Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, February 25, 2014

Kembara Alor Setar 01

Bismillahirrahmanirrahim...

7 Februari 2014 - Selepas 11 jam perjalanan, kami tiba di destinasi dituju iaitu stesen Alor Setar. Ia satu perjalanan yang panjang buat Abah Ummi tetapi saya berharap ia akan menjadi pengalaman manis buat mereka kerana ini kali pertama mereka menaiki keretapi. Ya, saya pernah berniat untuk membawa mereka merasai pengalaman menaiki keretapi dan kembara kali ini adalah untuk merealisasikan niat saya itu. Meskipun saya sedikit ralat kerana tempahan yang dibuat untuk mendapatkan katil telah habis, saya terpaksa berpuas hati dengan tempat duduk yang masih berbaki kerana keputusan untuk kembara ini juga dibuat di saat akhir. Siapa tahu suatu hari nanti saya akan mengulangi kembara ini tetapi dengan tempahan katil pula.

Perjalanan kami bermula di stesen KL Sentral pada jam 9.30 malam. Saya minta bantuan BaYu untuk menghantar kami ke situ lebih awal kerana saya kurang pasti dengan kedudukan terminal pelepasan. Kali terakhir saya menaiki keretapi adalah pada tahun 2012 iaitu semasa pulang daripada Johor Bahru. 

Syukur kerana Abah Ummi selesa sepanjang perjalanan meskipun saya tahu yang mereka kurang selesa kerana terpaksa tidur di atas kerusi. Perasaan bersalah menyelimuti diri tetapi sebagai balasan, saya sudah menyusun perjalanan pulang kelak dengan menaiki kapal terbang pula. 


Kami terpaksa menunaikan solat Subuh secara duduk sahaja berikutan tiada kemudahan surau disediakan di dalam gerabak. Pun begitu, ia bukan masalah besar bagi saya kerana Allah tidak pernah membebankan hamba2Nya. Diberi kelonggaran untuk menunaikan ibadah mengikut kesesuaian keadaan dan masa. Maka kami gunakan kelebihan itu dengan sebaik mungkin meskipun ada mata2 yang menjeling kami sewaktu menunaikannya di atas kerusi. Terfikir juga sama ada penumpang2 lain turut menunaikannya atau tidak tetapi saya cuba untuk bersangka baik. Yang penting, tunaikan kewajipan kami terlebih dahulu. 

Indah sungguh pemandangan sawah padi di waktu pagi yang dingin. Terngiang2 di telinga saya lagu nyanyian kumpulan Kembara iaitu Ekspress Rakyat. Sekali sekala berperasaan di dingin pagi indah juga hehe. 





Kami tiba di stesen Alor Setar tepat seperti dijanjikan iaitu 8.15 pagi. Itupun selepas dicampur waktu keretapi berhenti seketika di stesen Butterworth selama 1 jam. Jika tidak, pasti kami akan tiba lebih awal lagi. BaHa sudah maklum tentang waktu ketibaan kami kerana saya memang mengemaskini lokasi kami di WhatsApp sepanjang perjalanan. 



Meskipun kepenatan, kelihatan Abah Ummi begitu bersemangat saat menjejakkan kaki ke sini. Saya tidak tahu apa perasaan sebenar mereka tetapi saya berharap yang saya telah membuat mereka gembira dengan perjalanan ini. Kami sempat bersarapan di gerai berdekatan stesen sementara menunggu kedatangan BaHa. Dalam kepala saya tiada lain, hanya untuk berehat dan melelapkan mata di atas katil sahaja apabila tiba di rumah BaHa kelak selepas menempuh perjalanan yang panjang. Saya kira Abah Ummi berlebih lagi tidak sabar untuk berbuat demikian juga. 

No comments: