Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, February 25, 2014

Kembara Alor Setar 02

Bismillahirrahmanirrahim...

7 Februari 2014 - Seperti dirancang, kami terus merebahkan badan saat tiba di rumah BaHa. Letih sungguh rasa badan tapi hanya untuk seketika. Keterujaan kembali apabila melihat keletah anak2 saudara yang sentiasa lincah. Menjelang tengahari, kami mula merencana perjalanan pada hari tersebut. Takkanlah datang jauh2 sekadar untuk tidur baring sahaja kan. Saya utarakan hasrat untuk ke kaki Gunung Jerai kepada BaHa kerana pernah membaca tentangnya di dalam blog. Pada awalnya saya juga berhasrat untuk mengajak BaHa dan keluarga menginap di sebuah chalet di kaki Gunung Jerai tetapi hasrat itu dibatalkan apabila merasakan ia tidak berbaloi berikutan jaraknya terlalu dekat daripada rumah BaHa. 


Kami bertolak usai solat Zuhur. Perjalanan ke sana lancar dan debaran bermula saat memasuki persimpangan kaki Gunung Jerai. Jalan berbengkang bengkok perlu ditempuh malah ia juga agak sempit. BaHa perlu memandu dengan kelajuan sederhana kerana keadaan jalan tersebut. Malah ada juga keadaan di mana BaHa perlu memberhentikan kenderaan untuk memberi laluan kepada kenderaan di laluan sebelah berikutan selekoh yang terlalu tajam. 



Hampir setengah jam mendaki, akhirnya kami tiba di Hotel Regency Jerai. Aduh kecewa sungguh apabila suasananya tidak seperti yang dibayangkan dan dipaparkan dalam laman web mereka. Malah kedinginan udara pun tidak terasa meskipun kami berada di kawasan tanah tinggi. Mujur juga saya tidak membuat tempahan penginapan di situ. Agak tidak berbaloi rasanya. Saya bayangkan kedinginannya pasti kurang lebih seperti di Cameron Highland atau Bukit Fraser tapi sangkaan saya meleset sama sekali. Mati akal kami dengan suasana di situ dan kami memutuskan untuk meninjau kawasan sekeliling pula.



Kami dapati ada sebuah Muzium Perhutanan terletak berhampiran simpang ke pintu masuk Hotel Regency tetapi ia sudah ditutup kerana waktu sudah menghampiri jam 5 petang. Lalu kami teruskan perjalanan ke sebuah kawasan yang menempatkan sebuah telaga yang dipanggil Telaga Tok Sheikh. Tok Sheikh mana saya tidak tahu kerana tiada perincian ditulis di situ tapi kelihatan beberapa buah kereta keluar masuk kawasan tersebut malah ada yang seperti sedang berkhemah di situ. Kelihatan juga mereka sedang mengisi air telaga tersebut ke dalam tong yang dibawa di dalam kenderaan masing2. Saya sebenarnya agak kurang senang melihat aksi2 mereka kerana bimbang ada unsur2 khurafat pula. Lucu pun ada juga apabila melihat seorang pakcik yang membawa tong berisi air telaga di dalam raga motor sambil sebelah tangan menadah doa dan sebelah lagi mengawal motosikal. Bayangkan apa bakal terjadi jika dia terlalai dan mengaminkan doa dengan menyapu kedua2 belah tangan ke muka semasa sedang menunggang motosikal. 

Kami berdepan dengan insiden mendebarkan sewaktu dalam perjalanan meninggalkan kawasan tersebut apabila berselisih dengan sebuah van yang ingin masuk ke situ sedangkan laluan hanya muat untuk sebuah kenderaan sahaja. Lebih menyeriaukan apabila di kiri kanan jalan tiada kawasan mencukupi untuk memberi laluan kepada van tersebut. Terkial2 juga seketika sebelum akhirnya kami berjaya melepasi situasi cemas tersebut. 

Insiden kedua pula berlaku semasa kami sedang menuruni kaki gunung apabila bertembung dengan sebuah kenderaan yang tidak memperlahankan kenderaannya di selekoh tajam sehingga menyebabkan BaHa terpaksa menekan brek sekuat hati. Jarak antara kedua kenderaan pula hanya beberapa cm sahaja. Saya salahkan kenderaan tersebut kerana memandu terlalu laju di selekoh tajam dan dia akhirnya mengangkat tangan tanda meminta maaf atas keterlanjuran itu. Geram pula saya apabila melihat pemandunya memakai kopiah huhu. Natijahnya brek kereta BaHa mengeluarkan asap dan bau hangit. 

"Alamak, brek tak makanlah," kata BaHa. 

Ok, kami cemas kerana BaHa masih meneruskan pemanduan melalui selekoh2 tajam sedangkan brek tidak mencengkam kesan insiden tadi. Perlahan2 BaHa meneruskan juga pemanduan sambil mulut saya sudah kumat kamit membaca Ayat Kursi. Akhirnya BaHa memberhentikan kereta di selekoh yang mempunyai ruang yang agak luas untuk memeriksa keadaan brek. Abah pun turut sama memeriksa dan mencadangkan agar kami berehat seketika di situ sementara menunggu brek kembali berfungsi. Setengah jam juga kami di situ dan akhirnya kembali meneruskan perjalanan ke pintu masuk tadi. 



Kami singgah untuk makan malam di sebuah gerai di situ sementara BaHa dan isteri menunaikan solat Asar. Aduhai perjalanan yang sungguh mencabar. Tidak sangka begitu pula keadaan yang harus kami lalui dan saya sedikit merasa bersalah kerana mencadangkan untuk ke situ. Apabila difikir2kan balik, pasti akan ada insiden yang mendebarkan setiap kali mereka menyetujui cadangan kembara saya huhu. Serik pun ada juga kerana sering menyusahkan mereka tetapi pada saya, di situlah letaknya kemanisan berkelana :)

No comments: