Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, December 27, 2013

Rindu Membawaku Ke Sini

Bismillahirrahmanirrahim...

26 Disember 2013 - Kata orang, tempat jatuh lagikan dikenang. Inikan pula tempat menuntut ilmu. Tempat sebahagian besar usia dihabiskan sebelum memasuki fasa seterusnya yang lebih mencabar. Sudah beberapa kali sebelum ini saya berjanji untuk bertemu dengan sahabat2 seperjuangan yang kini mencurahkan bakti di bumi Taman Ilmu dan Budi, UIA Gombak. Jika dulu mereka bergelar mahasiswa/i, kini mereka adalah sebahagian daripada tenaga pengajar di situ. Saya tumpang berbangga dengan mereka malah sedikit cemburu dengan kesetiaan mereka kekal di UIA. 


Justeru, semalam saya akhirnya meluangkan masa menunaikan janji untuk berjumpa mereka pada waktu tengahari. Mungkin ini juga hikmah saya bertugas di Kuala Lumpur, lebih dekat dengan UIA. 


Sungguh, menjejakkan kaki ke sini tidak pernah menjemukan saya malah perasaannya tetap sama seolah2 kali pertama saya mula menjejakkan kaki ke sini sebagai mahasiswi. Meskipun wajahnya sudah berubah dengan penambahan banyak blok2 baharu berbanding ketika zaman saya dahulu, aura dan udaranya tetap masih sama. 


Perasaan sebak memang tidak dapat dielakkan saat saya melangkah masuk ke kulliyyah kejuruteraan. Ya, saya memang sering ke UIA tetapi sudah agak lama saya tidak menjejakkan kaki ke kulliyyah ini. Selalunya saya ke sana hanya untuk ke bank atau masjid sahaja. Segala kenangan yang pernah terbina di sini bermain di kepala saya dan mengingatkan saya tentang tujuan asal saya menyambung pengajian di UIA. Pendek kata, saya telah jatuh cinta dengan UIA sebelum saya diterima masuk ke situ lagi. Saya berusaha mendapatkan keputusan SPM yang melayakkan saya untuk diterima masuk ke situ sejak tingkatan 4 lagi. Malah UIA adalah pilihan pertama saya sewaktu mengisi borang UPU suatu waktu dahulu. Saya tidak pernah membayangkan yang saya akan menyambung pengajian di tempat lain sebaik tamat SPM kecuali UIA. Hanya sewaktu  di peringkat sarjana sahaja saya memilih untuk menyambungnya di UTM semata2 untuk merasai sendiri kelainannya dan ternyata UIA masih teratas di hati saya. 


Kami sempat makan tengahari di sebuah restoran di Gombak dan meluangkan masa bercerita kisah2 lalu yang tidak pernah menjemukan. Mereka teman2 yang mengenali saya sejak zaman mula memasuki UIA lagi dan mereka mengetahui perangai saya dahulu. Pertemuan dengan mereka mengembalikan semula ingatan saya tentang jati diri sendiri yang terkadang tersasar dek arus kehidupan yang bertahun2 dilalui. 


Tidak puas rasanya berbual2 dengan mereka tetapi saya harus kembali ke pejabat. InsyaAllah jika punya masa terluang, saya pasti akan kembali lagi ke sini kerana di sini tempat saya mula mengenal erti kehidupan. 

No comments: