Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, July 27, 2014

Kisah Balik Raya

Bismillahirrahmanirrahim...

26 Julai 2014 - Alhamdulillah selamat sampai ke kampung halaman selepas menempuh perjalanan yang agak panjang daripada biasa. 



Memulakan perjalanan pada waktu tengahari, singgah solat jamak taqdim Zohor&Asar di Masjid Al-Khairiyah, Gombak berikutan trafik yang sangat sesak menuju ke Tol Gombak. Kembali meneruskan perjalanan dan mengambil masa hingga 4 jam untuk melepasi Tol Bentong. Biasanya hanya mengambil masa 45 minit - 1 jam sahaja pada waktu bukan perayaan. Perjalanan melalui LPT lancar tetapi kami exit di persimpangan Kuantan kerana maklumat trafik melaporkan kesesakan di Tol Jabor. 


Hikmahnya kami sempat singgah di Masjid Al-Makmur, Kuantan untuk berbuka puasa dan menikmati hidangan yang disediakan oleh pihak Masjid. Perjalanan diteruskan usai solat jamak taqdim Maghrib&Isyak. 


Terperangkap dalam kesesakan lagi di Lebuhraya Jabor-Kemaman apabila berlaku tanah runtuh di LPT2 menyebabkan semua kenderaan diarah berpatah balik ke laluan pantai. 2 jam terperangkap akhirnya laluan dilencongkan oleh polis melalui jalan lori balak yang masih aktif. 



Keluar di persimpangan Kampung Sungai Ular dan meneruskan perjalanan dengan lancar sehingga tiba di destinasi. Tempoh keseluruhan perjalanan adalah 12 jam. Kecapekan yang amat tapi syukur kerana selamat tiba tanpa sebarang musibah dan paling utama, dapat tunaikan kewajipan padaNya dengan baik dan selesa. Masa untuk beradu. #ramadhan #bakariansfamily #luahanrasa #syawal1435H #balikkampung

Monday, July 21, 2014

Abah Ummi Pulang

Bismillahirrahmanirrahim...

Tengahari tadi Abah Ummi pulang ke kampung selepas 2 hari bersama kami di KL. BaYu menjemput aku di pejabat dan kami terus ke KLIA. Dalam perjalanan, PakSoo memaklumkan yang dia juga sedang dalam perjalanan ke sana. 


Ini aksi Sara sebelum 2 kali menangis kerana ingin mengikut To'ki dan To'Wan naik kapal terbang dan kemudian ingin  mengikut MakLong pula. Kasihan dia. Nanti kita jumpa lagi ya MakLong bawa jalan2.


Penat tapi puas hati dapat bawa Abah Ummi jalan2 bersama anak2 dan cucu2 walaupun di bulan puasa. Itu cara aku 'memberitahu' mereka yang kami di sini tidak pernah melupakan mereka meskipun dipisahkan oleh jarak dan laluan kehidupan masing2. 

Jelajah Iftar

Bismillahirrahmanirrahim...

Pejam celik pejam celik, hari ini sudah 29 Ramadhan dan mungkin akan jadi hari terakhir berpuasa sebelum Syawal menjelma. Waktu menulis entri ini pun aku sudah tiba di kampung halaman selepas menempuh perjalanan yang agak mencabar dan pengalaman itu akan aku kongsikan dalam entri seterusnya.

Ramadhan kali ini memang berbeza. Aku nekad memastikan ia dimaksimakan sebaiknya agar menjadi lebih baik daripada tahun2 sebelumnya. 

Aku pasang niat untuk menunaikan solat terawih sepenuhnya. Untuk realisasikan hasrat ini, sedaya upaya aku cuba mengelakkan diri daripada berbuka di tempat2 yang menyukarkan aku untuk solat. Lantas aku putuskan untuk berbuka puasa sepenuhnya di Masjid Putra sahaja pada hari bekerja dan di masjid2 lain pada hujung minggu. 

1. Masjid Putra

Sebenarnya, Masjid Putra sudah menjadi lokasi tetap aku untuk berbuka puasa sejak beberapa tahun yang lalu. Namun ada juga masa2 tertentu aku memenuhi jemputan kawan2 untuk berbuka puasa bersama di restoran atau hotel sehingga terpaksa mengorbankan solat terawih berjemaah demi memenuhi permintaan tersebut. Kali ini aku terasa benar2 rugi jika gagal memanfaatkan peluang yang telah diberikan oleh Allah kepada aku untuk melalui Ramadhan pada tahun ini kerana ramai juga yang tidak sempat bertemu dengan Ramadhan pada kali ini dan ada sebahagian pula yang pergi menemuiNya sebelum sempat Ramadhan berakhir. 

Antara sebab aku gemar berbuka di sini adalah kerana sistemnya yang teratur dan pengurusan masa yang menyelesakan jemaah.

Sebaik azan Maghrib berkumandang, jemaah berbuka puasa dengan juadah kurma dan kuih yang dikongsi 4 orang. Hidangan berat disediakan kepada jemaah sebaik selesai solat Maghrib. Sementara menunggu waktu Isyak pula, jemaah mempunyai masa mencukupi untuk mengisi masa dengan membaca Al-Quran. 

Solat terawih pula akan didirikan usai solat Isyak berjemaah. Begitulah setiap hari dan ia tidak pernah menjemukan. Aku punya sebab peribadi menyukai masjid ini dan ia hanya akan difahami bagi yang pernah menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi. Jujur setiap kali masuk dan keluar dari Masjid Putra, aku terasa persis melangkah ke perkarangan Masjid Nabawi dan ia sedikit sebanyak dapat mengubat rinduku terhadap Masjid Nabawi. 




2. Masjid Naza TTDI, Seksyen 13, Shah Alam

Ini masjid pertama yang aku kunjungi pada hujung minggu. Keinginan timbul untuk menjejakkan kaki ke sini apabila mendapat tahu kewujudannya yang masih baru selain merasai suasana berbuka puasa dan terawih di sini. Masjid ini dibina atas sumbangan Naza dan terletak tidak jauh daripada pejabat pengurusan Naza TTDI Shah Alam. 

Sumber: Google

Sumber: Google

Melilau juga aku mencari kedudukan masjid ini tetapi berbaloi apabila melihat rekabentuknya yang moden dan luas. Ruang mengambil wuduk yang banyak dan tertutup serta kemudahan yang baik disediakan kepada jemaah. Terdapat sedikit  kelainan di sini apabila hidangan berat terus disediakan kepada jemaah berbanding masjid2 lain yang menyediakan hidangan berat selepas solat Maghrib secara buffet. Paparan masa secara elektronik menyatakan baki waktu yang tinggal sebelum iqomah dan solat ditunaikan, memberi cukup masa kepada jemaah untuk menikmati hidangan dengan tenang. 


Waktu aku tiba sekitar jam 7 malam, hidangan sudah disusun di atas meja dan jemaah boleh duduk di mana2 kerusi yang diasingkan antara jemaah lelaki dan wanita. 

Kemudian solat Maghrib, Isyak dan Terawih ditunaikan secara berjemaah sehingga selesai dan diakhiri dengan moreh. Secara keseluruhan, aku berpuas hati dengan kemudahan2 dan pengurusan di sini dan jika berkesempatan, aku pasti akan datang lagi ke sini. 

3. Masjid KLIA

Sumber: Google

Di sini, pengalaman sedikit berbeza apabila tiada pengasingan tempat duduk antara jemaah lelaki dan wanita semasa berbuka puasa menyebabkan aku merasa sedikit kekok. Di samping itu, solat terawih hanya didirikan sebanyak 8 rakaat sahaja dan disusuli dengan 3 rakaat solat witir. 

4. Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong

Ini masjid ke4 yang sempat aku kunjungi untuk berbuka puasa pada hujung minggu malah masjid ini sebenarnya menjadi lokasi wajib yang perlu aku jejak sekurang2nya sekali dalam setiap bulan. Justeru aku teringin untuk berbuka puasa di sini dan ia merupakan pengalaman kali ke2 berbuka di sini selepas kali pertama pada tahun lepas. 

Pengalaman kali ke2 memang jauh lebih baik. Mungkin kerana tahun lepas merupakan kali pertama pihak Masjid menguruskannya menyebabkan berlaku sedikit kekurangan dalam pengendaliannya, kali ini persediaan mereka menjadi lebih baik dan memuaskan hati jemaah. 

Banyak kemudahan telah disediakan oleh pihak Masjid untuk keselesaan dan kemudahan kepada para jemaah. Antaranya kemudahan vending machine dan kerusi urut elektronik pada harga yang berpatutan telah ditempatkan di dalam kawasan Masjid. 


Bagi tujuan berbuka puasa pula, pek mengandungi kurma dan kuih muih diedarkan kepada jemaah. Ini merupakan pengalaman pertama bagi aku melihat pek sebegini kerana di masjid2 lain menghidangkannya di dalam pinggan. 



Pada hari tersebut juga, pihak Masjid turut mengaturkan kerjasama penganjuran kempen derma darah bersama pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. 


Di samping itu, kemudahan khemah dan tempat duduk yang selesa disediakan kepada para jemaah dan ia menambahkan lagi kekaguman aku terhadap pengurusan Masjid ini. Memang jauh bezanya dengan masjid2 lain yang pernah saya kunjungi. 



Itu adalah 4 masjid yang sempat aku jejakkan kaki pada Ramadhan kali ini. Semoga ia menjadi saksi di hadapan Allah kelak yang aku pernah menjejakkan kaki, tunduk dan sujud di situ. 







Thursday, July 17, 2014

Malam2 Kemuncak

Bismillahirrahmanirrahim...


Debaran sudah bermula.
Malam ini titik mulanya.
Ruang meraih keampunan sudah terbuka.
Ayuh kita rebut ia.
Biar ia jadi yang terbaik andai ini Ramadhan terakhir buat kita.
Jangan biar ia jadi sia2.
Kerna tak semua bisa bertemu dengannya.
Salam iktikaf! 

Monday, July 14, 2014

Nekbat

Bismillahirrahmanirrahim...


Ini pula pemanis mulut tahap lejen juga. Nekbat. Ya, itu namanya. Aku tak tahu apa asal usul kuih ini tapi sejak dari aku kecil sampailah sekarang, Ummi wajib beli kuih ni sepanjang bulan Ramadhan. Kuih ni pula memang hanya dijual pada bulan puasa sahaja dan juga hanya terdapat di negeri2 Pantai Timur sahaja. 

Cara nak masak nekbat memang sangat mudah. Hanya panaskan gula dan air serta daun pandan. Bila gula dah larut, masukkan nekbat satu persatu sehingga kembang. Bila dah kembang, angkat dan simpan di dalam peti sejuk. Boleh dimakan semasa buka puasa dan sahur. Aku perhatikan yang Abah memang suka makan nekbat ni waktu buka puasa dan penutup sahur. 

Kadang2 aku terfikir. Berapa lama kuih ni mampu bertahan sebab generasi muda macam aku pun dah kurang membeli dan makan kuih2 tradisional?

Karipap Lejen

Bismillahirrahmanirrahim...


Buatan tangan. Dibawa khas dari kampung. Harga? RM8 untuk 100 biji. Ok, sila pitam.

Karipap ni aku anggap tahap lejen sebab dibuat oleh mak saudara (kakak Abah - kami panggil MokCik Nik) sejak dari dulu lagi. Dikelim sendiri dengan tangan, bukannya dengan acuan. Kali ini aku teringin nak makan karipap tu. Lalu aku minta Ummi untuk tempah dengan MokCik Nik dan bawa ke KL. Ummi bayar RM30 sebab tak sampai hati dengan harga yang MokCik Nik bagi tu. Memang pun. Sekarang mana ada orang jual karipap kurang 10 sen sebiji. Harga standard sekarang adalah 40 sen sebiji. 

Sempat goreng sebahagiannya semasa iftar keluarga dan selebihnya dibuat stok untuk Ramadhan. 

Iftar Keluarga

Bismillahirrahmanirrahim...

12.07.2014 - Ia tradisi yang ingin aku kekalkan pada setiap tahun demi kesinambungan silaturrahim iaitu iftar bersama ahli keluarga. Jika tahun2 sebelum ini, aku hanya mengajak adik2 untuk berbuka puasa bersama, tahun ini hati aku begitu ingin agar Abah Ummi turut serta meskipun kami sudah pulang menyambut 1 Ramadhan di kampung. Lalu aku import mereka untuk datang ke KL dengan laluan udara. Sengaja aku minta mereka naik kapal terbang kerana tidak mahu mereka kepenatan memandu ke sini. 

Secara kebetulan, tarikh tersebut jatuh pada hari lahir Nur Qaisara Aminah yang ke2. Aduhai cepatnya masa berlalu. Terasa baru sahaja menyambut ulangtahun pertama kelahiran Sara dan kini menyambut ulangtahun ke2 pula. 


Majlis bermula dengan bacaan yaasin yang diketuai oleh Abah sebaik BaMa dan keluarga tiba. Ya, tidak semua adik beradik dapat hadir kerana faktor jarak.

Usai berbuka puasa, majlis diteruskan dengan acara potong kek. Lucu melihat keletah Sara yang teruja untuk memotong kek. Entah dia faham atau tidak tujuan sambutan itu diadakan. Yang pasti, dia sangat2 teruja. 


Kali pertama tengok orang tiup lilin sampai terkena bibir. Mujur tak melecur dibuatnya. Sara oh Sara! Apapun, MakLong doakan Sara menjadi muslimah solehah yang berjaya dunia dan akhirat.


13.07.2014 - Agenda hari ini adalah membeli belah di Kenanga Wholesale City. Kononnya nak bertolak jam 8 pagi untuk elakkan traffic jam. Sudahnya, jam 11 pagi juga baru kami bertolak ke sana. Orang memang ramai tetapi mujur masih ada ruang parking yang tersedia dan kami tidak perlu membuang banyak masa mencarinya. 

Bila ke tempat yang ramai orang, aku sangat2 memberi keutamaan kepada waktu solat. Apabila masuk sahaja waktu, segeralah tunaikannya. Satu, untuk elakkan berebut2 di saat2 akhir dengan orang lain. Dua, hati jadi lebih tenang untuk membeli-belah sebab tahu urusan wajib sudah dilangsaikan. Telahan aku nyata benar sebab sebaik kami selesai solat, kelihatan ramai yang mula memenuhi surau. Syukur pun ada juga kerana itu tandanya masih ramai rakyat Malaysia yang solat. 

Tak banyak yang kami beli kerana pening dan keliru tengok macam2 fesyen. Harga pun sebenarnya tidaklah terlalu murah sangat. Akhirnya jadi lebih kepada window shopping sahaja tapi Abah sempat juga sambar 2 helai baju batik. 

Kami beredar bila jam hampir 4 petang untuk elak kesesakan trafik. Lega apabila trafik lancar dan kami dapat melepasinya dalam tempoh masa yang singkat. 

Agenda seterusnya adalah mencari lokasi untuk berbuka puasa. Puas fikir. Akhirnya kami memilih sebuah restoran di Gombak. Marina Seafood. Kami buat tempahan awal dan pulang ke rumah untuk istirehat seketika dan solat Asar. Kami kembali untuk berbuka puasa pada jam 7.20 malam dan hidangan sudah pun tersedia di atas meja. 




Usai buka puasa, kami berjalan kaki ke masjid yang terletak tidak jauh dari situ untuk solat Maghrib. 

Kemudian kami berpisah, pulang ke rumah masing2 dan Abah Ummi bermalam di rumah adik kerana esok akan bertolak pulang ke kampung dengan penerbangan jam 2.45 petang. 

Aku harap Abah Ummi gembira bersama kami selama 2 hari ini meskipun agak meletihkan diheret ke sana ke mari. Biar letih dan penat, demi keluarga, aku rela. 



Thursday, July 3, 2014

Ramadhan 1435H

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, syukur masih diberi kesempatan olehNya untuk menjalani ibadah di bulan Ramadhan yang penuh barokah ini. Entah kenapa akhir2 ini sering kedengaran begitu banyak berita kematian baik insan yang dikenali mahupun tidak. Terkini, pemergian seorang kakitangan di pejabat lama yang meninggal selepas terjatuh sewaktu ingin menyeberang longkang ke bazar Ramadhan. Justeru, kesempatan dapat meneruskan kehidupan di bulan Ramadhan pada tahun ini adalah nikmat yang sangat2 disyukuri. 

Seperti rutin tahun-tahun terdahulu, aku dan adik-beradik mengambil peluang untuk menyambut 1 Ramadhan di kampung bersama Abah Ummi. Lebih memudahkan keadaan apabila 1 Ramadhan jatuh pada hari Ahad. Jadi kami tidak perlu mengambil cuti tambahan pula cuma kami terlepas untuk berbuka bersama kerana terpaksa bertolak pulang pada hari Ahad. Sempatlah kami bersahur beramai-ramai pada 1 Ramadhan. Kepulangan yang penuh warna-warni itu akan aku coretkan dalam entri2 akan datang jika berkelapangan dan mood untuk menulis timbul. Rasa ralat juga melihat senarai draf yang belum disempurnakan untuk disiarkan di dalam blog sedangkan bahan2nya sudah tersedia. Mungkin ruang senggang yang ada di bulan Ramadhan ini dapat digunakan untuk melunaskan 'hutang2' tersebut. 

Bagi aku, berbuka puasa di Masjid Putra sudah menjadi rutin pada setiap tahun. Malah aku lihat saban tahun jumlah yang datang ke situ juga semakin ramai termasuk yang berkeluarga. Mungkin mudah bagi mereka kerana tidak perlu menyediakan juadah selepas penat seharian di pejabat. Lebih seronok apabila dapat solat berjemaah bersama. Melihat suasana kemeriahan rakyat Malaysia mengimarahkan masjid-masjid pada bulan Ramadhan, sering membuatkan aku rindu kepada suasana di Tanah Suci. Manusia berbondong2 berjalan kaki ke masjid setiap kali mendengar laungan azan, meninggalkan urusan dunia buat seketika demi memenuhi panggilanNya. Indahnya jika amalan ini dapat dipraktikkan pada bulan2 lain juga. 

Antara keinginan aku semasa bulan puasa ini adalah untuk meneruskan aktiviti riadah sebelum berbuka puasa. Malangnya, sudah masuk 5 Ramadhan dan aku masih gagal untuk melakukannya. Alasan? Macam2. Aduhai nafsu, moga dapat ditawan. 

Selamat berbuka puasa dan berpesta ibadah!