Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, December 30, 2015

Rutin Berubah

Bismillahirrahmanirrahim...

Kafe Pejabat. 

Beberapa hari lagi, 2015 akan melabuhkan tirainya. Sungguh! Masa terasa sangat pantas berlalu. Masih aku ingat, tahun lepas, di saat ini, Abah masih bersama kami dan ia antara momen2 akhir bercuti dengannya. 

Ummi pula sedang melalui saat2 akhir mendepani hakikat yang Abah sudah tiada lagi selepas menjalani kehidupan suami isteri selama lebih 40 tahun. Aku sudah pasti tidak akan memahami kepedihan yang sedang Ummi alami tetapi sebagai orang Islam yang percaya kepada ketentuan Allah bahawa mati itu pasti, kehidupan ini harus diteruskan. Tugas Abah di dunia ini sudah selesai. Tugas kami yang masih hidup ini yang harus dipersoalkan dan bakti kepada yang telah pergi wajib diteruskan. Aku menganggap bahawa tugas Ummi masih belum selesai. Dek kerana itu Allah masih memberi peluang Ummi untuk bersama kami. Pun begitu, aku akui ia tidak mudah namun tidak juga mustahil kerana Allah pasti tidak akan membebankan hamba-Nya dengan perkara atau ujian yang tidak mampu digalas. Hidup ini adalah untuk memenuhi tuntutan-Nya semata dan bukannya kehendak sendiri. 

Rutin aku kini bakal berubah malah aku sudah mula untuk membiasakannya bermula pada minggu ini. Aku perlu memastikan sarapan untuk Ummi tersedia di awal pagi kerana perut Ummi tidak boleh kosong. Aku sendiri kurang pasti sebab musababnya tetapi ia mungkin berpunca daripada penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dihidapinya. Melilau juga aku mencari kedai2 makan di sekitar Putrajaya yang menjual kuih-muih tapi kebanyakannya hanya menjual makanan berat sahaja. Alternatif terkini, aku turun seawal 7 pagi ke pejabat, membeli sarapan untuk Ummi di kafe pejabat sambil aku sendiri terus bersarapan dan kemudiannya berpatah balik ke rumah untuk menghantar sarapan kepada Ummi. Mujur juga kafe pejabat ada menjual beberapa jenis kuih-muih meskipun selepas ini aku perlu mencari alternatif lain lagi. 

Tahun hadapan juga, portfolio kerja aku bakal berubah. Mungkin agak sibuk dan perlu balik sedikit lambat daripada biasa. Mujur adikku MakTeh pulang awal sebaik tamat sesi persekolahan. Tidaklah Ummi bersendirian di rumah terlalu lama. Aku harap adik-beradik lain pula akan datang menziarah atau membawa Ummi berjalan2 pada hujung minggu. Hanya itu sahaja cara kami membantu Ummi menghilangkan kesunyian di penghujung usia ini. Moga kami diberi kesabaran dan ketabahan untuk melaluinya bersama...

No comments: