Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, April 11, 2015

Tentang Abah: Kau Pergi Jua

Bismillahirrahmanirrahim...

(Teratak Bakarians)

Akhirnya aku punya kekuatan untuk merakamkan saat2 akhir Abah bersama kami. 
Peristiwa yang pasti akan aku kenang seumur hidupku.

5 April 2015. 
Sudah 2 malam aku tidur sebilik dengan Abah, di atas kerusi malas. 
Entah mengapa hati kian merasa sangat tidak sanggup untuk meninggalkan Abah sendirian berlama2. 
Bimbang jika Abah pergi tanpa kami di sisi.
Sungguh hati aku jadi tidak senang melihat kemerosotan tahap kesihatan Abah apabila cecair hitam pekat yang sebelum ini kami sangka sudah berhenti keluar daripada perut Abah, kembali mengalir dalam kuantiti yang banyak. 
Paling merisaukan apabila Abah tidak boleh diberi makan atau minum sehingga cecair itu berhenti keluar.
Aku merasa sedikit bersalah kerana sehari sebelum cecair itu kembali keluar, kami ada memberi sedikit susu kepada Abah.
Niat kami untuk memberi sedikit tenaga kepada Abah kerana Abah hanya bergantung kepada air semata2.
Aku sangka cecair hitam itu terhasil akibat daripada susu itu. Wallahua'lam. 
Tidurku tidak lena.
Sekejap2 aku bangun, merenung Abah.
Aku kembali merebahkan kepala apabila melihat dada Abah masih bergerak turun naik.
Usai solat Subuh dan ia memang rutin setiap kali selesai solat fardhu, kami bergilir2 membacakan yaasin untuk Abah.
Kemudian kami teruskan dengan rutin mengelap badan, menukar pampers, menyedut kahak dan menggerakkan kaki dan tangan Abah. 
Paling menyedihkan apabila sudah ada kesan luka pada badan Abah kerana terlalu lama berbaring.
Luka itu sebenarnya mula terbentuk sewaktu Abah berada di ICU tempohari.


Sudah masuk hari ke4 Abah demam. 
Suhu badan kekal pada 37 darjah celsius. 
Merisaukan dan kami memberi ubat seperti yang diajar oleh staf HOSPIS. 
Namun demam Abah nampaknya masih belum kebah.
Kami tampal pelekat koolfever dan selangselikan dengan kain basah pada dahi Abah.
Begitu payah aku lihat Abah bertarung dengan kesakitan yang hanya Abah tahu peritnya.

6 April 2015. 
Seperti biasa, sebaik bangkit dari tidur aku terus menjenguk Abah.
Aku perhatikan dahi Abah basah kuyup.
Berpeluh2.
Aku sapu dahi Abah dengan kain basah.
Namun peluh kecil masih lagi memercik keluar dari dahi Abah. 
Terdetik rasa kurang sedap di hati tapi aku diamkan sahaja.
Dada Abah juga berombak dan kepayahan untuk bernafas semakin ketara pada wajah Abah. 
Air hangat mula bergenang di kelopak mata melihat kesakitan yang ditanggung Abah. 
Aku usap perlahan dada Abah, berharap semoga kesakitan itu akan segera menjauh dan Abah kembali sembuh.
Terasa jelas tulang2 rusuk Abah di telapak tanganku. 
Jauh benar beza Abah yang sekarang dan 2 bulan yang lalu. 

AllahuAkbar! AllahuAkbar! 
Aku terus meluru ke bilik Abah usai menunaikan solat Subuh.
Aku lihat BaMa sedang bertakbir di telinga Abah.
Sungguh aku cuak!
Kata BaMa, nafas Abah turun naik dengan laju dan seperti sesak nafas.
BaMa minta aku sedut kahak Abah tapi kering. 
MakTeh pula mengusap2 kaki Abah tapi kaki Abah kelihatan sudah kekuningan.
Longlai, tidak sama seperti sebelum ini. 
Perasaan kurang senang semakin bertambah.
Ummi agak berat hati untuk meneruskan hasrat ke klinik tapi aku bertegas agar Ummi pergi juga.
Aku bimbang jika Ummi pula jatuh sakit jika bertangguh lagi iaitu semenjak Abah jatuh sakit. 
Yakinlah bahawa ini semua ketentuanNya. 
Jika Dia mentakdirkan kami sempat bersama Abah di saat2 akhir, maka ia akan berlaku namun jika Dia sudah mentakdirkan sebaliknya, apa daya kita sebagai hamba untuk menidakkan percaturannya. 

Lalu BaMa dan MakTeh membawa Ummi ke klinik kesihatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Hanya tinggal aku sendirian menemani Abah di rumah. 
Aku dekatkan kerusi dengan katil Abah.
Aku turunkan palang katil.
Aku pegang tangan Abah, biar Abah tahu yang kami sentiasa ada di sisinya, setia menemaninya sampai bila2.
Aku bacakan surah Al-Fatihah dan Yaasin berulang2 untuk Abah. 
Peluh kecil masih berterusan memercik di dahi Abah dan aku mengelapnya lagi. 
Aku tenung dalam2 wajah Abah. 
Berdoa setulus hati agar Allah mempermudahkan urusan Abah.
Kasihanilah dia yang telah banyak berkorban membesarkan kami selama ini. 
Aku bisikkan kalimah syahadah berulang2 kali pada telinga Abah. 
Sungguh ia sangat sukar untuk dilakukan.
Terasa sebal dada menahan sebak.
Namun aku harus melakukannya.
Naluri aku cukup kuat mengatakan yang aku harus melafazkannya kepada Abah. 

Jam 12.30 t/hari, mereka pulang dari hospital.
Abah tiba2 diserang sawan.
Allahurabbi! 
Jadikanlah segala kesakitan yang Abah tanggung sebagai penghapus dosa2nya selama ini. 
Kami picit2 anggota badan Abah, usap2 kepalanya agar tenang. 
Alhamdulillah sawan Abah mereda dan hilang. 

Usai solat Zohor, aku menjenguk Abah lagi. 
Kelihatan air mata bertakung pada matanya.
Aku ambil kapas basah, melalukan pada mata Abah. 
Perlahan2 Abah menutup matanya dan kembali membukanya.
Aku baru perasan.
Sudah 2 hari mata Abah tidak benar2 tertutup rapat.
Tidak seperti biasa, mata Abah tertutup rapat semasa sedang tidur.

Kemudian Ummi, MakTeh dan BaMa pula bergilir2 menjenguk Abah. 
Ia rutin kami. 
Yakin dengan keadaan Abah yang kembali stabil, BaMa memutuskan untuk menziarah abang iparnya di wad HKL akibat demam denggi. 
Tinggal aku, Ummi dan MakTeh menemani Abah. 

Azan Asar berkumandang.
Aku jenguk Abah sebelum ke bilik air mengambil wuduk.
Aku usap perlahan dada Abah.

Usai solat Asar, aku berehat sebentar di atas sofa.
Aku merasa sangat penat hari ini.
Niatnya selepas ini ingin membacakan yaasin lagi buat Abah.
Ummi pula mengambil peluang menunaikan solat Asar.

"Kak Imah! Kak Imah! Mari tengok Abah ni!"
Jerit Ummi dalam esak tangis.
Aku terus melompat dari sofa, meluru ke bilik Abah.
Kelihatan mata Abah mendongak ke atas.
Aku kuatkan semangat untuk membisikkan syahadah di telinga Abah sementara Ummi memicit2 tangan Abah. 

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ 

Perlahan2 aku tutup mata Abah.
Membetulkan kedudukan tangan dan kaki Abah dengan bantuan Ummi dan MakTeh.
Badan Abah masih panas tapi tiada lagi pergerakan dada Abah turun naik seperti sebelum ini.
Fikiran aku kosong buat seketika.
Lalu aku dan MakTeh bergilir2 menghubungi adik-beradik yang lain memaklumkan pemergian Abah.
BaMa meminta bantuan kenalannya untuk membantu kami menghubungi klinik kesihatan untuk mengesahkan keadaan Abah. 
Airmata aku tumpah juga sewaktu bercakap dengan abang2.
Sebelum ini seboleh mungkin aku menahannya agar aku tidak kelihatan lemah di depan Ummi.
Aku perlu kuat demi Ummi.

BaMa dan PakSoo tiba disusuli dengan ketibaan staf klinik kesihatan.
Saat itu juga azan Maghrib berkumandang dan aku ke dapur, mengambil sunat berbuka puasa.
Jujurnya pada waktu itu, aku jadi seperti masih belum menerima hakikat sepenuhnya yang Abah sudah tiada.
Aku tunaikan solat Maghrib dan kemudian aku dengar tangisan Ummi yang agak kuat saat pegawai perubatan membuat pengesahan yang Abah sudah kembali ke rahmatullah. 
BaMa memeluk Ummi, cuba untuk menenangkannya.
Agak lama juga aku berteleku di sejadah, menghadam suasana yang sedang aku lalui ini. 
Mimpikah ini? 
Namun kemudian aku insaf dan redha.
Inilah janji Allah bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati. 
Pulang kembali menemui Yang Maha Pencipta.

Ummi sudah kembali tenang.
Hajat Ummi agar Abah dikebumikan di kampung halaman.
BaMa menghubungi pihak masjid yang menghadiri majlis bacaan yaasin sebelum ini untuk membantu menguruskan jenazah Abah.
Kami memutuskan untuk memandi dan menyembahyangkan Abah di sini sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung. 
Syukur urusan Abah telah dipermudahkanNya.
Saat ini aku melihat begitu banyak pertolongan Allah yang datang dari pelbagai sudut. 
Ketua PakSoo dan rakan2 pejabatnya datang menziarah dan telah menawarkan khidmat van jenazah Masjid Bukit Aman, PDRM untuk urusan membawa pulang jenazah Abah.
Sekitar jam10 malam, jenazah Abah dibawa ke masjid berdekatan, dimandikan dan disembahyangkan di situ.
Syukur kerana Abah dimandi dan disembahyangkan oleh anak2 lelakinya di samping penduduk setempat yang lain.


Jam 12.30 malam, kami memulakan perjalanan untuk menyempurnakan tanggungjawab kami sebagai anak buat kali terakhir untuk Abah.
Aku dan MakTeh menemani Abah di dalam van jenazah di sepanjang perjalanan. 
Dengan kelajuan 80 km/j dan beberapa kali pit-stop kerana mengantuk, perjalanan memakan masa selama 7 jam dan kami tiba di halaman rumah pada jam 8.30 pagi. 
Kelihatan sudah ramai saudara mara dan rakan taulan memenuhi rumah kami.
Sayu hati melihat kehadiran mereka, menyambut ketibaan jenazah Abah.
Keranda Abah diusung dan diletakkan di ruang tamu untuk memberi peluang kepada saudara mara dan kenalan untuk melihat wajah Abah untuk kali terakhir.
Malah mereka turut menunaikan solat jenazah sekali lagi untuk Abah. 
Sesak sehingga tidak muat ruang tamu rumah kami.
Pada masa yang sama, PakSoo pergi ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan permit mengubur.
Silap kami apabila tidak terus membuat laporan kematian di balai polis berhampiran di Rawang, lokasi arwah meninggal. 
Akhirnya kebenaran secara verbal diberi melalui PakSoo untuk meneruskan pengebumian Abah tanpa menunggu ketibaan surat kebenaran daripada balai polis di Rawang.


Sebesar2 penghormatan bagi insan bergelar ibu bapa apabila jenazahnya disambut oleh anak sendiri saat dimasukkan ke liang lahad.
Saat ini juga aku melihat begitu ramai insan2 yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Abah sehinggakan hanya BaMa seorang sahaja daripada anak2 lelaki Abah yang sempat masuk ke liang untuk menyambut jenazah Abah sementara yang lain adalah insan2 yang pernah rapat dengan Abah semasa hayatnya.


Talkin dibacakan oleh kawan baik Abah sendiri yang kami panggil Ayah Ku Satar. 
Kedengaran nada sayu malah bacaan doa menjadi tersekat2 saat menyebut nama rakan baik yang kini telah kembali kepada asal.


Damailah Abah di sana, pulang menemui Tuhan Yang Maha Pencipta.
Dari tanah kita datang, kepada tanah jua kita akan dikembalikan.
Perpisahan ini hanyalah sementara.
Semoga kita akan kembali bersua di jannatul firdaus saat tiba masanya kelak.
InsyaAllah akan kami jaga amanah Abah iaitu Ummi dengan sebaik mungkin dan kami juga akan bakal menyusul Abah kembali kepadaNya, pada saat dan waktu yang telah ditentukanNya, tidak tercepat atau terlambat meski sesaat.

No comments: