Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, April 28, 2014

Kembara Rohani 2014

Bismillahirrahmanirrahim...

Syukur kerana telah diberi izin olehNya untuk kembali menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas 5 tahun berlalu. Perasaan adalah bercampur baur antara gembira, sedih, takut dan terharu. Kembara kami bermula pada 5 April 2014 dan selamat kembali ke tanah air pada 16 April 2014. Kembara kali ini benar2 meninggalkan kesan kepada saya secara fizikal dan mental kerana ini kembara saya yang pertama bersama Abah Ummi tanpa ahli keluarga yang lain dalam tempoh yang agak panjang. 

Saya rasa tidak perlu untuk menerangkan perjalanan kami secara terperinci kerana secara keseluruhannya ia sama dengan kembara2 yang pernah dilalui oleh jemaah2 lain iaitu dari segi perjalanan dan ritual ibadahnya. Namun ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan, yang dirasakan mungkin memberi pengajaran dan panduan bersama kepada insan2 lain. Seperti saya katakan tadi, perjalanan kali ini benar2 berbeza buat saya. Justeru, banyak peristiwa yang benar2 memberi kesan berlaku kepada saya sepanjang tempoh tersebut malah ada sesetengahnya terlalu peribadi untuk dikongsikan di sini. 






Perkara2 yang ingin saya kongsikan sepanjang kembara ini adalah:

1. Pemilihan tarikh - Bagi jemaah wanita, saya cadangkan agar tarikh kembara yang dipilih adalah dengan mengambilkira tarikh2 Allah Bagi Cuti (ABC) @ haram solat agar dapat memaksimakan masa di sana untuk tujuan ibadah. Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan saranan sesetengah ustaz/ustazah agar jemaah wanita mengambil pil tertentu untuk mengelakkan proses biologi berlaku sewaktu di sana. Bagi saya, segala ketentuan Allah mempunyai sebab2 tertentu dan perbuatan menghalangnya akan memberi kemudaratan kepada diri sendiri juga. Saya sendiri memilih tarikh2 yang sememangnya 'bersih' mengikut kitaran normal pada setiap bulan. Sekiranya selepas mengambil tindakan sewajarnya tetapi perkara tersebut tidak dapat dielakkan juga daripada berlaku, anggaplah ia sebagai rezeki daripada Allah kepada kita dan janganlah berasa sedih pula. 

2. Pemilihan pakej - Jika membawa orang tua atau anak kecil, pilihlah pakej yang menawarkan jarak hotel yang dekat dengan masjid. Bukan sahaja orang tua dan anak kecil yang akan tumbang atau tewas dengan jarak hotel yang jauh, kadang2 orang muda juga boleh tumbang. Tambahan pula jika orang tua jatuh sakit. Tidak sampai hati pula meninggalkan mereka di dalam bilik hotel begitu sahaja tanpa dijenguk dan ditanya khabar tentang makan minum. Ya, saya akui antara faktor saya memilih pakej kembara kali ini adalah kerana faktor harganya yang dirasakan berpatutan dan di dalam tahap kemampuan saya walaupun mereka sudah memaklumkan yang jarak hotel dan masjid adalah sekitar 800 meter. Saya 'lupa' yang kedua orang tua sudah semakin uzur dan kudrat mereka tidak lagi seperti dulu. Namun saya yakin segalanya sudah berada di dalam ketentuanNya jua dan segala kejadian yang berlaku selepas itu juga adalah sebagai pengajaran buat saya. Jika selepas ini Allah masih memberi izin kepada kami untuk hadir lagi sebagai tetamuNya, saya pasti tidak akan bertolak ansur dengan jarak hotel dan insyaAllah sanggup mengeluarkan belanja yang lebih untuk keselesaan bersama. 

3. Bekalan ubat2an - Bawalah bekalan ubatan asas seperti Panadol yang mencukupi daripada sini kerana harga ubatan di sana agak mahal malah sesetengah jenama yang ada di sini tidak terdapat di sana. Pengalaman saya sewaktu di sana, kedua ibu bapa mengalami sakit2 urat dan memerlukan rawatan segera agar tidak melarat. Lalu saya melilau mencari farmasi untuk mencari ubatan seperti Yoko2 yang mudah didapati di farmasi2 di Malaysia. Malangnya mereka hanya menjual ubatan berbentuk krim sahaja dan dimaklumkan bahawa produk seperti Yoko2 memang tidak dijual di sana. Saya tidak pasti sama ada ia tidak dijual kerana peraturan yang menghalangnya atau produk tersebut memang tiada dalam pasaran di sana. Malah beberapa buah farmasi yang saya kunjungi di sana menyatakan perkara yang sama iaitu produk berbentuk cecair tidak dijual di tempat mereka. 

4. Abah saya sudah berusia 68 tahun dan Ummi pula 60 tahun. Benarlah kata orang, kadang2 kita terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri sehingga kita lupa yang ibu bapa sudah semakin uzur. Mereka tidak lagi sekuat sewaktu membesarkan kita dahulu. Kesabaran saya diuji apabila kedua2 orang tua jatuh sakit sewaktu di sana dan saya terpaksa menghadapinya berseorangan. Ia jauh berbeza dengan kunjungan 5 tahun yang lalu apabila adik2 turut serta. Beberapa insiden berlaku kali ini namun ia terlalu peribadi untuk saya kongsikan kepada umum. Ringkasnya, cukuplah kalau saya katakan yang saya benar2 faham bahawa jasa ibu bapa melahir dan membesarkan kita tidak akan mampu dibalas walaupun setitik meskipun apa jua kebaikan yang kita lakukan seumur hidup ini. Jujur saya katakan, air mata saya mengalir setiap kali terkenangkan kejadian2 tersebut kerana ia menyedarkan saya tentang kelemahan2 diri yang perlu saya perbaiki selaku seorang anak. Rupa2nya saya ini masih belum cukup penyabar orangnya. Salah satu pengalaman yang mungkin boleh saya kongsikan adalah pengalaman menolak Ummi di atas kerusi roda daripada hotel ke Masjidil Haram kerana Ummi demam panas selepas menjalani ibadah umrah kedua. Kedudukan hotel pula agak jauh iaitu 800 meter dan ditambah pula dengan keadaan trafik yang agak sesak. Ya Allah, waktu itu saya benar2 berdoa kepada Allah agar memberi kesihatan yang baik kepada orang tua saya sehingga ke penghujung usia mereka kerana saya takut tidak mampu menjaga mereka sebaiknya malah berbuat dosa pula. Saya tabik kepada jemaah2 yang gigih menolak orang tua mereka di atas kerusi roda pada sepanjang masa. 

5. Kami dibawa untuk ziarah kota Madinah terlebih dahulu sebelum memasuki kota Mekah. Ya, jujur saya katakan yang saya lebih menyukai suasana di Kota Madinah berbanding kota Mekah. Barulah saya faham mengapa Baginda memilih untuk mewujudkan pusat pentadbiran di kota Madinah dan terus tinggal di sana sewaktu hayat Baginda malah Baginda akhirnya wafat di sana. Kedamaiannya jelas terasa di sana berbanding kota Mekah. Bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki ke kedua2 kota ini pasti akan memahami perasaan saya ini. 

6. Raudhah - Di dalam Masjid Nabawi, terdapat sebuah kawasan yang dinamakan Raudhah (bermaksud taman). Ia merupakan tapak asal masjid dan di situlah Baginda pernah solat dan akhirnya dimakamkan. Kawasan tersebut diliputi dengan karpet berwarna hijau sebagai perbezaan dengan kawasan lain. Setiap jemaah yang datang ke sini pasti akan mempunyai keinginan untuk solat di situ kerana ia seperti solat di dalam taman syurga dan doa pasti akan dimakbulkan olehNya. Bagi jemaah lelaki, waktu untuk solat di situ tidak terhad tetapi bagi jemaah wanita, 3 waktu dikhaskan iaitu pada sebelah pagi sekitar jam 7 - 11 pagi, selepas solat Zohor dan selepas solat Isyak. Saya memilih untuk ke sana pada sebelah pagi supaya mempunyai masa senggang yang panjang dan tidak tergesa2 mengejar waktu solat seterusnya. Untuk kunjungan pertama, selalunya pihak ejen akan menyediakan seorang mutawif wanita untuk memandu pergerakan sehingga selesai kerana keseluruhan perjalanan termasuk waktu menunggu boleh memakan masa sehingga 3 jam. Namun lama masa menunggu itu ada hikmahnya. Isilah ia dengan solat2 sunat dan membaca Al-Quran. Sungguh syurga itu mahal harganya. Air mata mengalir tanpa dapat ditahan2 lagi saat sujud di situ bersama Ummi. Bayangkan solat bersama ibu sendiri di dalam syurga. Subhanallah. Sebesar2 nikmat yang telah Allah berikan kepada saya. 

Tidak perlu berlama2 berada di dalam kawasan tersebut seperti yang dilakukan oleh sesetengah jemaah yang saya sifatkan 'degil' dan 'mementingkan diri sendiri'. Jujur saya katakan yang saat itu saya bangga menjadi rakyat Malaysia kerana sikap 'degil' dan 'mementingkan diri' itu tidak dilakukan oleh jemaah2 dari Malaysia. Sebaiknya usai solat sunat, segeralah beredar untuk memberi peluang kepada jemaah lain pula kerana ruang yang dibuka kepada jemaah wanita sangat sempit dan waktu pula agak terhad. Yakinlah bahawa Allah Maha Mendengar akan doa hamba2Nya. 


7. Sabar adalah kunci kepada segala2nya sepanjang berada di sana malah ia adalah terjemahan kepada realiti sebenar yang perlu dilalui dalam kehidupan seharian kita. Satu insiden yang tidak akan saya lupakan adalah semasa proses mendaftar masuk di Terminal Haji, Jeddah. Proses mendaftar masuk adalah secara berkumpulan dan jemaah kami seramai 47 orang perlu melakukannya serentak. Pada masa yang sama, terdapat jemaah lain yang jauh lebih ramai daripada kami akan turut sama mendaftar masuk. Bayangkan mereka tiba dengan 8 buah bas. Mujur kami tiba sedikit awal tetapi kelemahan pengurusan di pihak ejen menyebabkan kami terpaksa bersesak2 dengan jemaah yang ramai. Penerbangan kami adalah pada jam 3 pagi dan hampir kesemua jemaah adalah veteran. Mereka sudah kelihatan sangat letih termasuk Abah Ummi. Ummi pula mengadu kelaparan dan hanya ingin memakan nasi sahaja. Tanpa segan silu, saya bergegas mengambil nasi yang disediakan oleh pihak ejen walaupun telah dimaklumkan akan diedarkan kepada jemaah selepas selesai urusan daftar masuk. Kegagalan pihak ejen mengetuai urusan daftar masuk telah menyebabkan saya terpaksa bersuara dan bertindak menguruskannya sendiri. Malah saya terpaksa membantu jemaah2 veteran melengkapkan borang pelepasan mereka sehingga kepada tahap saya terpaksa menebalkan muka memotong barisan jemaah2 kumpulan lain kerana hanya dengan cara itu sahaja bagasi kumpulan kami berjaya didaftar masuk. Sebenarnya saya tidaklah melakukan kesalahan pun dengan memotong barisan jemaah kumpulan lain kerana memang prosedur daftar masuk berkumpulan begitu tetapi sikap seorang jemaah yang tidak berpuas hati dengan tindakan saya itu membuatkan saya kesal. Sengaja dia menegur tindakan saya itu dengan nada yang kuat di hadapan jemaah2 lain. Mujur juga saya tidak melenting sebaliknya hanya membalas kata2 jemaah tersebut dengan kata2 diiringi senyuman,

"Pakcik, baru balik umrah kan? Dah nak marah2. Malu tau," sambil tangan saya menarik troli jemaah kumpulan saya ke hadapannya. 

Alhamdulillah, selepas hampir 2 jam 'bersilat' di hadapan kaunter, urusan daftar masuk bagasi kumpulan kami selesai. Namun ia bukan penghujungnya lagi kerana kami perlu melepasi beberapa lagi pintu masuk sebelum menjejakkan kaki ke dalam balai berlepas. Sungguh kesabaran akan benar2 teruji terutama apabila berhadapan dengan gelagat pegawai2 bangsa Arab tetapi saya lebih sedih melihat keadaan Abah Ummi yang sangat keletihan. Bayangkan saya yang jauh lebih muda pun sudah merasakan keletihannya, bayangkan pula keletihan yang ditanggung oleh mereka. 

Sungguh, kerja ibadah adalah kerja meletihkan. Justeru ganjarannya sebegitu besar. Terselit azam di hati saya agar Allah memberi izinNya kepada saya agar dapat menunaikan Rukun Islam kelima dalam usia yang masih bertenaga atau lebih tepat sebelum usia 40 tahun. 

7. Ilmu - Paling penting, persiapkanlah diri dengan ilmu secukupnya sebelum ke sana dan tidak terlalu mengharapkan ustaz/mutawif untuk memandu ibadah kita. InsyaAllah, setiap dari kita punya keupayaan untuk mempelajarinya sendiri supaya ibadah yang dilakukan akan terasa lebih bermakna. Kadang2 saya sedih melihat jemaah yang melakukannya secara ikut2an dan itulah juga gambaran sebenar dalam kehidupan kita ini. Banyak perbuatan ibadah kita ini berbentuk ikut2an berbanding pemahaman menyebabkan kesannya tidak seperti yang diharapkan. 

Pengalaman2 lain yang sangat peribadi untuk dikongsikan kepada umum, biarlah saya simpan rapat di dalam hati sebagai pengajaran menghadapi hari muka. Sungguh, Allah benar2 'menjawab' setiap detikan hati saya secara terus sewaktu berada di sana dan saya merasa benar2 terpukul dengannya. Saya insaf masih banyak yang perlu saya perbaiki dan perbetulkan pada diri ini jika saya benar2 ingin meraih redhaNya. 

Sehingga hari ini, kesihatan kami belum pulih sepenuhnya sejak kembali ke tanah air. Namun jika kesakitan yang dialami ini dapat menghapuskan dosa2 kami selama ini, Alhamdulillah.