Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, April 11, 2015

Tentang Abah: Baru Kini Aku Mengerti

Bismillahirrahmanirrahim...

(R&R Gambang)

11 April 2014. 
Aku dan AbahUmmi tiba di bumi Makkah. 
Hari pertama kami di sana selepas 6 hari ziarah di bumi Madinah. 
Masih aku ingat dengan jelas kejadian yang berlaku sewaktu kami sedang menyempurnakan umrah yang pertama.
Kami tiba di bumi Makkah sekitar lepas jam 10 malam (waktu Makkah).
Oleh kerana kami sudah solat jamak sewaktu dalam perjalanan, kami terus dibawa oleh mutawif untuk menyempurnakan umrah sebaik selesai urusan daftar masuk ke hotel.
Usai solat sunat, Abah meminta izin daripada mutawif untuk menyempurnakan umrah secara terpisah daripada kumpulan.
Kunjungan kami pada kali ini nyata berbeza daripada kunjungan terdahulu.
Kali ini laluan ke tempat saie telah dilencongkan akibat proses pembesaran masjid yang sedang berjalan dan tingkat atas saie juga telah siap. 
Kami memulakan tawaf mengelilingi kaabah dengan Ummi memaut erat lengan Abah sementara aku membuntuti mereka daripada belakang.
Sesekali Abah berpusing ke belakang untuk memastikan yang aku tidak terpisah daripada mereka.
Apabila diimbas kembali, aku perasan yang Abah benar2 teruja dan gembira melakukannya sehingga jelas terpapar di wajahnya. 
Aku pula cuba untuk fokus kepada ibadah yang sedang dijalankan dan membiarkan sahaja Abah menikmati kegembiraannya.
Aku meneruskan pusingan sehingga selesai yang ke7 sementara Abah ingin menambah 1 pusingan lagi atas sebabnya yang tersendiri.
Aku segera menunaikan solat sunat tawaf dan menunggu AbahUmmi di laluan menuju ke tempat saie. 
Hampir setengah jam menunggu namun kelibat AbahUmmi masih belum kelihatan.
Hati aku mula resah bercampur rasa bersalah yang amat sangat.
Aku sepatutnya menemani mereka berdua menamatkan pusingan terakhir dan kemudian sama2 menuju ke tempat saie. 
Namun aku yakin ini semua aturan yang telah ditentukanNya.
Lebih2 lagi kami berada di tempat paling suci di muka bumi ini.
Takkanlah Allah tidak menjaga hamba2Nya.
Aku cuba memujuk hati sendiri. 
Aku bergerak lagi, hampir kepada laluan ke tempat saie. 
Menunggu lagi sehingga akhirnya kumpulan yang kami tinggalkan bersama mutawif tadi pula sedang menuju ke tempat saie. 
Sedangkan aku masih menunggu kemunculan AbahUmmi.
Allah benar2 ingin menduga kami.
Saat itu dengan penuh rendah diri dan rasa kerdil, aku mohon keampunan daripada Yang Maha Berkuasa, temukanlah semula aku dengan AbahUmmi.
Hampir 2 jam aku berdiri di situ, memerhati satu persatu wajah yang lalu di hadapan aku, mengharapkan agar muncul wajah AbahUmmi.
Hampa.
Akhirnya aku putuskan untuk meneruskan ibadah saie tanpa AbahUmmi dan aku serahkan segalanya kepada Allah jua.
Sepanjang bersaie, mata aku liar memandang setiap jemaah yang berselisih, masih mengharapkan untuk bersua AbahUmmi. 
Pada pusingan yang ke6, aku terdengar suara memanggil nama aku,

"Kak Imah! Kak Imah! Kak Imah!"

Aku toleh dan serta merta air mata mengalir saat melihat Ummi duduk bersandar ditemani Kak Zahrah, sahabat jemaah yang sama2 dalam kumpulan kami.
Hiba hati aku melihat Ummi berada dalam keadaan sebegitu.
Terasa betapa besarnya dosa aku membuat seorang ibu mengalirkan airmata. 
Tapi aku kembali panik.
Mana Abah?
AllahuAkbar! 
Kata Ummi, sebaik selesai pusingan ke7, Ummi memberitahu Abah yang dia rasa haus. 
Abah lantas meminta Ummi menunggu di sebatang tiang sementara dia pergi mendapatkan air zamzam. 
Sekelip mata, Ummi jadi keliru melihat lautan manusia berpakaian putih dan tidak dapat membezakan yang mana satu Abah.
Semua kelihatan sama di matanya.
Ummi memutuskan untuk meneruskan ibadah saie sendirian apabila Abah tidak muncul2 dan dia tidak perasan aku yang berdiri menunggu mereka di salah satu tiang dalam laluan menuju saie.
Sebaik selesai tahallul, Ummi memutuskan untuk menunggu di laluan saie dengan harapan akan bertembung dengan aku atau Abah.
Ternyata telahan seorang ibu tidak pernah silap.
Ummi ternampak aku yang sedang menghabiskan laluan ke Marwah. 
Aku mohon izin untuk menyempurnakan laluan terakhir sambil menyeka air mata kekesalan kerana tidak sama2 menemani mereka menghabiskan pusingan tawaf. 
Semua ini pasti tidak berlaku jika aku berbuat begitu. 
Usai tahallul dan solat sunat, aku kembali ke sisi Ummi yang masih ditemani Kak Zahrah. 
Ummi kelihatan semakin tenang lalu aku minta izin untuk naik ke tempat saie di tingkat 1 untuk mencari Abah. 
Pencarian aku gagal. 
Oleh kerana waktu Subuh juga sudah semakin hampir, kami memutuskan untuk pulang ke hotel selepas solat Subuh dan berharap untuk bertemu Abah di sana. 

Usai solat Subuh, kami berjalan keluar daripada masjid tetapi ada satu masalah pula.
Selipar kami dipegang oleh Abah.
Satu2 pilihan yang ada adalah berjalan pulang dengan memakai stokin sahaja kerana kedai masih belum dibuka.
Sebelum itu, kami tawakal menunggu Abah di kawasan hadapan laluan yang sering dilalui oleh kami iaitu berhampiran Bank Al-Rajhi dengan harapan akan bertembung dengan Abah.
Sehingga jam 8 pagi, kelibat Abah masih belum muncul.
Aku jadi mati akal.
Jika aku berseorangan, pasti aku redah sahaja pulang berkaki ayam tetapi aku simpati kepada Ummi kerana laluannya berbatu batan dan kotor.
Akhirnya, aku minta izin Ummi untuk mencuba nasib jika ada kedai yang menjual selipar di kawasan berhampiran.
Aku minta Ummi menunggu di situ sahaja sementara aku pergi membeli selipar.
Semasa kunjungan pertama dahulu, memang banyak peniaga jalanan yang meletakkan barangan di atas kain sahaja tetapi kali ini kelibat mereka langsung tidak kelihatan.
Aku berdoa mohon pertolongan Allah untuk keluar daripada permasalahan ini.

Tiba2 aku terpandang seorang lelaki berjubah yang raut wajahnya kelihatan seperti orang Melayu atau setidak2nya orang Indonesia.
Aku beranikan diri untuk menegur dia kerana terpapar ketulusan di wajahnya dan ia membuatkan aku yakin yang dia boleh membantu aku yang berada dalam kebuntuan.

"Assalamualaikum ustaz, boleh bantu saya?" soalku memberanikan diri bertanya kepada lelaki tersebut.

"Waalaikumussalam," jawabnya sambil memandang aku penuh kehairanan.

"Ustaz tahu tak kat mana saya boleh beli selipar di sini?" tanya aku lagi menyatakan tujuan menegur dia.

"Dulu memang banyak peniaga di sini tetapi sekarang dah tak ada selepas projek pembesaran masjid dibuat," jelas ustaz itu.

"Tak apa, mari kita cuba cari di sebelah sana kalau ada kedai yang jual," ujar 'ustaz' itu seraya terus melangkah menuju ke destinasi yang dimaksudkannya.

Aku terus mengekori 'ustaz' itu tanpa banyak soal.
Yang bermain dalam kepala pada waktu itu hanyalah untuk membeli selipar dan segera kembali kepada Ummi yang aku tinggalkan sendirian.
Walang hati meninggalkan Ummi di situ hanya Allah yang tahu tapi aku kasihankan Ummi yang sudah kepenatan dan belum sempat berehat sejak kami tiba pada malam tadi.

"Anti datang dengan siapa?" soal 'ustaz' itu sambil mata melilau mencari kedai yang menjual selipar.

"Saya datang dengan mak ayah tapi kami terpisah. Selipar kami ayah yang pegang," terang aku kepada 'ustaz' itu.

"Mak ada di mana?" soal 'ustaz' lagi.

"Saya tinggalkan mak di sebelah sana sekejap sementara saya belikan selipar untuk kami," jawab aku dengan jujur.

Serta-merta air muka 'ustaz' itu berubah.

"AllahuAkbar! Jom kita patah balik sekarang. Mana boleh tinggalkan mak seorang diri. Tak boleh. Nanti sayu hati dia. Apa2 kita buat pun mak mesti nombor 1. Selipar tu tak penting. Mak lebih penting. Jom!" tegas 'ustaz' kepada aku sambil kaki berpatah balik ke tempat aku tinggalkan Ummi.

Air hangat mengalir perlahan di pelupuk mata aku.
Betapa tanpa sedar aku telah 'melukakan' hati Ummi.
Dalam perjalanan, sempat lagi 'ustaz' menjelaskan yang dia sebenarnya pemilik sebuah pondok di Pattani dan singgah di Makkah untuk menziarah beberapa orang sahabat di situ sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

"Makcik, saya Razali dari Pattani. Macam inilah, sekarang baliklah dulu ke hotel. Selipar itu tak penting," ujar 'ustaz' kepada kami sebaik tiba di lokasi Ummi menunggu.

Kami akur dengan nasihat 'ustaz' dan nekad untuk pulang berstokin sahaja.
Namun kisah itu tidak tamat di situ sahaja.
Dalam perjalanan, kami telah dikepung oleh 4 orang wanita berjubah dan bertudung labuh yang meminta sedekah.
Aku menolak baik permintaan mereka tetapi mereka menjadi agresif, ingin merampas beg yang berada di badan kami.
Dalam keadaan letih dan lesu begitu ditambah pula dengan gangguan yang kurang ajar, aku jadi bengang dan dengan sekuat hati menjerkah mereka.
Segera aku paut tangan Ummi dan berlalu meninggalkan mereka yang terkejut dengan jerkahan aku itu.
Syukur kerana mereka tidak berjaya 'merompak' kami walaupun berjaya membuka zip beg kami.

Melihat keletihan Ummi, aku berhenti sekejap membelikan air dan kemudiannya selipar untuk kami.
Tiba di satu selekoh, kami bertembung dengan Abah yang kelihatan tergesa-gesa menuju ke arah masjid.

"AllahuAkbar!" Ucap Abah sambil mendudukkan badan di sebuah bangku berhampiran dan tunduk kelegaan.

Aku perasan ada air jernih mengalir di wajah Abah.
Ummi pula mendekati Abah sambil mengurut2 bahu Abah yang cuba menahan emosi dirinya.
Sengaja aku menjarakkan diri sedikit daripada mereka untuk memberi ruang kepada mereka berdua.
Saat itu aku merasa sangat berdosa membuatkan hati Abah resah dengan peristiwa perpisahan kami sebentar tadi.
Rupa2nya Abah berulang-alik turun naik di dalam masjid mencari kami.
Abah sanggup tidak sarapan dan berpatah balik ke masjid selepas menyalin kain ihram untuk meneruskan pencarian.
Di tangan Abah tergenggam plastik yang mengandungi selipar kami.

Apabila suasana sudah reda, aku lihat Abah memaut erat lengan Ummi seolah2 tidak mahu melepaskannya lagi.
Aku berjalan di belakang mereka sambil menahan diri daripada terus mengalirkan air mata.
Sungguh aku merasa sangat sebal melihat kasih sayang antara mereka yang terkadang mengelirukan aku.
Baru aku sedar yang itulah erti kasih, cinta dan sayang bagi mereka.
Biar apapun yang berlaku, hanya mereka berdua yang faham jalinan kasih yang menautkan mereka berdua selama ini.
Hanya aku yang belum memahaminya dek kecetekan kefahaman tentang kehidupan.


11 April 2015.
Kini Abah sudah kembali kepada Yang Maha Pencipta.
Seumur hidup, Ummi sentiasa di sisi menemani Abah melalui kehidupan ini.
Malah 30 Julai 2015 ini genaplah 44 tahun usia perkahwinan mereka.
Saat Abah jatuh sakit, Ummi tidak pernah meninggalkan sisi Abah meskipun dia sendiri tidak berapa sihat.
Tetap setia hingga akhir hayat.
Jauh aku merenung akan laluan yang telah ditentukanNya ini.
Betapa ia penuh dengan pengajaran dan hikmah untuk diamati dan difahami.
Kini menjaga Ummi adalah matlamat hidupku.
Itulah ibrah daripada kejadian yang berlaku pada tarikh yang sama pada tahun lepas.
Utamakan ibu walau dalam apa jua keadaan.
Dia pintu menuju syurga.

Jika ini laluan yang telah Allah aturkan untuk aku, aku redha kerana jalan menuju syurga itu pelbagai.
Aku tidak akan meninggalkan Ummi tinggal sendirian di kampung.
Kini giliran aku pula meneruskan tanggungjawab menjaga Ummi dengan bantuan serta sokongan adik-beradik yang lain.
Semoga Abah tenang di sana.
Selesai sudah tugas Abah di dunia ini.
Semoga Allah menerima segala pengorbanan Abah menjaga kami selama ini dan kami bakal bersua kembali di jannatul firdaus.

No comments: