Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, March 11, 2014

Janji Yang Tertangguh (#PrayForMH370)

Bismillahirrahmanirrahim...

8 Mac 2014 (Sabtu), saya terima mesej seawal pagi daripada kawan2 di group WhatsApp tentang berita kehilangan sebuah pesawat MAS yang sepatutnya mendarat di Beijing tetapi gagal berbuat demikian. Saya balas,

"Halimunan ke?" tanpa sebarang syak wasangka. 

Perbualan berterusan dengan masing2 memberikan pendapat mereka sendiri dan saya hanya mencelah sekali sekala sahaja. Sangka kami ia hanya berita berbentuk gurauan sahaja. 

Secara kebetulan hari itu saya perlu memenuhi undangan untuk menghadiri majlis housewarming seorang rakan di Kota Serimas, Nilai. Saya juga telah berjanji untuk mengambil seorang rakan yang ingin pergi bersama ke Nilai di Stesen Komuter Serdang. Rakan saya itu tiba sekitar jam 12.30 tengahari dan kami terus menuju ke lokasi majlis. 

Sewaktu sedang menikmati jamuan, mesej masih lagi bertalu2 memasuki telefon dan usai makan saya mengambil peluang untuk membacanya. Hati saya gementar saat mendapat tahu berita yang tersebar itu adalah benar dan lebih menyentuh hati apabila salah seorang penumpangnya adalah seorang yang saya kenali iaitu Mohamad Sofuan Ibrahim (Sofuan). 

Seta-merta rasa sebak menyelubungi diri saya dan kolam air mata mula bertakung tanpa dapat saya tahan lagi. Saya cuba mengalih perhatian dengan mengajak rakan saya meninjau rumah barunya. Namun fikiran masih lagi memikirkan tentang berita yang baru diterima itu. Saya teringat kepada waktu kami sama2 bertugas sebagai urus setia di Jalan Duta sebelum saya kembali bertugas di Putrajaya. Sebenarnya kami sudah saling mengenali sejak bertugas di sebuah Kementerian yang sama beberapa tahun lalu dan saya tidak menyangka kami akan bertemu semula di Jalan Duta. Meskipun Sofuan lebih muda berada di dalam perkhidmatan berbanding saya, dia seorang yang sangat komited dengan tugas yang diamanahkan kepadanya dan pengalaman itu saya lalui sendiri sewaktu kami sama2 bertugas sebagai urus setia mesyuarat selama 2 bulan. Dia banyak membantu saya yang pada waktu itu masih baru di situ dan masih dalam proses memahami budaya kerja di situ. Mungkin kerana kami sudah saling mengenali sebelum ini menyebabkan urusan kami menjadi mudah dan lancar. 

Sepanjang perjalanan pulang, hati saya sebu dan hanya banyak mendiamkan diri sahaja sehingga rakan saya merasa hairan. Sungguh yang saya ingin lakukan pada saat itu adalah mengalirkan air mata agar rasa sebu itu dapat dilepaskan jauh2. Saya terpaksa menghantar rakan saya itu ke Putrajaya Sentral sahaja kerana saya perlu masa untuk diri sendiri. Sebaik bergerak meninggalkan Putrajaya Sentral, air mata saya mengalir laju tanpa dapat ditahan2 lagi. Ia bukan tangisan kerinduan tapi tangisan kekesalan kerana sebelum itu saya pernah berjanji untuk membelanja Sofuan dan anak buahnya sebagai tanda terima kasih kerana banyak membantu sepanjang kami menjadi urus setia. Namun janji hanya tinggal janji apabila saya meninggalkan Jalan Duta untuk kembali ke Putrajaya. Waktu itu saya beranggapan akan ada peluang lagi pada masa hadapan untuk saya melunaskan janji tersebut tanpa saya ketahui bahawa Sofuan akan bertugas di Beijing dan bakal terlibat dalam tragedi ini. Sungguh saya menangis sepanjang perjalanan ke Sungai Buloh, menyesali kegagalan menunaikan janji tersebut. 

Sepanjang perjalanan juga saya refleksi terhadap kehidupan yang telah saya lalui. Allah senantiasa menghadirkan insan2 yang baik untuk membantu saya mengharungi hari2 sukar dan Sofuan adalah salah seorang daripadanya. Saya akui tugasan itu akan menjadi sedikit sukar jika tanpa bantuan Sofuan sepanjang tempoh 2 bulan menjadi urus setia. Lalu saya mula mengimbas nama2 lain yang hadir sepanjang tempoh tersebut dan ia membuat saya merasa kerdil kerana tanpa sedar saya mungkin terlupa untuk menghargai kehadiran mereka dengan sewajarnya. Pernahkah saya menzahirkan tanda penghargaan itu kepada mereka sebagai tanda terima kasih kerana berada di sisi saya melalui saat2 sukar? Sungguh saya sebak, bimbang jika tiada peluang bagi saya untuk menzahirkannya sepertimana yang telah menimpa Sofuan. Saya belajar satu perkara iaitu jangan bertangguh dalam menzahirkan rasa terima kasih itu kerana kekadang mereka perlu tahu bahawa mereka telah memainkan peranan penting dalam hidup kita, walaupun tanpa mereka sedari. Sungguh Allah tidak akan mempertemukan kita dengan orang2 tertentu tanpa sebab dan alasan tersendiri. Hanya kita yang perlu membuka hati dan minda untuk menilai erti kehadiran mereka itu sama ada untuk menghargai atau sebaliknya. Yang pasti, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Sekali2 Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara itu sia2. 

Tangisan saya hanya terhenti saat saya tiba di Masjid Wilayah meskipun sedan itu masih bersisa. Saya menunggu ia reda sebelum meneruskan langkah untuk solat Jama' kerana selepas ini akan pulang ke kampung bersama adik perempuan. Lama saya berteleku di situ, memikirkan pelbagai macam perkara. Perkara pokok yang bermain di dalam kepala saya sudah tentulah mengenai kedua orang tua saya. Apakah saya sudah berbakti kepada mereka selayaknya? Air mata kembali membasahi pelupuk mata. 

Saya akui dulu air mata agak mahal bagi saya tetapi semenjak pemergian arwah anak saudara hampir 2 tahun yang lalu, ia menjadi begitu murah buat saya. Sedikit perkara yang menyentuh hati dengan mudah akan membuatkan saya mengalirkan air mata tetapi saya sering cuba untuk menyembunyikannya daripada pandangan umum. Hanya yang benar2 rapat dan mengenali diri saya sahaja akan melihat saya mengalirkan air mata di hadapan mata mereka. Selebihnya saya akan cuba sedaya upaya menyembunyikannya daripada pandangan umum. 

Hingga saat ini, tiada sebarang berita sahih mengenai nasib pesawat tersebut. Letih melihat kewujudan pakar2 tidak bertauliah yang memberikan pelbagai pendapat masing2 yang sebenarnya hanya mengelirukan lagi keadaan. Namun hikmahnya adalah apabila melihat rakyat Malaysia kembali menggantungkan seluruh pengharapan kepada Allah Taala semata2 selepas buntu berhadapan dengan misteri kehilangan pesawat tersebut. Saya tidak berani menyatakan sebarang pendapat dan hanya menyerahkan kepada pihak berautoriti untuk merungkainya kerana saya pasti pihak2 tersebut sedang dan akan melakukan yang terbaik dalam tugas mereka. Tidak semua perkara perlu didedahkan kepada umum kerana ia boleh mengganggu proses siasatan. Sebagai umat Islam, kita punya senjata iaitu doa dan gunakanlah ia dengan sebaik mungkin. Doakanlah agar jika masih selamat, kembalikanlah mereka ke pangkuan keluarga yang disayangi dan jika sebaliknya, doakanlah agar urusan mereka dipermudahkanNya kerana kita juga bakal menyusuli mereka kelak. Tidak perlu menambahkan lagi kerumitan sedia ada dan itu sebaik2 sumbangan yang boleh diberi sebagai warga yang prihatin. Berdoalah yang baik2 sahaja dan selebihnya serahkan kepada kebijaksanaan Allah Taala jua yang merupakan sebaik2 perancang. 

Kepada kita yang masih diberi peluang untuk menikmati kehidupan seperti biasa, hargailah ia dengan mula menzahir dan menyebarkan kasih sayang kerana siapa tahu jika esok masih ada atau tidak.

No comments: