Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, February 25, 2014

Kembara Alor Setar 02

Bismillahirrahmanirrahim...

7 Februari 2014 - Seperti dirancang, kami terus merebahkan badan saat tiba di rumah BaHa. Letih sungguh rasa badan tapi hanya untuk seketika. Keterujaan kembali apabila melihat keletah anak2 saudara yang sentiasa lincah. Menjelang tengahari, kami mula merencana perjalanan pada hari tersebut. Takkanlah datang jauh2 sekadar untuk tidur baring sahaja kan. Saya utarakan hasrat untuk ke kaki Gunung Jerai kepada BaHa kerana pernah membaca tentangnya di dalam blog. Pada awalnya saya juga berhasrat untuk mengajak BaHa dan keluarga menginap di sebuah chalet di kaki Gunung Jerai tetapi hasrat itu dibatalkan apabila merasakan ia tidak berbaloi berikutan jaraknya terlalu dekat daripada rumah BaHa. 


Kami bertolak usai solat Zuhur. Perjalanan ke sana lancar dan debaran bermula saat memasuki persimpangan kaki Gunung Jerai. Jalan berbengkang bengkok perlu ditempuh malah ia juga agak sempit. BaHa perlu memandu dengan kelajuan sederhana kerana keadaan jalan tersebut. Malah ada juga keadaan di mana BaHa perlu memberhentikan kenderaan untuk memberi laluan kepada kenderaan di laluan sebelah berikutan selekoh yang terlalu tajam. 



Hampir setengah jam mendaki, akhirnya kami tiba di Hotel Regency Jerai. Aduh kecewa sungguh apabila suasananya tidak seperti yang dibayangkan dan dipaparkan dalam laman web mereka. Malah kedinginan udara pun tidak terasa meskipun kami berada di kawasan tanah tinggi. Mujur juga saya tidak membuat tempahan penginapan di situ. Agak tidak berbaloi rasanya. Saya bayangkan kedinginannya pasti kurang lebih seperti di Cameron Highland atau Bukit Fraser tapi sangkaan saya meleset sama sekali. Mati akal kami dengan suasana di situ dan kami memutuskan untuk meninjau kawasan sekeliling pula.



Kami dapati ada sebuah Muzium Perhutanan terletak berhampiran simpang ke pintu masuk Hotel Regency tetapi ia sudah ditutup kerana waktu sudah menghampiri jam 5 petang. Lalu kami teruskan perjalanan ke sebuah kawasan yang menempatkan sebuah telaga yang dipanggil Telaga Tok Sheikh. Tok Sheikh mana saya tidak tahu kerana tiada perincian ditulis di situ tapi kelihatan beberapa buah kereta keluar masuk kawasan tersebut malah ada yang seperti sedang berkhemah di situ. Kelihatan juga mereka sedang mengisi air telaga tersebut ke dalam tong yang dibawa di dalam kenderaan masing2. Saya sebenarnya agak kurang senang melihat aksi2 mereka kerana bimbang ada unsur2 khurafat pula. Lucu pun ada juga apabila melihat seorang pakcik yang membawa tong berisi air telaga di dalam raga motor sambil sebelah tangan menadah doa dan sebelah lagi mengawal motosikal. Bayangkan apa bakal terjadi jika dia terlalai dan mengaminkan doa dengan menyapu kedua2 belah tangan ke muka semasa sedang menunggang motosikal. 

Kami berdepan dengan insiden mendebarkan sewaktu dalam perjalanan meninggalkan kawasan tersebut apabila berselisih dengan sebuah van yang ingin masuk ke situ sedangkan laluan hanya muat untuk sebuah kenderaan sahaja. Lebih menyeriaukan apabila di kiri kanan jalan tiada kawasan mencukupi untuk memberi laluan kepada van tersebut. Terkial2 juga seketika sebelum akhirnya kami berjaya melepasi situasi cemas tersebut. 

Insiden kedua pula berlaku semasa kami sedang menuruni kaki gunung apabila bertembung dengan sebuah kenderaan yang tidak memperlahankan kenderaannya di selekoh tajam sehingga menyebabkan BaHa terpaksa menekan brek sekuat hati. Jarak antara kedua kenderaan pula hanya beberapa cm sahaja. Saya salahkan kenderaan tersebut kerana memandu terlalu laju di selekoh tajam dan dia akhirnya mengangkat tangan tanda meminta maaf atas keterlanjuran itu. Geram pula saya apabila melihat pemandunya memakai kopiah huhu. Natijahnya brek kereta BaHa mengeluarkan asap dan bau hangit. 

"Alamak, brek tak makanlah," kata BaHa. 

Ok, kami cemas kerana BaHa masih meneruskan pemanduan melalui selekoh2 tajam sedangkan brek tidak mencengkam kesan insiden tadi. Perlahan2 BaHa meneruskan juga pemanduan sambil mulut saya sudah kumat kamit membaca Ayat Kursi. Akhirnya BaHa memberhentikan kereta di selekoh yang mempunyai ruang yang agak luas untuk memeriksa keadaan brek. Abah pun turut sama memeriksa dan mencadangkan agar kami berehat seketika di situ sementara menunggu brek kembali berfungsi. Setengah jam juga kami di situ dan akhirnya kembali meneruskan perjalanan ke pintu masuk tadi. 



Kami singgah untuk makan malam di sebuah gerai di situ sementara BaHa dan isteri menunaikan solat Asar. Aduhai perjalanan yang sungguh mencabar. Tidak sangka begitu pula keadaan yang harus kami lalui dan saya sedikit merasa bersalah kerana mencadangkan untuk ke situ. Apabila difikir2kan balik, pasti akan ada insiden yang mendebarkan setiap kali mereka menyetujui cadangan kembara saya huhu. Serik pun ada juga kerana sering menyusahkan mereka tetapi pada saya, di situlah letaknya kemanisan berkelana :)

Kembara Alor Setar 01

Bismillahirrahmanirrahim...

7 Februari 2014 - Selepas 11 jam perjalanan, kami tiba di destinasi dituju iaitu stesen Alor Setar. Ia satu perjalanan yang panjang buat Abah Ummi tetapi saya berharap ia akan menjadi pengalaman manis buat mereka kerana ini kali pertama mereka menaiki keretapi. Ya, saya pernah berniat untuk membawa mereka merasai pengalaman menaiki keretapi dan kembara kali ini adalah untuk merealisasikan niat saya itu. Meskipun saya sedikit ralat kerana tempahan yang dibuat untuk mendapatkan katil telah habis, saya terpaksa berpuas hati dengan tempat duduk yang masih berbaki kerana keputusan untuk kembara ini juga dibuat di saat akhir. Siapa tahu suatu hari nanti saya akan mengulangi kembara ini tetapi dengan tempahan katil pula.

Perjalanan kami bermula di stesen KL Sentral pada jam 9.30 malam. Saya minta bantuan BaYu untuk menghantar kami ke situ lebih awal kerana saya kurang pasti dengan kedudukan terminal pelepasan. Kali terakhir saya menaiki keretapi adalah pada tahun 2012 iaitu semasa pulang daripada Johor Bahru. 

Syukur kerana Abah Ummi selesa sepanjang perjalanan meskipun saya tahu yang mereka kurang selesa kerana terpaksa tidur di atas kerusi. Perasaan bersalah menyelimuti diri tetapi sebagai balasan, saya sudah menyusun perjalanan pulang kelak dengan menaiki kapal terbang pula. 


Kami terpaksa menunaikan solat Subuh secara duduk sahaja berikutan tiada kemudahan surau disediakan di dalam gerabak. Pun begitu, ia bukan masalah besar bagi saya kerana Allah tidak pernah membebankan hamba2Nya. Diberi kelonggaran untuk menunaikan ibadah mengikut kesesuaian keadaan dan masa. Maka kami gunakan kelebihan itu dengan sebaik mungkin meskipun ada mata2 yang menjeling kami sewaktu menunaikannya di atas kerusi. Terfikir juga sama ada penumpang2 lain turut menunaikannya atau tidak tetapi saya cuba untuk bersangka baik. Yang penting, tunaikan kewajipan kami terlebih dahulu. 

Indah sungguh pemandangan sawah padi di waktu pagi yang dingin. Terngiang2 di telinga saya lagu nyanyian kumpulan Kembara iaitu Ekspress Rakyat. Sekali sekala berperasaan di dingin pagi indah juga hehe. 





Kami tiba di stesen Alor Setar tepat seperti dijanjikan iaitu 8.15 pagi. Itupun selepas dicampur waktu keretapi berhenti seketika di stesen Butterworth selama 1 jam. Jika tidak, pasti kami akan tiba lebih awal lagi. BaHa sudah maklum tentang waktu ketibaan kami kerana saya memang mengemaskini lokasi kami di WhatsApp sepanjang perjalanan. 



Meskipun kepenatan, kelihatan Abah Ummi begitu bersemangat saat menjejakkan kaki ke sini. Saya tidak tahu apa perasaan sebenar mereka tetapi saya berharap yang saya telah membuat mereka gembira dengan perjalanan ini. Kami sempat bersarapan di gerai berdekatan stesen sementara menunggu kedatangan BaHa. Dalam kepala saya tiada lain, hanya untuk berehat dan melelapkan mata di atas katil sahaja apabila tiba di rumah BaHa kelak selepas menempuh perjalanan yang panjang. Saya kira Abah Ummi berlebih lagi tidak sabar untuk berbuat demikian juga. 

Monday, February 24, 2014

Sarapan di Ulu Yam

Bismillahirrahmanirrahim...

23 Februari 2014 - Hari ini PakSoo mengajak kami untuk beaktiviti di Ulu Yam. Justeru seawal jam 7 pagi saya bertolak ke rumah PakSoo di Sri Gombak. AyahChik dan MakTeh pula akan datang dari arah Sungai Buloh (SB) dan kami berjanji untuk bertemu di PETRONAS persimpangan Empangan Batu. Akhirnya, saya dan PakSoo meneruskan perjalanan kerana kelewatan geng SB supaya kami boleh mencari lokasi yang strategik sebelum ketibaan pengunjung2 lain. 

MakLong dan Izzani

Kali terakhir saya ke sini adalah sewaktu aktiviti berbasikal di zaman bergelar pelajar UIA. Bayangkan sudah berapa lama saya tidak ke sini. Kami tidak pasti lokasi terbaik lalu kami hanya berhenti sahaja di lokasi terdekat yang kami temui. Lucunya kerana kereta kami adalah yang pertama memasuki kawasan tersebut. Mulanya agak ragu2 juga jika ia bukan tempat yang sepatutnya tetapi apabila kelihatan penjaga parking muncul dan selepas PakSoo melihat kawasan tempat mandi, kami putuskan untuk beraktiviti di situ sahaja. Oh ya, parking di situ dikenakan kadar sebanyak RM4 untuk setiap kereta dan kadar berlainan dikenakan untuk jenis kenderaan lain. 

Sementara menunggu ketibaan Geng SB, saya membawa Izzani yagn begitu teruja untuk mandi sungai. Saya tidak berhasrat untuk mandi pun tetapi sekadar membawa Izzani membasahkan diri. Ya Allah, sejuk sungguh airnya seperti air batu tetapi keterujaan Izzani tetap tidak berkurangan. Saya pula yang teruja melayan kerenah Izzani. 

Sebaik Geng SB tiba, kami terus menjamu selera kerana perut pun sudah berkeroncong minta diisi. Makanan yang dibawa adalah secara potluck dan masing2 tanpa segan silu terus menikmatinya. Seronok juga sekali sekala menikmati makanan dikelilingi suasana alam pagi yang sejuk dan mendamaikan. Sewaktu kami sedang asyik menikmati hidangan, kelihatan semakin ramai pengunjung yang tiba dan memenuhi ruang2 kosong yang ada di sekeliling kami. Ini antara sebab kenapa saya lebih suka kami datang awal supaya tidak perlu bersesak2 dengan pengunjung lain. 



Air di situ memang sejuk dan nyaman tetapi saya hanya merendam kaki sahaja sambil menikmati keindahan alam dan melayan kerenah anak2 saudara, Sara dan Izzani. Agaknya begitulah tingkah nakal kami sewaktu kecil dahulu. 






Sara dan PakSoo
Kami mula berkemas dan meninggalkan lokasi tersebut apabila matahari semakin meninggi dan pengunjung semakin ramai tiba. Letih tetapi puas apabila sekali sekala dapat meluangkan masa bersama keluarga yang menerima kita seadanya. 

Ronda2 Cyberjaya dan Putrajaya

Bismillahirrahmanirrahim...

22 Februari 2014 - BaYu dan keluarga singgah ke teratak saya selepas selesai urusan mereka di Big Bad Wolf, The Mines. Usai solat Zohor, saya membawa mereka pusing2 di kawasan Cyberjaya dan Putrajaya. Sengaja saya perkenalkan kepada mereka tempat2 yang sering saya kunjungi di kawasan tersebut. Malah saya sempat membawa mereka menikmati makan tengahari di Restoran DIMA yang menyediakan hidangan nasi arab. Seronok melihat si cilik Qaisara yang berselera menikmati nasi arab meskipun agak bersepah2 haha. 

Sara pilih menu

Dari situ, saya bawa mereka ronda2 lagi melihat bangunan2 dan tempat2 makan lain yang ada di dalam Cyberjaya termasuk Studio KRU, Neo Cyber dan Shaftsbury Square.



Hampir 2 jam juga kami berlegar2 di situ dan kemudian saya membawa mereka ke Pusat Maritim Putrajaya yang terletak bersebelahan Hotel Pullman. Di situ kami melihat aktiviti sukan air dan kelihatan kanak2 sedang bermain kapal layar. Saya sering juga ke situ tetapi tidak pernah turun ke terminal bot di kawasan bawah. Hanya pada hari itu saya turun demi membawa adik2 dan Sara berjalan2. Sebelum pulang, kami sempat singgah di Taman Wetland untuk melihat kolam flamingo. Sudah beberapa kali juga saya ke situ membawa anak2 saudara melihat dan menghayati keindahan alam dan ia satu perkara yang tidak pernah menjemukan bagi saya. Alam dan manusia sebati, tidak mungkin akan dapat dipisahkan. 

Friday, February 21, 2014

Cruise Tasik Putrajaya

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya membawa Abah Ummi bersama ke KL selepas pulang bercuti Hari Raya Cina kerana saya merancang untuk membawa mereka menjenguk rumah abang di Alor Setar. Semenjak abang dan keluarga berpindah ke sana penghujung tahun lepas, kami masih belum sempat menjenguk mereka lagi. Sementara saya juga masih menunggu keputusan muktamad tentang penempatan baru, saya curi masa membawa mereka berjalan2. 

Sebelum itu, saya sempat membawa mereka merasai pengalaman menaiki bot di Tasik Putrajaya dan secara kebetulan promosi diberikan kepada pengunjung sempena sambutan Hari Wilayah. Kadar normal adalah RM30 seorang dan kami diberi diskaun sebanyak 50% seorang.



Sengaja saya tidak memberitahu tempat yang ingin dituju sewaktu saya meminta mereka untuk bersiap. Mereka hanya mengetahuinya apabila kami semakin menghampiri tempat berkenaan. Jelas terpapar keterujaan Abah Ummi untuk menaiki feri yang disediakan di jeti berdekatan Masjid Putra. Saya sebenarnya turut teruja kerana ini juga pengalaman pertama bagi saya :) 




Sepanjang perjalanan, kami diberi taklimat oleh pegawai bertugas tentang keluasan tasik dan bangunan2 yang ada di sekitarnya. Tempoh perjalanan pergi dan balik memakan masa selama 45 minit. Lucunya apabila Kapten bertugas ingin bertemu Abah apabila mengetahui Abah datang daripada Terengganu. Rupa2nya dia juga orang Terengganu. Saya biarkan sahaja mereka berbual sambil menikmati suasana di dek hadapan feri. 




Tamat tempoh 45 minit, feri kembali ke jeti. Puas rasa hati kerana akhirnya hasrat saya membawa Abah Ummi menaiki feri di Tasik Putrajaya tercapai. Itu cara saya menggembirakan mereka kerana jujur, saya tidak begitu pandai menunjukkannya melalui kata2 tetapi lebih kepada perbuatan. Setiap permintaan mereka akan sedaya upaya saya penuhi selagi ia berada dalam lingkungan kemampuan dan keupayaan saya sama ada secara fizikal atau kewangan. Ini kerana saya amat yakin dan pasti mereka juga akan berbuat perkara yang sama kepada anak2 jika berada dalam keadaan kami memerlukan mereka. Meskipun begitu, apa jua yang saya lakukan tidak akan mampu membalas jasa2 mereka selama ini. Semoga Allah mengasihani mereka sebagaimana mereka mengasihani saya sewaktu kecil.

Wednesday, February 19, 2014

Lembaran Baru

Bismillahirrahmanirrahim...


Tanpa disedari, sudah 3 minggu saya berada di tempat baru. Kehidupan terasa lebih tenang apabila saya kini tidak lagi perlu terkejar2 di awal pagi ke pejabat semata2 untuk mengelakkan kesesakan trafik. Waktu bangun pagi masih sama tetapi saya mempunyai ruang waktu yang lebih panjang untuk melakukan aktiviti2 peribadi. Jika sebelum ini, saya akan bertolak ke pejabat pada jam 6.30 pagi, kini saya boleh bertolak selewat2nya jam 7.30 pagi. Sungguh tenang rasanya dapat menikmati suasana pagi yang indah, melihat beburung berterbangan meskipun trafik agak sesak tetapi jaraknya tidaklah terlalu jauh berbanding sebelum ini. Malah saya juga tidak perlu tergesa2 mengejar waktu pulang seperti sebelum ini iaitu jam 5 petang. 

Penghijrahan saya ini penuh dengan drama tetapi dengan keyakinan bahawa usaha disertai doa yang tidak putus2 pasti akan membuahkan hasil membuatkan saya terus kuat melalui hari2 mendatang. Melalui saat getir ini juga membuat saya mengenal orang2 yang benar2 dekat dan memberi kesan mendalam di hati saya. Meskipun kedengaran juga suara2 yang mempersoalkan penghijrahan ini tetapi saya sudah nekad bahawa saya punya alasan tersendiri membuat keputusan tersebut. Ada yang membandingkan jarak yang saya lalui berulang-alik ke pejabat dengan orang lain yang melalui jarak yang lebih jauh. Jawapan saya mudah. Ini hidup saya dan saya berhak menentukan arahnya untuk hidup dengan gembira atau setidak2nya lebih tenang. Selagi saya punya pilihan untuk mendapatkan yang lebih baik, mengapa tidak? 

Sungguh! Proses yang dilalui sepanjang tempoh sebelum penghijrahan benar2 mengajar saya bahawa sekiranya keyakinan yang benar2 mantap diletakkan kepada Allah maka tidak mustahil untuk Allah memakbulkan doa hambaNya. Begitulah kuasa doa yang seringkali dipandang enteng oleh sesetengah individu sedangkan itulah senjata orang Mukmin. Saat itu saya redha dengan sepenuh2nya atas ketentuanNya di samping meneruskan usaha untuk menjadikan penghjirahan ini satu realiti. Hanya Allah yang tahu perasaan saya saat menerima khabar gembira itu. 

Saya sentiasa percaya yang Allah tidak pernah menzalimi hamba2Nya. Begitu juga dengan kehidupan yang pernah saya lalui sebelum ini yang terpaksa berulang-alik meredah lautan trafik meskipun hanya dalam tempoh 7 bulan. Saya bersyukur diberi peluang itu kerana banyak pengajaran dan hikmah yang saya perolehi sepanjang tempoh tersebut. Begitu juga dengan penghijrahan ini. Allah pasti punya sebab tersendiri memakbulkan permohonan saya untuk berhijrah dan saya pasti ia yang terbaik. Kini giliran saya untuk memanfaatkan peluang yang telah diberikan oleh Allah ini dengan sebaik mungkin.