Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, September 18, 2014

Demi Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim...

Lokasi: KLIA

Aku gagahkan diri bertolak seawal jam 4 pagi ke KLIA untuk menemui seorang sahabat yang akan berlepas ke New Zealand untuk bersama suami. Tiba di KLIA sekitar jam 4.50 pagi dan suasana lengang. Aduhai, cuak pula rasanya. Untuk menghilangkan rasa mengantuk, aku berjalan2 memerhati keadaan sekeliling dan ragam manusia. Semua kedai pula masih belum beroperasi kecuali restoran makanan segera. Operasi hanya akan bermula pada jam 6 pagi. Memang jenuh dibuatnya tapi demi sahabat, aku tabahkan hati dan bersabar. 

Akhirnya, Ikhlas tiba pada jam 6.30 pagi dan aku pula sempat mengalas perut dengan secawan kopi. Sempatlah kami bertemu dan berbual2 sementara menunggu waktu berlepas. Sekitar jam 7.30 pagi, Ikhlas bergerak untuk memasuki balai berlepas dan dengan tidak semena2, aku jadi sebak. Gugur juga airmataku sewaktu kami berpelukan. Untuk apa airmata itu gugur, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Banyak yang telah berlaku di antara kami sepanjang hampir 10 tahun usia persahabatan. 


Semoga Ikhlas berbahagia bersama suami di bumi asing tapi bakal menjadi 'rumah'nya untuk beberapa tahun mendatang. 

Aku pula segera bertolak ke pejabat dan sempat punch-in pada jam 8.27 pagi. Fuh! 

Wednesday, September 17, 2014

Cerita Hari Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim...

Selamat Hari Malaysia.

Kami bangun awal, bersiap untuk ke kebun Abah. Misi utama adalah mengutip buah dokong. Ini hasil pertama selepas beberapa tahun Abah menanamnya. Takjub pun ada juga sebenarnya melihat buah2 dokong memenuhi dahan. 


Yang paling seronok dan teruja tentulah anak2 buahku. Seronok melihat kerenah mereka menikmati suasana di kebun. Untunglah mereka berpeluang merasai pengalaman berada di dalam kebun datuk sendiri. 


Jenuh juga kami mengutip buah2 dokong yang memang sangat lebat. 


Anak buahku, Adeef, memang suka memanjat. Suka benar dia dengan cerita Spiderman. Jadi bila aku suruh dia panjat dan petik buah, memang macam orang mengantuk disorongkan bantal jadinya dia. Laju kaki memijak anak2 tangga dan memetik buah2 dokong. Aku pula memegang bekas sambil berdiri memerhati pergerakannya. Anak lelaki kena berani panjat pokok. Kalau tak, malulah dengan Maklong yang masa kecil selamba panjat pokok. Sekarang pun sebenarnya kalau kena tempat, memanjat juga hehe. 



Hasilnya, berguni2 buah dokong berjaya kami kutip dan itupun masih banyak yang belum dikutip. Memang tahun ini pokok2 di kebun Abah benar2 menjadi. Bermula dengan durian, rambutan, pulasan, cempedak dan sekarang dokong. Semua untuk dimakan sendiri sahaja dan bukan untuk dijual. Malah pernah Abah jemput saudara mara untuk datang menikmati buah2an di kebunnya sebelum ini. 

Berbakti kepada tanah memang tidak pernah merugikan...




Sunday, September 14, 2014

Kembara Sentap

Bismillahirrahmanirrahim...

13 September 2014 - Semalam aku dan Arab meluangkan masa menziarah seorang sahabat yang sama2 memasuki perkhidmatan. Tahun ini genap 10 tahun usia kami berada dalam perkhidmatan dan itu bermakna sudah 10 tahun juga kami menjalinkan persahabatan.

Sudah beberapa kali aku berhajat untuk menjenguk Idawati (kami panggil Idawa), namun ia sering terhalang. Lalu bila diajak oleh Arab untuk pergi bersama dan selepas mendengar cerita daripada teman2 yang sudah mengunjunginya lebih awal, hati aku nekad untuk menziarahnya dengan segera. 

Kami mulakan perjalanan sekitar jam 10.30 pagi meskipun pada awalnya kami berjanji untuk bertolak pada jam 9 pagi. Namun memahami keperluan Arab yang perlu menguruskan anak2nya terlebih dahulu, aku sudah membuat persediaan mental untuk tidak terlalu rigid dengan perancangan awal kami. Objektifnya adalah untuk menziarah sahabat dan bukan selalu kami dapat peluang untuk meluangkan masa bersama berdua begini untuk jarak perjalanan yang jauh seperti dahulu. Justeru, nikmatilah ruang waktu yang Allah berikan ini dengan sebaik mungkin. 

Seperti dijangka, trafik agak sesak kerana ia permulaan cuti sekolah. Kami cuba lari daripada fokus kepada keadaan trafik dengan berbual pelbagai topik. 

Awalnya kami bercadang untuk pit stop di R&R Tapah tapi melihat kepada keadaan trafik yang tidak menampakkan ciri2 akan mereda, kami memutuskan untuk exit di Sungkai dan melalui jalan dalam sahaja. Di samping itu, perut kami juga sudah mula berkeroncong minta diisi dan hajat kami juga adalah untuk mencari tempat makan bersesuaian yang ditemui dalam perjalanan. 

Akhirnya kami exit di Bidor dan memasuki pekan Bidor untuk mencari tempat makan. Namun hasrat kami tidak kesampaian apabila tidak memenuhi tempat makan yang kena di hati kami. Lucunya aku dan Arab mempunyai satu perangai yang sama bila mencari tempat makan. Jujur kami tidak kisah makan di mana2 pun asalkan bersih dan halal tapi selalunya soalan kami sebelum memutuskan untuk makan di situ atau tidak adalah, 

"Amacam beb? Hati kata apa? Ok ke tak?"

Kalau Arab jawab tak, maka itulah juga sebenarnya rasa hati aku. Rasa2 hati agak tak selesa dan tak berapa nak selesa, adalah lebih baik bagi kami untuk beredar dan cari tempat makan lain. 

Kemudian kami melalui pekan Tapah dan Kampar. Hal yang sama juga berlaku apabila tiada kedai yang kena di hati kami atau sebenarnya kami yang tidak pandai mencari haha. Lagipun kami sebenarnya sedang mengejar waktu untuk tiba ke rumah Idawa dan itupun objektif sebenar perjalanan kami. 

Percaturan Allah sebenarnya menetapkan kami untuk makan di kawasan berhampiran RTC Gopeng. Mulanya kami singgah ke kafeteria RTC tetapi apabila mendapati hanya 1@2 buah kafe sahaja yang beroperasi, kami menukar haluan. Bukan cerewet tapi sekali lagi, ia tidak kena di hati kami. Tertulis kami sebenarnya akan makan di restoran Sinar Iman yang terletak di blok2 kedai bersebelahan RTC. Pilihan lauknya lebih banyak, suasana lebih tenang dan harganya juga berpatutan sehingga ada orang minum 2 mangkuk laici kang haha. Makanlah sahabat, waktu makan kita pun memang dah terlajak gila. Masa tu dah pukul 2.30 petang tapi mujur masih belum sampai tahap lapar menggigil. 

Sebenarnya, jarak perjalanan ke rumah Idawa sudah tidak jauh dari RTC Gopeng. Perasaan kami? Bercampur baur apabila mengetahui yang kami semakin menghampiri rumahnya. Alhamdulillah pencarian kami dipermudahkanNya apabila kami tiba di rumah Idawa sekitar jam 3.30 petang. 

Kedatangan kami disambut oleh adik Idawa yang kemudian memaklumkannya kepada Idawa. Sengaja kami tidak memberitahu kedatangan kami kerana tidak mahu menyusahkan keluarganya membuat apa2 persediaan makan minum pula. 

Aku kuak pintu bilik Idawa. Dia berpaling tersenyum dalam kepayahan. 

"Asaalamualaikum Idawa, kenal kiteorang tak?"

Itu soalan pemecah suasana yang aku lontarkan kepada dia. Dalam senyuman yang masih terukir, Idawa menjawab,

"Mestilah ingat. Aku kalau tengok dia ni mesti teringat Husnul Khotimah."

Sentap! 

Nyata Idawa masih ingat gelaran yang dia berikan kepada aku sewaktu kami sama2 berkursus 10 tahun yang lalu. Kata Idawa, nama aku Karimah susah nak sebut, jadi dia panggil aku Husnul Khotimah. Ia satu doa buat aku malah itulah hasrat kita semua, pengakhiran yang baik.

Aku dan Arab mengambil posisi dengan Arab duduk di kerusi dan aku bertenggek di atas katil Idawa. Melihat kegembiraan Idawa menerima kedatangan kami meskipun dalam kepayahan menahan sakit, aku terus diselimuti dengan pelbagai perasaan. 

Aku cuba menutup perasaan bercampur baur itu dengan gelak dan tawa dengan harapan ia akan berkurangan. Sungguh aku kagum melihat ketabahan Idawa menerima dan melalui dugaan Allah itu. Sekali sekala Idawa batuk kuat apabila terlalu banyak bercakap. Pelbagai soalan ditanya kepada kami tentang keadaan kawan2 walhal kami datang untuk menjenguk keadaan dia.


Sesekali Idawa menghulurkan tangannya yang kurus kering kepada aku untuk berpaut agar dia dapat mengalihkan badan yang kepenatan kesan terlalu lama berbaring.

"Dulu gunung2 tinggi semua aku panjat. Sekarang nak berjalan ke toilet yang dekat tu pun payah."

Sentap lagi! 

Tidak sampai hati sebenarnya untuk aku terus menceritakan keadaan Idawa. Yang pasti, dia insan terpilih yang Allah berikan dugaan hidup yang begitu hebat demi untuk menaikkan martabat dia di sisiNya. Mendengar kisah Idawa membuatkan aku merasa sangat kerdil dan insaf bahawa jika dibandingkan dengan dugaan yang sedang dilalui oleh Idawa, dugaan untuk aku ini tidaklah sebesar mana pun. Belajarlah melatih diri untuk menebalkan rasa syukur dalam diri dan pasakkan dalam hati bahawa Allah tidak akan membebankan kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita tanggung. Allahu Akbar!

Kami bertolak pulang sekitar jam 5 petang dengan harapan dan doa semoga Idawa dan keluarga akan terus tabah mengharungi dugaanNya ini. Sebagai sahabat, kami akan terus mendoakan dan yakin bahawa keajaiban bisa berlaku jika Allah mengkehendakinya meskipun seluruh dunia mengatakan penyakit kanser darah itu tiada penawarnya lagi. Kun fayakun! 

Alhamdulillah perjalanan pulang kami lancar dengan trafik tidak sepadat pagi tadi. Sempat juga kami singgah di R&R Tapah membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang. Malah kami juga sempat singgah di Cyberjaya untuk makan malam sebelum pulang ke destinasi masing2. Perjalanan yang penuh cerita dan pengajaran buat kami.


Tuesday, September 9, 2014

Lambaian Kaabah

Bismillahirrahmanirrahim...

Musim Haji 1435H sudah bermula. Jemaah dari seluruh pelusuk dunia sudah mula membanjiri kedua Tanah Suci. Sayu hati ini hanya Allah yang Maha Tahu. Kapan tiba giliran ini untuk menyempurnakan Rukun Islam yang kelima?


Aku berdoa semoga saat itu tiba sebelum usia mencecah 40 tahun agar dapat melaksanakannya dalam keadaan tubuh badan yang masih sihat.

Semoga semua para jemaah yang menunaikan haji pada tahun ini juga akan mendapat haji yang mabrur. 

Amin ya rabbal alamin.