Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, August 11, 2014

Jom Beraya

Bismillahirrahmanirrahim...

10082014 - Jika diikutkan hati, memang aku ingin bersantai di rumah sahaja tetapi apabila mengenangkan yang jemputan sudah diterima, digagahkan juga diri untuk bersiap dan bertolak memenuhi jemputan. Aku selalu berfikir yang menerima jemputan bermaksud kita masih diingati oleh si pengundang. Justeru, ia perlu dan sebenarnya wajib dipenuhi jika tiada sebarang keuzuran. Ada 3 undangan yang perlu aku penuhi iaitu di Bandar Baru Bangi (BBB), Putrajaya dan Ampang. Awalnya aku merancang untuk ke Ampang terlebih dahulu, kemudian ke BBB dan akhirnya ke Putrajaya. Namun di saat2 akhir, aku putuskan untuk ke BBB terlebih dahulu dan kemudian ke Ampang sebelum ke Putrajaya. 

Dari BBB, aku memilih laluan Lebuhraya Kajang-Cheras, Pekan Batu 9 Cheras dan melalui Look Out Point untuk ke Ampang. Agak jauh sebenarnya tapi aku rela untuk mengelakkan kesesakan di MRR2. 

Ternyata perancangan Allah jauh lebih hebat. Pertukaran destinasi dan laluan membawa aku kepada mini reunion bersama2 kawan2 Alumni MRSM Muar. Aduhai seronok hati bukan kepalang dapat bertemu dan berbual2, bertukar2 cerita bersama mereka. 

Jika tadi aku tidak menukar perancangan, sudah pasti aku tidak akan berpeluang bertemu mereka. Aku belajar untuk lebih meyakini setiap ketentuanNya kerana pasti ada hikmah di sebalik ketetapanNya itu. 



Kami berpisah sekitar jam 5.15 petang dan aku meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir untuk beraya iaitu di Putrajaya. Sempat juga singgah solat Asar di Masjid UPM dan alhamdulillah laluan MRR2 juga sudah mereda. 

Usai beraya di Putrajaya, aku singgah ke Masjid Tuanku Mizan @ Masjid Besi untuk menunaikan solat Maghrib dan akhirnya kembali ke Masjid UPM untuk solat Isyak. 

Maka nikmat Allah yang manakah yang ingin kamu dustakan? 

Alhamdulillah.

Sunday, August 10, 2014

Kisah Kuala Langat

Bismillahirrahmanirrahim...

09082014 - Badan sudah keletihan tetapi mata masih belum mahu lelap. 
Apa tidaknya, perjalanan bermula di Serdang->Gombak->Kuala Langat/Banting->Gombak->Serdang. 
Motif? Menemani adik2. 
Turut menemani adalah Geng Rambut Kerinting (Izzani dan Sara) dan mereka adalah penceria suasana.
Puas 'bergaduh' dengan mereka di sepanjang perjalanan. 





Yang penting, misi kami tercapai dan selamat tiba di destinasi masing2. 

Tuesday, August 5, 2014

Rindu Tak?

Bismillahirrahmanirrahim...

Gila tak rindu.
Ya, aku rindu gila dengan bulan Ramadhan. 
Rasa sayu je hati ini. 
Pada bulan itu ada kedamaian dan ketenangan.
Itu fitrah kita semua.
Inginkan kedamaian dan ketenangan dalam kehidupan.
Teringat aku kepada kata2 seorang ustaz bahawa ketenangan dan kedamaian itu sifat syurga.
Kini kehidupan kembali kepada asal tetapi momentum Ramadhan perlu dikekalkan. 
Jom puasa 6 kerana pahalanya seumpama berpuasa sepanjang tahun.

Sunday, August 3, 2014

Kepala Paip

Bismillahirrahmanirrahim...

Kejadian berlaku betul2 masa aku nak bertolak balik raya pada hari Sabtu minggu lepas. Bersembur air keluar dan panik juga aku sekejap tak tahu apa nak buat sebab memang tak jangka langsung nak jadi macam tu. Mujur adik aku, MakTeh, bagi idea untuk tutup kepala paip yang salurkan air ke situ. Itu jalan penyelesaian paling mudah yang dapat difikirkan sebab memang dah nak bertolak balik kampung. 

Hari ini aku meronda cari kedai hardware untuk beli kepala paip baru dan juga peralatan berkaitan. Mujurlah dah ada kedai yang buka walaupun hari Ahad. Sepatutnya aku beli paip warna biru supaya sama dengan paip sedia ada tapi aku dah malas nak cari kat kedai lain. Redha je warna paip lain2 asalkan boleh berfungsi sebab malam ni nak buat operasi basuh kain. 


Mudah je nak tukar kepala paip ni dengan syarat semua peralatan mencukupi. Masa kecil2 dulu kami selalu tengok Abah buat kerja2 pertukangan dan pasang paip dalam rumah. Sedikit sebanyak membantu juga pengalaman tu bila kami dah dewasa.


Biarkan kepala paip tu betul2 melekat dulu untuk beberapa jam sebelum air disalurkan ke situ dan operasi basuh kain boleh dimulakan.

Bila difikir2kan semula, nasib baik juga kepala paip tu tercabut betul2 masa aku masih ada di rumah. Bayangkan kalau tercabut masa aku dah balik dan air memancut2 selama seminggu. Tak dapat dibayangkan apa yang bakal terjadi. Yang pasti, keadaan pasti lebih teruk. Justeru, syukur atas setiap ketentuanNya kerana ia pasti yang terbaik buat kita. 


Kembali Berpeluh

Bismillahirrahmanirrahim...


Pagi ini aku paksa diri untuk menunaikan janji kepada diri sendiri. Kembali ke trek larian seperti rutin sebelum Ramadhan. Mengejutkan apabila aku berjaya memecahkan rekod larian sendiri. Ya, aku lebih suka bersaing dengan diri sendiri kerana aku percaya setiap orang punya keupayaan yang berbeda. Berusahalah memenuhi piawai sendiri untuk mengelakkan tekanan. Love what you are doing! 


InsyaAllah, selepas ini akan kembali aktif membakar lemak setiap hari selepas waktu kerja demi mencapai target berat ideal pada hujung tahun ini. Ya, aku yakin boleh melakukannya! Sungguh, aku serik memiliki berat badan berlebihan dan tidak cakna kepada keselesaan diri sendiri. Sayangi diri sendiri sebelum menyayangi diri orang lain. Paling penting, perbetulkan niat kerana itu titik penentunya. Bagi aku, niatnya adalah untuk mudah ibadah dan tidak membebankan hidup orang lain jika aku ditimpa sakit. Cantik hanya bonus dan kecantikan dalaman adalah lebih utama. 

Jom sihat! 


Cik Sara

Bismillahirrahmanirrahim...

2 Ogos 2014 - Dalam perjalanan pulang tadi, Cik Sara (CS) banyak menghabiskan masa di dalam kereta MakLong bersama MakTeh. CS meronta2 enggan masuk ke kereta papa dan mamanya. 



Akhirnya, sebelum berpisah selepas makan malam, CS sekali lagi meronta2 enggan masuk ke kereta papa mamanya. Kali ini MakLong terpaksa cekalkan hati lihat CS menangis di pangkuan mamanya sambil meronta2 ingin keluar dari kereta kerana haluan kami berbeza.

Budak ini suka bikin hati MakLong meruntun dengan keletahnya yang spontan. Sampai waktu kita ketemu lagi ya CS. 

Kembali Ke Kota

Bismillahirrahmanirrahim...

2 Ogos 2014 - Indahnya beraya di kampung tapi kehidupan harus diteruskan. Kembali kepada realiti. 


Selamat sampai ke teratak masing2 selepas berkonvoi 2 buah kereta sejak jam 9 pagi dari kampung. Agak lewat tiba sebab banyak pit stop sepanjang perjalanan. Mula2 kami singgah di kebun, kait, pungut dan angkut durian, rambutan dan cempedak. Berpeluh2 seluruh badan. Digagahkan juga demi untuk tak menghampakan usaha Abah Ummi mengusahakan kebun sejak dari kami kecil lagi. Ini hasil pertama yang benar2 menjadi. Akhirnya penuh bonet kereta2 kami malah memenuhi tempat duduk belakang juga. 




Pit stop kedua adalah Pantai Chendor di Kemaman untuk makan tengahari. Bekalan makanan yang gigih aku masak sejak malam tadi memang kami dah bawa siap2. Bukan apa, masih belum banyak restoran yang beroperasi (mungkin masih sibuk beraya) dan tak gemar bersesak2 dengan orang ramai. 


Pit stop ketiga adalah Kuantan iaitu rumah bapa saudara yang kami panggil AyahDe yang juga merangkap abang kandung kepada Ummi. Hampir sejam juga kami singgah beraya dan bertanya khabar AyahDe dan keluarga. 


Pit stop seterusnya adalah Tol Lanchang untuk solat jamak Zohor&Asar. Sengaja kami elakkan untuk berhenti di mana2 R&R kerana tahu kesesakan yang berlaku di situ setiap kali cuti perayaan atau cuti persekolahan. 

Dari situ, kami putuskan untuk melalui jalan dalam sahaja dengan bantuan Waze kerana tidak sanggup meredah kesesakan di Lebuhaya Karak seperti tahun2 sebelumnya. 

Cubaan kami berjaya meskipun laluannya agak bersimpang siur. Yang penting kami mencuba kelainan dan selamat sampai ke destinasi serta tidak perlu membayar tol. 



Laluan tersebut membawa kami ke Kampung Sungai Rumput Gombak dan kami sempat solat jamak di Masjid Zakaria Batu 8 1/2. 

Pit stop terakhir kami adalah Restoran Wina Seafood & Tomyam di Taman Batu Muda, Batu Caves. Usai makan malam, kami berpisah menuju haluan masing2. 

Rasanya ini perjalanan pulang selepas perayaan yang paling santai buat kami. Jika tidak, kami sering kepenatan meredah kesesakan yang seolah2 tidak berkesudahan di samping 'berperang' dengan manusia2 yang suka menggunakan laluan kecemasan sehingga menambahkan lagi kesesakan sedia ada. 

Saturday, August 2, 2014

Beraya Di Kebun

Bismillahirrahmanirrahim...

Tahun ini buat pertama kalinya, pokok2 di kebun yang diusahakan oleh Abah sejak dari kami kecil lagi telah membuahkan hasilnya. Memang berbudi pada tanah tidak pernah merugikan. 



Hampir setiap hari, tidak kira siang atau malam, kami ke kebun mengutip buah durian yang gugur dan buah2an lain iaitu cempedak, rambutan dan pulasan. Anak2 saudara yang gemar makan durian juga bukan main seronok lagi dapat makan durian terus dari kebun. 



Nampaknya selepas ini kenalah kami balik kampung lagi sebab pokok dokong dan manggis juga sudah mula berputik dan menunggu masa untuk masak. 


Kadang2 bila difikir2kan semula, rasa macam tak percaya pun ada juga. Kebun ini dulu adalah taman permainan kami di zaman kanak2. Hampir setiap petang kami dikerah ke sini, menebas dan membersihkan kebun. Lebih menarik, Abah suruh kami tanam sendiri sepohon pokok sebagai tanda. Aku sendiri sudah lupa  pokok apa yang  ditanam tapi kata Abah, aku tanam pokok manggis dan hasilnya bakal menyusul. 


Benarlah orang tua fikir jauh. Apa yang ditanam bukan dinikmati sendiri tapi untuk anak cucu seterusnya.