Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, February 28, 2015

Tentang Abah: Saat Kasih Teruji

Bismillahirrahmanirrahim...

(Pusat Perubatan UKM)

Aku masih setia di sini. Rutin harian. Hari ini genap seminggu. Menunggu hari Abah discaj. Sungguh hidup ini umpama roda.



Semoga kesakitan ini jadi kaffarah buat Abah dan juga kami. 

Tuesday, February 24, 2015

Tentang Abah Lagi

Bismillahirrahmanirrahim...



Ini wajah Abah sebulan yang lalu ketika percutian kami di Bukit Fraser. Senyum lebar sambil mendukung cucunya, Nur Izzani Aminah. Aku masih ingat lagi, waktu itu Izzani yang menarik tangan To'Ki, mengajak untuk bergambar bersamanya.


Kini Abah terlantar akibat jangkitan kuman di otak. Ujian dari Allah buat kami sekeluarga. Segala2nya berlaku begitu pantas dan kami mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit Abah. 


Kami nekad membawa Abah untuk mendapatkan rawatan di HUKM selepas beberapa siri rawatan sebelum ini tidak memberikan hasil yang diharapkan. 


Beginilah keadaan Abah sewaktu menerima rawatan di wad kecemasan HUKM. Kami menunggu dari pagi dan akhirnya Abah dimasukkan ke wad pada jam 1 pagi. Memang meletihkan tapi aku cuba meyakinkan diri bahawa inilah sedikit bakti daripada kami buat Abah yang telah banyak berkorban membesar dan mendidik kami selama ini. 


Aku merasa kuat untuk menghadapi semua ini kerana sokongan adik-beradik yang berganding bahu menguruskan Abah. Kami bergilir2 menjaga Abah di wad, siang dan malam. Ia memang mencabar fizikal dan mental kami tetapi terasa ringan apabila berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Pada aku, inilah antara hikmah di sebalik ujian ini. Biduk lalu, kiambang bertaut, insyaAllah.




Semoga ujian ini menjadi kaffarah buat kami sekeluarga.

Monday, February 16, 2015

Tentang Abah

Bismillahirrahmanirrahim...

Kadang2 dalam hidup ini, banyak perkara yang kita sangka tak akan kita buat atau kena buat, akhirnya perlu juga kita buat. Ia semua aturan Allah, bukan saja2. Hari ini aku curi masa untuk membeli kerusi roda, satu perkara yang tak pernah aku sangka akan dibuat dalam hidup ini. Ia untuk Abah dan aku harap ia hanya untuk sementara sahaja. Aku sedih melihat keadaan Abah sekarang dan ia berlaku dalam tempoh sebulan sahaja. Sukar untuk digambarkan perasaan aku saat ini. Yang pasti, aku akan berusaha sedaya upaya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak. Malah kami adik-beradik akan berusaha melakukan yang terbaik untuk Abah agar kembali sihat seperti sedia kala.



Banyak yang bermain di fikiran aku saat dan ketika ini namun cuba aku ketepikan jauh2. Fokus dengan apa yang ada di depan mata sahaja dan ia adalah tentang Abah. Air mata memang tidak dapat ditahan mengalir setiap kali teringatkan wajah kurus Abah. Yang pasti, aku belum bersedia untuk kehilangan Abah. 

Perkongsian rasa bersama seorang sahabat yang pernah kehilangan ibu sebentar tadi memberi sedikit kekuatan pada aku untuk mendepani hari2 mendatang. Benarlah, kadang2 bila kita menasihati orang, ia kedengaran seperti sangat mudah tetapi apabila diri sendiri berada di dalam keadaan itu, ia ternyata tidak begitu mudah untuk dilalui. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sesungguhnya ini adalah ujian buat kami sekeluarga dan pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik semua ini. 

"Ya Allah, jika kesakitan yang sedang Abah tanggung ini berpunca daripada dosa2ku kepada-Mu, Kau ampunkanlah dosa2ku dan hilangkanlah kesakitan Abahku. Sungguh aku tidak sanggup melihat kesakitan yang ditanggung olehnya." 

Sunday, February 1, 2015

DIY

Bismillahirrahmanirrahim...


Arah pusingan jam: 

Gambar 1 - Sebelum.

Gambar 2 & 3 - Bahan2 yang diperlukan.

Gambar 4 - Selepas.

Kos? RM10 sahaja.

Akhirnya, selepas sebulan lebih insiden paip patah, baru hari ini aku merajinkan diri ke kedai hardware terdekat dan membeli barangan yang diperlukan untuk membaikinya. Lucu pula bila ada yang komen aku hebat sebab dapat baiki sendiri. Entahlah, hebat di mata orang tapi biasa saja di mata aku. Jujur, bagi aku kerosakan macam ni adalah biasa saja dan boleh guna logik untuk membaikinya. Lainlah kalau perlu tebuk dinding dan segala macam yang susah, memang aku akan panggil tukang paip juga. Samalah macam kes aku tukar paip mesin basuh sebelum ni. Bukan nak riak ya tapi mungkin sebab dah biasa buat sendiri, maka tak jadi masalah pada aku untuk baiki sendiri. Lagipun memang aku minat kerja2 DIY ni. Boleh kata passion juga lah malah aku sanggup tekun buat sampai siap. 

Kesimpulannya, aku puas hati sebab dapat baiki sendiri paip dengan kos yang minima!