Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, March 24, 2014

... #PrayForMH370

Bismillahirrahmanirrahim...

Malam ini air mata saya mengalir tanpa dapat ditahan2 lagi. Sayu, sebak dan kesal bercampur baur. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan ahli keluarga mangsa nahas pesawat MH370 menerima pengumuman yang dibuat oleh PM sebentar tadi. Alangkan saya yang pernah merasai kehilangan anak saudara pun masih terkesan setiap kali mengingatinya sedangkan sudah hampir 2 tahun berlalu, inikan pula mereka yang melalui kehilangan sebegitu besar. 

Namun segalanya sudah berada di dalam ketentuan dan pengetahuanNya jua. Kejadian ini telah menyatukan kembali rakyat Malaysia buat seketika selepas berantakan usai berakhir pilihanraya pada tahun lepas. Buat seketika kita melupakan perbezaan politik dan agama sehingga Malaysia menjadi tumpuan dunia. Jauh lebih memberi makna adalah pada akhirnya kita akur bahawa hanya Allah yang tahu hakikat sebenar kejadian ini dan ilmu manusia walau sehebat mana pun tidak akan mampu mengatasi kekuasaanNya jua. Malah hakikat yang jauh lebih besar adalah kita semua juga akan kembali kepadaNya jua pada saat dan ketika yang telah ditentukanNya, tidak tercepat atau terlambat meski sesaat pun jua. 

Secara peribadi, pengumuman tadi benar2 menyentap hati saya kerana ia melibatkan seseorang yang saya kenali. Seringkali kita hanya akan menghargai seseorang atau sesuatu perkara itu saat dia/mereka tidak lagi berada di sisi kita atau kita sudah melepasinya. Saya anggap aturan Allah memberi peluang kepada saya mengenali Sofuan dan bekerja bersama dia adalah cara Allah 'berbicara' kepada saya iaitu usah bertangguh dalam menyatakan penghargaan atau terima kasih kepada insan2 yang memberi makna dalam hidup saya kerana masa berlalu pantas dan esok belum tentu masih ada. 

Air mata saya mengalir laju saat menatap mesej2 sewaktu kami menjalankan amanah yang diberi bersama walaupun hanya seketika. Syukur Allah hadirkan insan2 yang dapat membantu saya melalui hari2 sukar sewaktu berada di tempat baru dan saya percaya ia bukan satu kebetulan. Ia adalah ketentuan daripadaNya jua. 





Jika dengan pengumuman sebentar tadi membawa maksud bahawa Sofuan telah kembali kepadaNya, semoga dia ditempatkan bersama para solihin dan syahidin kerana sedang dalam perjalanan membawa amanah negara. Sesungguhnya kita juga akan bakal menyusul pada waktu yang ditentukanNya jua. AlFatihah. 

Cukur Jambul Bakarians Junior

Bismillahirrahmanirrahim...

22 Mac 2014 (Sabtu) - Seawal jam 7 pagi, saya bertolak ke Sungai Buloh untuk mengambil BaYu dan keluarga yang akan turut serta pulang ke kampung. Kepulangan kami pada kali ini adalah untuk meraikan kenduri cukur jambul anak kedua PakSoo yang diberi nama Muhammad Izz Danish Amin. Pada awalnya kenduri dirancang untuk diadakan pada hari Ahad iaitu selepas solat Subuh tetapi terpaksa diubah kepada hari Sabtu iaitu selepas solat Isyak kerana hari Ahad adalah hari bekerja di Pantai Timur. Bimbang pula jika jemaah masjid tidak dapat datang kerana perlu bergegas ke tempat kerja pula. 

Kami tiba pada jam 3 petang dan terus menyinsing lengan, membantu persiapan yang akan bermula selepas solat Isyak. Keletihan memandu perlu dilupakan kerana tidak semua adik-beradik dapat pulang pada kali ini dan kami kekurangan tenaga kerja. Seperti biasa, 2 set hidangan perlu disediakan secara buffet iaitu satu untuk tetamu lelaki dan satu lagi untuk tetamu wanita.


Jemaah tiba sekitar jam 9 malam dan dimulakan dengan marhaban, selawat dan bacaan doa. Kemudian majlis diteruskan dengan acara cukur jambul oleh setiap jemaah lelaki yang hadir. 






Alhamdulillah, majlis berjalan lancar meskipun keletihan memang tidak terucap. Namun hati puas melihat majlis yang dirancang berakhir dengan baik dan makanan lebih dari mencukupi. Pun begitu, tugasan kami masih belum selesai meskipun majlis sudah berakhir kerana tugasan mengemas pula sedang menanti. Aduhai, sebenarnya inilah tugasan yang paling mencabar setiap kali selesai sesebuah majlis. Apakan daya, diri perlu digagahkan juga untuk melakukannya kerana esok bakal bertolak pulang ke KL pula. 


Tugasan mengemas akhirnya selesai sekitar jam 12 tengah malam dan saya terlelap seketika di sofa sebelum bangun dan berbaring di dalam bilik tidur. Diakui tidur saya sangat lena dek kerana keletihan tersebut. 

23 Mac 2014 (Ahad) - Kami bertolak pulang ke KL pada jam 4 petang dan tiba di teratak saya pada jam 11 malam. Itupun selepas saya singgah di Sungai Buloh terlebih dahulu untuk menghantar BaYu dan keluarga. 

Penat? Semoga Allah memberi saya kesihatan yang baik agar dapat beribadah kepadaNya dengan sempurna dan tidak akan membebankan hidup orang lain. Hanya itu harapan saya yang lemah ini. 

Sunday, March 16, 2014

Generasi Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

Tengahari tadi saya terima mesej dari PakSoo memaklumkan yang isterinya sudah dimasukkan ke Gombak Medical Center (GMC) untuk melahirkan anak kedua mereka. Seketika kemudian, PakSoo memaklumkan yang isterinya sudah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.25kg pada jam 1.20 petang. Subhanallah walhamdulillah! Urusan mereka telah dipermudahkanNya. 

Sekitar jam 3.30 petang, saya bertolak ke Gombak. Dalam hati, saya berniat untuk solat Asar berjemaah tetapi tidak menetapkan untuk singgah di mana2 masjid lagi. Saya guna aplikasi Waze untuk melihat keadaan trafik dan didapati trafik sesak di laluan MRR2. Lalu saya tukar laluan alternatif yang disarankan di dalam Waze.

Ternyata ada hikmahnya juga kerana saya akhirnya dibawa melalui Jalan Pahang dan saya teringat tentang Masjid Bandar Baru Sentul yang sering dikunjungi sewaktu adik lelaki saya menyewa di sekitar kawasan tersebut. Alhamdulillah, azan berkumandang sebaik saya memarkirkan kereta di perkarangan masjid dan tanpa berlengah, saya terus mengambil wuduk. 

Usai solat Asar, saya terus menuju ke GMC, menyertai adik2 yang sudah tiba lebih awal di situ. Syukur bertambah lagi generasi keluarga kami. Semoga menjadi anak soleh.
 

Saya dan adik perempuan (MakTeh) membantu menjaga anak sulung PakSoo sementara dia menguruskan isteri dan bayi. Malah kami sempat makan malam di restoran kegemaran kami iaitu Restoran PakTam sebelum kembali semula ke GMC. MakTeh pulang lebih awal sementara saya masih menunggu ketibaan Abah Ummi yang masih lagi dalam perjalanan ke sini. Tidak sampai hati pula meninggalkan PakSoo menguruskannya seorang diri. Lalu saya putuskan untuk menunggu sehingga Abah Ummi sampai. Malah saya berada di dalam kereta sambil menulis catatan ini sementara Izzani lena dalam dakapan. Puas saya cuba menidurkan dia di lobi hospital sebentar tadi tetapi banyak gangguan pula kerana ada yang ingin bermain dengannya. Izzani pula memang seronok apabila dilayan walaupun sudah sangat mengantuk. Akhirnya saya bawa Izzani masuk ke dalam kereta. Hidupkan penghawa dingin dan selimutkan dia. Tepuk2 sambil zikir. Alhamdulillah, lena dia sambil hisap ibu jari.


"That's the thing about doing stuff for your family, no matter how hard it is, when you see them smile, it's all worth it."

Bila Malas Nak Masak

Bismillahirrahmanirrahim...

Sekali-sekala rasa nak makan yang ringkas2 je. Nak masak nasi, lauk macam malas sebab kadang2 tak habis pun. Lalu cara paling mudah, cari resepi2 yang mudah dan memang boleh dihabiskan. 

Semalam saya dah siap2 beli roti keping. Stok ikan bilis pun memang baru tambah. Jadi pagi ini ambil roti, letak sambal ikan bilis dan tekap dengan gelas, saiz ikut suka hati. 

Kemudian ambil sedikit tepung gandum, campurkan dengan garam, gula dan air. Bancuh sedikit cair untuk dicelup dengan roti yang ditekap tadi. 

Panaskan minyak, celup roti tadi dan goreng hingga kuning. Memang mudah dan cepat. Boleh makan panas2. 

Alhamdulillah.














Thursday, March 13, 2014

Sama Tapi Tak Serupa

Bismillahirrahmanirrahim...


Bingkisan daripada adindaku melalui lensa kaca tv di rumahnya. Namanya persis namaku namun jauh bedanya antara aku dan dia. 

Jelas terpapar bahawa dia adalah seorang aktivis Islam di London sedangkan aku? Masih lagi mencari jalan mengatur langkah untuk mencari redhaNya. 

Semoga masih belum terlambat untuk aku kutip kembali sisa2 waktu yang masih berbaki ini demi sebuah husnul khotimah.

Salam sayyidul ayyam! 

Tuesday, March 11, 2014

Janji Yang Tertangguh (#PrayForMH370)

Bismillahirrahmanirrahim...

8 Mac 2014 (Sabtu), saya terima mesej seawal pagi daripada kawan2 di group WhatsApp tentang berita kehilangan sebuah pesawat MAS yang sepatutnya mendarat di Beijing tetapi gagal berbuat demikian. Saya balas,

"Halimunan ke?" tanpa sebarang syak wasangka. 

Perbualan berterusan dengan masing2 memberikan pendapat mereka sendiri dan saya hanya mencelah sekali sekala sahaja. Sangka kami ia hanya berita berbentuk gurauan sahaja. 

Secara kebetulan hari itu saya perlu memenuhi undangan untuk menghadiri majlis housewarming seorang rakan di Kota Serimas, Nilai. Saya juga telah berjanji untuk mengambil seorang rakan yang ingin pergi bersama ke Nilai di Stesen Komuter Serdang. Rakan saya itu tiba sekitar jam 12.30 tengahari dan kami terus menuju ke lokasi majlis. 

Sewaktu sedang menikmati jamuan, mesej masih lagi bertalu2 memasuki telefon dan usai makan saya mengambil peluang untuk membacanya. Hati saya gementar saat mendapat tahu berita yang tersebar itu adalah benar dan lebih menyentuh hati apabila salah seorang penumpangnya adalah seorang yang saya kenali iaitu Mohamad Sofuan Ibrahim (Sofuan). 

Seta-merta rasa sebak menyelubungi diri saya dan kolam air mata mula bertakung tanpa dapat saya tahan lagi. Saya cuba mengalih perhatian dengan mengajak rakan saya meninjau rumah barunya. Namun fikiran masih lagi memikirkan tentang berita yang baru diterima itu. Saya teringat kepada waktu kami sama2 bertugas sebagai urus setia di Jalan Duta sebelum saya kembali bertugas di Putrajaya. Sebenarnya kami sudah saling mengenali sejak bertugas di sebuah Kementerian yang sama beberapa tahun lalu dan saya tidak menyangka kami akan bertemu semula di Jalan Duta. Meskipun Sofuan lebih muda berada di dalam perkhidmatan berbanding saya, dia seorang yang sangat komited dengan tugas yang diamanahkan kepadanya dan pengalaman itu saya lalui sendiri sewaktu kami sama2 bertugas sebagai urus setia mesyuarat selama 2 bulan. Dia banyak membantu saya yang pada waktu itu masih baru di situ dan masih dalam proses memahami budaya kerja di situ. Mungkin kerana kami sudah saling mengenali sebelum ini menyebabkan urusan kami menjadi mudah dan lancar. 

Sepanjang perjalanan pulang, hati saya sebu dan hanya banyak mendiamkan diri sahaja sehingga rakan saya merasa hairan. Sungguh yang saya ingin lakukan pada saat itu adalah mengalirkan air mata agar rasa sebu itu dapat dilepaskan jauh2. Saya terpaksa menghantar rakan saya itu ke Putrajaya Sentral sahaja kerana saya perlu masa untuk diri sendiri. Sebaik bergerak meninggalkan Putrajaya Sentral, air mata saya mengalir laju tanpa dapat ditahan2 lagi. Ia bukan tangisan kerinduan tapi tangisan kekesalan kerana sebelum itu saya pernah berjanji untuk membelanja Sofuan dan anak buahnya sebagai tanda terima kasih kerana banyak membantu sepanjang kami menjadi urus setia. Namun janji hanya tinggal janji apabila saya meninggalkan Jalan Duta untuk kembali ke Putrajaya. Waktu itu saya beranggapan akan ada peluang lagi pada masa hadapan untuk saya melunaskan janji tersebut tanpa saya ketahui bahawa Sofuan akan bertugas di Beijing dan bakal terlibat dalam tragedi ini. Sungguh saya menangis sepanjang perjalanan ke Sungai Buloh, menyesali kegagalan menunaikan janji tersebut. 

Sepanjang perjalanan juga saya refleksi terhadap kehidupan yang telah saya lalui. Allah senantiasa menghadirkan insan2 yang baik untuk membantu saya mengharungi hari2 sukar dan Sofuan adalah salah seorang daripadanya. Saya akui tugasan itu akan menjadi sedikit sukar jika tanpa bantuan Sofuan sepanjang tempoh 2 bulan menjadi urus setia. Lalu saya mula mengimbas nama2 lain yang hadir sepanjang tempoh tersebut dan ia membuat saya merasa kerdil kerana tanpa sedar saya mungkin terlupa untuk menghargai kehadiran mereka dengan sewajarnya. Pernahkah saya menzahirkan tanda penghargaan itu kepada mereka sebagai tanda terima kasih kerana berada di sisi saya melalui saat2 sukar? Sungguh saya sebak, bimbang jika tiada peluang bagi saya untuk menzahirkannya sepertimana yang telah menimpa Sofuan. Saya belajar satu perkara iaitu jangan bertangguh dalam menzahirkan rasa terima kasih itu kerana kekadang mereka perlu tahu bahawa mereka telah memainkan peranan penting dalam hidup kita, walaupun tanpa mereka sedari. Sungguh Allah tidak akan mempertemukan kita dengan orang2 tertentu tanpa sebab dan alasan tersendiri. Hanya kita yang perlu membuka hati dan minda untuk menilai erti kehadiran mereka itu sama ada untuk menghargai atau sebaliknya. Yang pasti, setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi. Sekali2 Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara itu sia2. 

Tangisan saya hanya terhenti saat saya tiba di Masjid Wilayah meskipun sedan itu masih bersisa. Saya menunggu ia reda sebelum meneruskan langkah untuk solat Jama' kerana selepas ini akan pulang ke kampung bersama adik perempuan. Lama saya berteleku di situ, memikirkan pelbagai macam perkara. Perkara pokok yang bermain di dalam kepala saya sudah tentulah mengenai kedua orang tua saya. Apakah saya sudah berbakti kepada mereka selayaknya? Air mata kembali membasahi pelupuk mata. 

Saya akui dulu air mata agak mahal bagi saya tetapi semenjak pemergian arwah anak saudara hampir 2 tahun yang lalu, ia menjadi begitu murah buat saya. Sedikit perkara yang menyentuh hati dengan mudah akan membuatkan saya mengalirkan air mata tetapi saya sering cuba untuk menyembunyikannya daripada pandangan umum. Hanya yang benar2 rapat dan mengenali diri saya sahaja akan melihat saya mengalirkan air mata di hadapan mata mereka. Selebihnya saya akan cuba sedaya upaya menyembunyikannya daripada pandangan umum. 

Hingga saat ini, tiada sebarang berita sahih mengenai nasib pesawat tersebut. Letih melihat kewujudan pakar2 tidak bertauliah yang memberikan pelbagai pendapat masing2 yang sebenarnya hanya mengelirukan lagi keadaan. Namun hikmahnya adalah apabila melihat rakyat Malaysia kembali menggantungkan seluruh pengharapan kepada Allah Taala semata2 selepas buntu berhadapan dengan misteri kehilangan pesawat tersebut. Saya tidak berani menyatakan sebarang pendapat dan hanya menyerahkan kepada pihak berautoriti untuk merungkainya kerana saya pasti pihak2 tersebut sedang dan akan melakukan yang terbaik dalam tugas mereka. Tidak semua perkara perlu didedahkan kepada umum kerana ia boleh mengganggu proses siasatan. Sebagai umat Islam, kita punya senjata iaitu doa dan gunakanlah ia dengan sebaik mungkin. Doakanlah agar jika masih selamat, kembalikanlah mereka ke pangkuan keluarga yang disayangi dan jika sebaliknya, doakanlah agar urusan mereka dipermudahkanNya kerana kita juga bakal menyusuli mereka kelak. Tidak perlu menambahkan lagi kerumitan sedia ada dan itu sebaik2 sumbangan yang boleh diberi sebagai warga yang prihatin. Berdoalah yang baik2 sahaja dan selebihnya serahkan kepada kebijaksanaan Allah Taala jua yang merupakan sebaik2 perancang. 

Kepada kita yang masih diberi peluang untuk menikmati kehidupan seperti biasa, hargailah ia dengan mula menzahir dan menyebarkan kasih sayang kerana siapa tahu jika esok masih ada atau tidak.

Tuesday, March 4, 2014

Air Tangan Abah

Bismillahirrahmanirrahim...

Genap 3 minggu usia pokok kacang panjang yang ditanam oleh Abah di laman teratak saya. Itu keistimewaan Abah. Kata orang, tangan Abah jenis sejuk. Bermaksud apa juga tanaman yang ditanam oleh Abah pasti akan membuahkan hasil. Tangan saya? Suam agaknya. Kadang2 hidup kadang2 mati :)


Pesan Abah, selain disiram, taburlah juga baja dalam 3-4 biji sahaja. Semangat untuk memenuhi pesan Abah, saya terus membeli baja dan menaburnya di sekeliling pokok kacang. Rupa2nya saya terbubuh lebih menyebabkan pokok kacang kepanasan dan sedikit layu. Aduhai, kecut sedikit daunnya dan sedikit kekuningan juga. Namun saya teruskan menyiramnya lagi 2 kali sehari. Sekali sebelum pergi kerja dan sekali lagi sewaktu pulang dari kerja. 


Berbunga rasa hati melihat pokok kacang kembali pulih dan sudah mula melilit pada pagar. Begitu rupanya perasaan seronok melihat hasil tanaman mula membuahkan hasil. Namun saya tidak pasti bila ia akan mengeluarkan hasilnya. Dalam kepala mula merangka untuk menyemai benih tomato dan cili pula di laman beranda. Apapun, saya tunggu kesudahan riwayat pokok kacang terlebih dahulu.