedangkan kanak2 lain yang sebaya berlari2an di antara saf. 


Mula2 risau juga kalau Izzani tak mampu menghabiskannya tapi jangan sekali2 memandang rendah kemampuan seorang kanak2 dan dengan izinNya, Izzani berjaya menghabiskannya. Paling lucu bila dia tetap duduk dan bangun mengikut kami meskipun tersengguk2 menahan kantuk. 


Agenda paling ditunggu oleh Izzani adalah moreh. Seronok dia dapat beratur dan mengambil makanan, kemudian makan bersama2 sambil bersila. 

Doa MakLong, semoga Kak Izzani istiqomah menunaikan solat dan membesar menjadi muslimah yang kenal akan penciptaNya. Amin.


Sunday, June 19, 2016

Selamat Hari Bapa


Dia, satu2nya lelaki yang menerima diriku ini seadanya. #selamatharibapa #mogadamaidialamsana #kasihabahmemangsukarterluah

Thursday, June 16, 2016

Kepenatan...

Ya, hanya itu yang aku rasakan saat ini...

Namun hidup perlu diteruskan malah aku syukur kerana masih diberi peluang olehNya untuk melalui Ramadhan lagi. Satu nikmat yang wajib disyukuri...

Jujur, aku masih merasa canggung melalui Ramadhan kali ke-2 tanpa Abah di sisi. Sesekali air mataku tumpah jua saat teringat akan momen2 akhir bersama Abah. Pesan akhir Abah juga masih terngiang2 di telingaku ini.

"Kita ini semua ahli syurga. Jagalah solat."

Pesan yang insyaAllah akan aku pertahankan selagi jasad masih bernyawa...

Ramadhan kali ini tidak jauh beza dengan tahun sebelumnya. Aku dan Ummi serta MakTeh berbuka dan bersahur bersama. Masih mencari titik keselesaan meski sudah genap setahun tinggal sebumbung...

Tahun ini pula waktu aku sarat dengan urusan kerja yang terasa begitu menyesakkan dada namun aku tiada pilihan melainkan untuk melangsaikannya.

Penat? Sangat. Kekadang terasa tidak berdaya untuk meneruskan langkah tetapi mengalah bukan jalan penyelesaiannya. Hidup ini bukan untuk diri sendiri...

Monday, June 6, 2016

Happy Bornday


Tahun ini tarikh lahir anak saudaraku, Nur Aqilah Aminah, jatuh pada 1 Ramadhan. Dia anak sulung kepada abangku yang kedua. Oleh kerana dia juga pulang ke kampung, aku belikan kek untuk meraikannya selepas berbuka puasa bersama2. 

Pantas masa berlalu. Dulu kecil di dukungan, kini sudah menjadi remaja. Doaku semoga dia terpelihara daripada fitnah duniawi ini dan senantiasa berada di dalam rahmatNya jua. 

Saturday, April 2, 2016

Misi Mencari Helikopter Terhempas

Bismillahirrahmanirrahim...

Lokasi kejadian: Taman Saujana Hijau, Putrajaya
Kemalangan Jiwa: Tiada

Pagi ini aku dan MakTeh bawa Adam, Adeef dan Qhaleef ke padang di Taman Saujana Hijau untuk bermain helikopter kawalan jauh yang baru mereka beli semalam. 

Tiba di sana, kami terus menghidupkan helikopter dan secara tiba2 ia berada di luar kawalan kami. Ia terbang sayup tinggi dan jauh menuju ke arah pokok2 di dalam taman lalu hilang dari pandangan. 

Terhempas! 

Maka misi pencarian pun bermula. Aduh, haru biru sekejap jadinya. Puas kami melilau di kawasan kejadian tapi tiada sebarang tanda terhempas ditemui. Adeef pula jatuh tergolek sewaktu memanjat tebing yang curam. 


Tanda2 berputus asa muncul kerana kami hilang punca untuk mencarinya. Kalau ia tersangkut pada pokok pun, bagaimana kami hendak menurunkannya? Takkan aku nak panjat pokok pula. Lalu kami teruskan perjalanan ke pondok2 di taman untuk mengurangkan rasa kecewa. 

Dengan nada bergurau, aku katakan kepada Adeef, 

"Adeef, kalau Abah tanya, jawablah Allah bagi pinjam sekejap je helikopter tu. Takde benda yang kekal dalam dunia ni."

Adeef hanya tersengih mendengar kata2ku itu. Tiba2 muncul sebuah lori yang dipandu oleh 2 orang pekerja taman dan kami berhenti untuk memberi laluan kepada mereka. 

Dengan tidak semena2 pekerja tersebut menghulurkan helikopter yang terhempas tadi kepada kami. Lucu ada, syukur pun ada. Masih ada rezeki Qhaleef nampaknya. Aku sambung bergurau lagi dengan Adeef,

"Tengok, Allah bagi semula helikopter ni pada kita. Cakap apa?" 

"Alhamdulillah," jawab Adeef sambil tersengih2. 


Wajah gembira apabila mendapat semula helikopter yang terhempas. Walaupun ada sedikit kerosakan tapi lebih baik daripada hilang terus.


Begitulah aturan hidup ini. Saat kita menyangka sudah kehilangan sesuatu, Allah sebenarnya sudah mempunyai perancangan untuk menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Alhamdulillah ala kulli hal. 



Sunday, March 20, 2016

Hidup Umpama Roda

Bismillahirrahmanirrahim...

Life is truly a cycle. Dulu masa lepas tamat SPM, aku minta izin daripada Abah untuk ambil lesen memandu. Abah izinkan dan suruh Ummi ajar aku memandu kereta sendiri dahulu. Ummi sebenarnya wanita pertama dalam kampung yang ada lesen memandu. Yelah, zaman dulu kan. 


Hari ini, aku pula yang ajar Ummi selok-belok jalan di Putrajaya. Begitulah kehidupan...

Sunday, March 6, 2016

Begitu AturanNya...

Bismillahirrahmanirrahim...

Kadang2 banyak perkara yang tidak kita fahami dalam hidup ini namun itulah jalan yang telah Allah tuliskan dan terbaik buat kita. Hari ini juga tidak terkecuali buat aku.

Akhir2 ini fikiranku agak bercelaru dengan pelbagai rencah kehidupan yang sedang dilalui. Pada saat ini juga, aku terkenang akan arwah Abah kerana pada tahun lepas, inilah momen2 arwah mula jatuh sakit dan dimasukkan ke HUKM. Seluruh kehidupan kami difokuskan kepada arwah sahaja malah rutin berulang-alik ke HUKM pada setiap hari sudah sebati dalam diri kami. Setiap kali aku teringatkan momen2 itu, hatiku jadi pedih dan seringkali ia membuatkan aku merasa yang aku belum cukup berbakti buat Abah dengan sebaiknya. Perit membayangkan kesakitan yang perlu Abah lalui di penghujung usianya.

Tahun ini pula, urusan kerja juga menuntut masa yang agak banyak kerana telah ditempatkan di unit yang baru. Agak memeningkan kepala juga berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia namun aku teruskan juga. Tugasan yang diberi mesti disempurnakan dengan sedaya mungkin. Mujur juga aku mendapat anak buah yang begitu dedikasi dan komited dengan tanggungjawabnya.

Minggu depan, program pertama akan diadakan di Ipoh, Perak. Pelbagai urusan yang ternampak kecil tapi besar impaknya perlu aku langsaikan. Lalu hari ini aku memilih untuk melangsaikannya di tempat yang mempunyai kemudahan WIFI kerana ada beberapa maklumat yang perlu aku emelkan.

Awalnya aku ke sebuah tempat di Cyberjaya tetapi sebaik tiba di sana, terbit perasaan bosan. Lalu aku hidupkan enjin kereta dan berdoa kepada Allah agar melorongkan aku ke tempat yang baik dan mudah untuk aku menyempurnakan kerja. Di hati ini, terdetik untuk ke KLIA lalu aku terus memandu ke sana. Sebenarnya KLIA antara lokasi kegemaranku setiap kali berdepan kekusutan. Entah kenapa aku jadi sedikit tenang apabila berada di sana, memerhati dan melihat pelbagai ragam manusia. Kemudian aku pun berangan yang aku juga akan menaiki kapal terbang dan mengembara ke mana-mana tempat melihat alam ciptaan Ilahi ini hehe.

Tiba di KLIA, aku isi perut di premis bernama Warung Kopi. Alhamdulillah kenyang. Hajat di hati ingin ke ruang anjung tinjau, menyempurnakan kerja sambil melihat pemandangan kapal terbang turun dan naik. Hatiku berubah. Kaki dihalakan ke premis Coffee Club. Ya, untuk coffee lover seperti aku, tarikan ke tempat tersebut adalah amat kuat.

Maka aku ke Coffee Club. Terus membuka laptop dan meneruskan hajat sebenar ke situ. Hampir 1 jam di situ, tiba2 datang sepasang lelaki dan wanita yang sudah agak berusia duduk di meja bersebelahan dengan aku.

"Stupid man!" bebel perempuan itu berkali2 dan lelaki itu pula kelihatan cuba untuk tidak terlalu melayan amarah wanita itu.

"Get me a mineral water!" arah wanita itu lagi.

Lelaki itu dengan patuh terus ke kaunter dan memenuhi permintaan wanita itu. Wanita itu pula masih dengan amarahnya, memarahi lelaki itu dengan nada yang kuat tanpa menghiraukan suasana sekeliling. Aku berasa tidak sedap hati melihat keadaan itu tetapi cuba untuk tidak membuatkan lelaki itu berasa tidak selesa dengan apa sedang mereka lalui.

Suasana kelihatan semakin tegang dan amat jelas keduanya sedang menghadapi masalah yang agak berat. Aku sebenarnya mendengar butiran bebelan wanita itu dan agak terkejut apabila mendengar kata2 wanita itu,

"Seriously, I am filing for a divorce. I cannot stand your behaviour anymore."

Lelaki itu masih membatukan diri melayan amarah isterinya.

"Alamak! Tak bagus aura perempuan ni duduk dekat dengan aku," itu yang terdetik di hatiku.

Namun lama-kelamaan apabila butir percakapan wanita itu semakin jelas, aku jadi kagum pula kepada wanita itu. Pada aku, dia seorang wanita yang berani dengan apa yang dia ingini dalam hidup ini dan dia berjuang untuk mendapatkannya. Terdetik di hatiku untuk memeluk wanita itu. Satunya untuk menenangkan amarahnya dan kedua, untuk mengucapkan tahniah atas keberaniannya.

Sangat jelas yang wanita itu sudah tidak tahan dengan perangai suaminya yang kaki minum.

Sedang aku leka meneruskan kerja dan cuba memekakkan telinga daripada terus mendengar perbualan mereka, wanita itu tiba2 menyapa aku,

"Excuse me, do you speak English?" jelas kelihatan airmata berlinangan di pipinya.

"Yes. Why?" balasku walaupun terselit sedikit kebingungan di situ.

"Can you please sit beside me for 1 minute?" tanya wanita itu lagi.

Sambil tersenyum aku menjawab, "May I know why?"

"My husband is going to make a promise to me and I need someone to witness it," jujur permintaan wanita itu.

Hatiku tersentak namun dengan sopan aku bertanya,

"Will that make you happy?"

"Yes, please," jawab wanita itu dengan pantas.

"And sir, do you mind if I sit there?" tanyaku kepada suaminya meminta pengesahan.

Dengan tersenyum, suaminya mengiyakan permintaan isterinya.

Tanpa banyak soal, aku angkat barang2 dan berpindah ke meja mereka. Sayu pula hatiku melihat pandangan penuh kelukaan di wajah wanita itu. Terasa berdosa pula apabila tadi terbit juga perasaan hairan melihat gelagat mereka yang seolah2 tidak memperdulikan keadaan sekeliling.

Sebaik aku duduk di sebelah wanita itu, soalan pertama yang aku tanya adalah,

"Can I hug you?"

"Yes, please," jawab wanita itu seraya segera memeluk aku dengan erat dan mulutnya tidak putus bercerita tentang apa yang sedang mereka lalui.

Hatiku sebak kerana Allah sedang menjawab cetusan hatiku yang teringin untuk memeluk wanita itu sebentar tadi. Sungguh Allah Maha Mendengar dan berkuasa memakbulkan doa kita pada bila2 masa, mengikut kehendakNya.

Aku lepaskan pelukan apabila wanita itu sudah semakin tenang dan aku biarkan dia meluahkan perasaan tentang apa yang sedang berlaku antara mereka. Jelas kelihatan yang masih ada cinta dan kasih antara mereka berdua. Tangan wanita itu pula masih erat menggenggam tanganku sambil berterima kasih kerana aku sudi memenuhi permintaannya sedangkan aku boleh saja menolaknya.

Aku katakan bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah ketentuan daripadaNya. Begitulah Allah mengalih aku daripada Cyberjaya ke KLIA kerana sudah tertulis yang aku akan bertemu dengan mereka dan ada sesuatu yang Allah ingin aku pelajari daripada mereka. Inilah sebabnya arak diharamkan dalam Islam namun aku tidak pula mengatakan sedemikian kepada mereka. Aku hanya menyebut bahawa pasti ada sebab kenapa Allah mempertemukan mereka berdua dan kemudian menyatukan mereka dalam perkahwinan.

Mereka memperkenalkan diri sebagai Rash dan Christ dan aku pula menggunakan nama Imah.

"Sir, do you love her?" tanyaku kepada Christ.

"Yes, I do," jaawabnya dengan yakin.

Dan aku bertanya perkara yang sama kepada Rash dan dengan yakin juga Rash menjawabnya malah mengatakan yang Christ adalah lelaki yang baik cuma mempunyai masalah minum yang keterlaluan.

"Will you give him another chance?" soalku lagi malah dengan tiba2 aku rasa sangat yakin bertutur dalam Bahasa Inggeris :)

"Yes, because he is actually a good man," jawab Rash lagi.

"Sir, you are actually a lucky man and please do not ruin it. She is willing to give you another chance and I do believe that you are a good man. In fact, I believe that you are a brave man because only a man have a courage to step into a marriage," begitu lancar aku menuturkannya malah aku sendiri tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk berkata sebegitu kepadanya.

Aku lihat Christ mengalirkan airmata, tanda benar2 memaksudkan janji dan ingin berubah.

"Can you do that, sir?" soalku lagi menuntut agar Christ melafazkan janjinya.

"Yes, I will," sambil tangannya menyapu airmata yang masih mengalir.

Rash terus memelukku lagi, terharu mendengar pengakuan Christ dan tidak putus2 memuji aku sehingga aku merasa begitu malu dan kerdil dengan keadaan diri. Bahawa apa jua yang aku tuturkan pada hari ini adalah dengan izinNya jua. Aku ini hanya mediumnya sahaja malah tidak berdaya walau sebesar kuman. Malah terkadang aku terasa seolah kata2 yang dituturkan adalah sebenarnya ditujukan kepada diri sendiri.

"Sir, the promised that you have made just now is also witnessed by God and please keep it. I believe things will get better. He will ease the path for both of you and please protect your marriage," tambahku lagi.

Rash memelukku lagi untuk kali yang aku sendiri sudah lupa. Erat pelukannya.

"Imah, do you mind if I take a picture with you so that everytime I feel lost, I will look at our picture and recall what you have said to us just now," pinta Rash kepadaku.

MasyaAllah! Aku pula yang terasa sebak mendengar permintaannya malah Rash berkali2 mengatakan yang dia tidak akan berkecil hati jika aku menolaknya. Mana mungkin aku menghampakan permintaan dia dan inilah gambar kami berdua...



Banyak lagi perkongsian antara kami tetapi ia terlalu peribadi untuk aku kongsikan di sini dan biarlah ia menjadi pengajaran dan pelajaran buat kami bertiga. Bahawa pertemuan kami pada hari ini telah ditentukan olehNya jua. 

Ini pula foto mereka berdua dan aku berdoa semoga perkahwinan mereka akan berkekalan. Malah Rash juga telah membatalkan hasrat untuk terbang pulang semula ke London sebaliknya meneruskan hasrat meneruskan urusan mereka selama seminggu di Kuala Lumpur. Kedua mereka sebenarnya baru tiba dari London sewaktu aku menemui mereka di Coffee Club dan menyaksikan suasana terus hangat antara mereka berdua. 


Sesungguhnya kejadian yang aku lalui pada hari ini benar2 membuka hatiku untuk kembali mengenali diri sendiri. Masih terngiang kata2 Rash sewaktu memelukku beberapa kali malah seolah tidak mahu melepaskannya,

"Imah, you are such a nice person with a golden heart.

Aku terdiam seketika dan sekadar membalas,

"God created everybody with a kind heart and He will surely guide us. His plan is the best for us." 

Mereka pergi dengan senyuman dan ia benar2 membahagiakan hariku...Subhanallah! Benarlah, hati kita akan menjadi lebih bahagia saat kita membuat orang lain bahagia...

Tuesday, January 19, 2016

CK Yang Kata

Bismillahirrahmanirrahim...


19/1/2016...Pilihan sebenarnya di tangan sendiri...Kadang2 dalam hidup ini, perlu pegun sejenak untuk muhasabah diri. Sesekali mengimbas ke belakang, merenung kesilapan lalu agar tidak berulang lagi dan lagi. Waktu pasti akan terus berdetik, tak pernah mungkir. Justeru kehidupan perlu diteruskan. Saat lelah menyelimuti diri, langkah diperlahankan. Tatkala semangat membara dan laluan terasa lapang, laluilah perjalanan dengan tenang. Nikmati warna warni kehidupan yang terpamer di kiri kanan laluan dengan jiwa yang besar. InsyaAllah, kita pasti tiba ke destinasi dituju dengan selamat meski terkadang laluannya sedikit berbeda dari orang lain. Namun matlamatnya tetap. Menuju Dia. #ckyangkata #modetungguummihabiskelas

Tuesday, January 12, 2016

Kelas Dewasa

Bismillahirrahmanirrahim...


Ini minggu ke-2 Ummi menghadiri kelas dewasa di Masjid Putra. Syukur kerana Ummi nampak bersemangat untuk menyertainya malah bersiap dari awal lagi . Semoga Ummi akan kembali bersosial bersama masyarakat selepas melalui tempoh yang cukup mencabar kami sekeluarga. Doaku semoga Ummi lebih bersemangat menjalani hari-hari mendatang.  

Monday, January 11, 2016

Putrajaya Berjemaah Subuh

Bismillahirrahmanirrahim...


Alhamdulillah, syukur kerana pagi ini aku sempat membawa Ummi solat subuh berjemaah di Surau Al-Furqan, Presint 11. Kami tiba di sana seawal jam 5.45 pagi dan waktu Subuh masuk pada jam 5.57 pagi. Keseronokannya sungguh luar biasa. Aku harap dapat istiqomah meneruskan aktiviti ini sampai bila2. Usai solat subuh, kami pergi membeli sarapan sebelum pulang dan aku bersiap ke pejabat. 

Thursday, January 7, 2016

#justsaying

Bismillahirrahmanirrahim...


MakLong: Sara, catch the ball!
Sara: Ok, I got it!

Kenangan bermain bersama anak buah yang kini berkelana mengikut papa menyambung PhD di Sydney. Ya, baru2 ini aku dan keluarga diberi kesempatan untuk menziarah adik dan keluarganya di sana. Perjalanan yang memberi 1001 rasa dan mengubah arah perjalanan kehidupan menjelang tahun 2016. Sama ada akan aku kongsikan di blog ini atau tidak masih belum aku putuskan lagi. 

Yang pasti, ia kenangan seumur hidup malah tidak pernah terbayang akan menjejakkan kaki ke sana. Alhamdulillah. 

Ok, nak bersiap ke pejabat. Sara, MakLong rindu keletah awak!

Tuesday, January 5, 2016

Life is Like Flying a Kite

Bismillahirrahmanirrahim...


Life is like flying a kite. We can wait for the perfect conditions to pursue life-long desires, dreams, interests or to simply try something new, however there will always be extreme winds that temporarily throw us off course and even into the ground. We will also experience times of no wind at all, leaving us with little hope that the ideal opportunity will arise for us to fly. The truth is that as long as we are living, flying is a possibility, a choice that we get to make. We can embrace and even appreciate the sharp and unexpected turns and know that they are part of the ebb and flow process, or, we can allow the nose dives to harden our hearts, leaving us with the ongoing and defeated question of ‘what might have been?’  Either way, it is a choice, it is yours, and that’s the good news.

Inaction breeds doubt and fear. Action breeds confidence and courage. If you want to conquer fear, do not sit home and think about it. Go out and get busy. - Dale Carnegie

Monday, January 4, 2016

Mentelaah

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini aku terasa ingin membelek helaian buku ini. Kandungannya memang dekat dengan jiwaku. Semua ini perlu kubuat gara2 tugasan baru yang diterima bermula tahun ini. Ya, aku telah diserapkan ke dalam unit yang sedang membangunkan sebuah portal. 


Perinciannya tidak perlu aku dedahkan namun tugasan itu membuatkan aku kembali ingin mentelaah tajuk2 yang dapat membantu dalam tugasan. Yang nyata, aku rindu dunia akademik. Tenggelam dalam lautan ilmu yang tidak berpenghujung. Infiniti. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui segala2nya. 

Sunday, January 3, 2016

Resit2

Bismillahirrahmanirrahim...

Rutin tahunan apabila masuk tahun baru iaitu menapis resit2 tahun sebelumnya terutama resit2 pembelian buku & majalah. Pendek kata, resit2 yang boleh digunakan untuk rebat cukai pendapatan tahun lepas.


Ya, memang perangai aku akan longgokkan resit2 tersebut di dalam satu kotak dan dari semasa ke semasa aku akan tapis iaitu simpan yang perlu dan buang yang tidak perlu. Ada kawan aku yang namakan aku Ratu Resit kerana tabiat aku yang gemar simpan resit untuk setiap pembelian. Adakalanya tabiat aku ini berguna juga terutama jika perlu menukar barangan yang telah dibeli. Jika tidak, pasti pertukaran barang tidak akan dilayan jika tiada resit sebagai bukti pembelian. Yang pasti, malam ini bukan resit saja yang telah ditapis tetapi barang2 peribadi yang lain juga. Serius, aku benar2 ingin permulaan yang baru. Permulaan yang lebih bermakna buat diri sendiri dan insan2 tersayang. Yang lalu jadikan pengalaman dan pengajaran, masa hadapan hadapi dengan penuh semangat. InsyaAllah.

Sentap!

12.36pm, Kemaman Classic Kopitiam, IOI Mall Puchong.

I feel fresh. Hehehe. Boleh? 

Ini antara azam untuk diri sendiri sempena tahun baru. Lebih menyayangi diri sendiri, luar dan dalam. Ini kali ke-2 aku ke premis ini sebenarnya. Bukan ke kedai kopi ini tapi ke sebuah pusat rawatan kulit di dalam bangunan yang sama. Tak perlulah aku sebut nama premisnya. Yang ingin aku kongsikan adalah kenyataan daripada pekerja di situ sebentar tadi. Biasalah, usai rawatan dia akan mempromosi beberapa produk rawatan tambahan kepada pelanggan. Seperti biasa, aku kalau tak nak, memang akan terus terang bagitau tak nak. 

"Takpelah, saya bukan apa. Saya risau nanti lama2 saya malas nak guna kalau beli banyak2 produk," ujar aku jujur.

"Itulah sebabnya tiada orang yang tak cantik tapi yang ada adalah pemalas," balas pekerja itu sambil tersenyum manis.

Ok, zassss! Sentap! Terasa macam pisau tajam menusuk kalbu tapi aku hanya tertawa kerana aku tahu apa yang dikatakannya itu sangatlah benar. Hahahaha. 

Itulah realitinya dalam apa jua perkara berkaitan kehidupan ini. Tidak ada istilah kaya atau miskin, lemah atau kuat, pandai atau bodoh tetapi yang sebenarnya rajin atau malas sahaja. Man jadda wajada. Hatta insan2 OKU pun jauh lebih berjaya daripada aku yang dikurniakan sempurna anggota kaki tangan dan tubub badan ini. Semuanya kerana mereka punya keazaman dan keinginan yang jauh lebih kental dari aku. Maka aku isytiharkan tahun ini sebagai tahun mengentalkan jiwa demi masa depan yang lebih gemilang. InsyaAllah.

Saturday, January 2, 2016

Membela Besi

Bismillahirrahmanirrahim...

02012016. Akhirnya, hari ini aku nekad untuk baiki penghawa dingin kereta yang dah rosak sejak tahun lepas. Ini kali kedua ia rosak sebenarnya. Dulu dah tukar compressor recond. Bertahan setahun je. Kali ni rosak lagi. Aduhai inilah antara risiko bila membela besi. Bertabah jelah tukar lagi. Kalau tak tukar, enjin boleh overheat dan sebabkan kerosakan lain yang lebih teruk pula. Suka atau tidak, tukar sajalah.


Nak dijadikan cerita, setahun jugalah dashboard kereta aku ni tak boleh dibuka. Gara2 anak buah yang kini jauh di mata tapi dekat di hati, Nur Qaisara Aminah, punya angkara. Diletaknya gam gajah pada dashboard. Tertutup rapatlah ia tak boleh dibuka. Aku pula malas nak ikhtiar untuk buka memandangkan barang2 dalam tu tidak berapa penting. Yang pasti, pampers tu dah berkepam dalam dashboard. 


Lama juga nak baiki kerosakan sambil alang2 terus servis. Bertabahlah menunggu siap. Aku pula jenis suka tengok apa yang dibuat pada kereta tu. Saja nak faham. Tidaklah buta2 je aku bayar nanti.


Permulaan tahun baru yang lebih menyamankan harapnya...

Friday, January 1, 2016

Jendela 2016

Bismillahirrahmanirrahim...

2015 telah melabuhkan tirainya. Kini kita berada di tahun 2016. Usia makin berkurang meskipun angkanya semakin bertambah. Bersediakah aku untuk menempuhnya? 

Baru2 ini teman sepejabatku, D, bertanya kepada aku,

"Karimah, U takut tak nak menghadapi tahun 2016?"

Aku terdiam mendengar soalan D lantas memandang wajahnya sambil bertanya,

"Kenapa U tanya I macam tu?"

Aku sebenarnya tidak menyangka yang D akan melontarkan soalan sebegitu namun aku positif mendengarnya. 

"Entahlah, I rasa 2016 ni akan jadi tahun yang sangat mencabar dan I rasa takut untuk menghadapinya," luah D. 

Seperti biasa, aku sedaya mungkin akan menjawab dengan nada yang positif meskipun di dalam hati sendiri hanya Allah yang tahu apa yang aku rasa.

"D, kita kan orang Islam. Kena yakin kepada Qada' dan Qadar. Ya, I pun sebenarnya takut sebab I tahu dugaan akan semakin bertambah tapi inilah kehidupan. I yakin Allah takkan bagi beban yang tak mampu kita tanggung," tuturku berhati2. 

Bimbang juga kiranya kata2ku itu seolah2 nak mengajar D pula kerana D sebenarnya berpangkat kakak dengan aku. Namun aku ikhlas berkongsi rasa dengannya dan semoga perkongsian itu akan dapat meredakan kerisauan dan kegusaran di hati kami.

Yang pasti, sama ada kita suka atau tidak, masa akan terus berdetik dan bumi akan terus berputar selagi belum tiba titik penamatnya iaitu kiamat. Maka selagi itulah langkah perlu diteruskan dengan keyakinan bahawa Dia senantiasa ada di setiap helaan nafas ini. Dia tidak mungkin akan meninggalkan kita selagi kita terus yakin kepada janji2-Nya yang pasti. 


Suka duka dan pahit manis yang telah dilalui pada tahun 2015 dan tahun2 sebelumnya, kita jadikan pengalaman dan pengajaran untuk mendepani tahun2 mendatang. Semoga kejadian2 lalu itu membuatkan kita lebih kuat dan tabah untuk berdepan dengan apa jua kemungkinan pada masa hadapan. Doaku agar kita semua akan lebih berjiwa kental melalui kehidupan ini. 


Itu azamku. Ya, untuk lebih kental dan tabah mendepani kehidupan ini. Di samping lebih jelas akan objektif dan hala tuju sebenar kehidupan ini, bahawa yang dikejar bukanlah kenikmatan dan kebahagiaan di dunia semata, sebaliknya negeri yang kekal abadi iaitu akhirat. Robbi yassir wala tua'ssir, robbi tammim bilkhoir...