Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Monday, December 23, 2013

Keletihan

Bismillahirrahmanirrahim...

23 Disember 2013 - Hari ini saya benar2 merasa sangat keletihan. Keletihan yang sekian lama dipendam. Begitu payah rasanya untuk menggagahkan diri memandu ke pejabat malah hari2 yang dilalui terasa sangat panjang. Hanya Allah yang tahu dan faham perasaan saya saat ini. Keletihan itu membuatkan saya seolah2 hilang fokus pada kehidupan dan juga pekerjaan. Hanya Allah menjadi tempat saya meluahkan keletihan ini. Bukan saya tidak biasa berdepan dengan keletihan sebegini tetapi kali ini ia benar2 berbeza. Mungkin faktor masa dan usia juga turut mempengaruhi perasaan ini. 

Jika dulu saya tidak kisah memandu dalam jarak yang jauh untuk ke tempat kerja, kini ia seolah2 satu penyeksaan buat saya. Bayangkan hari Jumaat lepas saya perlu meredah kesesakan trafik selama 2 jam sebelum tiba ke teratak. Akibatnya saya terasa ingin duduk di rumah sahaja sepanjang hari, merehatkan diri. Hanya pada petang Sabtu, saya keluar bertemu sahabat lama buat seketika dan pada hari Ahad pula saya ke Batu Caves mewakili adik2 untuk mengemas dan menyerahkan kunci kepada penyewa homestay. Selebihnya saya hanya berehat di rumah sahaja. 

2002 - 2004: Waktu itu saya tinggal di Shah Alam, berulang-alik ke UIA Gombak dengan menaiki skuter hampir setiap hari. Saya terpaksa tinggal di Shah Alam kerana pada masa yang sama saya juga menjadi pensyarah di UiTM Shah Alam dan kelas saya hanya pada waktu malam sahaja. Waktu itu, Abah Ummi sering membebel kepada saya setiap kali saya pulang ke kampung apabila melihat perubahan warna kulit yang semakin kehitaman kesan terdedah kepada cahaya matahari sewaktu menaiki skuter. Kekerapan saya pulang ke kampung pula adalah 2 minggu sekali dan selalunya saya akan menaiki bas di Seksyen 17. Entah mengapa saya tidak kisah dengan teguran itu kerana saya bukanlah jenis wanita yang terlalu menitik-beratkan soal sebegitu. Saya hanya benar2 ambil kisah apabila terlibat dengan kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke UIA dan akhirnya menerima nasihat Abah untuk membeli kereta. Terus-terang bukan saya sengaja untuk menolak nasihat Abah agar membeli kereta tetapi saya sedar keupayaan kewangan saya pada waktu itu yang diakui belum stabil. Namun saya tidak punya pilihan lagi apabila terlibat dengan kemalangan dan selepas itu timbul sedikit rasa trauma apabila menaiki motosikal.

2004 - 2005: Saya masih lagi tinggal di Shah Alam tetapi berulang-alik ke pejabat di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta Kancil bertransmisi manual. Perjalanan bermula seawal jam 6.15 pagi untuk mengelakkan kesesakan melampau di Lebuhraya Persekutuan. Untuk perjalanan pulang pula, suka atau tidak saya terpaksa meredah kesesakan di Lebuhraya Persekutuan yang menyebabkan saya tiba di rumah pada jam 7.30 malam dan kadang2 mencecah jam 8 malam. Selalunya saya akan terpaksa singgah di mana2 surau atau masjid untuk solat Maghrib kerana saya yakin pasti akan terlepas waktu jika melewat2kannya. 

2005 - 2009: Saya berpindah ke Bandar Tasik Selatan tetapi masih lagi berulang-alik ke Jalan Semarak, KL selama beberapa bulan. Perjalanan masih dimulakan seawal jam 6.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan di Jalan Tun Razak. Kemudian pejabat berpindah ke Putrajaya tetapi saya masih bertolak ke pejabat seawal jam 6.45 pagi kerana pada waktu itu saya menggunakan laluan dalam menerusi Puncak Jalil dan Seri Kembangan. Waktu itu saya masih lagi memandu kereta Kancil transmisi manual. Hanya apabila saya menukar kereta Kenari barulah saya melalui lebuhraya Besraya dengan kadar RM1.30 sehala. 

2009 - 2010: Saya berpindah untuk tinggal bersama adik2 di Keramat tetapi masih lagi berulang-alik ke pejabat di Putrajaya. Kali ini episod turun awal bermula semula. Saya perlu bertolak seawal jam 6.15 pagi untuk mengelak kesesakan melampau di MRR2. Namun selalunya kesukaran yang saya hadapi adalah sewaktu pulang apabila kesesakan di MRR2 memang tidak dapat dielakkan dan seringkali saya tiba ke rumah pada jam 10 malam malah mencecah jam 11 malam. Solat Maghrib pula saya tunaikan berselang-seli sama ada di Masjid Putra atau Masjid UPM. Waktu itu saya tidak kisah meredah jarak yang jauh demi adik2 kerana tempat kerja mereka lebih dekat dengan rumah kami. 

2010 - 2011: Teratak yang dibeli sudah siap dan adik2 juga sudah mendapat tempat kerja lain. Masing2 membawa haluan sendiri dan saya berpindah ke teratak sendiri di Serdang. Barulah saya merasa untuk bertolak ke pejabat pada jam 7.30 pagi dan kadang2 jam 8 pagi kerana saya memilih waktu pejabat jam 8.30 pagi. Namun keseronokan itu tidak lama sebaik saya memulakan fasa baru sebagai pelajar. 

2011 - 2013: Saya menyambung pengajian di UTM Jalan Semarak, KL dan episod meredah kesesakan trafik kembali lagi. Pada semester pertama, saya mempunyai kelas pada setiap hari bermula jam 9 pagi dan tamat jam 5 petang. Maka rutin bertolak awal bermula kembali dan perjalanan saya bermula seawal jam 7 pagi kerana trafik di Jalan Tun Razak sememangnya sukar dijangka. Masih saya ingat insiden kereta berada dalam keadaan statik selama setengah jam tanpa sebab musabab yang logik sehinggakan pemandu di sebelah saya sempat menghabiskan bacaan suratkhabarnya. Lalu saya tukar laluan menerusi MRR2 tetapi keadaannya tetap sama terutama di Jalan Ampang. Namun, kekerapan ke kampus berkurangan apabila memasuki semester 2 dan seterusnya tetapi saya masih lagi berulang-alik ke sana kerana menghabiskan sebahagian besar masa di perpustakaan. Waktu itu, Masjid UTM dan kemudiannya Masjid Khalid Al-Walid, MINDEF sering saya kunjungi untuk menunaikan solat. Tempoh ini merupakan tempoh yang amat menyeronokkan buat saya kerana waktu seolah2 berada di dalam kawalan sendiri. Saya bebas menyusun jadual kehidupan tanpa perlu memikirkan kekangan2 yang perlu dihadapi sewaktu bekerja. Paling seronok apabila saya dapat melakukan aktiviti kegemaran iaitu briskwalking pada setiap pagi atau petang dan kemudiannya ke Masjid Putra untuk solat Maghrib dan Isyak berjemaah sebelum pulang ke teratak. Pada waktu2 yang saya berkelapangan pula, saya akan pulang ke kampung menjenguk Abah Ummi sama ada dengan menaiki kereta, bas atau kapal terbang. Selebihnya pula saya akan melancong atau menziarah kawan2 yang sudah sekian lama tidak bersua wajah. Pendek kata, saya bebas mengatur kehidupan sendiri sesuka hati. 

2013 - sekarang: Saya tamat pengajian pada akhir bulan Jun dan pada 1 Julai menerima surat penempatan ke tempat baru berlokasi di Jalan Duta, KL. Pada awalnya, saya cuba mempositifkan diri dengan menerima penempatan tersebut dan menggagahkan diri memandu seawal jam 6.30 pagi dari teratak demi untuk mengelakkan kesesakan melampau di sepanjang perjalanan. Selalunya saya akan tiba seawal jam 7.15 pagi dan paling lewat jam 7.30 pagi. Pernah juga saya mencuba untuk bertolak pada jam 6.40 pagi ke pejabat. Natijahnya, saya tiba ke pejabat menghampiri jam 8 pagi. Kemudian, saya terpaksa pula meredah kesesakan untuk pulang ke rumah yang kadang2 mencecah hampir 2 jam sedangkan banyak perkara yang boleh saya lakukan dalam tempoh tersebut. Hanya pada hari2 tertentu jika saya bernasib baik, perjalanan memakan masa selama 1 jam sahaja. Satu2nya perkara yang menggembirakan dan membuatkan keletihan saya hilang adalah apabila dapat meluangkan masa bersama sahabat2 untuk minum dan berkongsi cerita sebelum pulang ke teratak. Jika tidak, saya akan terus pulang ke teratak untuk merehatkan diri dan menanti hari baru muncul. 

Sungguh, saya telah mencuba untuk mempositif dan menggagahkan diri melalui perjalanan ini tetapi hakikatnya masa berubah dan usia bertambah. Justeru, keadaan juga berubah dan pemikiran serta persepsi saya terhadap kehidupan juga turut berubah. Membuang masa meredah kesesakan pada setiap pagi bukan lagi satu perkara yang larat untuk saya lakukan. Banyak perkara yang boleh saya lakukan dalam tempoh tersebut jika saya masih berada di teratak. Mungkin ada segelintir yang tidak kisah meredah kesesakan untuk ke tempat kerja dan menganggap itu perkara biasa hidup di bandar besar tetapi tidak untuk saya. Selagi saya punya pilihan, saya akan membuat pilihan sendiri untuk menentukan jalan kehidupan yang ingin saya lalui. Saya punya banyak impian dalam hidup ini untuk dipenuhi dan membuang masa meredah kesesakan trafik bukan merupakan salah satu daripadanya. 

Sehingga tiba saat yang dinanti, saya mohon kekuatan daripadaNya agar diberi kekuatan untuk melalui hari2 mendatang dengan hati yang tabah. 

No comments: