Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, March 30, 2015

Tentang Abah: Discaj

Bismillahirrahmanirrahim...

(Teratak CK)

Baru tiba di rumah. 
Penat tak terkata.
Rasa macam mahu tidur 2 hari berturut2. Huhu...
Pun begitu, coretan ini harus diteruskan sementara rasa untuk menulis masih segar. 

Selesai juga urusan membawa pulang Abah ke rumah abang sulung, BaMa, di Rawang.
Semua urusan di HUKM diuruskan oleh aku sambil ditemani oleh Ummi dan MakTeh. 
Satu pengalaman baru buat aku termasuk menguruskan hal logistik iaitu ambulan daripada HUKM ke Rawang.

Sejujurnya hati aku berbelah-bagi sama ada untuk membawa pulang Abah atau tidak kerana hasil pertemuan bersama doktor pada pagi tadi, dia tidak menggalakkan kami untuk berbuat demikian.
Aku tanya apa keputusan Ummi. 
Ummi akhirnya bersuara menyatakan hasrat agar Abah dibawa pulang. 
Aku hubungi adik-beradik yang lain memaklumkan keputusan Ummi dan mereka turut akur dengan kehendak Ummi.
Kemudian aku ke surau.
Bertanya kepadaNya sama ada tindakanku ini wajar atau tidak.
Jika wajar, permudahkanlah...

Syukur apabila segala urusan berjalan lancar dan slip kebenaran discaj diterima sekitar jam 4 petang. 
Lega apabila tiada sebarang bayaran perlu dibuat kerana menggunapakai GL aku. 


Syukur kerana laluan Abah dipermudahkanNya.
Alhamdulillah!
Urusan ambulan juga memuaskan hati kami malah mereka tiba lebih awal daripada temujanji asal iaitu jam 6 petang. 


Sempat aku perhatikan yang Abah membuka kedua2 belah matanya sewaktu dibawa masuk ke dalam ambulan.
Sebelum ini Abah hanya membuka sedikit mata sebelah kanan sahaja. 
Terdetik di hatiku, adakah mungkin ini tanda Abah gembira kerana hasratnya untuk keluar daripada hospital akhirnya tercapai? 
Hujan mula turun sewaktu kami meninggalkan HUKM dan semakin lebat di sepanjang perjalanan. 
Namun aku puji kecekapan pemandu ambulan yang cekap memboloskan ambulan daripada kesesakan jalanraya sehingga perjalanan hanya memakan masa selama 45 minit sahaja.



Pagi esok jururawat sukarelawan HOSPIS akan datang untuk menjenguk keadaan Abah. 
Kami perlu mula mempelajari untuk menguruskan Abah sepenuhnya di rumah.
Sedikit sebanyak kemahiran sudah kami praktikkan sewaktu Abah berada di dalam wad dengan bantuan jururawat.


Kemudian aku dan MakTeh dihantar oleh PakSoo kembali ke HUKM untuk mengambil kereta kami yang ditinggalkan di situ semenjak siang tadi.
Penatnya hanya Allah yang tahu.
Kadang2 rasa tidak tertanggung tetapi cepat2 pujuk hati bahawa Allah tidak akan memberikan ujian yang tidak mampu ditanggung oleh hambaNya. 

Wallahua'lam...

Sunday, March 29, 2015

Tentang Abah: Tanggungjawab

Bismillahirrahmanirrahim...

(Wad 6E, HUKM)

Rutin pagi Ahad ku kini berubah sejak Abah dimasukkan ke HUKM. 
Jika dulu pada waktu begini aku pasti sedang menghabiskan pusingan larian mengelilingi Tasik Sri Permaisuri.
Memang ironi bila difikir2kan.
Jika dulu tempat ini aku kunjungi hanya pada setiap hujung minggu, kini setiap hari aku perlu ke sini. 
Selama mana Abah masih berada di sini, 
aku akan setia menggagahkan diri datang ke sini.

Sukar? 
Tidak aku nafikan sama sekali.
Namun inilah jalan yang sudah tertulis buat kami.
Hikmahnya? Wallahua'lam...

Teringat aku kepada tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Amin.
Kata beliau, untuk menjadi kuat, beranikan diri untuk mengambil tanggungjawab dan mujahadah dalam melakukannya.
InsyaAllah, kekuatan akan timbul hasil daripada mujahadah itu.
Mendalam dan aku merasakan ia bukan untuk situasi yang sedang aku lalui sekarang sahaja tetapi untuk seluruh perjalanan kehidupan ini juga. 

Pagi ini doktor ingin berjumpa dengan kami untuk menerangkan tentang keadaan Abah. 
Cadangan untuk membawa pulang Abah pada hari ini nampaknya perlu ditangguhkan kepada hari lain kerana keadaan Abah yang agak kurang baik.
Abah tiba2 demam panas pula dan mengalami sedikit pendarahan di dalam perut. 
Doktor menyarankan agar Abah dibenarkan keluar hanya apabila demam telah berkurangan. 
Kami akur kerana bimbang ia berlarutan dan menimbulkan komplikasi lain jika tidak dirawat lebih awal. 
Pasti ada hikmah di sebalik susun atur perjalanan yang telah ditetapkanNya ini.

Friday, March 27, 2015

Tentang Abah: HOSPIS

Bismillahirrahmanirrahim...

26 Mac 2015.

Syukur kerana urusan kami membuat persiapan untuk membawa pulang Abah telah dipermudahkanNya jua.
Awalnya kami memang bercadang untuk membeli sendiri segala kelengkapan yang perlu untuk digunakan oleh Abah kelak.
Lega apabila pihak HUKM telah merujuk kes Abah kepada sebuah NGO dikenali sebagai HOSPIS. 
Kami boleh meminjam peralatan2 seperti katil, ripple mattress, penyedut kahak dan mesin oksigen daripada HOSPIS secara percuma
Pihak HOSPIS pula memang sangat membantu dan memberi kerjasama yang baik kepada kami. 
Kes Abah telah dirujuk kepada mereka pada hari Rabu dan pagi Khamis ini mereka telah menghubungi aku untuk membuat pengesahan senarai keperluan barangan dan tarikh pengambilan.
Kami diminta untuk menguruskan sendiri urusan pengangkutan dan Alhamdulillah urusan tersebut juga telah dipermudahkanNya juga. 
Malah aku turut dihubungi oleh jururawat yang menjadi sukarelawan HOSPIS untuk mengatur jadual lawatan ke rumah. 
Tiada kata lain yang mampu aku ucapkan kecuali Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! 


Petang tadi aku dan PakSoo menjejak kedudukan HOSPIS untuk memudahkan urusan pengangkutan pada hari Jumaat.
Rupa2nya aku memang pernah ternampak bangunan ini kerana ia terletak dekat benar dengan Masjid Tun Abdul Aziz dan Digital Mall di Seksyen 14, Petaling Jaya.



Kunjungan kami nyata tidak sia2 kerana dimaklumkan oleh petugas HOSPIS bahawa mesin oksigen agak sensitif kepada hentakan kuat dan tidak disarankan untuk dibawa di dalam lori.
Tanpa banyak soal, kami terus memasukkannya ke dalam kereta selepas diberi penerangan tentang cara penggunaannya oleh staf tersebut.
Terkejut juga apabila melihat harga mesin tersebut di pasaran adalah RM5000.
Alhamdulillah! 


PakSoo tersenyum lebar di samping mesin oksigen yang akan digunakan oleh Abah kelak. 


Beginilah keadaan mesin tersebut yang dimuatkan di dalam kereta aku. 
Lucu pun ada juga melihat cara PakSoo memasang tali pinggang keledar padanya. 

Jujur aku memang tidak pernah tahu tentang kewujudan NGO ini sehinggalah dimaklumkan oleh sahabat yang bertugas sebagai doktor di HUKM.
Sengaja aku war2 dan kongsikan tentang kewujudan NGO ini di blog sebagai panduan dan rujukan kepada sesiapa yang turut berdepan dengan ujian seperti kami juga.
Sesungguhnya sistem sokongan baik seperti ini sangat2 meringankan beban emosi dan juga kewangan keluarga pesakit.
Bayangkan jumlah kos yang boleh kami jimatkan dan salurkan kepada keperluan untuk membeli barang2 keperluan lain untuk Abah.

Besok urusan penghantaran barangan lain termasuk katil ke rumah abang di Rawang akan cuba kami sempurnakan dengan sesegera mungkin demi keselesaan Abah apabila dibawa pulang kelak. 

Alhamdulillah!

Wednesday, March 25, 2015

Tentang Abah: Luahan Rasa

Bismillahirrahmanirrahim...

(Teratak CK)

Jalan menuju syurga itu pelbagai.
Jika ini jalan yang tertulis untukku, Kau redhakanlah hatiku ini dengan ketentuan-Mu...

Tentang Abah: Luahan Rasa

Bismillahirrahmanirrahim...

(Surau Ibnu Sina, HUKM)

Satu perkara yang cukup menyentuh hatiku adalah apabila melihat begitu banyak bentuk2 pertolongan yang diterima sama ada daripada rakan2 ataupun insan2 yang baru dikenali. 

Pertolongan dalam pelbagai bentuk yang mempermudahkan laluan ujian yang sedang kami lalui ini.

Aku yakin semua ini berlaku dengan izinNya jua dan benarlah bahawa pertolongan Allah itu sangat dekat.

Kekadang aku merasa sangat malu kerana aku tahu aku ini pendosa namun rahmatNya tidak pernah putus menghujani hidup ini.

Sehingga aku terfikir, kebaikan apakah yang telah aku lakukan sehingga pertolongan Allah tidak pernah putus diterima di saat kami berdepan waktu2 sukar begini. 

Sungguh aku rasa sangat kerdil dan selemah2 manusia. 

Aku dan adik-beradik masih menunggu urusan Abah untuk didiscajkan selesai. 
Banyak perkara yang perlu disediakan sebelum kami boleh membawa Abah pulang. 

Robbi yassir wala tua'ssir!

Tentang Abah: Doktor Bukan Tuhan

Bismillahirrahmanirrahim...

24 Mac 2015.

Aku sedang dalam perjalanan ke HUKM saat menerima panggilan daripada jururawat bertugas di wad 6E, wad terkini selepas Abah dipindahkan daripada wad ICU.

"Doktor nak jumpa ahli keluarga," katanya.

Sejujurnya aku merasa tidak sedap hati tapi kuteruskan juga pemanduan ke HUKM.
Mujur adikku, PakSoo, juga sedang dalam perjalanan ke sana.
Tidaklah aku berseorangan berjumpa doktor.
Sayu hatiku melihat keadaan Abah tetapi kukuatkan hati juga kerana ini bukan masa untuk bersedih.
Jangan berputus asa dengan rahmat Allah kerana segala2nya berada di dalam genggamanNya jua.
Segala yang berlaku dan diktakdirkan buat kita pasti terkandung hikmah yang pelbagai.

Abah tenat.
Kanser peparu tahap 4.
Malah sudah merebak ke hati dan otak.
Kata doktor, kes Abah ini memang sangat jarang berlaku.
Prosedur lung biopsy yang sepatutnya dijalankan pada pagi itu tidak dapat dijalankan kerana keadaan Abah yang sangat lemah.
Ia sangat berisiko tinggi untuk dibuat, pada mata manusia.

Sebulan atau mungkin kurang.
Itu jangka hayat Abah mengikut ilmu kedoktoran manusia yang sangat terbatas.
Aku diam.
Skrip itu perrnah kudengar dalam filem dan novel namun aku tidak pernah membayangkan akan melaluinya sendiri.
Redha? InsyaAllah,..
Jika ini laluan yang sudah ditentukan untuk Abah maka kami redha.
Semoga segala kesakitan yang Abah lalui ini menjadi kaffarah buatnya.
Setidak2nya kami berpeluang untuk menjaga Abah di hujung2 usianya.

Maka kami mohon untuk mendiscajkan Abah daripada HUKM.
Sudah tiba masanya kami menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan sepenuhnya.
Namun itu bukan bermakna kami mengalah dan menerima bulat2 keputusan doktor tetapi kami masih meletakkan harapan untuk mencari jalan dan ikhtiar alternatif untuk mengubati Abah.
Doktor bukan Tuhan.
Ke mana dan siapa masih belum ditentukan tetapi aku sudah membuat keputusan nekad untuk bercuti separuh gaji agar aku lebih fokus menjaga Abah dan juga Ummi.
Aku tahu Ummi pasti lebih sedih tetapi dia cuba menyembunyikannya.
Bayangkan mereka sudah hidup bersama selama 43 tahun.
Bukan satu perkara yang mudah untuk melepaskan seseorang yang selama ini berkongsi hidup malah boleh dikatakan seluruh usia Ummi hanya didedikasikan kepada Abah kerana Ummi berkahwin dengan Abah pada usia 17 tahun.

Semoga kami tabah melalui ujian ini kerana hidup ini tidak lain hanyalah ujian semata...

Tentang Abah: Cikgu Sanusi

Bismillahirrahmanirrahim...

22 Mac 2015, ICU@HUKM.

Kadang2 kita sangka kita sudah cukup mengenali orang yang dekat dengan kita tapi kita silap.
Begitulah antara aku dan Abah.
Masih banyak cerita belakang tabir yang tidak aku ketahui tentang Abah.
Ketika Abah terlantar sakit, sedikit sebanyak tabir itu tersingkap tentang siapa sebenarnya Abah.


Paling kanan: Cikgu Sanusi

Semalam sewaktu kami sedang makan malam di Cyberjaya, ibu saudara (Su) yang diamanahkan untuk menjenguk2 rumah di kampung sewaktu ketiadaan Abah Ummi, menghubungi kami dan memaklumkan yang Cikgu Sanusi meninggalkan nombor telefonnya di dalam peti surat. 
Dia terdetik untuk menziarah Abah sewaktu pulang ke kampung halaman isterinya yang terletak di Paka. 
Aku pernah berjumpa Cikgu Sanusi sewaktu kecil dan dia kemudiannya pernah datang bersama keluarga ke rumah kami tetapi selepas itu kami terputus hubungan.
Kini baru aku tahu apa hubungan Abah dan Cikgu Sanusi atau nama sebenarnya Sasitharan.
Rupa2nya Abah menganggap dia seperti anak meskipun jarak usia antara mereka tidak jauh bezanya. 
Malah Abah dan rakan2 sekolahnya yang membantu Cikgu Sanusi kembali kepada Islam dan seterusnya menguruskan urusan perkahwinan Cikgu Sanusi dengan isterinya. 
Mendengar cerita2 sebegini terkadang membuat hati aku jadi pedih.
Pedih kerana masih banyak kisah hidup Abah yang tidak kami ketahui meskipun berpuluh2 tahun hidup sebagai satu keluarga. 
Malah kisah keperitan hidup Abah sewaktu kecil juga hanya aku ketahui pada tahun2 akhir kebelakangan ini.
Mengetahui kisah2 pahit sebegitu membuatkan aku semakin faham sebab Abah menjadi seorang ayah yang sangat2 'protective' dan begitu mementingkan soal pelajaran.
Sepertimana ayah2 lain, Abah ingin agar kami menikmati kehidupan yang jauh lebih baik daripada yang pernah dilalui olehnya.
Semoga segala pengorbanan dan jasa bakti kepada ahli keluarga dan rakan taulannya akan menjadi bekalan amal buat Abah kelak.

Tentang Abah: Kembali Meneruskan Perjuangan

Bismillahirrahmanirrahim...

22 Mac 2015, Pelepasan Antarabangsa, klia2.

Selepas 2 minggu pulang menjenguk Abah yang sakit, BaYu dan keluarga perlu kembali ke Sydney untuk meneruskan perjuangan yang baru bermula. 
Kali ini hanya aku, Ummi dan MakTeh yang mengiringi pemergian BaYu dan keluarga ke klia2. 
Doaku semoga perjalanan mereka selamat tiba ke destinasi.
Cuak dengan beberapa insiden melibatkan kapal terbang akhir2 ini.
Sungguh, pergantungan total hanya kepadaNya jua setiap kali menaiki kapal terbang.  

Penerbangan pada jam 11.30 malam

MakLong pasti merindui celoteh dan kemengadaan Cik Sara

Alamak, Ummi@To;Wan dah tidur...

Semoga BaYu tabah dan kuat meneruskan perjuangannya menghabiskan pengajian PhD kerana itulah antara impian Abah untuk anak2nya iaitu melihat kami melanjutkan pengajian setinggi mungkin.


Tuesday, March 24, 2015

Antara Ilustrasi Dan Realiti

Bismillahirrahmanirrahim...

Restoran D'Sengoti, Cyberjaya.
Tempat ini antara lokasi kegemaran aku untuk menikmati masakan panas versi Pantai Timur.
Sudah beberapa kali aku ke sini, bersama keluarga dan juga kawan2.
Malam ini usai menjenguk Abah di HUKM, aku bawa keluarga ke sini untuk makan malam.
Itu pun selepas kami menunaikan solat Maghrib di Masjid Cyberjaya, antara lokasi kegemaran aku akhir2 ini meskipun aku agak kurang gemar dengan kedudukan tempat wuduk wanita yang terletak bersebelahan dengan tempat wuduk lelaki. 
Opppsss tapi bukan cerita tentang masjid yang aku nak kongsi tetapi hidangan yang jauh beza antara yang ditunjukkan dalam menu dan realiti. 
Pesanan ni pula bukan aku yang buat tapi adik perempuan aku, Makteh.
Aku pun tak perasan MakTeh ada pesan udang tandori ni.
Lebih menyayat hati bila pesanan ni hanya siap lepas kami semua selesai menghabiskan pesanan masing2. 
Bila pekerja kedai tu letak je pesanan MakTeh atas meja, aku terus rasa kelakar. 
Biar betul! 
Dengan saiz udang yang kecil gila, lidi pula rentung. Hahahaha...
Memang jadi bahan lawak tapi dengan perangai aku yang memang pantang bab2 hak pengguna ni, terus aku bangun bawa pesanan tu dan pulangkan balik. 
Pesanan dibatalkan. Veto!
Gila apa, nak bayar RM7 untuk pesanan rentung macam tu. 
Memang lain sungguh dengan yang ditunjukkan dalam menu. 
Kalau beza sikit2 tu oklah masih boleh diterima tapi yang ni memang tak terjangkau dek akal.
Tergamak betul ditandorikan udang kecil gila tu.

Gambar dalam menu


Realiti - kecil dan rentung

Sara tolong MakTeh habiskan cheese naan

Akhirnya, MakTeh makan cheese naan je.
Sampai sekarang aku masih rasa lawak lagi bila teringat insiden udang kecil terbakar rentung ni.
Yang penting, gunakan kuasa sebagai pengguna apabila servis atau barang yang diterima tidak seperti yang dijanjikan.
Hilang sekejap rasa letih seharian di hospital lepas gelak tengok udang rentung. Hahahaha....

Thursday, March 19, 2015

Lena Diulit MakLong

Bismillahirrahmanirrahim...

Merengek2 nak masuk bilik MakLong.
MakLong dukung sambil tepuk2, zikir.
Terus layu. 
Tak sampai 5 minit dah lena di bahu MakLong.
Qaisara memang mudah dijaga.
MakLong pasti merindui kemanjaan Qaisara nanti.
Masa kita bersama hanya hingga hujung minggu ini sahaja. 
Qaisara akan kembali ke bumi Sydney, menemani papa meneruskan perjuangan menggenggam PhD.


Tidurlah sayang!

Saturday, March 14, 2015

Tentang Abah: Begini Rasanya...

Bismillahirrahmanirrahim...

Baru tiba.
Pulang untuk 1 malam bersama adik2 dan pagi esok akan bertolak kembali ke KL.
Buat pertama kali, kepulanganku tidak disambut dengan kehadiran Abah Ummi.
Kosong.
Begitulah kosongnya jiwaku saat ini.
Rupa2nya beginilah rasanya sebuah rumah tanpa ibu bapa. 
Kosong sekosong2nya.
Rupa2nya, bagi seorang anak, batang tubuh ibu bapalah yang memberi erti kepada sebuah rumah. 
Sebagaimana kehadiran anak2 memberi erti kepada insan2 yang bergelar ibu bapa. 
Kini aku semakin mengerti.
Bahawa yang membentuk jiwa bukanlah materialnya semata tetapi sebenar2nya adalah roh. 

Yang Kian Mengerti,
Teratak Bakarians, 
Kg. Sura Tengah, 
Dungun, Terengganu.

Sunday, March 8, 2015

Tentang Abah: 8 Mac

Bismillahirrahmanirrahim...

Tarikh yg sangat signifikan.
Genap setahun insiden kehilangan pesawat MH370.
Tarikh ini juga kami hampir2 kehilangan Abah namun ajal maut di tangan Allah.
Lebih 2 jam para doktor bertungkus-lumus menyelamatkan Abah dan akhirnya Abah dimasukkan ke wad Unit Rawatan Intensif. 
Perasaan aku? Bercampur baur dan sukar digambarkan dengan kata2. 
Hanya rasa syukur yang dapat mampu dipanjatkan kepada Allah atas peluang kedua yang dianugerahkan kepada kami ini. 
Hanya Dia Yang Maha Mengetahui akan hikmah yang tersembunyi di sebalik ujian ini. 

Tentang Abah: Penantian

Bismillahirrahmanirrahim...

(Di tepi pintu masuk wad ICU HUKM)

Abah tidak sedarkan diri.
Cemas! 
Melihat sendiri aksi doktor melakukan usaha untuk menormalkan kembali tekanan darah Abah.
Degupan jantung juga semakin lemah.
Aku jadi semacam tidak percaya apabila adegan yang selama ini ditonton di kaca TV disaksikan sendiri di hadapan mata.
Aku harus kuat!
Aku genggam tangan Abah, kugosok2 telapak tangannya. 
Biar dia tahu kami sentiasa ada di sisinya.
Ummi nampak risau tapi tenang.
Abang dan adik2ku juga turut memberi semangat kepada Abah.
Abah akan dipindahkan ke wad ICU.
ICU? 
Bagi aku, itu tempat terakhir yang ingin dijejak.
Kami mengikut Abah yang dibawa ke bilik CT scan sebelum dipindahkan ke wad ICU. 
Kini kami sedang menunggu untuk dimaklumkan status terkini Abah.
Ia satu penantian yang menyesakkan dada!
Kepada Allah kami berserah.





Saturday, March 7, 2015

Tentang Abah: Sakitnya Tuh Di Sini

Bismillahirrahmanirrahim...

Genap 2 minggu. 
Abah semakin lemah kesan ubat meskipun pada awalnya tiada tindakbalas seperti diharapkan.
Hari ini Abah kelihatan sukar bernafas, berbeza daripada hari2 sebelumnya.
Aku jadi makin risau.
It hurts me so much to see him in pain.
I feel so helpless...
Kepada Allah kami berserah.