Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, July 4, 2015

Salam Ramadhan 1436H

Bismillahirrahmanirrahim...

Pejam celik pejam celik kita sudah berada di pertengahan Ramadhan.
Ramadhan pertama tanpa Abah di sisi dan satu permulaan baru buat kami sekeluarga.
Banyak yang berlaku dalam sebulan dua ini selepas ketiadaan Abah.
Aku nekad mengajak Ummi tinggal bersama aku dan adik (MakTeh).
Aku tahu hati Ummi berat meninggalkan rumah yang dibina bersama Abah tetapi aku tidak sanggup membiarkan Ummi sendirian di kampung.
Seboleh2nya biarlah sakit pening Ummi di sisi kami.
2 tahun.
Itu syarat yang aku letakkan untuk tempoh Ummi tinggal bersama kami.
Untuk membuktikan kesungguhan aku mengajak Ummi tinggal bersama, aku usahakan untuk mendapatkan kuarters di Putrajaya.
Sesuatu yang tidak pernah aku bayangkan akan aku lakukan iaitu tinggal di kuarters.
Namun begitulah cantiknya aturan Allah.
Tanpa sebarang perancangan, rupanya aku pernah membuat permohonan menduduki kuarters ketika mula-mula memasuki perkhidmatan.
Saja-saja dan suka-suka.
Ternyata setiap yang berlaku itu bersebab.
Peluang itu aku gunakan sekarang.
Selepas beberapa kali turun naik pejabat berkenaan, membuat rayuan dengan bersungguh-sungguh, akhirnya permohonan aku diluluskan 2 minggu sebelum Ramadhan bermula.
Maha Suci Allah Yang Maha Mendengar rintihan hamba-hambaNya.

Usai mendapat tawaran memasuki kuarters, aku terus bergegas menguruskan segala urusan pembayaran deposit berkaitan agar dapat mengambil kunci rumah dengan segera.
Dalam tempoh 2 minggu itu juga, aku usahakan untuk berpindah masuk ke kuarters.
Jenuh menguruskan hal perpindahan dari rumah sendiri dan rumah MakTeh ke Putrajaya.
Penat tetapi ia berbaloi apabila melihat Ummi yang selesa memiliki ruang sendiri.
Sengaja aku minta Ummi menduduki bilik utama agar Ummi tidak merasa menumpang di rumah siapa-siapa,
Kami tinggal di sini bersama untuk tempoh tertentu sahaja iaitu sehingga adikku yang kini melanjutkan pengajian PhD di Sydney tamat pengajian dan meneruskan tugas di UNISZA.
Waktu itu aku akan berasa lebih lega jika Ummi ingin tinggal di kampung kerana sudah ada seorang anak yang tinggal dekat dan mudah untuk menjenguk Ummi pada bila-bila masa.

Urusan perpindahan sememangnya memenatkan.
Sehingga hari ini, masih ada sebahagian barangan yang belum habis dikemas.
Kini rutin Ramadhanku juga turut berubah.
Jika beberapa tahun sebelum ini, Masjid Putra adalah lokasi tetap untuk berbuka puasa, kini aku hanya berbuka puasa di rumah sahaja bersama Ummi dan MakTeh.
Usai solat Maghrib, kami akan bertolak ke Masjid Putra untuk solat Isyak dan Terawih.
Pada awalnya, agak janggal juga untuk aku menyesuaikan diri dengan perubahan ini tetapi aku akhirnya sedar bahawa setiap dari kami telah mengorbankan rutin masing-masing.
Ummi dan MakTeh juga telah mengorbankan rutin mereka sebagaimana aku yang terpaksa mengorbankan rutin tahunan berbuka puasa di Masjid Putra.
Agak selesa juga bertolak ke masjid selepas solat Maghrib di rumah kerana jarak perjalanan hanya memakan masa selama 5 minit sahaja.

Jujur aku katakan yang aku tidak tahu bagaimana untuk menghadapi hari raya tahun ini tanpa Abah.
Janggal!
Namun itulah realiti kehidupan yang harus kami depani.
Kehidupan harus diteruskan meskipun Abah tiada lagi di sisi.
Akan kami cuba sedaya upaya untuk menjaga amanah yang Abah tinggalkan ini iaitu Ummi dengan sebaik mungkin.
InsyaAllah!