Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, December 19, 2013

Hari Keluarga Bakarians (HKB) - Episod 1

Bismillahirrahmanirrahim...

13 Disember 2013 - Hari yang ditunggu akhirnya tiba jua. Kali terakhir kami mengadakan hari keluarga adalah pada tahun 2011 di Tasik Kenyir. Abah Ummi sudah tiba sejak semalam dan bermalam di rumah adik (BaYu) di Sungai Buloh. Mengikut perancangan asal, kami sepatutnya berkumpul pada jam 9 pagi di Sungai Buloh sebelum sama2 bertolak ke jeti Lumut dan seterusnya bertemu dengan dua orang abang (BaAn dan BaHa) yang sudah menunggu di sana. 

Apabila merancang sesuatu, saya sering mengingatkan diri bahawa kita hanya merancang, Dia yang tentukan agar sekiranya berlaku perubahan, ia tidak akan mengecewakan diri malah menjadi lebih tenang untuk menghadapinya kerana yakin perancangan Dia pasti lebih baik. 

Kata seorang sahabat kepada saya,

"Kalau takde drama, bukan Kak Imah namanya. Over!"

Saya hanya mampu tertawa mendengar komen itu kerana itulah juga yang sering dikatakan oleh adik2 selama ini. Kata mereka, setiap kali beraktiviti melibatkan saya pasti akan ada unsur2 dramatik yang berlaku tetapi peristiwa sebegitulah yang akhirnya akan meninggalkan kenangan manis untuk dikenang pada masa hadapan. 

Drama pertama bermula apabila perancangan untuk bertolak pada jam 9 pagi ditunda kepada selepas solat Jumaat kerana menunggu BaYu menyempurnakan tugasan tesis yang perlu dihantar sebelum jam 5 petang pada hari tersebut. Kegelisahan jelas ketara apabila semakan mendapati feri terakhir bertolak dari jeti adalah pada jam 8.30 malam. Sementara itu, BaAn dan BaHa pula telah membuat keputusan untuk menaiki feri terlebih dahulu kerana kebosanan menunggu ketibaan kami. Mengikut perancangan juga, kami perlu singgah di Tanjung Malim mengambil adik dan keluarganya untuk turut serta dalam percutian pada kali ini. 

Untuk menjimatkan masa, saya putuskan agar PakSoo dan Abah Ummi bertolak dahulu sementara saya akan menunggu BaYu menyiapkan tesisnya, menemaninya ke fakulti untuk membuat penghantaran dan terus menuju ke Lumut. Sengaja saya putuskan begitu kerana PakSoo perlu singgah di Tanjung Malim pula sebelum meneruskan perjalanan ke Lumut. 

Abah, mendukung Izzani sambil Qaisara tertawa melihat Izzani menangis

Akhirnya, tesis siap dicetak pada jam 4.30 petang tetapi lebih dramatik, tesis masih belum sempat dibinding dan persinggahan pertama kami adalah di kedai runcit di kawasan Hospital Sungai Buloh. Nasib agak kurang baik kerana tiada perkhidmatan binding disediakan di situ. Dengan lafaz Bismillah, saya terus memecut ke Puncak Alam dengan gaya pemanduan yang saya kira agak laju juga tetapi masih berhati2 kerana memikirkan ada nyawa2 insan lain terutama Qaisara di dalam kereta saya. Sepanjang perjalanan, mulut saya tidak putus2 membaca ayat Kursi dan membaca doa 'Robbi yassir wala tua'ssir'. Ia satu keyakinan yang senantiasa saya pahatkan dalam hati ini bahawa walau sehebat mana pun usaha yang kita lakukan, pada akhirnya ketentuan sama ada kita akan berjaya mendapatkan sesuatu atau tidak adalah atas izinNya jua. Maka kepadaNya tempat menggantungkan harapan agar perjalanan kami dipermudahkanNya. 

Melayani Qaisara sementara menanti BaYu bersiap

Alhamdulillah, kami tiba pada jam 5.05 petang dan saya sarankan kepada BaYu agar terus menemui pensyarah bertugas terlebih dahulu dengan alasan2 yang logik dan kemudian meminta izin untuk membindingnya sebelum membuat penghantaran. 


Hampir sejam menunggu kemunculan BaYu, akhirnya dia muncul memaklumkan yang penghantaran diterima meskipun sedikit lewat. Syukur! Malah masa yang lama diambil kerana dia terus membinding tesis tersebut di kedai binding yang berada di dalam fakulti. Selesai satu cabaran. 

Cabaran seterusnya adalah untuk mengejar waktu menaiki feri. Jam sudah menunjukkan 6 petang dan timbul sedikit ketidakyakinan di hati kami untuk tiba di jeti sebelum jam 8.30 malam. Lalu kami putuskan untuk makan malam di restoran berdekatan terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Kami nekad untuk bermalam di bandar Lumut sahaja jika terlepas feri dan hanya akan ke Pulau Pangkor pada keesokan paginya. Yang penting, Abah Ummi sudah selamat sampai ke sana terlebih dahulu.

Usai makan malam di sekitar Puncak Alam, kami memulakan perjalanan ke Lumut pada jam 7 malam. Cadangnya saya ingin memasuki Lebuhraya PLUS sahaja untuk menjimatkan masa tetapi akhirnya kami melalui jalan dalam. Ingin berpatah balik rasanya sudah tidak berbaloi maka kami teruskan juga perjalanan memasuki daerah Tanjung Karang, Sungai Besar, Sekinchan dan akhirnya Teluk Intan. Melihat kepada jarak perjalanan yang masih berbaki, kami jangka akan tiba di Lumut pada jam 9 malam dan jelas kami bakal terlepas feri terakhir jam 8.30 malam. 

Ternyata kumpulan PakSoo juga menghadapi cabaran di dalam perjalanan, berdepan dengan kemalangan kren yang mengakibatkan perjalanan terhenti selama 1 jam. Mereka akhirnya mengambil feri di jeti Lumut pada jam 9.40 malam sementara kami diminta menaiki feri di jeti Pulau Marina pada jam 10.45 malam. Subhanallah! Rasa mahu sujud syukur di situ juga saat memarkirkan kereta di tempat letak kereta yang disediakan pada kadar RM10 sehari. 

Tanpa berlengah, kami segera membawa beg2 menuju ke jeti dan ternyata ia lengang. Lega rasanya kerana tidak perlu bermalam di bandar Lumut seperti perancangan asal tadi. Feri bertolak seperti dijadualkan dan perjalanan dari jeti Pulau Marina ke Pulau Pangkor hanya memakan masa 10 minit sahaja. Pun begitu, dek keletihan memandu, saya sempat melelapkan mata seketika dan hanya tersedar apabila dikejutkan oleh adik ipar. 

Ini merupakan kunjungan kali pertama saya ke sini. Justeru, saya agak teruja untuk melihat keistimewaan dan keindahan yang ditawarkan oleh pulau ini kepada kami sekeluarga. 

Selamat datang
Kadar teksi berwarna pink yang menguasai pulau

Tiba di sana, memang banyak teksi yang menunggu untuk mengambil penumpang pada kadar yang telah ditetapkan tetapi PakSoo sudah berjanji untuk datang menjemput kami dengan van yang telah ditempah lebih awal. Penginapan juga telah diuruskan oleh PakSoo iaitu 4 unit Mes PDRM yang terletak di Teluk Dalam. Sangka saya ia terletak di tepi pantai tetapi rupanya di atas bukit. Tak kisahlah, janji selesa buat kami sekeluarga. 

Tiba di rumah penginapan, tanpa banyak soal saya terus melelapkan mata dan hanya bangun solat jama' pada jam 4.30 pagi. 

No comments: