Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, December 27, 2013

Rindu Membawaku Ke Sini

Bismillahirrahmanirrahim...

26 Disember 2013 - Kata orang, tempat jatuh lagikan dikenang. Inikan pula tempat menuntut ilmu. Tempat sebahagian besar usia dihabiskan sebelum memasuki fasa seterusnya yang lebih mencabar. Sudah beberapa kali sebelum ini saya berjanji untuk bertemu dengan sahabat2 seperjuangan yang kini mencurahkan bakti di bumi Taman Ilmu dan Budi, UIA Gombak. Jika dulu mereka bergelar mahasiswa/i, kini mereka adalah sebahagian daripada tenaga pengajar di situ. Saya tumpang berbangga dengan mereka malah sedikit cemburu dengan kesetiaan mereka kekal di UIA. 


Justeru, semalam saya akhirnya meluangkan masa menunaikan janji untuk berjumpa mereka pada waktu tengahari. Mungkin ini juga hikmah saya bertugas di Kuala Lumpur, lebih dekat dengan UIA. 


Sungguh, menjejakkan kaki ke sini tidak pernah menjemukan saya malah perasaannya tetap sama seolah2 kali pertama saya mula menjejakkan kaki ke sini sebagai mahasiswi. Meskipun wajahnya sudah berubah dengan penambahan banyak blok2 baharu berbanding ketika zaman saya dahulu, aura dan udaranya tetap masih sama. 


Perasaan sebak memang tidak dapat dielakkan saat saya melangkah masuk ke kulliyyah kejuruteraan. Ya, saya memang sering ke UIA tetapi sudah agak lama saya tidak menjejakkan kaki ke kulliyyah ini. Selalunya saya ke sana hanya untuk ke bank atau masjid sahaja. Segala kenangan yang pernah terbina di sini bermain di kepala saya dan mengingatkan saya tentang tujuan asal saya menyambung pengajian di UIA. Pendek kata, saya telah jatuh cinta dengan UIA sebelum saya diterima masuk ke situ lagi. Saya berusaha mendapatkan keputusan SPM yang melayakkan saya untuk diterima masuk ke situ sejak tingkatan 4 lagi. Malah UIA adalah pilihan pertama saya sewaktu mengisi borang UPU suatu waktu dahulu. Saya tidak pernah membayangkan yang saya akan menyambung pengajian di tempat lain sebaik tamat SPM kecuali UIA. Hanya sewaktu  di peringkat sarjana sahaja saya memilih untuk menyambungnya di UTM semata2 untuk merasai sendiri kelainannya dan ternyata UIA masih teratas di hati saya. 


Kami sempat makan tengahari di sebuah restoran di Gombak dan meluangkan masa bercerita kisah2 lalu yang tidak pernah menjemukan. Mereka teman2 yang mengenali saya sejak zaman mula memasuki UIA lagi dan mereka mengetahui perangai saya dahulu. Pertemuan dengan mereka mengembalikan semula ingatan saya tentang jati diri sendiri yang terkadang tersasar dek arus kehidupan yang bertahun2 dilalui. 


Tidak puas rasanya berbual2 dengan mereka tetapi saya harus kembali ke pejabat. InsyaAllah jika punya masa terluang, saya pasti akan kembali lagi ke sini kerana di sini tempat saya mula mengenal erti kehidupan. 

Thursday, December 26, 2013

The Pursuit of Happiness

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah agak lama sebenarnya saya tidak menonton filem terutama semenjak menyarung jersi sebagai pelajar sebelum ini. Namun akhir2 ini ada 2 buah filem yang saya tonton dan ia memang antara genre kegemaran saya iaitu autobiografi berdasarkan kisah benar. Filem pertama yang telah saya tonton adalah The Blind Side lakonan Sandra Bullock dan malam tadi The Pursuit of Happiness lakonan Will Smith. 

Segalanya bermula apabila saya terbaca petikan kata2 Will Smith kepada anaknya di wall FB seorang teman. Saya terus jatuh hati dengan kata2 tersebut yang pada fikiran saya begitu bermotivasi. Lalu dengan bantuan seorang sahabat, saya cuba mendapatkan DVD filem tersebut.



Jalan ceritanya begitu menyentuh hati iaitu tentang keazaman seorang ayah melakukan yang terbaik untuk keluarganya terutama anak lelakinya, Christopher meskipun dia ditinggalkan oleh isteri di saat dia paling memerlukan sokongan. Melihat jatuh bangun Will bersama anaknya sepanjang perjalanan meraih kehidupan yang lebih baik mengajar penonton bahawa kebahagian itu harus diraih dan bukannya datang bergolek. Dari situlah datangnya tajuk filem ini iaitu 'pursuit' (The action of following or pursuing someone or something). Malah yang lebih penting adalah kebersamaan melalui jalan2 sukar sebelum kebahagiaan itu diraih menjadikan kebahagiaan itu lebih berharga. Jauh lebih penting dari itu adalah kebahagiaan bukan dinilai dari segi material semata. Di penghujung cerita, Will berjaya mencapai apa2 yang dicita2kannya dan berjaya membuktikan kepada anaknya bahawa tiada siapa yang mampu menghalang seseorang untuk mencapai cita2nya kecuali dirinya sendiri. 

Saya akui menitiskan airmata melihat Will begitu menjiwai watak yang dibawanya namun yang lebih menyentap ulu hati adalah apabila melihat keazaman seorang ayah yang sanggup melakukan apa sahaja untuk anaknya. Melihat Will menitiskan airmata sewaktu terpaksa bermalam di dalam tandas bersama anaknya apabila dihalau keluar daripada motel yang disewa cukup untuk menggambarkan bahawa setiap orang akan melalui fasa2 paling bawah di dalam kehidupan ini tetapi keazaman untuk bangkit kembali itulah yang terus memberikan semangat untuk kembali berjuang demi sebuah kehidupan yang lebih baik. Malah tidak salah untuk seorang lelaki menitiskan airmata di saat2 melalui fasa sukar dalam kehidupan kerana airmata bukan milik hakiki seorang wanita semata. 

Agi idup agi ngelaban!

Tuesday, December 24, 2013

HKB - Episod 5 (Akhir)

Bismillahirrahmanirrahim...

15 Disember 2013 - Hari ini adalah hari terakhir percutian kami tetapi kanak2 tetap tidak melepaskan peluang untuk mandi manda di dalam kolam sebaik celik mata di pagi hari. Kami biarkan sahaja mereka menghabiskan masa bersama sepupu sepapat sebelum kembali ke rumah masing2. 


Sementara kanak2 menikmati waktu mereka, saya dan BaYu ke pekan untuk membeli apa yang patut bagi dibawa pulang. Ternyata tiada yang mampu menambat hati saya untuk dibeli lalu saya hanya membeli fridge magnet sahaja. PakSoo pula membawa anaknya, Izzani, ke hospital desa kerana demam yang masih belum berkurangan. Apa tidaknya, balik dari bercuti di Sabah, bersambung pula ke Pulau Pangkor dan kedua2nya melibatkan aktiviti di laut. Akibatnya, Izzani telah ditahan di wad untuk seketika bagi memantau suhu badannya. 





Syukur kerana selepas pemeriksaan suhu, Izzani dibenarkan keluar dan kami terus kembali ke rumah penginapan untuk urusan daftar keluar. Kami terpaksa berpecah menaiki feri dari jeti berlainan kerana kami datang juga dari arah berlainan. Saya dan BaYu dari jeti Pulau Marina sementara yang lain dari jeti Lumut. Untuk keluar dari Pulau Pangkor, tiket tidak diperlukan kerana tiket yang dibeli semasa masuk adalah untuk 2 hala. Mula2 tiba di jeti memang saya terkejut melihat lautan manusia yang ingin menaiki feri keluar dari pulau. Teringat insiden sewaktu ingin keluar dari Pulau Tioman kira2 4 tahun yang lalu. Ngeri apabila mengingatkannya tetapi ternyata Allah Maha Mendengar. Doa yang tidak putus2 'Robbi Yassir Wala Tua'ssir' membantu kami apabila laluan ke jeti Pulau Marina tidak seramai ke jeti Lumut. Malah sudah kedengaran suara2 tidak puas hati sesama mereka apabila melihat segelintir manusia yang memotong barisan sedangkan mereka yang lain gigih menunggu giliran. Ternyata laluan kami lengang dan kami tiba tepat pada masanya kerana feri untuk Pulau Marina tiba tidak lama selepas itu. Lebih melancarkan perjalanan apabila keluarga yang membawa anak2 kecil diberi keutamaan untuk memasuki feri dan kehadiran Qaisara memberi kelebihan kepada kami. 

Laluan kanan ke jeti Lumut sangat sesak



Perjalanan dari jeti Pulau Pangkor ke jeti Pulau Marina hanya memakan masa tidak sampai 15 minit. Memang lebih dekat berbanding ke jeti Lumut. Rupa2nya inilah hikmah kami tiba lambat dan menaiki feri terakhir tempohari. Kata abang2 saya, suasana untuk ke jeti Lumut memang sangat sesak sehingga terpaksa berebut2 dan berasak2. 


Sementara menunggu ketibaan kumpulan yang turun di jeti Lumut, kami ke Restoran Dayang yang teletak di Teluk Batik untuk makan tengahari. Kelihatan suasana restoran agak lengang kerana waktu hidangan sudah hampir berakhir dan lauk pauk juga sudah kehabisan. Akhirnya kami hanya menempah nasi goreng dan mee goreng sahaja. 




Usai makan, kami terima panggilan yang mereka sudah tiba di jeti Lumut dan kami berjanji untuk bertemu di sana. Sebelum pulang, kami singgah membeli hasil2 laut terutama ikan bilis di kedai2 sekitar bandar Lumut. Ternyata harganya tidak jauh berbeza dengan harga di pulau dan kadangkala jauh lebih murah. Mujur juga saya tidak membelinya sewaktu di pulau sebelum ini kerana perlu membawanya menaiki feri pula sedangkan jika dibeli di sini, saya boleh terus memasukkannya ke dalam bonet kereta. 


Akhirnya, masa untuk berpisah tiba. BaHa dan keluarga akan menghala ke Utara sementara kami pula ke Selatan. Dalam perjalanan, kami perlu singgah di Tanjung Malim untuk menghantar adik sebelum kembali ke Sungai Buloh. BaAn dan keluarga pula akan meneruskan perjalanan pulang ke Johor. Penat? Itu sudah pasti tetapi melihat senyuman di wajah Abah Ummi dan gelak tawa anak2 kecil sudah cukup mengubat kepenatan saya itu. 

HKB - Episod 4

Bismillahirrahmanirrahim...

14 Disember 2013 - Usai berehat seketika, kami ke pekan untuk mencari bahan2 mentah sebagai persediaan makan malam. Untuk BBQ pula, PakSoo telah awal2 membelinya di Kota Kinabalu sehari sebelum bertolak ke Pulau Pangkor. Hanya tinggal untuk digaul rempah dan diperap sahaja.

Subhanallah!
Berdasarkan pemerhatian saya, tidak sukar mendapatkan makanan di pulau ini kerana memang banyak gerai2 dan kedai2 makan yang tersusun di sepanjang pantai namun saya tidak pasti sejauh mana tahap kebersihannya dan juga harganya. Mungkin kerana sebab itu juga kami hanya ke restoran yang sama sepanjang berada di pulau ini. 


Tambahan pula, kemudahan di penginapan ini memang lengkap termasuk tempat untuk berBBQ. Untuk makanan utama pula, kami sepakat menempahnya di restoran sahaja supaya tidak perlu bersusah payah untuk memasaknya. Tambahan pula masing2 sudah keletihan selepas seharian mandi manda di laut.  



Kanak2 zaman sekarang, tak lekang dengan gajet


Suasana penginapan pada waktu malam
Usai makan malam, masing2 kembali merehatkan diri malah saya sendiri terlelap awal, mungkin kerana keletihan yang masih bersisa. 

HKB - Episod 3

Bismillahirrahmanirrahim...

14 Disember 2013 - Usai makan tengahari, kami terus bergerak ke Pantai Pasir Bogak untuk menaiki bot yang telah ditempah lebih awal oleh BaAn. 


Perkara pertama dan wajib dibuat sebelum menaiki bot sudah tentulah memakai jaket keselamatan. Sama ada tua muda, kecil besar, semua wajib memakainya demi keselamatan bersama. 


Kanak2 sudah tentulah yang paling teruja untuk menaiki bot. Yang dewasa pun teruja juga sebenarnya tapi kenalah pandai berlakon di depan kanak2 hehe.



Sebelum berhenti di lokasi untuk snorkelling, kami dibawa ronda2 kawasan sekitar pulau dan dibawa melalui sebuah resort yang menawarkan penginapan berharga RM1,200 untuk satu malam. Entah siapalah pengunjung yang begitu kaya dan sanggup menginap di sini pada kadar tersebut. 

Penginapan berharga RM1200/malam

Wajah2 teruja menaiki bot




Ini perhentian pertama untuk memberi makan ikan2. Oleh kerana kami memang tidak membawa roti, mereka memilih untuk snorkelling sahaja. Saya pula duduk di dalam bot sahaja bersama anak2 kecil kerana memakai pakaian yang kurang sesuai untuk mandi. Lagipun kali ini memang saya terasa sedikit malas untuk membasahkan diri. 


Abah yang tiba2 terjun dari bot dan teruja untuk snorkelling. Layan!





Kemudian kami dibawa ke tepi pantai dan menghabiskan masa hampir 2 jam sebelum kembali ke jeti. Kecut juga menunggu kanak2 mandi dan kali ini saya pun turut serta kerana kebosanan menunggu di tepi pantai. Yang pasti, airnya agak keruh dan ikan2 juga tidak sebanyak yang disangka. Rasanya pantai di hadapan rumah kami di kampung jauh lebih menarik. Apapun, yang diutamakan bukanlah sekadar tempat sahaja tetapi kebersamaan menghabiskan masa bersama keluarga itu jauh lebih penting. Pada saya, lokasi adalah faktor kedua setiap kali ingin berkelana atau melancong. Faktor utama adalah orang2 yang turut serta dalam kembara itu. Saya percaya jika kita pergi ke tempat yang menarik tetapi bersama orang yang tidak kita sukai, tempat tersebut akan menjadi kurang menarik dan begitulah sebaliknya. 


Seperti biasa, banyak kemudahan aktiviti air seperti banana boat dan jet ski turut disediakan kepada pengunjung tetapi kami sudah keletihan. Justeru, kami terus pulang ke rumah penginapan untuk berehat dan membuat persiapan BBQ pada waktu malam nanti. 




Monday, December 23, 2013

Saya Hanya Manusia Biasa

Bismillahirrahmanirrahim...

Justeru, saya tidak lepas dari melakukan kekhilafan dan akan ada masa2nya saya merasa sedih. Pun begitu, terbit rasa menyesal kerana seolah2 mengeluh dalam entri saya sebelum ini. Kata2 seorang teman selepas saya meluahkan keletihan tersebut telah menyentak hati ini dan kembali membuka mata saya. 

"Jangan mengeluh." Ringkas tapi penuh makna.

Lalu saya berteleku usai solat Zuhur sebentar tadi. Keinsafan menjalar di dalam diri betapa luahan dan kata2 saya tadi seolah2 menggambarkan yang saya tidak bersyukur dan redha atas segala ketentuanNya. Astaghfirullala'zim. Saya sering mengatakan yang saya ini seorang yang positif tetapi terkadang tanpa sedar, saya menjadi seorang yang negatif. Mujur Allah hadirkan sahabat yang mampu menyedarkan kekhilafan yang telah saya lakukan itu. 

Saya sepatutnya memandang setiap perkara ini dari sudut yang positif dan sedar bahawa setiap yang berlaku adalah ketentuanNya jua yang terkandung hikmahnya yang tersendiri. Hikmah itu akan terbit andai saya ingin memandangnya dari sudut yang betul. Sungguh banyak perkara2 baik yang saya nikmati sekarang meskipun saya terpaksa berdepan dengan keadaan yang meletihkan. 

Setidak2nya saya keletihan memandu untuk ke tempat kerja sedangkan masih ramai yang keletihan mencari pekerjaan. Setidak2nya tempat kerja saya mempunyai hawa dingin dan bukannya padang luas seperti diharungi pak petani dan nelayan yang berpanas di tengah lautan. Setidak2nya saya punya sumber pendapatan tetap dan tidak seperti mereka yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Astaghfirullahala'zim. Sungguh saya benar2 telah terkhilaf dan semoga Allah mengampunkan kekhilafan saya itu. 

Allah pasti meletakkan saya dalam keadaan yang Dia tahu saya mampu menanggungnya dan Allah juga telah berjanji bahawa bersama2 kesukaran itu adalah kesenangan.

Kini masa untuk kembali memperbetulkan sudut pandang saya dan pada masa yang sama memperkuatkan diri untuk melalui hari2 mendatang dengan lebih tabah. Saya punya senjata iaitu doa dan insyaAllah akan dipergunakan dengan sewajarnya.

Keletihan

Bismillahirrahmanirrahim...

23 Disember 2013 - Hari ini saya benar2 merasa sangat keletihan. Keletihan yang sekian lama dipendam. Begitu payah rasanya untuk menggagahkan diri memandu ke pejabat malah hari2 yang dilalui terasa sangat panjang. Hanya Allah yang tahu dan faham perasaan saya saat ini. Keletihan itu membuatkan saya seolah2 hilang fokus pada kehidupan dan juga pekerjaan. Hanya Allah menjadi tempat saya meluahkan keletihan ini. Bukan saya tidak biasa berdepan dengan keletihan sebegini tetapi kali ini ia benar2 berbeza. Mungkin faktor masa dan usia juga turut mempengaruhi perasaan ini. 

Jika dulu saya tidak kisah memandu dalam jarak yang jauh untuk ke tempat kerja, kini ia seolah2 satu penyeksaan buat saya. Bayangkan hari Jumaat lepas saya perlu meredah kesesakan trafik selama 2 jam sebelum tiba ke teratak. Akibatnya saya terasa ingin duduk di rumah sahaja sepanjang hari, merehatkan diri. Hanya pada petang Sabtu, saya keluar bertemu sahabat lama buat seketika dan pada hari Ahad pula saya ke Batu Caves mewakili adik2 untuk mengemas dan menyerahkan kunci kepada penyewa homestay. Selebihnya saya hanya berehat di rumah sahaja. 

2002 - 2004: Waktu itu saya tinggal di Shah Alam, berulang-alik ke UIA Gombak dengan menaiki skuter hampir setiap hari. Saya terpaksa tinggal di Shah Alam kerana pada masa yang sama saya juga menjadi pensyarah di UiTM Shah Alam dan kelas saya hanya pada waktu malam sahaja. Waktu itu, Abah Ummi sering membebel kepada saya setiap kali saya pulang ke kampung apabila melihat perubahan warna kulit yang semakin kehitaman kesan terdedah kepada cahaya matahari sewaktu menaiki skuter. Kekerapan saya pulang ke kampung pula adalah 2 minggu sekali dan selalunya saya akan menaiki bas di Seksyen 17. Entah mengapa saya tidak kisah dengan teguran itu kerana saya bukanlah jenis wanita yang terlalu menitik-beratkan soal sebegitu. Saya hanya benar2 ambil kisah apabila terlibat dengan kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke UIA dan akhirnya menerima nasihat Abah untuk membeli kereta. Terus-terang bukan saya sengaja untuk menolak nasihat Abah agar membeli kereta tetapi saya sedar keupayaan kewangan saya pada waktu itu yang diakui belum stabil. Namun saya tidak punya pilihan lagi apabila terlibat dengan kemalangan dan selepas itu timbul sedikit rasa trauma apabila menaiki motosikal.

2004 - 2005: Saya masih lagi tinggal di Shah Alam tetapi berulang-alik ke pejabat di Jalan Semarak, Kuala Lumpur dengan menaiki kereta Kancil bertransmisi manual. Perjalanan bermula seawal jam 6.15 pagi untuk mengelakkan kesesakan melampau di Lebuhraya Persekutuan. Untuk perjalanan pulang pula, suka atau tidak saya terpaksa meredah kesesakan di Lebuhraya Persekutuan yang menyebabkan saya tiba di rumah pada jam 7.30 malam dan kadang2 mencecah jam 8 malam. Selalunya saya akan terpaksa singgah di mana2 surau atau masjid untuk solat Maghrib kerana saya yakin pasti akan terlepas waktu jika melewat2kannya. 

2005 - 2009: Saya berpindah ke Bandar Tasik Selatan tetapi masih lagi berulang-alik ke Jalan Semarak, KL selama beberapa bulan. Perjalanan masih dimulakan seawal jam 6.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan di Jalan Tun Razak. Kemudian pejabat berpindah ke Putrajaya tetapi saya masih bertolak ke pejabat seawal jam 6.45 pagi kerana pada waktu itu saya menggunakan laluan dalam menerusi Puncak Jalil dan Seri Kembangan. Waktu itu saya masih lagi memandu kereta Kancil transmisi manual. Hanya apabila saya menukar kereta Kenari barulah saya melalui lebuhraya Besraya dengan kadar RM1.30 sehala. 

2009 - 2010: Saya berpindah untuk tinggal bersama adik2 di Keramat tetapi masih lagi berulang-alik ke pejabat di Putrajaya. Kali ini episod turun awal bermula semula. Saya perlu bertolak seawal jam 6.15 pagi untuk mengelak kesesakan melampau di MRR2. Namun selalunya kesukaran yang saya hadapi adalah sewaktu pulang apabila kesesakan di MRR2 memang tidak dapat dielakkan dan seringkali saya tiba ke rumah pada jam 10 malam malah mencecah jam 11 malam. Solat Maghrib pula saya tunaikan berselang-seli sama ada di Masjid Putra atau Masjid UPM. Waktu itu saya tidak kisah meredah jarak yang jauh demi adik2 kerana tempat kerja mereka lebih dekat dengan rumah kami. 

2010 - 2011: Teratak yang dibeli sudah siap dan adik2 juga sudah mendapat tempat kerja lain. Masing2 membawa haluan sendiri dan saya berpindah ke teratak sendiri di Serdang. Barulah saya merasa untuk bertolak ke pejabat pada jam 7.30 pagi dan kadang2 jam 8 pagi kerana saya memilih waktu pejabat jam 8.30 pagi. Namun keseronokan itu tidak lama sebaik saya memulakan fasa baru sebagai pelajar. 

2011 - 2013: Saya menyambung pengajian di UTM Jalan Semarak, KL dan episod meredah kesesakan trafik kembali lagi. Pada semester pertama, saya mempunyai kelas pada setiap hari bermula jam 9 pagi dan tamat jam 5 petang. Maka rutin bertolak awal bermula kembali dan perjalanan saya bermula seawal jam 7 pagi kerana trafik di Jalan Tun Razak sememangnya sukar dijangka. Masih saya ingat insiden kereta berada dalam keadaan statik selama setengah jam tanpa sebab musabab yang logik sehinggakan pemandu di sebelah saya sempat menghabiskan bacaan suratkhabarnya. Lalu saya tukar laluan menerusi MRR2 tetapi keadaannya tetap sama terutama di Jalan Ampang. Namun, kekerapan ke kampus berkurangan apabila memasuki semester 2 dan seterusnya tetapi saya masih lagi berulang-alik ke sana kerana menghabiskan sebahagian besar masa di perpustakaan. Waktu itu, Masjid UTM dan kemudiannya Masjid Khalid Al-Walid, MINDEF sering saya kunjungi untuk menunaikan solat. Tempoh ini merupakan tempoh yang amat menyeronokkan buat saya kerana waktu seolah2 berada di dalam kawalan sendiri. Saya bebas menyusun jadual kehidupan tanpa perlu memikirkan kekangan2 yang perlu dihadapi sewaktu bekerja. Paling seronok apabila saya dapat melakukan aktiviti kegemaran iaitu briskwalking pada setiap pagi atau petang dan kemudiannya ke Masjid Putra untuk solat Maghrib dan Isyak berjemaah sebelum pulang ke teratak. Pada waktu2 yang saya berkelapangan pula, saya akan pulang ke kampung menjenguk Abah Ummi sama ada dengan menaiki kereta, bas atau kapal terbang. Selebihnya pula saya akan melancong atau menziarah kawan2 yang sudah sekian lama tidak bersua wajah. Pendek kata, saya bebas mengatur kehidupan sendiri sesuka hati. 

2013 - sekarang: Saya tamat pengajian pada akhir bulan Jun dan pada 1 Julai menerima surat penempatan ke tempat baru berlokasi di Jalan Duta, KL. Pada awalnya, saya cuba mempositifkan diri dengan menerima penempatan tersebut dan menggagahkan diri memandu seawal jam 6.30 pagi dari teratak demi untuk mengelakkan kesesakan melampau di sepanjang perjalanan. Selalunya saya akan tiba seawal jam 7.15 pagi dan paling lewat jam 7.30 pagi. Pernah juga saya mencuba untuk bertolak pada jam 6.40 pagi ke pejabat. Natijahnya, saya tiba ke pejabat menghampiri jam 8 pagi. Kemudian, saya terpaksa pula meredah kesesakan untuk pulang ke rumah yang kadang2 mencecah hampir 2 jam sedangkan banyak perkara yang boleh saya lakukan dalam tempoh tersebut. Hanya pada hari2 tertentu jika saya bernasib baik, perjalanan memakan masa selama 1 jam sahaja. Satu2nya perkara yang menggembirakan dan membuatkan keletihan saya hilang adalah apabila dapat meluangkan masa bersama sahabat2 untuk minum dan berkongsi cerita sebelum pulang ke teratak. Jika tidak, saya akan terus pulang ke teratak untuk merehatkan diri dan menanti hari baru muncul. 

Sungguh, saya telah mencuba untuk mempositif dan menggagahkan diri melalui perjalanan ini tetapi hakikatnya masa berubah dan usia bertambah. Justeru, keadaan juga berubah dan pemikiran serta persepsi saya terhadap kehidupan juga turut berubah. Membuang masa meredah kesesakan pada setiap pagi bukan lagi satu perkara yang larat untuk saya lakukan. Banyak perkara yang boleh saya lakukan dalam tempoh tersebut jika saya masih berada di teratak. Mungkin ada segelintir yang tidak kisah meredah kesesakan untuk ke tempat kerja dan menganggap itu perkara biasa hidup di bandar besar tetapi tidak untuk saya. Selagi saya punya pilihan, saya akan membuat pilihan sendiri untuk menentukan jalan kehidupan yang ingin saya lalui. Saya punya banyak impian dalam hidup ini untuk dipenuhi dan membuang masa meredah kesesakan trafik bukan merupakan salah satu daripadanya. 

Sehingga tiba saat yang dinanti, saya mohon kekuatan daripadaNya agar diberi kekuatan untuk melalui hari2 mendatang dengan hati yang tabah. 

Friday, December 20, 2013

HKB - Episod 2

Bismillahirrahmanirrahim...

14 Disember 2013 - Penginapan yang ditempah oleh PakSoo memang sangat selesa dan memenuhi keperluan kami sekeluarga. Kanak2 sudah tentulah paling seronok apabila celik mata saja terus terjun ke dalam kolam. 



Qaisara di ruang tamu



Perancangan pada hari ini adalah untuk menaiki bot ke pulau untuk snorkelling tetapi sebelum itu kami singgah di sebuah tempat bersejarah yang dipanggil Kota Belanda. Dikatakan suatu masa dahulu tempat ini pernah dijadikan gudang untuk menyimpan bijih timah. 





Kemudian kami makan tengahari di sebuah restoran bernama D'Hasnah Corner yang terletak berhadapan dengan Balai Polis Pulau Pangkor. Malah restoran ini menjadi lokasi tetap untuk kami makan sepanjang berada di pulau ini. 

Kita makan dulu!

Pengangkutan kami sepanjang di pulau berlatarbelakangkan Balai Polis Pulau Pangkor