Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, December 26, 2015

Pisang

Bismillahirrahmanirrahim...

26/12/2015. Hari ini aku bukan nak cerita tentang pisang tapi pisang ini menjadi asbab kepada sebuah pertemuan dengan kawan baik arwah Abah, Cikgu Sanusi. 


Petang tadi aku sebenarnya nak ke bank tapi dalam perjalanan, tiba2 aku ternampak pisang2 yang tergantung di gerai buah2an yang terletak betul2 dengan persimpangan lampu isyarat di bandar Dungun.

Apabila lampu isyarat bertukar hijau, aku terus membelok ke kiri, memasuki laluan ke gerai buah2an tersebut. Tanpa banyak soal, aku capai seikat pisang yang tergantung dan serahkan kepada penjual untuk ditimbang.

"RM7.40 kak," ujar penjual kepadaku.

Aku hanya mengangguk sambil tangan mencapai duit di dalam dompet. Entah kenapa mulut aku berat untuk berkata2. Selalunya aku ringankan mulut untuk menggenapkan sahaja jumlah belian seperti "RM7 tak boleh ke bang?", tapi hari ini hati tak tergamak berbuat demikian. Aku akur dengan jumlah yang dikenakan oleh penjual. 

Semasa aku membuat pembayaran, sebuah kereta berhenti betul2 di sebelah gerai tersebut tetapi aku tak ambil pusing siapa pemandunya. Namun sebaik aku pusingkan badan untuk melangkah keluar, aku terpandang wajah seorang yang amat aku kenali iaitu Cikgu Sanusi. 

Segera aku ucapkan salam kepada beliau dan kelihatan beliau agak terkejut menjawab salamku itu. Mungkin kerana tidak berapa cam bertemu dalam keadaan tidak dirancang sebegitu. Sebaik aku sebut nama beliau dan menyebut nama arwah Abah, serta-merta wajah beliau menguntum senyuman dan perbualan kami berlanjutan. 

Aku sebenarnya terkejut apabila diberitahu yang beliau juga baru 14 hari kehilangan anak perempuan yang pernah kami temui sewaktu mereka datang menziarahi Abah di HUKM. 

Innalillahiwainnailahirojiun...

Aku kehilangan kata2. Tidak tergambar perasaan mereka menerima ujian kehilangan anak tercinta. Terbit rasa bersalah kerana kami pernah berjanji untuk menziarahi beliau dan keluarga tetapi niat itu belum sempat ditunaikan lagi sehingga hari ini. InsyaAllah ia akan menjadi antara perkara utama yang akan dilunaskan pada tahun hadapan. 

Pertemuan tidak dirancang ini juga seolah2 menjadi jawapan terhadap kerinduan kepada arwah Abah yang akhir2 ini memenuhi ruang hatiku. Aku sedar, setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan kita juga akan menyusuli mereka. Malah pemergian mereka sebenarnya menjadi bukti nyata kepada kita yang masih diberi peluang di dunia untuk memanfaatkannya dengan sebaik mungkin kerana masanya akan tiba untuk kita pula pulang menemuiNya, Rabbul Jalil. 

Benarlah, tiada istilah kebetulan kerana segalanya sudah tersurat olehNya...

No comments: