Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, November 28, 2013

Nita

Bismillahirrahmanirrahim...

Usai menamatkan bacaan doa, imam mempelawa para jemaah untuk menikmati jamuan yang disediakan di sudut hadapan masjid. Pelawaan itu memang tepat pada masanya kerana perut aku sudah merasa pedih kerana lapar. Tanpa banyak soal, aku terus bangun menuju ke tempat hidangan. Tangan pantas mencapai sebotol air mineral dan sebungkus polisterin. Tanpa mempedulikan kandungan di dalam polisterin itu, aku terus meluru ke lokasi wajib, pangkin menghadap Masjid Besi. Itu lokasi tetap menikmati hidangan hampir setiap minggu jika diizinkanNya. Malam ini pangkin itu basah ditimpa hujan yang turun pada sebelah petang. Mata liar memerhati lokasi di sekitar yang sesuai untuk diduduki. Aku perlu segera kerana sebentar lagi akan masuk waktu Isyak dan kepedihan di perut juga semakin terasa. Akhirnya sudut di salah sebuah tiang menjadi pilihan.

Polisterin dibuka. Nasi lemak berlauk ayam goreng. Aroma sambalnya menusuk deria bauku. Alhamdulillah rezeki pada malam ini. Aku gaul sambal itu bersama nasi dengan tangan meskipun sudu disediakan. Niatnya untuk mengikut sunnah dan ia lebih nikmat sebenarnya. Suapan pertama aku nikmati dengan begitu berselera sambil menghirup udara malam yang nyaman.

"Boleh saya duduk di sebelah?" Soal seorang wanita bertelekung sambil tersenyum. 

"Boleh. Tempat ini bukan saya yang punya," jawab aku berseloroh. 

Wanita itu tertawa kecil mendengar jawapanku dan mengambil posisi duduk di sebelahku. Sengaja aku menjawab dengan jawapan sebegitu kerana aku ingin dia merasa dialu2kan dan aku tiada halangan untuk makan di sebelahnya. Hati kecilku berdetik,

"Siapa wanita ini?"

Itu memang naluri semulajadiku, rasa ingin tahu apabila berjumpa kenalan baru dan lebih2 lagi apabila melihat seolah2 ada sesuatu yang tersembunyi di wajah wanita itu. Lagi pula aku tidak mahu dikatakan sombong sedangkan kami berada di dalam rumah Allah. Ini tempat menjalinkan ukhuwwah. Lalu aku memulakan bicara.

"Dari mana?" Soalku ringkas.

"Istanbul," jawab wanita itu ringkas juga.

Aku pasti wanita itu dapat melihat dengan jelas riak kehairanan yang terpapar di wajahku apabila mendengar jawapannya.

"Memang orang Istanbul ke?" Aku meneruskan lagi pertanyaan walaupun terbit sedikit rasa bodoh kerana bertanya dalam Bahasa Melayu. 

"Entah2 wanita itu tidak faham soalan aku ni," terdetik pertanyaan itu di kotak fikiranku tapi aku hanya diam menanti jawapan darinya.

"Ya, saya dari Istanbul," jawab wanita itu lagi dalam Bahasa Melayu.

"Perempuan ni nak main2kan aku ke apa?" Fikirku lagi namun tetap cuba meneruskan perbualan.

"Memang asal orang Istanbul ke macamana?" Soalku lagi untuk mendapatkan kepastian. 

Terpapar senyum kelat di bibir wanita itu tapi aku hanya membiarkan sahaja dia mengambil masa untuk menjawabnya. 

"Saya orang Malaysia tetapi menetap di Istanbul," balas wanita itu.

"Oh yeke? Menarik!" Jawabku dengan sedikit rasa teruja tetapi bercampur hairan.

Aku perhatikan wanita itu perlahan2 membuka polisterin dan hanya mencuit sedikit sahaja nasi sedangkan aku masih meneruskan suapan. Buntu juga memikirkan apa lagi soalan yang boleh ditanya kepadanya. Niatku hanya satu, membuat dia rasa selesa tapi bimbang juga akan menganggu privasinya. Aku berfikir lagi,

"Kalau dia nak privasi, takkan dia datang duduk di sebelah aku."

"Kahwin dengan orang sana ke?" Soalku lagi walaupun terbit sedikit rasa kurang wajar bertanya ruang peribadi seseorang tapi naluri ingin tahu itu begitu kuat. 

"Eh taklah. Suami saya orang Malaysia juga tapi dia menetap di Jakarta," terang wanita itu.

"Ini betul2 menarik!" Balasku dengan rasa kehairanan yang semakin memuncak.

"Kat sana bekerja ke belajar?" Aku meneruskan lagi pertanyaan sambil tangan meneruskan suapan nasi lemak.

"Panjang ceritanya," jawab wanita itu dan aku perasan ada getar di hujung suaranya.

Aku memberhentikan suapan dan mula menghadapkan wajahku ke arahnya. Rasa lapar itu tiba2 hilang bersama getaran yang baru didengari tadi.

"Hari ini genap 50 hari arwah suami saya meninggal. Kemalangan motosikal besar," luah wanita itu dengan payah.

Serta-merta dadaku terasa sebak. Nyata wanita ini berada dalam keadaan yang sukar dan benar2 memerlukan sokongan. 

"Sejak arwah meninggal, saya berazam untuk solat di masjid berlainan pada setiap hari," sambung wanita itu lagi. 

Kolam air mata bertakung di mata kami dan hampir2 ia tumpah tapi aku tahan kerana tidak mahu menambahkan lagi rasa sayu di hatinya. Aku memandang tepat pada wajahnya, memberi isyarat yang aku sedia mendengarnya.

"Ramai rakan2 yang kenal saya sebelum ini tak sangka yang saya akan berjubah dan solat pada hari ini. Kematian suami saya benar2 membuka mata saya yang hidup ini hanya sementara. Pada bila2 masa sahaja Allah boleh ambil nyawa kita. Saya mula solat sejak arwah meninggal kerana saya kasihankan arwah yang mungkin tidak sempat bertaubat sebelum meninggal. Selama ini kami lalai dalam kehidupan," luah wanita itu satu persatu dan aku mendengarnya dengan tekun. 

"Selama ini saya begitu mengejar kerjaya sehingga mengabaikan suami saya. Kami hidup berjauhan dan tidak sempat membina keluarga bersama. Saya nekad untuk tidaka akan kembali lagi ke Istanbul selepas 5 tahun mengejar pangkat dan kemewahan di sana. Saya tidak mahu pisang berbuah 2 kali kerana saya tidak sempat bersama dan menatap wajah arwah sewaktu meninggal. Saya ingin bersama keluarga di saat mereka perlukan saya," sambung wanita itu lagi sambil menyeka titis2 air panas yang gugur di pipinya sementara aku mengelip2kan mata menahan kesebakan di dada. 

Aku menyambung bicara saat melihat wanita itu mula tenang. Mungkin lega kerana dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. 

"Saya percaya dengan perubahan awak pada hari ini kerana hidayah datang dari Allah. Kun fayakun. Tidak ada yang mustahil dalam dunia ini jika Allah mengkehendaki ia berlaku."

Terlihat senyum gembira di wajah wanita itu mendengar kata2ku itu meskipun kekadang terasa aku tidak layak untuk melafazkannya. Pun begitu, aku lega melihat senyuman yang terpapar di wajahnya sebaik mendengar kata2ku itu. 

Banyak juga yang kami perbualkan tetapi tidak dapat aku kongsikan kerana pada aku, keaiban yang telah Allah tutup, usahlah dibuka lagi. Allah Maha Pengampun jika kita benar2 memaksudkannya. Itu juga sebahagian kata2 yang aku titipkan buatnya dengan harapan dapat meredakan kegundahan yang bersarang di hatinya.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! 

Laungan azan Isyak berkumandang. Perbualan kami terhenti. Rasa lapar sebentar tadi hilang begitu sahaja malah nasi lemak masih berbaki di dalam polisterin.

"Saya nak panggil nama apa ek?" Soal saya sebelum kami bergerak masuk ke dewan solat.

"Nita," jawabnya ringkas.

"Saya Karimah tapi boleh panggil saya Imah," balasku.

"Wah, nama glamor tu," kata Nita sambil tertawa kecil.

"Aik glamor ke? Tu nama kampung je, saya orang kampung," ujarku sambil tertawa juga.

Aku sendiri merasa aneh kenapa aku meminta Nita memanggilku dengan panggilan Imah kerana itu adalah panggilan ahli keluarga kepadaku. Kebiasaannya teman2 mengenaliku sebagai CK. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui sebab musabab aku berbuat begitu. 

"Nanti kita jumpa sebelum balik ye," itu pesanku sebelum kami berlalu mengambil tempat di ruang solat. 

Usai solat Isyak, Nita menghampiriku dan kami bertukar2 nombor telefon. Ternyata dunia ini kecil kerana aku mendapati Nita turut mengenali beberapa rakan sejawatku. 

Aku peluk erat Nita sebelum berpisah.

"Nita, semoga terus tabah. Allah sayangkan Nita. Sebab itu diberi ujian ini," hanya itu yang mampu aku lafazkan. 

"Terima kasih Imah. Doakan Nita ya," balas Nita dengan wajah yang penuh ketabahan.

Aku percaya Nita seorang wanita yang kuat dan aku berdoa semoga dia akan terus begitu menghadapi ujian tanda kasih sayang dari Allah ini. Sementara aku melangkah keluar dari masjid, sarat dengan pelbagai persoalan di dalam kepala. Natijahnya, ini menjadi tempoh pemanduan pulang paling panjang yang pernah aku tempuh untuk tiba ke teratak dari Putrajaya. Kebiasaannya ia hanya memakan masa sekitar 20 minit sahaja tetapi kali ini, dengan kelajuan sekitar 40-50 km/j, ia mencecah hampir 40 minit.

Salam keinsafan...

No comments: