Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, December 30, 2015

Permulaan Baru

Bismillahirrahmanirrahim...


Tadi aku curi masa ke Masjid Putra untuk menghantar borang menyertai Kelas Pengajian Dewasa untuk Ummi. Kelas akan bermula pada 4 Januari 2016. Aku harap ini permulaan yang baru dan bersemangat buat Ummi dan kami semua. Kejadian yang lepas jadikan pengalaman dan pengajaran untuk meneruskan kehidupan yang masih jauh perjalanannya, insyaAllah. 


Rutin Berubah

Bismillahirrahmanirrahim...

Kafe Pejabat. 

Beberapa hari lagi, 2015 akan melabuhkan tirainya. Sungguh! Masa terasa sangat pantas berlalu. Masih aku ingat, tahun lepas, di saat ini, Abah masih bersama kami dan ia antara momen2 akhir bercuti dengannya. 

Ummi pula sedang melalui saat2 akhir mendepani hakikat yang Abah sudah tiada lagi selepas menjalani kehidupan suami isteri selama lebih 40 tahun. Aku sudah pasti tidak akan memahami kepedihan yang sedang Ummi alami tetapi sebagai orang Islam yang percaya kepada ketentuan Allah bahawa mati itu pasti, kehidupan ini harus diteruskan. Tugas Abah di dunia ini sudah selesai. Tugas kami yang masih hidup ini yang harus dipersoalkan dan bakti kepada yang telah pergi wajib diteruskan. Aku menganggap bahawa tugas Ummi masih belum selesai. Dek kerana itu Allah masih memberi peluang Ummi untuk bersama kami. Pun begitu, aku akui ia tidak mudah namun tidak juga mustahil kerana Allah pasti tidak akan membebankan hamba-Nya dengan perkara atau ujian yang tidak mampu digalas. Hidup ini adalah untuk memenuhi tuntutan-Nya semata dan bukannya kehendak sendiri. 

Rutin aku kini bakal berubah malah aku sudah mula untuk membiasakannya bermula pada minggu ini. Aku perlu memastikan sarapan untuk Ummi tersedia di awal pagi kerana perut Ummi tidak boleh kosong. Aku sendiri kurang pasti sebab musababnya tetapi ia mungkin berpunca daripada penyakit kencing manis dan darah tinggi yang dihidapinya. Melilau juga aku mencari kedai2 makan di sekitar Putrajaya yang menjual kuih-muih tapi kebanyakannya hanya menjual makanan berat sahaja. Alternatif terkini, aku turun seawal 7 pagi ke pejabat, membeli sarapan untuk Ummi di kafe pejabat sambil aku sendiri terus bersarapan dan kemudiannya berpatah balik ke rumah untuk menghantar sarapan kepada Ummi. Mujur juga kafe pejabat ada menjual beberapa jenis kuih-muih meskipun selepas ini aku perlu mencari alternatif lain lagi. 

Tahun hadapan juga, portfolio kerja aku bakal berubah. Mungkin agak sibuk dan perlu balik sedikit lambat daripada biasa. Mujur adikku MakTeh pulang awal sebaik tamat sesi persekolahan. Tidaklah Ummi bersendirian di rumah terlalu lama. Aku harap adik-beradik lain pula akan datang menziarah atau membawa Ummi berjalan2 pada hujung minggu. Hanya itu sahaja cara kami membantu Ummi menghilangkan kesunyian di penghujung usia ini. Moga kami diberi kesabaran dan ketabahan untuk melaluinya bersama...

Sunday, December 27, 2015

Rindu Itu...

Bismillahirrahmanirrahim...

27/12/2015. Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Sukar malah tidak dapat aku gambarkan dengan kata2. Ini kali pertama kepulangan menaiki kapal terbang sejak Abah tiada. Kali ini, pemergianku dihantar oleh Ummi, SuYah dan MakTeh sahaja. Masih terbayang2 setiap kali aku ingin pulang, Abah pasti orang paling sabar menunggu aku memasuki dewan pelepasan. Dia dan Ummi akan melambai aku sebelum pulang ke rumah. Kini tiada lagi lambaian itu. Puas aku menahan diri daripada mengalirkan air hangat tetapi tewas. Aku cuba menahan diri daripada melayan perasaan ini sedaya mungkin. Semoga Abah damai di sana...

Rindu Membawaku Ke Sini...

Bismillahirrahmanirrahim...


27/12/2015. Seawal pagi aku sudah ke sini. Menjenguk pusara Abah. Perlahan air hangat mengalir saat aku mendekatinya. Rindu itu begitu menggamit hatiku. Aku rindu segala2nya tentang Abah. Lelaki yang banyak bersabar melayan kerenah aku dan menerima aku seadanya. Ya, dia bukan seorang ayah yang sempurna tapi dia sempurna buat aku dan adik-beradik. Aku hadiahkan Yaasin buat Abah. Lama aku berteleku di situ, mengimbas kenangan2 lalu yang masih jelas di ingatanku. Aku hanya ingin mengenang yang indah2 sahaja. 

"Ya Allah, Kau lapangkanlah kubur Abahku dengan seluas2nya, peliharalah dia daripada azab kubur, tempatkanlah dia bersama orang2 yang salih dan masukkanlah dia ke dalam syurgaMu tanpa hisab."

Saturday, December 26, 2015

Pisang

Bismillahirrahmanirrahim...

26/12/2015. Hari ini aku bukan nak cerita tentang pisang tapi pisang ini menjadi asbab kepada sebuah pertemuan dengan kawan baik arwah Abah, Cikgu Sanusi. 


Petang tadi aku sebenarnya nak ke bank tapi dalam perjalanan, tiba2 aku ternampak pisang2 yang tergantung di gerai buah2an yang terletak betul2 dengan persimpangan lampu isyarat di bandar Dungun.

Apabila lampu isyarat bertukar hijau, aku terus membelok ke kiri, memasuki laluan ke gerai buah2an tersebut. Tanpa banyak soal, aku capai seikat pisang yang tergantung dan serahkan kepada penjual untuk ditimbang.

"RM7.40 kak," ujar penjual kepadaku.

Aku hanya mengangguk sambil tangan mencapai duit di dalam dompet. Entah kenapa mulut aku berat untuk berkata2. Selalunya aku ringankan mulut untuk menggenapkan sahaja jumlah belian seperti "RM7 tak boleh ke bang?", tapi hari ini hati tak tergamak berbuat demikian. Aku akur dengan jumlah yang dikenakan oleh penjual. 

Semasa aku membuat pembayaran, sebuah kereta berhenti betul2 di sebelah gerai tersebut tetapi aku tak ambil pusing siapa pemandunya. Namun sebaik aku pusingkan badan untuk melangkah keluar, aku terpandang wajah seorang yang amat aku kenali iaitu Cikgu Sanusi. 

Segera aku ucapkan salam kepada beliau dan kelihatan beliau agak terkejut menjawab salamku itu. Mungkin kerana tidak berapa cam bertemu dalam keadaan tidak dirancang sebegitu. Sebaik aku sebut nama beliau dan menyebut nama arwah Abah, serta-merta wajah beliau menguntum senyuman dan perbualan kami berlanjutan. 

Aku sebenarnya terkejut apabila diberitahu yang beliau juga baru 14 hari kehilangan anak perempuan yang pernah kami temui sewaktu mereka datang menziarahi Abah di HUKM. 

Innalillahiwainnailahirojiun...

Aku kehilangan kata2. Tidak tergambar perasaan mereka menerima ujian kehilangan anak tercinta. Terbit rasa bersalah kerana kami pernah berjanji untuk menziarahi beliau dan keluarga tetapi niat itu belum sempat ditunaikan lagi sehingga hari ini. InsyaAllah ia akan menjadi antara perkara utama yang akan dilunaskan pada tahun hadapan. 

Pertemuan tidak dirancang ini juga seolah2 menjadi jawapan terhadap kerinduan kepada arwah Abah yang akhir2 ini memenuhi ruang hatiku. Aku sedar, setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan kita juga akan menyusuli mereka. Malah pemergian mereka sebenarnya menjadi bukti nyata kepada kita yang masih diberi peluang di dunia untuk memanfaatkannya dengan sebaik mungkin kerana masanya akan tiba untuk kita pula pulang menemuiNya, Rabbul Jalil. 

Benarlah, tiada istilah kebetulan kerana segalanya sudah tersurat olehNya...

Saturday, November 14, 2015

#JustSaying

14/11/2015.

"Kekadang kita perlu belajar untuk mengalah kerna dengan itu kita akan merasai erti menang. Yang nyata, mengalah bukan berarti kita lemah."

Wednesday, August 26, 2015

LOVE

Bismillahirrahmanirrahim...


In 2013, I dedicated the thesis that I wrote for my Master degree in a rememberance of my late nephew Muhammad Asyraaf Amin, whom we had lost on 2012. It was done out of my deepest LOVE towards him for all the LOVE he had showered to me during his short presence. What I didn't know and never thought was, today that same paper will bring me to the land that bears LOVE in its name, sLOVEnia. Subhanallah! 

Saturday, July 4, 2015

Salam Ramadhan 1436H

Bismillahirrahmanirrahim...

Pejam celik pejam celik kita sudah berada di pertengahan Ramadhan.
Ramadhan pertama tanpa Abah di sisi dan satu permulaan baru buat kami sekeluarga.
Banyak yang berlaku dalam sebulan dua ini selepas ketiadaan Abah.
Aku nekad mengajak Ummi tinggal bersama aku dan adik (MakTeh).
Aku tahu hati Ummi berat meninggalkan rumah yang dibina bersama Abah tetapi aku tidak sanggup membiarkan Ummi sendirian di kampung.
Seboleh2nya biarlah sakit pening Ummi di sisi kami.
2 tahun.
Itu syarat yang aku letakkan untuk tempoh Ummi tinggal bersama kami.
Untuk membuktikan kesungguhan aku mengajak Ummi tinggal bersama, aku usahakan untuk mendapatkan kuarters di Putrajaya.
Sesuatu yang tidak pernah aku bayangkan akan aku lakukan iaitu tinggal di kuarters.
Namun begitulah cantiknya aturan Allah.
Tanpa sebarang perancangan, rupanya aku pernah membuat permohonan menduduki kuarters ketika mula-mula memasuki perkhidmatan.
Saja-saja dan suka-suka.
Ternyata setiap yang berlaku itu bersebab.
Peluang itu aku gunakan sekarang.
Selepas beberapa kali turun naik pejabat berkenaan, membuat rayuan dengan bersungguh-sungguh, akhirnya permohonan aku diluluskan 2 minggu sebelum Ramadhan bermula.
Maha Suci Allah Yang Maha Mendengar rintihan hamba-hambaNya.

Usai mendapat tawaran memasuki kuarters, aku terus bergegas menguruskan segala urusan pembayaran deposit berkaitan agar dapat mengambil kunci rumah dengan segera.
Dalam tempoh 2 minggu itu juga, aku usahakan untuk berpindah masuk ke kuarters.
Jenuh menguruskan hal perpindahan dari rumah sendiri dan rumah MakTeh ke Putrajaya.
Penat tetapi ia berbaloi apabila melihat Ummi yang selesa memiliki ruang sendiri.
Sengaja aku minta Ummi menduduki bilik utama agar Ummi tidak merasa menumpang di rumah siapa-siapa,
Kami tinggal di sini bersama untuk tempoh tertentu sahaja iaitu sehingga adikku yang kini melanjutkan pengajian PhD di Sydney tamat pengajian dan meneruskan tugas di UNISZA.
Waktu itu aku akan berasa lebih lega jika Ummi ingin tinggal di kampung kerana sudah ada seorang anak yang tinggal dekat dan mudah untuk menjenguk Ummi pada bila-bila masa.

Urusan perpindahan sememangnya memenatkan.
Sehingga hari ini, masih ada sebahagian barangan yang belum habis dikemas.
Kini rutin Ramadhanku juga turut berubah.
Jika beberapa tahun sebelum ini, Masjid Putra adalah lokasi tetap untuk berbuka puasa, kini aku hanya berbuka puasa di rumah sahaja bersama Ummi dan MakTeh.
Usai solat Maghrib, kami akan bertolak ke Masjid Putra untuk solat Isyak dan Terawih.
Pada awalnya, agak janggal juga untuk aku menyesuaikan diri dengan perubahan ini tetapi aku akhirnya sedar bahawa setiap dari kami telah mengorbankan rutin masing-masing.
Ummi dan MakTeh juga telah mengorbankan rutin mereka sebagaimana aku yang terpaksa mengorbankan rutin tahunan berbuka puasa di Masjid Putra.
Agak selesa juga bertolak ke masjid selepas solat Maghrib di rumah kerana jarak perjalanan hanya memakan masa selama 5 minit sahaja.

Jujur aku katakan yang aku tidak tahu bagaimana untuk menghadapi hari raya tahun ini tanpa Abah.
Janggal!
Namun itulah realiti kehidupan yang harus kami depani.
Kehidupan harus diteruskan meskipun Abah tiada lagi di sisi.
Akan kami cuba sedaya upaya untuk menjaga amanah yang Abah tinggalkan ini iaitu Ummi dengan sebaik mungkin.
InsyaAllah!

Thursday, April 30, 2015

Terharu

Bismillahirrahmanirrahim...

Tengahari tadi dengan tidak semena2 rakan sebilikku, D, berkata kepada aku,

"Karimah, lepas I balik umrah ni, I rasa I makin sayang kat U."

Aku terkejut tapi senyum terukir di wajah.

D menitiskan air mata.
Tanda dia benar2 memaknakan kata2nya itu.

Ya Allah, hatiku tersentuh.

"I pun sayangkan U dan bersyukur U jadi roommate I," balasku kepada D.

Ia juga jawapan ikhlas daripadaku buat D.
Sudah lebih setahun kami menjadi roommate di pejabat dan banyak yang telah kami kongsikan bersama sama ada hal peribadi dan hal kerja.
Inilah yang aku cari dalam hidup ini.
Memberi makna kepada kehidupan insan lain.


Wednesday, April 29, 2015

Putaran Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim...


(Secret Recipe,  Presint 4 Putrajaya)

Alhamdulillah, selesai menghabiskan semangkuk japanese soba.
Lapar kerana tengahari tadi aku tak sempat makan.

Akhir2 ini aku sering terfikir bahawa inilah putaran kehidupan.
Kelahiran, kehidupan dan kematian.
Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

Abah baru sahaja kembali kepada Yang Maha Pencipta pada awal bulan ini.

Kemudian kami terima berita yang tahun ini bakal menerima kelahiran 4 orang anak saudara termasuk sepasang kembar.

Tengahari tadi pula menerima berita kematian bekas rakan sepejabat yang terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang dari bertugas di Permatang Pauh.
Benarlah, kehidupan ini sebenarnya sangat rapuh.
Bila2 masa sahaja Allah boleh ambil nyawa kita.
Sama ada kita bersedia atau belum, itu tidak menjadi persoalan.

Merenung putaran ini, aku terfikir di manakah putaran aku akan terhenti?
Doaku semoga saat itu aku sudah bersedia dan terhenti pada noktah yang baik.

Al-Fatihah buat arwah Haji Imran Kamali.
Semoga ditempatkan bersama orang2 yang soleh.
Kami bakal menyusul jejakmu...

Tuesday, April 28, 2015

Aiskrim Kelapa Muda

Bismillahirrahmanirrahim...

Ini kisah hujung minggu lepas.
Hari Ahad.
Hajat asal nak pusing2 cari tempat untuk minum petang saja.
Tiba2 aku terasa macam dah lama tak masuk UIA.
Rindu pulak. 
Jadi aku bawa Ummi dan MakTeh masuk UIA dan sempat singgah di Bank Islam. 
Keluar dari UIA, aku memandu ke arah Sungai Pusu.
Tiba di simpang 3, aku nampak deretan kedai makan tapi aku berhenti di kedai pertama sebab nampak papan tanda tulis aiskrim kelapa muda.
Nama kedai tu 'BAI KRAPRAW SEAFOOD'.
Macam menarik.
Teringin nak cuba.
Aku terus pesan 3 set untuk kami tanpa tanya berapa harga untuk 1 set.
Kemudian kami tengok menu tapi tak tahu nak makan apa sebab semua nampak agak berat. 
Kami nak makan yang ringkas2 je.
Akhir sekali, kami pesan bubur nasi bersama lauk ikan masin dan sotong kering.

Ok, mula2 datang aiskrim kelapa muda.
Nampak pun dah menarik.
Bila makan, wah memang sedap!!!
Isi kelapa pula memang betul2 muda. 
Aiskrim kelapa dicamput dengan pulut, buah kabung, kacang tumbuk dan di bawah aiskrim diletak potongan roti.
Memang kena dengan selera kami.


Tak lama kemudian datang pula nasi bubur berlauk.
Mula2 tengok bubur, aku cakap,

"Mak ai, banyaknya bubur. Mana boleh habis ni."

Konon.
Bajet nak diet.
Sekali bila suap, terus ceduk sampai habis licin. 
Memang sedap rasa masam2 manis lauk dimakan dengan bubur.
Ummi pun sama juga laju habiskan bubur.
Siap cakap nak cuba masak lauk tu di rumah pula. Hahaha.


Bila dah habis makan baru aku tanya berapa harga 1 set aiskrim. 
RM5 sahaja.
Pada aku, memang sepadan harga yang dikenakan untuk 1 set yang mengenyangkan. 
Untuk bubur pula, hanya lauk dikira RM3 setiap jenis.
Harga bubur pula percuma dan boleh ditambah jika tak cukup.
Jumlah? Hanya RM21 sahaja.
Aku bagi 5 bintang dan pasti akan datang lagi ke sini.

Wednesday, April 22, 2015

Perubahan

Bismillahirrahmanirrahim...

Islam senantiasa menyarankan umatnya agar melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Malang bagi orang yang pada hari ini jauh lebih teruk daripada semalam.

Petang semalam aku berbual2 dengan teman sepejabat, D.
Dengan tidak semena2, dia berkata,

"Karimah, I rasa U sekarang sudah banyak berubah terutama selepas pemergian ayah U."

Aku pandang tepat ke arah muka D sambil menunjukkan wajah penuh tanda tanya.

"Kenapa U cakap macam tu? Berubah macamana tu?"

"Yelah, I nampak U lebih tenang, pasrah dan redha," jawab D dengan jujur.

Aku hanya tersenyum sambil di dalam hati melafazkan kesyukuran namun terdetik juga di hati untuk terus bertanya kemusykilan yang timbul di hati.

"Sebelum ni U nampak I ni macamana?" Soal aku kepada D.

"Sebelum ni U nampak agak agresif. Sekarang U lebih tenang. Lainlah..." jawab D lagi.

"Syukurlah kalau I berubah ke arah yang lebih baik. Kata2 U tu mungkin ada benarnya. Bila I fikir2kan balik, kadang2 Allah letakkan kita dalam situasi tertentu untuk mendidik kita. I akui pengalaman menjaga Abah I sakit sehingga menghembuskan nafas yang terakhir memang benar2 memberi kesan pada I. Masih terbayang2 lagi saat I tutup mata ayah sendiri sebaik dia sudah tiada. Begitu tenang wajah dia. Mulanya I tak sangka yang I mampu uruskan arwah, of course lah dengan bantuan ahli keluarga, tapi secara keseluruhannya I memang rasa yang I tumpukan sepenuh perhatian hanya pada Abah waktu dia sakit. Pada I, perkara2 lain sudah tidak memberi makna lagi dan I langsung tak menyesal berbuat begitu. I rasa I akan lebih menyesal kalau I ambil mudah masa arwah sakit," jelasku kepada D.

D hanya tersenyum mendengar jawapanku itu.

"Betul U. Sekarang I akui betullah yang apa jua yang Allah tentukan untuk kita adalah yang terbaik. Kita mungkin berharap untuk dapat benda tertentu tapi Allah tak bagi sebab Dia nak bagi sesuatu yang jauh lebih baik. Malah bila I renung balik, semua yang I dapat dan lalui itu pun memang apa yang I doa daripada Dia selama ini. Cuma I yang tak perasan cara Dia menjawab doa2 I tu. Tapi sekarang I sudah mula nampak hikmahnya dan I rasa lebih bersyukur dengan apa yang sedang I lalui ini. Jujur I bagitau U, contohnya kalau sekarang I ni sudah ada keluarga sendiri, I tak fikir I akan ada peluang untuk bersama dengan ayah I sehingga ke nafas yang terakhir. Bukanlah maksudnya I tak nak kahwin tapi itu kan semua rahsia Dia. I jadi lebih faham yang hidup ini memang ujian semata. Dia nak uji sejauh mana I ni sabar dengan kehidupan ini. Sekarang fokus I nak jaga mak pulak dan kemudian sambung belajar. Kalau dalam masa tu ada rezeki2 lain, I akan terima tapi buat masa sekarang, fokus I hanya pada perkara yang dah pasti ada depan mata iaitu mak I," sambungku lagi.

"Baguslah kalau U fikir macam tu. Itulah I cakap U nampak lebih pasrah dan tenang sekarang berbanding dulu," balas D kepada aku.

Perbualan kami berterusan tetapi tidak semua dapat aku kongsikan di sini.
Pokoknya, aku sendiri sebenarnya tidak perasan perubahan yang D maksudkan tetapi bila aku renungkan kembali, mungkin ada benarnya juga kata2 D itu.
Sepanjang menjaga Abah di HUKM, aku sentiasa tenang dan cuba menerima setiap dugaan yang mendatang dengan sabar.
Malah sedari awal lagi aku sudah berniat untuk menjadikan pengalaman menjaga Abah sebagai satu pengalaman yang menyeronokkan kerana ia adalah tanggungjawab dan bukannya beban buat kami.



Tuesday, April 21, 2015

Tragedi 1 Rejab 1436H

Bismillahirrahmanirrahim...



Siling surau wanita di bahagian rak kasut runtuh.
Bunyinya seperti gempa bumi tetapi mustahil pula. 
Mujur tiada nyawa yang melayang ataupun cedera. 
Aku pula waktu itu terdetik di hati untuk melambatkan sedikit diri keluar daripada surau.
Rasanya kalau aku keluar lebih awal seminit dua, pasti aku akan jadi mangsa kejadian.
Nauzubillahiminzalik!


Sehingga petang semalam, hanya pita pelekat dengan notis penyelenggaraan diletakkan di situ dan kesan2 runtuhan juga sudah dibersihkan.
Entah berapa lama pula masa yang akan diambil oleh kontraktor untuk memperbaiki kerosakan tersebut.
Detik hatiku mengatakan yang ia akan memakan masa yang sangat panjang.
Tunggu dan lihat!


Sunday, April 19, 2015

1 Rajab 1436H

Bismillahirrahmanirrahim...


Marhaban ya Rajab. 
Bermakna 2 bulan lagi bulan mulia Ramadhan akan menjelma.
Ramadhan kali ini pasti akan jauh berbeza kerana Abah kini tiada lagi di sisi kami. 
Semoga kami sempat bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini, insyaAllah.

Saturday, April 18, 2015

Luahan Rasa

Bismillahirrahmanirrahim...

Usai urusan di Digital Mall, PJ aku singgah di gerai sate yang berada di dalam bangunan yang sama dengan tempat letak kereta.
Aku melihat seorang ayah dan anak lelakinya sedang rancak membakar sate.
Aku pesan 10 cucuk sate ayam untuk dibawa pulang.
Sementara menunggu pesanan siap, aku duduk di sebuah kerusi berhampiran sambil memerhati wajah di ayah yang berkopiah, lincah membakar sate.
Tidak semena2 ingatan terhadap Abah muncul.
Rindu...

Terasa air hangat bertakung di kelopak mata tapi cepat2 aku kelip2kan mata.
Cuba mengawal diri.
Begini rupanya rasa rindu kepada insan yang kita cintai tapi kini tiada lagi di dunia ini...

Saturday, April 11, 2015

Tentang Abah: Kau Pergi Jua

Bismillahirrahmanirrahim...

(Teratak Bakarians)

Akhirnya aku punya kekuatan untuk merakamkan saat2 akhir Abah bersama kami. 
Peristiwa yang pasti akan aku kenang seumur hidupku.

5 April 2015. 
Sudah 2 malam aku tidur sebilik dengan Abah, di atas kerusi malas. 
Entah mengapa hati kian merasa sangat tidak sanggup untuk meninggalkan Abah sendirian berlama2. 
Bimbang jika Abah pergi tanpa kami di sisi.
Sungguh hati aku jadi tidak senang melihat kemerosotan tahap kesihatan Abah apabila cecair hitam pekat yang sebelum ini kami sangka sudah berhenti keluar daripada perut Abah, kembali mengalir dalam kuantiti yang banyak. 
Paling merisaukan apabila Abah tidak boleh diberi makan atau minum sehingga cecair itu berhenti keluar.
Aku merasa sedikit bersalah kerana sehari sebelum cecair itu kembali keluar, kami ada memberi sedikit susu kepada Abah.
Niat kami untuk memberi sedikit tenaga kepada Abah kerana Abah hanya bergantung kepada air semata2.
Aku sangka cecair hitam itu terhasil akibat daripada susu itu. Wallahua'lam. 
Tidurku tidak lena.
Sekejap2 aku bangun, merenung Abah.
Aku kembali merebahkan kepala apabila melihat dada Abah masih bergerak turun naik.
Usai solat Subuh dan ia memang rutin setiap kali selesai solat fardhu, kami bergilir2 membacakan yaasin untuk Abah.
Kemudian kami teruskan dengan rutin mengelap badan, menukar pampers, menyedut kahak dan menggerakkan kaki dan tangan Abah. 
Paling menyedihkan apabila sudah ada kesan luka pada badan Abah kerana terlalu lama berbaring.
Luka itu sebenarnya mula terbentuk sewaktu Abah berada di ICU tempohari.


Sudah masuk hari ke4 Abah demam. 
Suhu badan kekal pada 37 darjah celsius. 
Merisaukan dan kami memberi ubat seperti yang diajar oleh staf HOSPIS. 
Namun demam Abah nampaknya masih belum kebah.
Kami tampal pelekat koolfever dan selangselikan dengan kain basah pada dahi Abah.
Begitu payah aku lihat Abah bertarung dengan kesakitan yang hanya Abah tahu peritnya.

6 April 2015. 
Seperti biasa, sebaik bangkit dari tidur aku terus menjenguk Abah.
Aku perhatikan dahi Abah basah kuyup.
Berpeluh2.
Aku sapu dahi Abah dengan kain basah.
Namun peluh kecil masih lagi memercik keluar dari dahi Abah. 
Terdetik rasa kurang sedap di hati tapi aku diamkan sahaja.
Dada Abah juga berombak dan kepayahan untuk bernafas semakin ketara pada wajah Abah. 
Air hangat mula bergenang di kelopak mata melihat kesakitan yang ditanggung Abah. 
Aku usap perlahan dada Abah, berharap semoga kesakitan itu akan segera menjauh dan Abah kembali sembuh.
Terasa jelas tulang2 rusuk Abah di telapak tanganku. 
Jauh benar beza Abah yang sekarang dan 2 bulan yang lalu. 

AllahuAkbar! AllahuAkbar! 
Aku terus meluru ke bilik Abah usai menunaikan solat Subuh.
Aku lihat BaMa sedang bertakbir di telinga Abah.
Sungguh aku cuak!
Kata BaMa, nafas Abah turun naik dengan laju dan seperti sesak nafas.
BaMa minta aku sedut kahak Abah tapi kering. 
MakTeh pula mengusap2 kaki Abah tapi kaki Abah kelihatan sudah kekuningan.
Longlai, tidak sama seperti sebelum ini. 
Perasaan kurang senang semakin bertambah.
Ummi agak berat hati untuk meneruskan hasrat ke klinik tapi aku bertegas agar Ummi pergi juga.
Aku bimbang jika Ummi pula jatuh sakit jika bertangguh lagi iaitu semenjak Abah jatuh sakit. 
Yakinlah bahawa ini semua ketentuanNya. 
Jika Dia mentakdirkan kami sempat bersama Abah di saat2 akhir, maka ia akan berlaku namun jika Dia sudah mentakdirkan sebaliknya, apa daya kita sebagai hamba untuk menidakkan percaturannya. 

Lalu BaMa dan MakTeh membawa Ummi ke klinik kesihatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Hanya tinggal aku sendirian menemani Abah di rumah. 
Aku dekatkan kerusi dengan katil Abah.
Aku turunkan palang katil.
Aku pegang tangan Abah, biar Abah tahu yang kami sentiasa ada di sisinya, setia menemaninya sampai bila2.
Aku bacakan surah Al-Fatihah dan Yaasin berulang2 untuk Abah. 
Peluh kecil masih berterusan memercik di dahi Abah dan aku mengelapnya lagi. 
Aku tenung dalam2 wajah Abah. 
Berdoa setulus hati agar Allah mempermudahkan urusan Abah.
Kasihanilah dia yang telah banyak berkorban membesarkan kami selama ini. 
Aku bisikkan kalimah syahadah berulang2 kali pada telinga Abah. 
Sungguh ia sangat sukar untuk dilakukan.
Terasa sebal dada menahan sebak.
Namun aku harus melakukannya.
Naluri aku cukup kuat mengatakan yang aku harus melafazkannya kepada Abah. 

Jam 12.30 t/hari, mereka pulang dari hospital.
Abah tiba2 diserang sawan.
Allahurabbi! 
Jadikanlah segala kesakitan yang Abah tanggung sebagai penghapus dosa2nya selama ini. 
Kami picit2 anggota badan Abah, usap2 kepalanya agar tenang. 
Alhamdulillah sawan Abah mereda dan hilang. 

Usai solat Zohor, aku menjenguk Abah lagi. 
Kelihatan air mata bertakung pada matanya.
Aku ambil kapas basah, melalukan pada mata Abah. 
Perlahan2 Abah menutup matanya dan kembali membukanya.
Aku baru perasan.
Sudah 2 hari mata Abah tidak benar2 tertutup rapat.
Tidak seperti biasa, mata Abah tertutup rapat semasa sedang tidur.

Kemudian Ummi, MakTeh dan BaMa pula bergilir2 menjenguk Abah. 
Ia rutin kami. 
Yakin dengan keadaan Abah yang kembali stabil, BaMa memutuskan untuk menziarah abang iparnya di wad HKL akibat demam denggi. 
Tinggal aku, Ummi dan MakTeh menemani Abah. 

Azan Asar berkumandang.
Aku jenguk Abah sebelum ke bilik air mengambil wuduk.
Aku usap perlahan dada Abah.

Usai solat Asar, aku berehat sebentar di atas sofa.
Aku merasa sangat penat hari ini.
Niatnya selepas ini ingin membacakan yaasin lagi buat Abah.
Ummi pula mengambil peluang menunaikan solat Asar.

"Kak Imah! Kak Imah! Mari tengok Abah ni!"
Jerit Ummi dalam esak tangis.
Aku terus melompat dari sofa, meluru ke bilik Abah.
Kelihatan mata Abah mendongak ke atas.
Aku kuatkan semangat untuk membisikkan syahadah di telinga Abah sementara Ummi memicit2 tangan Abah. 

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ 

Perlahan2 aku tutup mata Abah.
Membetulkan kedudukan tangan dan kaki Abah dengan bantuan Ummi dan MakTeh.
Badan Abah masih panas tapi tiada lagi pergerakan dada Abah turun naik seperti sebelum ini.
Fikiran aku kosong buat seketika.
Lalu aku dan MakTeh bergilir2 menghubungi adik-beradik yang lain memaklumkan pemergian Abah.
BaMa meminta bantuan kenalannya untuk membantu kami menghubungi klinik kesihatan untuk mengesahkan keadaan Abah. 
Airmata aku tumpah juga sewaktu bercakap dengan abang2.
Sebelum ini seboleh mungkin aku menahannya agar aku tidak kelihatan lemah di depan Ummi.
Aku perlu kuat demi Ummi.

BaMa dan PakSoo tiba disusuli dengan ketibaan staf klinik kesihatan.
Saat itu juga azan Maghrib berkumandang dan aku ke dapur, mengambil sunat berbuka puasa.
Jujurnya pada waktu itu, aku jadi seperti masih belum menerima hakikat sepenuhnya yang Abah sudah tiada.
Aku tunaikan solat Maghrib dan kemudian aku dengar tangisan Ummi yang agak kuat saat pegawai perubatan membuat pengesahan yang Abah sudah kembali ke rahmatullah. 
BaMa memeluk Ummi, cuba untuk menenangkannya.
Agak lama juga aku berteleku di sejadah, menghadam suasana yang sedang aku lalui ini. 
Mimpikah ini? 
Namun kemudian aku insaf dan redha.
Inilah janji Allah bahawa setiap yang hidup pasti akan merasai mati. 
Pulang kembali menemui Yang Maha Pencipta.

Ummi sudah kembali tenang.
Hajat Ummi agar Abah dikebumikan di kampung halaman.
BaMa menghubungi pihak masjid yang menghadiri majlis bacaan yaasin sebelum ini untuk membantu menguruskan jenazah Abah.
Kami memutuskan untuk memandi dan menyembahyangkan Abah di sini sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung. 
Syukur urusan Abah telah dipermudahkanNya.
Saat ini aku melihat begitu banyak pertolongan Allah yang datang dari pelbagai sudut. 
Ketua PakSoo dan rakan2 pejabatnya datang menziarah dan telah menawarkan khidmat van jenazah Masjid Bukit Aman, PDRM untuk urusan membawa pulang jenazah Abah.
Sekitar jam10 malam, jenazah Abah dibawa ke masjid berdekatan, dimandikan dan disembahyangkan di situ.
Syukur kerana Abah dimandi dan disembahyangkan oleh anak2 lelakinya di samping penduduk setempat yang lain.


Jam 12.30 malam, kami memulakan perjalanan untuk menyempurnakan tanggungjawab kami sebagai anak buat kali terakhir untuk Abah.
Aku dan MakTeh menemani Abah di dalam van jenazah di sepanjang perjalanan. 
Dengan kelajuan 80 km/j dan beberapa kali pit-stop kerana mengantuk, perjalanan memakan masa selama 7 jam dan kami tiba di halaman rumah pada jam 8.30 pagi. 
Kelihatan sudah ramai saudara mara dan rakan taulan memenuhi rumah kami.
Sayu hati melihat kehadiran mereka, menyambut ketibaan jenazah Abah.
Keranda Abah diusung dan diletakkan di ruang tamu untuk memberi peluang kepada saudara mara dan kenalan untuk melihat wajah Abah untuk kali terakhir.
Malah mereka turut menunaikan solat jenazah sekali lagi untuk Abah. 
Sesak sehingga tidak muat ruang tamu rumah kami.
Pada masa yang sama, PakSoo pergi ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan permit mengubur.
Silap kami apabila tidak terus membuat laporan kematian di balai polis berhampiran di Rawang, lokasi arwah meninggal. 
Akhirnya kebenaran secara verbal diberi melalui PakSoo untuk meneruskan pengebumian Abah tanpa menunggu ketibaan surat kebenaran daripada balai polis di Rawang.


Sebesar2 penghormatan bagi insan bergelar ibu bapa apabila jenazahnya disambut oleh anak sendiri saat dimasukkan ke liang lahad.
Saat ini juga aku melihat begitu ramai insan2 yang ingin memberi penghormatan terakhir kepada Abah sehinggakan hanya BaMa seorang sahaja daripada anak2 lelaki Abah yang sempat masuk ke liang untuk menyambut jenazah Abah sementara yang lain adalah insan2 yang pernah rapat dengan Abah semasa hayatnya.


Talkin dibacakan oleh kawan baik Abah sendiri yang kami panggil Ayah Ku Satar. 
Kedengaran nada sayu malah bacaan doa menjadi tersekat2 saat menyebut nama rakan baik yang kini telah kembali kepada asal.


Damailah Abah di sana, pulang menemui Tuhan Yang Maha Pencipta.
Dari tanah kita datang, kepada tanah jua kita akan dikembalikan.
Perpisahan ini hanyalah sementara.
Semoga kita akan kembali bersua di jannatul firdaus saat tiba masanya kelak.
InsyaAllah akan kami jaga amanah Abah iaitu Ummi dengan sebaik mungkin dan kami juga akan bakal menyusul Abah kembali kepadaNya, pada saat dan waktu yang telah ditentukanNya, tidak tercepat atau terlambat meski sesaat.

Tentang Abah: Baru Kini Aku Mengerti

Bismillahirrahmanirrahim...

(R&R Gambang)

11 April 2014. 
Aku dan AbahUmmi tiba di bumi Makkah. 
Hari pertama kami di sana selepas 6 hari ziarah di bumi Madinah. 
Masih aku ingat dengan jelas kejadian yang berlaku sewaktu kami sedang menyempurnakan umrah yang pertama.
Kami tiba di bumi Makkah sekitar lepas jam 10 malam (waktu Makkah).
Oleh kerana kami sudah solat jamak sewaktu dalam perjalanan, kami terus dibawa oleh mutawif untuk menyempurnakan umrah sebaik selesai urusan daftar masuk ke hotel.
Usai solat sunat, Abah meminta izin daripada mutawif untuk menyempurnakan umrah secara terpisah daripada kumpulan.
Kunjungan kami pada kali ini nyata berbeza daripada kunjungan terdahulu.
Kali ini laluan ke tempat saie telah dilencongkan akibat proses pembesaran masjid yang sedang berjalan dan tingkat atas saie juga telah siap. 
Kami memulakan tawaf mengelilingi kaabah dengan Ummi memaut erat lengan Abah sementara aku membuntuti mereka daripada belakang.
Sesekali Abah berpusing ke belakang untuk memastikan yang aku tidak terpisah daripada mereka.
Apabila diimbas kembali, aku perasan yang Abah benar2 teruja dan gembira melakukannya sehingga jelas terpapar di wajahnya. 
Aku pula cuba untuk fokus kepada ibadah yang sedang dijalankan dan membiarkan sahaja Abah menikmati kegembiraannya.
Aku meneruskan pusingan sehingga selesai yang ke7 sementara Abah ingin menambah 1 pusingan lagi atas sebabnya yang tersendiri.
Aku segera menunaikan solat sunat tawaf dan menunggu AbahUmmi di laluan menuju ke tempat saie. 
Hampir setengah jam menunggu namun kelibat AbahUmmi masih belum kelihatan.
Hati aku mula resah bercampur rasa bersalah yang amat sangat.
Aku sepatutnya menemani mereka berdua menamatkan pusingan terakhir dan kemudian sama2 menuju ke tempat saie. 
Namun aku yakin ini semua aturan yang telah ditentukanNya.
Lebih2 lagi kami berada di tempat paling suci di muka bumi ini.
Takkanlah Allah tidak menjaga hamba2Nya.
Aku cuba memujuk hati sendiri. 
Aku bergerak lagi, hampir kepada laluan ke tempat saie. 
Menunggu lagi sehingga akhirnya kumpulan yang kami tinggalkan bersama mutawif tadi pula sedang menuju ke tempat saie. 
Sedangkan aku masih menunggu kemunculan AbahUmmi.
Allah benar2 ingin menduga kami.
Saat itu dengan penuh rendah diri dan rasa kerdil, aku mohon keampunan daripada Yang Maha Berkuasa, temukanlah semula aku dengan AbahUmmi.
Hampir 2 jam aku berdiri di situ, memerhati satu persatu wajah yang lalu di hadapan aku, mengharapkan agar muncul wajah AbahUmmi.
Hampa.
Akhirnya aku putuskan untuk meneruskan ibadah saie tanpa AbahUmmi dan aku serahkan segalanya kepada Allah jua.
Sepanjang bersaie, mata aku liar memandang setiap jemaah yang berselisih, masih mengharapkan untuk bersua AbahUmmi. 
Pada pusingan yang ke6, aku terdengar suara memanggil nama aku,

"Kak Imah! Kak Imah! Kak Imah!"

Aku toleh dan serta merta air mata mengalir saat melihat Ummi duduk bersandar ditemani Kak Zahrah, sahabat jemaah yang sama2 dalam kumpulan kami.
Hiba hati aku melihat Ummi berada dalam keadaan sebegitu.
Terasa betapa besarnya dosa aku membuat seorang ibu mengalirkan airmata. 
Tapi aku kembali panik.
Mana Abah?
AllahuAkbar! 
Kata Ummi, sebaik selesai pusingan ke7, Ummi memberitahu Abah yang dia rasa haus. 
Abah lantas meminta Ummi menunggu di sebatang tiang sementara dia pergi mendapatkan air zamzam. 
Sekelip mata, Ummi jadi keliru melihat lautan manusia berpakaian putih dan tidak dapat membezakan yang mana satu Abah.
Semua kelihatan sama di matanya.
Ummi memutuskan untuk meneruskan ibadah saie sendirian apabila Abah tidak muncul2 dan dia tidak perasan aku yang berdiri menunggu mereka di salah satu tiang dalam laluan menuju saie.
Sebaik selesai tahallul, Ummi memutuskan untuk menunggu di laluan saie dengan harapan akan bertembung dengan aku atau Abah.
Ternyata telahan seorang ibu tidak pernah silap.
Ummi ternampak aku yang sedang menghabiskan laluan ke Marwah. 
Aku mohon izin untuk menyempurnakan laluan terakhir sambil menyeka air mata kekesalan kerana tidak sama2 menemani mereka menghabiskan pusingan tawaf. 
Semua ini pasti tidak berlaku jika aku berbuat begitu. 
Usai tahallul dan solat sunat, aku kembali ke sisi Ummi yang masih ditemani Kak Zahrah. 
Ummi kelihatan semakin tenang lalu aku minta izin untuk naik ke tempat saie di tingkat 1 untuk mencari Abah. 
Pencarian aku gagal. 
Oleh kerana waktu Subuh juga sudah semakin hampir, kami memutuskan untuk pulang ke hotel selepas solat Subuh dan berharap untuk bertemu Abah di sana. 

Usai solat Subuh, kami berjalan keluar daripada masjid tetapi ada satu masalah pula.
Selipar kami dipegang oleh Abah.
Satu2 pilihan yang ada adalah berjalan pulang dengan memakai stokin sahaja kerana kedai masih belum dibuka.
Sebelum itu, kami tawakal menunggu Abah di kawasan hadapan laluan yang sering dilalui oleh kami iaitu berhampiran Bank Al-Rajhi dengan harapan akan bertembung dengan Abah.
Sehingga jam 8 pagi, kelibat Abah masih belum muncul.
Aku jadi mati akal.
Jika aku berseorangan, pasti aku redah sahaja pulang berkaki ayam tetapi aku simpati kepada Ummi kerana laluannya berbatu batan dan kotor.
Akhirnya, aku minta izin Ummi untuk mencuba nasib jika ada kedai yang menjual selipar di kawasan berhampiran.
Aku minta Ummi menunggu di situ sahaja sementara aku pergi membeli selipar.
Semasa kunjungan pertama dahulu, memang banyak peniaga jalanan yang meletakkan barangan di atas kain sahaja tetapi kali ini kelibat mereka langsung tidak kelihatan.
Aku berdoa mohon pertolongan Allah untuk keluar daripada permasalahan ini.

Tiba2 aku terpandang seorang lelaki berjubah yang raut wajahnya kelihatan seperti orang Melayu atau setidak2nya orang Indonesia.
Aku beranikan diri untuk menegur dia kerana terpapar ketulusan di wajahnya dan ia membuatkan aku yakin yang dia boleh membantu aku yang berada dalam kebuntuan.

"Assalamualaikum ustaz, boleh bantu saya?" soalku memberanikan diri bertanya kepada lelaki tersebut.

"Waalaikumussalam," jawabnya sambil memandang aku penuh kehairanan.

"Ustaz tahu tak kat mana saya boleh beli selipar di sini?" tanya aku lagi menyatakan tujuan menegur dia.

"Dulu memang banyak peniaga di sini tetapi sekarang dah tak ada selepas projek pembesaran masjid dibuat," jelas ustaz itu.

"Tak apa, mari kita cuba cari di sebelah sana kalau ada kedai yang jual," ujar 'ustaz' itu seraya terus melangkah menuju ke destinasi yang dimaksudkannya.

Aku terus mengekori 'ustaz' itu tanpa banyak soal.
Yang bermain dalam kepala pada waktu itu hanyalah untuk membeli selipar dan segera kembali kepada Ummi yang aku tinggalkan sendirian.
Walang hati meninggalkan Ummi di situ hanya Allah yang tahu tapi aku kasihankan Ummi yang sudah kepenatan dan belum sempat berehat sejak kami tiba pada malam tadi.

"Anti datang dengan siapa?" soal 'ustaz' itu sambil mata melilau mencari kedai yang menjual selipar.

"Saya datang dengan mak ayah tapi kami terpisah. Selipar kami ayah yang pegang," terang aku kepada 'ustaz' itu.

"Mak ada di mana?" soal 'ustaz' lagi.

"Saya tinggalkan mak di sebelah sana sekejap sementara saya belikan selipar untuk kami," jawab aku dengan jujur.

Serta-merta air muka 'ustaz' itu berubah.

"AllahuAkbar! Jom kita patah balik sekarang. Mana boleh tinggalkan mak seorang diri. Tak boleh. Nanti sayu hati dia. Apa2 kita buat pun mak mesti nombor 1. Selipar tu tak penting. Mak lebih penting. Jom!" tegas 'ustaz' kepada aku sambil kaki berpatah balik ke tempat aku tinggalkan Ummi.

Air hangat mengalir perlahan di pelupuk mata aku.
Betapa tanpa sedar aku telah 'melukakan' hati Ummi.
Dalam perjalanan, sempat lagi 'ustaz' menjelaskan yang dia sebenarnya pemilik sebuah pondok di Pattani dan singgah di Makkah untuk menziarah beberapa orang sahabat di situ sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

"Makcik, saya Razali dari Pattani. Macam inilah, sekarang baliklah dulu ke hotel. Selipar itu tak penting," ujar 'ustaz' kepada kami sebaik tiba di lokasi Ummi menunggu.

Kami akur dengan nasihat 'ustaz' dan nekad untuk pulang berstokin sahaja.
Namun kisah itu tidak tamat di situ sahaja.
Dalam perjalanan, kami telah dikepung oleh 4 orang wanita berjubah dan bertudung labuh yang meminta sedekah.
Aku menolak baik permintaan mereka tetapi mereka menjadi agresif, ingin merampas beg yang berada di badan kami.
Dalam keadaan letih dan lesu begitu ditambah pula dengan gangguan yang kurang ajar, aku jadi bengang dan dengan sekuat hati menjerkah mereka.
Segera aku paut tangan Ummi dan berlalu meninggalkan mereka yang terkejut dengan jerkahan aku itu.
Syukur kerana mereka tidak berjaya 'merompak' kami walaupun berjaya membuka zip beg kami.

Melihat keletihan Ummi, aku berhenti sekejap membelikan air dan kemudiannya selipar untuk kami.
Tiba di satu selekoh, kami bertembung dengan Abah yang kelihatan tergesa-gesa menuju ke arah masjid.

"AllahuAkbar!" Ucap Abah sambil mendudukkan badan di sebuah bangku berhampiran dan tunduk kelegaan.

Aku perasan ada air jernih mengalir di wajah Abah.
Ummi pula mendekati Abah sambil mengurut2 bahu Abah yang cuba menahan emosi dirinya.
Sengaja aku menjarakkan diri sedikit daripada mereka untuk memberi ruang kepada mereka berdua.
Saat itu aku merasa sangat berdosa membuatkan hati Abah resah dengan peristiwa perpisahan kami sebentar tadi.
Rupa2nya Abah berulang-alik turun naik di dalam masjid mencari kami.
Abah sanggup tidak sarapan dan berpatah balik ke masjid selepas menyalin kain ihram untuk meneruskan pencarian.
Di tangan Abah tergenggam plastik yang mengandungi selipar kami.

Apabila suasana sudah reda, aku lihat Abah memaut erat lengan Ummi seolah2 tidak mahu melepaskannya lagi.
Aku berjalan di belakang mereka sambil menahan diri daripada terus mengalirkan air mata.
Sungguh aku merasa sangat sebal melihat kasih sayang antara mereka yang terkadang mengelirukan aku.
Baru aku sedar yang itulah erti kasih, cinta dan sayang bagi mereka.
Biar apapun yang berlaku, hanya mereka berdua yang faham jalinan kasih yang menautkan mereka berdua selama ini.
Hanya aku yang belum memahaminya dek kecetekan kefahaman tentang kehidupan.


11 April 2015.
Kini Abah sudah kembali kepada Yang Maha Pencipta.
Seumur hidup, Ummi sentiasa di sisi menemani Abah melalui kehidupan ini.
Malah 30 Julai 2015 ini genaplah 44 tahun usia perkahwinan mereka.
Saat Abah jatuh sakit, Ummi tidak pernah meninggalkan sisi Abah meskipun dia sendiri tidak berapa sihat.
Tetap setia hingga akhir hayat.
Jauh aku merenung akan laluan yang telah ditentukanNya ini.
Betapa ia penuh dengan pengajaran dan hikmah untuk diamati dan difahami.
Kini menjaga Ummi adalah matlamat hidupku.
Itulah ibrah daripada kejadian yang berlaku pada tarikh yang sama pada tahun lepas.
Utamakan ibu walau dalam apa jua keadaan.
Dia pintu menuju syurga.

Jika ini laluan yang telah Allah aturkan untuk aku, aku redha kerana jalan menuju syurga itu pelbagai.
Aku tidak akan meninggalkan Ummi tinggal sendirian di kampung.
Kini giliran aku pula meneruskan tanggungjawab menjaga Ummi dengan bantuan serta sokongan adik-beradik yang lain.
Semoga Abah tenang di sana.
Selesai sudah tugas Abah di dunia ini.
Semoga Allah menerima segala pengorbanan Abah menjaga kami selama ini dan kami bakal bersua kembali di jannatul firdaus.

Bas Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang

Bismillahirrahmanirrahim...

(Dalam Bas Sani Ekspres)

Kali terakhir naik bas adalah tahun lepas.
Hari ini aku naik lagi sebab kereta tak muat.
Masa balik hari tu aku naik van jenazah, temankan Abah buat kali terakhir.
Kereta aku pula ditinggalkan di rumah abang di Rawang.
Teruja pula bila tengok ada power plug di tepi tempat letak kaki.
Maka tak perlu risau kehabisan bateri telefon.
Aku memang dah standby bawa powerbank, pinjam PakSoo punya. 
Risau kehabisan bateri telefon semasa dalam perjalanan.
Nampaknya lepas ni memang Sani Ekspres jadi pilihan aku untuk ulang alik balik kampung. 
Bas lain aku tak pasti ada sediakan kemudahan ini ataupun tidak.

Thursday, April 9, 2015

Tentang Abah: Tahlil

Bismillahirrahmanirrahim...

(Teratak Bakarians) 

Alhamdulillah selesai urusan tahlil malam ke-3 untuk arwah Abah. 
Segalanya lancar dan hampir semua saudara mara dan sahabat karib yang mengenali Abah hadir selama 3 malam berturut2. 
Sungguh aku terharu melihat kedatangan  mereka ke teratak kami.
Mereka adalah insan2 yang pernah mewarnai perjalanan hidup Abah semasa hayatnya.
Semoga ukhuwwah antara kami dan mereka tetap berterusan meskipun Abah sudah tiada lagi.

Sunday, April 5, 2015

Tentang Abah: Dulu & Sekarang

Bismillahirrahmanirrahim...

(Bandar Tasik Puteri, Rawang)

5 April 2014. 

Saat ini kami dalam penerbangan menuju ke Tanah Suci. Kembara suci mungkin yang terakhir bersama Abah.

5 April 2015.

Tiada kata dapat diucapkan.
Melihat Abah terlantar tidak berdaya sangat menyiat hati ini.


Hanya doa yang mampu aku panjatkan semoga Allah memberi yang terbaik untuk Abah.

Wednesday, April 1, 2015

Tentang Abah: Rezeki Abah

Bismillahirrahmanirrahim...

(Bandar Tasik Puteri, Rawang)

Kami merancang untuk mengadakan majlis solat hajat dan bacaan yaasin secara kecil2an khusus untuk Abah.
Awalnya BaMa hanya bercadang menjemput sekitar 10 orang sahaja tetapi apabila hasrat tersebut disuarakan kepada imam di surau berhampiran, beliau menawarkan untuk turut membawa anak2 tahfiz di bawah jagaan beliau menyertai majlis kami.
Jumlah mereka sekitar 50 orang.
Alhamdulillah memang rezeki Abah nampaknya. 
Kami turut diberi pinjam sejadah dan yaasin untuk digunakan semasa majlis tersebut. 


Untuk makan minum pula, BaMa menempah mi kari dan roti canai serta air kotak sahaja.
Memang majlis ini kami rancang secara ala kadar sahaja kerana faktor masa dan keadaan rumah yang masih belum siap sepenuhnya.



Semoga usaha kecil kami ini diberkatiNya dalam usaha memberi keselesaan dan kemudahan kepada Abah dan dengan izinNya, kesembuhan jua. 

Tentang Abah: 1 April

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah. 
Aku baru terima panggilan daripada pejabat memaklumkan yang cuti separuh gaji yang aku mohon telah diluluskan oleh Ketua Jabatan. 
Aku sebenarnya sudah nekad.
Sama ada cuti diluluskan atau belum, aku tetap akan mula bercuti pada hari ini.
Tiada kaitan dengan GST pun. Eh? 

Aku syukur kerana tahu kelulusan ini diluluskan dengan segera hasil bantuan kawan2 di samping doa yang tidak putus kepadaNya.
Yakinlah dengan kuasa doa, sama ada daripada diri sendiri mahupun daripada insan2 lain.
Janji Allah pasti benar.

Kini tumpuanku hanya kepada untuk menguruskan Abah bersama bantuan adik-beradik yang lain.
Syukur kerana masing2 memainkan peranan mereka seadanya.

Bila direnung2, ujian ini seolah2 jawapan kepada doaku selama ini.
Aku semakin nampak akan hikmah di sebaliknya.
Yang pasti, kita semua bakal menyusul cuma laluannya saja yang tidak kita ketahui.
Ini jalan yang ditentukan untuk Abah.
Kami hanya menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan sehabis baik.
Selebihnya, kepada Allah jua kami berserah. 


Monday, March 30, 2015

Tentang Abah: Discaj

Bismillahirrahmanirrahim...

(Teratak CK)

Baru tiba di rumah. 
Penat tak terkata.
Rasa macam mahu tidur 2 hari berturut2. Huhu...
Pun begitu, coretan ini harus diteruskan sementara rasa untuk menulis masih segar. 

Selesai juga urusan membawa pulang Abah ke rumah abang sulung, BaMa, di Rawang.
Semua urusan di HUKM diuruskan oleh aku sambil ditemani oleh Ummi dan MakTeh. 
Satu pengalaman baru buat aku termasuk menguruskan hal logistik iaitu ambulan daripada HUKM ke Rawang.

Sejujurnya hati aku berbelah-bagi sama ada untuk membawa pulang Abah atau tidak kerana hasil pertemuan bersama doktor pada pagi tadi, dia tidak menggalakkan kami untuk berbuat demikian.
Aku tanya apa keputusan Ummi. 
Ummi akhirnya bersuara menyatakan hasrat agar Abah dibawa pulang. 
Aku hubungi adik-beradik yang lain memaklumkan keputusan Ummi dan mereka turut akur dengan kehendak Ummi.
Kemudian aku ke surau.
Bertanya kepadaNya sama ada tindakanku ini wajar atau tidak.
Jika wajar, permudahkanlah...

Syukur apabila segala urusan berjalan lancar dan slip kebenaran discaj diterima sekitar jam 4 petang. 
Lega apabila tiada sebarang bayaran perlu dibuat kerana menggunapakai GL aku. 


Syukur kerana laluan Abah dipermudahkanNya.
Alhamdulillah!
Urusan ambulan juga memuaskan hati kami malah mereka tiba lebih awal daripada temujanji asal iaitu jam 6 petang. 


Sempat aku perhatikan yang Abah membuka kedua2 belah matanya sewaktu dibawa masuk ke dalam ambulan.
Sebelum ini Abah hanya membuka sedikit mata sebelah kanan sahaja. 
Terdetik di hatiku, adakah mungkin ini tanda Abah gembira kerana hasratnya untuk keluar daripada hospital akhirnya tercapai? 
Hujan mula turun sewaktu kami meninggalkan HUKM dan semakin lebat di sepanjang perjalanan. 
Namun aku puji kecekapan pemandu ambulan yang cekap memboloskan ambulan daripada kesesakan jalanraya sehingga perjalanan hanya memakan masa selama 45 minit sahaja.



Pagi esok jururawat sukarelawan HOSPIS akan datang untuk menjenguk keadaan Abah. 
Kami perlu mula mempelajari untuk menguruskan Abah sepenuhnya di rumah.
Sedikit sebanyak kemahiran sudah kami praktikkan sewaktu Abah berada di dalam wad dengan bantuan jururawat.


Kemudian aku dan MakTeh dihantar oleh PakSoo kembali ke HUKM untuk mengambil kereta kami yang ditinggalkan di situ semenjak siang tadi.
Penatnya hanya Allah yang tahu.
Kadang2 rasa tidak tertanggung tetapi cepat2 pujuk hati bahawa Allah tidak akan memberikan ujian yang tidak mampu ditanggung oleh hambaNya. 

Wallahua'lam...

Sunday, March 29, 2015

Tentang Abah: Tanggungjawab

Bismillahirrahmanirrahim...

(Wad 6E, HUKM)

Rutin pagi Ahad ku kini berubah sejak Abah dimasukkan ke HUKM. 
Jika dulu pada waktu begini aku pasti sedang menghabiskan pusingan larian mengelilingi Tasik Sri Permaisuri.
Memang ironi bila difikir2kan.
Jika dulu tempat ini aku kunjungi hanya pada setiap hujung minggu, kini setiap hari aku perlu ke sini. 
Selama mana Abah masih berada di sini, 
aku akan setia menggagahkan diri datang ke sini.

Sukar? 
Tidak aku nafikan sama sekali.
Namun inilah jalan yang sudah tertulis buat kami.
Hikmahnya? Wallahua'lam...

Teringat aku kepada tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Amin.
Kata beliau, untuk menjadi kuat, beranikan diri untuk mengambil tanggungjawab dan mujahadah dalam melakukannya.
InsyaAllah, kekuatan akan timbul hasil daripada mujahadah itu.
Mendalam dan aku merasakan ia bukan untuk situasi yang sedang aku lalui sekarang sahaja tetapi untuk seluruh perjalanan kehidupan ini juga. 

Pagi ini doktor ingin berjumpa dengan kami untuk menerangkan tentang keadaan Abah. 
Cadangan untuk membawa pulang Abah pada hari ini nampaknya perlu ditangguhkan kepada hari lain kerana keadaan Abah yang agak kurang baik.
Abah tiba2 demam panas pula dan mengalami sedikit pendarahan di dalam perut. 
Doktor menyarankan agar Abah dibenarkan keluar hanya apabila demam telah berkurangan. 
Kami akur kerana bimbang ia berlarutan dan menimbulkan komplikasi lain jika tidak dirawat lebih awal. 
Pasti ada hikmah di sebalik susun atur perjalanan yang telah ditetapkanNya ini.

Friday, March 27, 2015

Tentang Abah: HOSPIS

Bismillahirrahmanirrahim...

26 Mac 2015.

Syukur kerana urusan kami membuat persiapan untuk membawa pulang Abah telah dipermudahkanNya jua.
Awalnya kami memang bercadang untuk membeli sendiri segala kelengkapan yang perlu untuk digunakan oleh Abah kelak.
Lega apabila pihak HUKM telah merujuk kes Abah kepada sebuah NGO dikenali sebagai HOSPIS. 
Kami boleh meminjam peralatan2 seperti katil, ripple mattress, penyedut kahak dan mesin oksigen daripada HOSPIS secara percuma
Pihak HOSPIS pula memang sangat membantu dan memberi kerjasama yang baik kepada kami. 
Kes Abah telah dirujuk kepada mereka pada hari Rabu dan pagi Khamis ini mereka telah menghubungi aku untuk membuat pengesahan senarai keperluan barangan dan tarikh pengambilan.
Kami diminta untuk menguruskan sendiri urusan pengangkutan dan Alhamdulillah urusan tersebut juga telah dipermudahkanNya juga. 
Malah aku turut dihubungi oleh jururawat yang menjadi sukarelawan HOSPIS untuk mengatur jadual lawatan ke rumah. 
Tiada kata lain yang mampu aku ucapkan kecuali Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! 


Petang tadi aku dan PakSoo menjejak kedudukan HOSPIS untuk memudahkan urusan pengangkutan pada hari Jumaat.
Rupa2nya aku memang pernah ternampak bangunan ini kerana ia terletak dekat benar dengan Masjid Tun Abdul Aziz dan Digital Mall di Seksyen 14, Petaling Jaya.



Kunjungan kami nyata tidak sia2 kerana dimaklumkan oleh petugas HOSPIS bahawa mesin oksigen agak sensitif kepada hentakan kuat dan tidak disarankan untuk dibawa di dalam lori.
Tanpa banyak soal, kami terus memasukkannya ke dalam kereta selepas diberi penerangan tentang cara penggunaannya oleh staf tersebut.
Terkejut juga apabila melihat harga mesin tersebut di pasaran adalah RM5000.
Alhamdulillah! 


PakSoo tersenyum lebar di samping mesin oksigen yang akan digunakan oleh Abah kelak. 


Beginilah keadaan mesin tersebut yang dimuatkan di dalam kereta aku. 
Lucu pun ada juga melihat cara PakSoo memasang tali pinggang keledar padanya. 

Jujur aku memang tidak pernah tahu tentang kewujudan NGO ini sehinggalah dimaklumkan oleh sahabat yang bertugas sebagai doktor di HUKM.
Sengaja aku war2 dan kongsikan tentang kewujudan NGO ini di blog sebagai panduan dan rujukan kepada sesiapa yang turut berdepan dengan ujian seperti kami juga.
Sesungguhnya sistem sokongan baik seperti ini sangat2 meringankan beban emosi dan juga kewangan keluarga pesakit.
Bayangkan jumlah kos yang boleh kami jimatkan dan salurkan kepada keperluan untuk membeli barang2 keperluan lain untuk Abah.

Besok urusan penghantaran barangan lain termasuk katil ke rumah abang di Rawang akan cuba kami sempurnakan dengan sesegera mungkin demi keselesaan Abah apabila dibawa pulang kelak. 

Alhamdulillah!

Wednesday, March 25, 2015

Tentang Abah: Luahan Rasa

Bismillahirrahmanirrahim...

(Teratak CK)

Jalan menuju syurga itu pelbagai.
Jika ini jalan yang tertulis untukku, Kau redhakanlah hatiku ini dengan ketentuan-Mu...

Tentang Abah: Luahan Rasa

Bismillahirrahmanirrahim...

(Surau Ibnu Sina, HUKM)

Satu perkara yang cukup menyentuh hatiku adalah apabila melihat begitu banyak bentuk2 pertolongan yang diterima sama ada daripada rakan2 ataupun insan2 yang baru dikenali. 

Pertolongan dalam pelbagai bentuk yang mempermudahkan laluan ujian yang sedang kami lalui ini.

Aku yakin semua ini berlaku dengan izinNya jua dan benarlah bahawa pertolongan Allah itu sangat dekat.

Kekadang aku merasa sangat malu kerana aku tahu aku ini pendosa namun rahmatNya tidak pernah putus menghujani hidup ini.

Sehingga aku terfikir, kebaikan apakah yang telah aku lakukan sehingga pertolongan Allah tidak pernah putus diterima di saat kami berdepan waktu2 sukar begini. 

Sungguh aku rasa sangat kerdil dan selemah2 manusia. 

Aku dan adik-beradik masih menunggu urusan Abah untuk didiscajkan selesai. 
Banyak perkara yang perlu disediakan sebelum kami boleh membawa Abah pulang. 

Robbi yassir wala tua'ssir!

Tentang Abah: Doktor Bukan Tuhan

Bismillahirrahmanirrahim...

24 Mac 2015.

Aku sedang dalam perjalanan ke HUKM saat menerima panggilan daripada jururawat bertugas di wad 6E, wad terkini selepas Abah dipindahkan daripada wad ICU.

"Doktor nak jumpa ahli keluarga," katanya.

Sejujurnya aku merasa tidak sedap hati tapi kuteruskan juga pemanduan ke HUKM.
Mujur adikku, PakSoo, juga sedang dalam perjalanan ke sana.
Tidaklah aku berseorangan berjumpa doktor.
Sayu hatiku melihat keadaan Abah tetapi kukuatkan hati juga kerana ini bukan masa untuk bersedih.
Jangan berputus asa dengan rahmat Allah kerana segala2nya berada di dalam genggamanNya jua.
Segala yang berlaku dan diktakdirkan buat kita pasti terkandung hikmah yang pelbagai.

Abah tenat.
Kanser peparu tahap 4.
Malah sudah merebak ke hati dan otak.
Kata doktor, kes Abah ini memang sangat jarang berlaku.
Prosedur lung biopsy yang sepatutnya dijalankan pada pagi itu tidak dapat dijalankan kerana keadaan Abah yang sangat lemah.
Ia sangat berisiko tinggi untuk dibuat, pada mata manusia.

Sebulan atau mungkin kurang.
Itu jangka hayat Abah mengikut ilmu kedoktoran manusia yang sangat terbatas.
Aku diam.
Skrip itu perrnah kudengar dalam filem dan novel namun aku tidak pernah membayangkan akan melaluinya sendiri.
Redha? InsyaAllah,..
Jika ini laluan yang sudah ditentukan untuk Abah maka kami redha.
Semoga segala kesakitan yang Abah lalui ini menjadi kaffarah buatnya.
Setidak2nya kami berpeluang untuk menjaga Abah di hujung2 usianya.

Maka kami mohon untuk mendiscajkan Abah daripada HUKM.
Sudah tiba masanya kami menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan sepenuhnya.
Namun itu bukan bermakna kami mengalah dan menerima bulat2 keputusan doktor tetapi kami masih meletakkan harapan untuk mencari jalan dan ikhtiar alternatif untuk mengubati Abah.
Doktor bukan Tuhan.
Ke mana dan siapa masih belum ditentukan tetapi aku sudah membuat keputusan nekad untuk bercuti separuh gaji agar aku lebih fokus menjaga Abah dan juga Ummi.
Aku tahu Ummi pasti lebih sedih tetapi dia cuba menyembunyikannya.
Bayangkan mereka sudah hidup bersama selama 43 tahun.
Bukan satu perkara yang mudah untuk melepaskan seseorang yang selama ini berkongsi hidup malah boleh dikatakan seluruh usia Ummi hanya didedikasikan kepada Abah kerana Ummi berkahwin dengan Abah pada usia 17 tahun.

Semoga kami tabah melalui ujian ini kerana hidup ini tidak lain hanyalah ujian semata...

Tentang Abah: Cikgu Sanusi

Bismillahirrahmanirrahim...

22 Mac 2015, ICU@HUKM.

Kadang2 kita sangka kita sudah cukup mengenali orang yang dekat dengan kita tapi kita silap.
Begitulah antara aku dan Abah.
Masih banyak cerita belakang tabir yang tidak aku ketahui tentang Abah.
Ketika Abah terlantar sakit, sedikit sebanyak tabir itu tersingkap tentang siapa sebenarnya Abah.


Paling kanan: Cikgu Sanusi

Semalam sewaktu kami sedang makan malam di Cyberjaya, ibu saudara (Su) yang diamanahkan untuk menjenguk2 rumah di kampung sewaktu ketiadaan Abah Ummi, menghubungi kami dan memaklumkan yang Cikgu Sanusi meninggalkan nombor telefonnya di dalam peti surat. 
Dia terdetik untuk menziarah Abah sewaktu pulang ke kampung halaman isterinya yang terletak di Paka. 
Aku pernah berjumpa Cikgu Sanusi sewaktu kecil dan dia kemudiannya pernah datang bersama keluarga ke rumah kami tetapi selepas itu kami terputus hubungan.
Kini baru aku tahu apa hubungan Abah dan Cikgu Sanusi atau nama sebenarnya Sasitharan.
Rupa2nya Abah menganggap dia seperti anak meskipun jarak usia antara mereka tidak jauh bezanya. 
Malah Abah dan rakan2 sekolahnya yang membantu Cikgu Sanusi kembali kepada Islam dan seterusnya menguruskan urusan perkahwinan Cikgu Sanusi dengan isterinya. 
Mendengar cerita2 sebegini terkadang membuat hati aku jadi pedih.
Pedih kerana masih banyak kisah hidup Abah yang tidak kami ketahui meskipun berpuluh2 tahun hidup sebagai satu keluarga. 
Malah kisah keperitan hidup Abah sewaktu kecil juga hanya aku ketahui pada tahun2 akhir kebelakangan ini.
Mengetahui kisah2 pahit sebegitu membuatkan aku semakin faham sebab Abah menjadi seorang ayah yang sangat2 'protective' dan begitu mementingkan soal pelajaran.
Sepertimana ayah2 lain, Abah ingin agar kami menikmati kehidupan yang jauh lebih baik daripada yang pernah dilalui olehnya.
Semoga segala pengorbanan dan jasa bakti kepada ahli keluarga dan rakan taulannya akan menjadi bekalan amal buat Abah kelak.

Tentang Abah: Kembali Meneruskan Perjuangan

Bismillahirrahmanirrahim...

22 Mac 2015, Pelepasan Antarabangsa, klia2.

Selepas 2 minggu pulang menjenguk Abah yang sakit, BaYu dan keluarga perlu kembali ke Sydney untuk meneruskan perjuangan yang baru bermula. 
Kali ini hanya aku, Ummi dan MakTeh yang mengiringi pemergian BaYu dan keluarga ke klia2. 
Doaku semoga perjalanan mereka selamat tiba ke destinasi.
Cuak dengan beberapa insiden melibatkan kapal terbang akhir2 ini.
Sungguh, pergantungan total hanya kepadaNya jua setiap kali menaiki kapal terbang.  

Penerbangan pada jam 11.30 malam

MakLong pasti merindui celoteh dan kemengadaan Cik Sara

Alamak, Ummi@To;Wan dah tidur...

Semoga BaYu tabah dan kuat meneruskan perjuangannya menghabiskan pengajian PhD kerana itulah antara impian Abah untuk anak2nya iaitu melihat kami melanjutkan pengajian setinggi mungkin.