Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, December 30, 2015

Permulaan Baru

Bismillahirrahmanirrahim...


Tadi aku curi masa ke Masjid Putra untuk menghantar borang menyertai Kelas Pengajian Dewasa untuk Ummi. Kelas akan bermula pada 4 Januari 2016. Aku harap ini permulaan yang baru dan bersemangat buat Ummi dan kami semua. Kejadian yang lepas jadikan pengalaman dan pengajaran untuk meneruskan kehidupan yang masih jauh perjalanannya, insyaAllah. 


Rutin Berubah

Bismillahirrahmanirrahim...

Kafe Pejabat. 

Beberapa hari lagi, 2015 akan melabuhkan tirainya. Sungguh! Masa terasa sangat pantas berlalu. Masih aku ingat, tahun lepas, di saat ini, Abah masih bersama kami dan ia antara momen2 akhir bercuti dengannya. 

Ummi pula sedang melalui saat2 akhir mendepani hakikat yang Abah sudah tiada lagi selepas menjalani kehidupan suami isteri selama lebih 40 tahun. Aku sudah pasti tidak akan memahami kepedihan yang sedang Ummi alami tetapi sebagai orang Islam yang percaya kepada ketentuan Allah bahawa mati itu pasti, kehidupan ini harus diteruskan. Tugas Abah di dunia ini sudah selesai. Tugas kami yang masih hidup ini yang harus dipersoalkan dan bakti kepada yang telah pergi wajib diteruskan. Aku menganggap bahawa tugas Ummi masih belum selesai. Dek kerana itu Allah masih memberi peluang Ummi untuk bersama kami. Pun begitu, aku akui ia tidak mudah namun tidak juga mustahil kerana Allah pasti tidak akan membebankan hamba-Nya dengan perkara atau ujian yang tidak mampu digalas. Hidup ini adalah untuk memenuhi tuntutan-Nya semata dan bukannya kehendak sendiri. 

Rutin aku kini bakal berubah malah aku sudah mula untuk membiasakannya bermula pada minggu ini. Aku perlu memastikan sarapan untuk Ummi tersedia di awal pagi kerana perut Ummi tidak boleh kosong. Aku sendiri kurang pasti sebab musababnya tetapi ia mungkin berpunca daripada penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dihidapinya. Melilau juga aku mencari kedai2 makan di sekitar Putrajaya yang menjual kuih-muih tapi kebanyakannya hanya menjual makanan berat sahaja. Alternatif terkini, aku turun seawal 7 pagi ke pejabat, membeli sarapan untuk Ummi di kafe pejabat sambil aku sendiri terus bersarapan dan kemudiannya berpatah balik ke rumah untuk menghantar sarapan kepada Ummi. Mujur juga kafe pejabat ada menjual beberapa jenis kuih-muih meskipun selepas ini aku perlu mencari alternatif lain lagi. 

Tahun hadapan juga, portfolio kerja aku bakal berubah. Mungkin agak sibuk dan perlu balik sedikit lambat daripada biasa. Mujur adikku MakTeh pulang awal sebaik tamat sesi persekolahan. Tidaklah Ummi bersendirian di rumah terlalu lama. Aku harap adik-beradik lain pula akan datang menziarah atau membawa Ummi berjalan2 pada hujung minggu. Hanya itu sahaja cara kami membantu Ummi menghilangkan kesunyian di penghujung usia ini. Moga kami diberi kesabaran dan ketabahan untuk melaluinya bersama...

Sunday, December 27, 2015

Rindu Itu...

Bismillahirrahmanirrahim...

27/12/2015. Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Sukar malah tidak dapat aku gambarkan dengan kata2. Ini kali pertama kepulangan menaiki kapal terbang sejak Abah tiada. Kali ini, pemergianku dihantar oleh Ummi, SuYah dan MakTeh sahaja. Masih terbayang2 setiap kali aku ingin pulang, Abah pasti orang paling sabar menunggu aku memasuki dewan pelepasan. Dia dan Ummi akan melambai aku sebelum pulang ke rumah. Kini tiada lagi lambaian itu. Puas aku menahan diri daripada mengalirkan air hangat tetapi tewas. Aku cuba menahan diri daripada melayan perasaan ini sedaya mungkin. Semoga Abah damai di sana...

Rindu Membawaku Ke Sini...

Bismillahirrahmanirrahim...


27/12/2015. Seawal pagi aku sudah ke sini. Menjenguk pusara Abah. Perlahan air hangat mengalir saat aku mendekatinya. Rindu itu begitu menggamit hatiku. Aku rindu segala2nya tentang Abah. Lelaki yang banyak bersabar melayan kerenah aku dan menerima aku seadanya. Ya, dia bukan seorang ayah yang sempurna tapi dia sempurna buat aku dan adik-beradik. Aku hadiahkan Yaasin buat Abah. Lama aku berteleku di situ, mengimbas kenangan2 lalu yang masih jelas di ingatanku. Aku hanya ingin mengenang yang indah2 sahaja. 

"Ya Allah, Kau lapangkanlah kubur Abahku dengan seluas2nya, peliharalah dia daripada azab kubur, tempatkanlah dia bersama orang2 yang salih dan masukkanlah dia ke dalam syurgaMu tanpa hisab."

Saturday, December 26, 2015

Pisang

Bismillahirrahmanirrahim...

26/12/2015. Hari ini aku bukan nak cerita tentang pisang tapi pisang ini menjadi asbab kepada sebuah pertemuan dengan kawan baik arwah Abah, Cikgu Sanusi. 


Petang tadi aku sebenarnya nak ke bank tapi dalam perjalanan, tiba2 aku ternampak pisang2 yang tergantung di gerai buah2an yang terletak betul2 dengan persimpangan lampu isyarat di bandar Dungun.

Apabila lampu isyarat bertukar hijau, aku terus membelok ke kiri, memasuki laluan ke gerai buah2an tersebut. Tanpa banyak soal, aku capai seikat pisang yang tergantung dan serahkan kepada penjual untuk ditimbang.

"RM7.40 kak," ujar penjual kepadaku.

Aku hanya mengangguk sambil tangan mencapai duit di dalam dompet. Entah kenapa mulut aku berat untuk berkata2. Selalunya aku ringankan mulut untuk menggenapkan sahaja jumlah belian seperti "RM7 tak boleh ke bang?", tapi hari ini hati tak tergamak berbuat demikian. Aku akur dengan jumlah yang dikenakan oleh penjual. 

Semasa aku membuat pembayaran, sebuah kereta berhenti betul2 di sebelah gerai tersebut tetapi aku tak ambil pusing siapa pemandunya. Namun sebaik aku pusingkan badan untuk melangkah keluar, aku terpandang wajah seorang yang amat aku kenali iaitu Cikgu Sanusi. 

Segera aku ucapkan salam kepada beliau dan kelihatan beliau agak terkejut menjawab salamku itu. Mungkin kerana tidak berapa cam bertemu dalam keadaan tidak dirancang sebegitu. Sebaik aku sebut nama beliau dan menyebut nama arwah Abah, serta-merta wajah beliau menguntum senyuman dan perbualan kami berlanjutan. 

Aku sebenarnya terkejut apabila diberitahu yang beliau juga baru 14 hari kehilangan anak perempuan yang pernah kami temui sewaktu mereka datang menziarahi Abah di HUKM. 

Innalillahiwainnailahirojiun...

Aku kehilangan kata2. Tidak tergambar perasaan mereka menerima ujian kehilangan anak tercinta. Terbit rasa bersalah kerana kami pernah berjanji untuk menziarahi beliau dan keluarga tetapi niat itu belum sempat ditunaikan lagi sehingga hari ini. InsyaAllah ia akan menjadi antara perkara utama yang akan dilunaskan pada tahun hadapan. 

Pertemuan tidak dirancang ini juga seolah2 menjadi jawapan terhadap kerinduan kepada arwah Abah yang akhir2 ini memenuhi ruang hatiku. Aku sedar, setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan kita juga akan menyusuli mereka. Malah pemergian mereka sebenarnya menjadi bukti nyata kepada kita yang masih diberi peluang di dunia untuk memanfaatkannya dengan sebaik mungkin kerana masanya akan tiba untuk kita pula pulang menemuiNya, Rabbul Jalil. 

Benarlah, tiada istilah kebetulan kerana segalanya sudah tersurat olehNya...