Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, November 28, 2013

Nita

Bismillahirrahmanirrahim...

Usai menamatkan bacaan doa, imam mempelawa para jemaah untuk menikmati jamuan yang disediakan di sudut hadapan masjid. Pelawaan itu memang tepat pada masanya kerana perut aku sudah merasa pedih kerana lapar. Tanpa banyak soal, aku terus bangun menuju ke tempat hidangan. Tangan pantas mencapai sebotol air mineral dan sebungkus polisterin. Tanpa mempedulikan kandungan di dalam polisterin itu, aku terus meluru ke lokasi wajib, pangkin menghadap Masjid Besi. Itu lokasi tetap menikmati hidangan hampir setiap minggu jika diizinkanNya. Malam ini pangkin itu basah ditimpa hujan yang turun pada sebelah petang. Mata liar memerhati lokasi di sekitar yang sesuai untuk diduduki. Aku perlu segera kerana sebentar lagi akan masuk waktu Isyak dan kepedihan di perut juga semakin terasa. Akhirnya sudut di salah sebuah tiang menjadi pilihan.

Polisterin dibuka. Nasi lemak berlauk ayam goreng. Aroma sambalnya menusuk deria bauku. Alhamdulillah rezeki pada malam ini. Aku gaul sambal itu bersama nasi dengan tangan meskipun sudu disediakan. Niatnya untuk mengikut sunnah dan ia lebih nikmat sebenarnya. Suapan pertama aku nikmati dengan begitu berselera sambil menghirup udara malam yang nyaman.

"Boleh saya duduk di sebelah?" Soal seorang wanita bertelekung sambil tersenyum. 

"Boleh. Tempat ini bukan saya yang punya," jawab aku berseloroh. 

Wanita itu tertawa kecil mendengar jawapanku dan mengambil posisi duduk di sebelahku. Sengaja aku menjawab dengan jawapan sebegitu kerana aku ingin dia merasa dialu2kan dan aku tiada halangan untuk makan di sebelahnya. Hati kecilku berdetik,

"Siapa wanita ini?"

Itu memang naluri semulajadiku, rasa ingin tahu apabila berjumpa kenalan baru dan lebih2 lagi apabila melihat seolah2 ada sesuatu yang tersembunyi di wajah wanita itu. Lagi pula aku tidak mahu dikatakan sombong sedangkan kami berada di dalam rumah Allah. Ini tempat menjalinkan ukhuwwah. Lalu aku memulakan bicara.

"Dari mana?" Soalku ringkas.

"Istanbul," jawab wanita itu ringkas juga.

Aku pasti wanita itu dapat melihat dengan jelas riak kehairanan yang terpapar di wajahku apabila mendengar jawapannya.

"Memang orang Istanbul ke?" Aku meneruskan lagi pertanyaan walaupun terbit sedikit rasa bodoh kerana bertanya dalam Bahasa Melayu. 

"Entah2 wanita itu tidak faham soalan aku ni," terdetik pertanyaan itu di kotak fikiranku tapi aku hanya diam menanti jawapan darinya.

"Ya, saya dari Istanbul," jawab wanita itu lagi dalam Bahasa Melayu.

"Perempuan ni nak main2kan aku ke apa?" Fikirku lagi namun tetap cuba meneruskan perbualan.

"Memang asal orang Istanbul ke macamana?" Soalku lagi untuk mendapatkan kepastian. 

Terpapar senyum kelat di bibir wanita itu tapi aku hanya membiarkan sahaja dia mengambil masa untuk menjawabnya. 

"Saya orang Malaysia tetapi menetap di Istanbul," balas wanita itu.

"Oh yeke? Menarik!" Jawabku dengan sedikit rasa teruja tetapi bercampur hairan.

Aku perhatikan wanita itu perlahan2 membuka polisterin dan hanya mencuit sedikit sahaja nasi sedangkan aku masih meneruskan suapan. Buntu juga memikirkan apa lagi soalan yang boleh ditanya kepadanya. Niatku hanya satu, membuat dia rasa selesa tapi bimbang juga akan menganggu privasinya. Aku berfikir lagi,

"Kalau dia nak privasi, takkan dia datang duduk di sebelah aku."

"Kahwin dengan orang sana ke?" Soalku lagi walaupun terbit sedikit rasa kurang wajar bertanya ruang peribadi seseorang tapi naluri ingin tahu itu begitu kuat. 

"Eh taklah. Suami saya orang Malaysia juga tapi dia menetap di Jakarta," terang wanita itu.

"Ini betul2 menarik!" Balasku dengan rasa kehairanan yang semakin memuncak.

"Kat sana bekerja ke belajar?" Aku meneruskan lagi pertanyaan sambil tangan meneruskan suapan nasi lemak.

"Panjang ceritanya," jawab wanita itu dan aku perasan ada getar di hujung suaranya.

Aku memberhentikan suapan dan mula menghadapkan wajahku ke arahnya. Rasa lapar itu tiba2 hilang bersama getaran yang baru didengari tadi.

"Hari ini genap 50 hari arwah suami saya meninggal. Kemalangan motosikal besar," luah wanita itu dengan payah.

Serta-merta dadaku terasa sebak. Nyata wanita ini berada dalam keadaan yang sukar dan benar2 memerlukan sokongan. 

"Sejak arwah meninggal, saya berazam untuk solat di masjid berlainan pada setiap hari," sambung wanita itu lagi. 

Kolam air mata bertakung di mata kami dan hampir2 ia tumpah tapi aku tahan kerana tidak mahu menambahkan lagi rasa sayu di hatinya. Aku memandang tepat pada wajahnya, memberi isyarat yang aku sedia mendengarnya.

"Ramai rakan2 yang kenal saya sebelum ini tak sangka yang saya akan berjubah dan solat pada hari ini. Kematian suami saya benar2 membuka mata saya yang hidup ini hanya sementara. Pada bila2 masa sahaja Allah boleh ambil nyawa kita. Saya mula solat sejak arwah meninggal kerana saya kasihankan arwah yang mungkin tidak sempat bertaubat sebelum meninggal. Selama ini kami lalai dalam kehidupan," luah wanita itu satu persatu dan aku mendengarnya dengan tekun. 

"Selama ini saya begitu mengejar kerjaya sehingga mengabaikan suami saya. Kami hidup berjauhan dan tidak sempat membina keluarga bersama. Saya nekad untuk tidaka akan kembali lagi ke Istanbul selepas 5 tahun mengejar pangkat dan kemewahan di sana. Saya tidak mahu pisang berbuah 2 kali kerana saya tidak sempat bersama dan menatap wajah arwah sewaktu meninggal. Saya ingin bersama keluarga di saat mereka perlukan saya," sambung wanita itu lagi sambil menyeka titis2 air panas yang gugur di pipinya sementara aku mengelip2kan mata menahan kesebakan di dada. 

Aku menyambung bicara saat melihat wanita itu mula tenang. Mungkin lega kerana dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. 

"Saya percaya dengan perubahan awak pada hari ini kerana hidayah datang dari Allah. Kun fayakun. Tidak ada yang mustahil dalam dunia ini jika Allah mengkehendaki ia berlaku."

Terlihat senyum gembira di wajah wanita itu mendengar kata2ku itu meskipun kekadang terasa aku tidak layak untuk melafazkannya. Pun begitu, aku lega melihat senyuman yang terpapar di wajahnya sebaik mendengar kata2ku itu. 

Banyak juga yang kami perbualkan tetapi tidak dapat aku kongsikan kerana pada aku, keaiban yang telah Allah tutup, usahlah dibuka lagi. Allah Maha Pengampun jika kita benar2 memaksudkannya. Itu juga sebahagian kata2 yang aku titipkan buatnya dengan harapan dapat meredakan kegundahan yang bersarang di hatinya.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! 

Laungan azan Isyak berkumandang. Perbualan kami terhenti. Rasa lapar sebentar tadi hilang begitu sahaja malah nasi lemak masih berbaki di dalam polisterin.

"Saya nak panggil nama apa ek?" Soal saya sebelum kami bergerak masuk ke dewan solat.

"Nita," jawabnya ringkas.

"Saya Karimah tapi boleh panggil saya Imah," balasku.

"Wah, nama glamor tu," kata Nita sambil tertawa kecil.

"Aik glamor ke? Tu nama kampung je, saya orang kampung," ujarku sambil tertawa juga.

Aku sendiri merasa aneh kenapa aku meminta Nita memanggilku dengan panggilan Imah kerana itu adalah panggilan ahli keluarga kepadaku. Kebiasaannya teman2 mengenaliku sebagai CK. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui sebab musabab aku berbuat begitu. 

"Nanti kita jumpa sebelum balik ye," itu pesanku sebelum kami berlalu mengambil tempat di ruang solat. 

Usai solat Isyak, Nita menghampiriku dan kami bertukar2 nombor telefon. Ternyata dunia ini kecil kerana aku mendapati Nita turut mengenali beberapa rakan sejawatku. 

Aku peluk erat Nita sebelum berpisah.

"Nita, semoga terus tabah. Allah sayangkan Nita. Sebab itu diberi ujian ini," hanya itu yang mampu aku lafazkan. 

"Terima kasih Imah. Doakan Nita ya," balas Nita dengan wajah yang penuh ketabahan.

Aku percaya Nita seorang wanita yang kuat dan aku berdoa semoga dia akan terus begitu menghadapi ujian tanda kasih sayang dari Allah ini. Sementara aku melangkah keluar dari masjid, sarat dengan pelbagai persoalan di dalam kepala. Natijahnya, ini menjadi tempoh pemanduan pulang paling panjang yang pernah aku tempuh untuk tiba ke teratak dari Putrajaya. Kebiasaannya ia hanya memakan masa sekitar 20 minit sahaja tetapi kali ini, dengan kelajuan sekitar 40-50 km/j, ia mencecah hampir 40 minit.

Salam keinsafan...

Monday, November 25, 2013

Hati2 Bila Berjanji

Bismillahirrahmanirrahim...

22 November 2013 (Jumaat) - Allah punya cara tersendiri untuk mentarbiah hamba2Nya. Jika tidak kerana kesesakan melampau yang dihadapi pada hari tersebut, sudah pasti saya tidak akan menjejakkan kaki ke Masjid Negara. Bayangkan trafik statik selama 20 minit sebaik saya mula keluar dari persimpangan Jalan Duta pada jam 5 petang dan sehingga jam 6 petang, saya belum melepasi Jalan Semantan. Ini sudah parah. Belum pernah saya berhadapan dengan keadaan begini sepanjang beberapa bulan bertugas di sini. Saya semak keadaan trafik melalui aplikasi Waze dan jangkaan masa ketibaan adalah pada jam 9 malam. Ini tidak boleh jadi. Kalau saya kekal berada dalam aliran trafik ini, ada kemungkinan saya akan terlepas solat Maghrib dan ia sesuatu yang paling ingin dielakkan. Kepala saya ligat memikirkan alternatif untuk mencari jalan keluar dan akhirnya terdetik di hati saya untuk ke Masjid Negara. Tanpa banyak soal, saya terus membelok ke persimpangan bersebelahan dan tidak sampai 10 minit, saya tiba di perkarangan Masjid Negara.  


Tiba2 perasaan sebak hadir dalam diri saya. Insaf dan malu kerana saya pernah berkali2 sebelum ini berkata kepada diri sendiri yang saya ingin menunaikan solat di sini tetapi saya tidak pernah berusaha untuk merealisasikannya. Hari ini Allah telah 'memaksa' saya untuk menunaikan kata2 itu. Bukan saya tidak pernah melalui jalan2 di sini malah ia seringkali saya tempuh sewaktu membawa keluarga berjalan2 di sekitar Taman Tasik Perdana, Planetarium dan juga ke pejabat PakSoo di Bukit Aman. 


Bertahun2 bermastautin di Lembah Klang tetapi baru hari ini saya menjejakkan kaki ke sini. Sungguh saya malu pada diri sendiri. Damai rasanya saat memasuki ruang solat yang luas. Masakan tidak, ia rumah Allah. Saya teruskan langkah sambil menahan rasa sebak yang menyelubungi diri. 


Pastinya ini bukan kunjungan yang pertama dan terakhir ke sini. Itu janji saya saat melangkah keluar usai solat Isyak. Terima kasih Allah atas peluang ini!

Menuju Puncak Broga - Kali Ke3

Bismillahirrahmanirrahim...

2 November 2013 (Sabtu) - Segalanya bermula apabila Hajah mengutarakan hasrat untuk menaiki Bukit Broga bersama anaknya. Ternyata hasrat itu disambut baik oleh kami dan saya segera menyarankan agar kami merealisasikannya pada cuti Deepavali. Ini merupakan pendakian kali ketiga buat saya tetapi pertama untuk tahun ini. Entah mengapa saya begitu bersemangat dan teruja untuk menaikinya lagi. Mungkin kerana sudah agak lama tidak mengikuti aktiviti luar sebegini dalam tempoh yang agak lama. Jika diikutkan, saya memang minat aktiviti yang melibatkan alam sekitar tetapi sehingga hari ini belum punya kemampuan untuk mendaki Gunung Kinabalu. 

Seawal jam 5 pagi saya sudah bertolak daripada teratak ke Putrajaya untuk menjemput sebahagian kawan2 yang ingin menaiki kereta saya. Kami kemudian berjanji untuk berkumpul dan menunaikan solat Subuh dengan sebahagian yang lain di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih sebelum sama2 bertolak ke kaki Bukit Broga. 

Kami tiba agak lewat di kaki bukit berbanding perancangan asal dan memulakan pendakian pada jam 6.30 pagi. Tempat ini memang tidak pernah sunyi dan kelihatan ramai yang baru sampai seperti kami. Selesai sedikit aktiviti pemanasan badan, kami terus memulakan pendakian. 


Pendakian kali ini ternyata lebih mudah buat saya. Satu, mungkin kerana saya memang teruja dan bersemangat untuk melakukannya dan kedua, mungkin kerana saya sudah arif dengan laluan di situ selepas menaikinya 2 kali sebelum ini. Cabaran pertama kami hadapi apabila Hajah tidak larat untuk meneruskan pendakian dan kami terpaksa menunggu lama dan 'memujuk' Hajah untuk meneruskan juga pendakian setidak2nya sehingga ke puncak pertama. Pujukan kami ternyata membuahkan hasil apabila Hajah bersetuju untuk meneruskan pendakian dan kami tidak kisah untuk mengikut rentaknya. Inilah sebenarnya pengajaran yang paling penting iaitu sanggup sama2 bersusah dan senang dalam apa jua keadaan. Prinsip saya mudah. Jika datang bersama, maka harus naik dan turun bersama2. Tidak mengapa jika perancangan terpaksa diubah sedikit untuk memenuhi keperluan semasa asalkan objektif untuk menggapai puncak bersama2 dirasai.








Meskipun perancangan asal untuk berada di puncak sewaktu matahari terbit tidak tercapai kerana kami tiba pada jam 8 pagi, kami puas hati kerana kekal bersama sehingga ke puncak. Cepat atau lambat sudah menjadi perkara nombor 2. Yang penting, kerjasama dan semangat setiakawan. Apalah ertinya berada di puncak kejayaan keseorangan. Sesungguhnya kemanisan sebuah kejayaan hanya akan lebih dirasai apabila dikongsi bersama insan2 yang dekat di hati. 


Kami tinggalkan puncak pada jam 8.30 pagi selepas hampir setengah jam menikmati suasana dan keindahan alam ciptaan Ilahi. Seperti biasa, tempoh diambil untuk menuruni puncak lebih pantas daripada tempoh mendaki. Jika ditanya sama ada saya berhasrat untuk mendakinya lagi, jawapan saya mudah. Mengapa tidak? InsyaAllah...

Monday, November 18, 2013

PascaKonvokesyen - Bekerja Dengan Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim...

27 Oktober 2013 (Ahad) - Hari ini saya perlu memulangkan jubah dan terus pulang ke KL. Namun BaAn turut serta kerana Abah ingin singgah di Pekan Air Hitam untuk membeli sesuatu yang dihajatinya. Sementara mereka menunggu saya di tempat letak kereta, saya bergegas membawa jubah dan berjalan ke bilik penyerahan jubah. Selesai urusan di situ, saya terus menaiki tangga menuju ke pejabat akademik untuk mengambil transkrip pengajian. Kelihatan agak ramai juga yang sedang berurusan di situ. Saya hampiri kaunter yang telah disusun mengikut program pengajian dan bertanya kepada staf yang bertugas,

"Assalamualaikum, boleh saya dapatkan transkrip?"

"Boleh saya dapatkan IC cik?" balas staf tersebut.

Ya Allah, rupa2nya dalam kekalutan untuk segera menyelesaikan urusan, saya telah terlupa untuk membawa kad pengenalan yang ditinggalkan di dalam bonet kereta. Tidak sanggup rasanya saya untuk berpatah balik untuk mengambilnya apabila mengenangkan jarak yang jauh dan cuaca yang agak panas. 

"Alamak, saya terlupa nak bawa IC tapi saya ada bawa surat jemputan konvokesyen. Boleh tak?" Tanya saya lagi mengharapkan pertimbangan daripada mereka.

"Tak boleh cik, kena tunjukkan IC juga. Kita dah tulis pada slip dan ada tampal pada bangunan yang graduan diwajibkan membawa IC semasa mengambil transkrip," balas staf itu lagi dengan gaya dan nada yang langsung tidak membantu. 

"Masalahnya saya parking jauh, parents saya sedang tunggu dalam kereta dan saya pun nak balik jauh ni. Tiada cara ke untuk membantu saya?" rayu saya lagi kepada staf tersebut. 

Tiba2 seorang staf lelaki yang berdiri di sebelah mencelah,

"Tak boleh cik. Semua orang kita suruh tunjukkan IC sebab kita nak pastikan orang yang ambil transkrip tu adalah pemilik yang sebenar. Tadi pun ada seorang pelajar yang dalam pantang, lupa bawa IC dan kita minta dia datang semula dengan IC. Kalau ada surat nikah pun boleh tunjukkan."

Serta-merta darah saya berderau mendengar kebiadapan jawapan yang diberikan oleh staf tersebut. Zalim sungguh sehingga bertindak tanpa belas ihsan langsung. Sikap sebeginilah yang sering saya istilahkan sebagai bekerja tanpa jiwa. Terlalu terikat dengan peraturan ciptaan sendiri sehingga gagal memenuhi objektif sebenar menjawat jawatan tersebut. 

"Please, do something to help me. Terus-terang, saya tak akan minta tolong kalau benar2 tidak terdesak," balas saya lagi dengan nada menahan kesabaran. 

Bimbang juga jika saya gagal mengawal kemarahan dan mengeluarkan kata2 yang akan saya kesali di kemudian hari. Bibir saya tidak putus2 melafazkan 'robbi yassir wala tua'ssir' agar urusan ini dipermudahkanNya. Sungguh saya tidak sanggup untuk berjalan berpatah balik ke kereta semata2 untuk mengambil IC sedangkan saya tahu ada alternatif lain yang boleh diusahakan. Keduanya hanya membatukan diri, menggelengkan kepala, menidakkan permintaan saya sedangkan saya terus berdiri di situ. Nekad untuk menyelesaikannya di situ juga. 

"Baik, kalau awak nak semak sama ada saya pemilik transkrip itu atau tidak, saya boleh login sistem dan awak boleh tengok sama ada gambar saya ada di situ atau bukan," ujar saya lagi memberi cadangan. 

Tiba2 muncul seorang staf wanita yang saya kira pegawai atasan menghampiri saya dan meminta saya bergerak ke arah sebuah komputer berhampiran kaunter.

"Apa nombor IC cik?" tanya pegawai tersebut.

Dengan hanya sekali klik, terpapar wajah saya di situ dan pegawai wanita tersebut mengarahkan staf tadi untuk menyerahkan transkrip kepada saya. Alhamdulillah, pertolongan Allah memang datang dalam bentuk yang tidak disangka2. Sebaik menerima transkrip tersebut, saya hampiri pegawai wanita tadi. Saya hulurkan tangan dan dia menyambutnya. Saya genggam erat tangannya sambil berkata, 

"Puan, terima kasih banyak atas bantuan."

"Eh tak apa, tahniah ya," balas pegawai wanita tersebut dengan wajah serba-salah, mungkin tidak menyangka yang saya akan menyalaminya. 

"Tak puan, it really meant a lot to me," ujar saya lagi dengan nada yang penuh keharuan. 

Sebelum berlalu, sempat saya luahkan pesanan kepada staf2 tadi,

"Contohilah dia (merujuk pegawai wanita tadi), bekerja dengan jiwa."

Mereka memandang saya yang terus berlalu dengan pandangan kelat yang hanya mereka sendiri tahu maksudnya. Yang penting, objektif saya tercapai dengan bantuanNya jua. 

Konvokesyen - Mimpi jadi Nyata

Bismillahirrahmanirrahim...

26 Oktober 2013 (Sabtu) - Hari yang dinanti akhirnya tiba. Saya bangun awal untuk bersiap. Bercampur baur perasaan ini terutama saat menunaikan solat Subuh. Tidak pernah saya bermimpi untuk sampai ke tahap ini tetapi apabila saya renungkan kembali, ini merupakan jawapan Allah kepada doa yang pernah saya panjatkan suatu masa dahulu. Betapa Allah Maha Mendengar. Saya pernah berdoa agar Allah memberi peluang kepada saya untuk menuntut ilmu sehingga ke peringkat yang paling tinggi iaitu PhD. Justeru, apabila hari ini sudah berada semakin hampir dengan PhD, saya menjadi sangat sebak terutama apabila dapat meraikannya bersama insan2 penting dalam hidup ini iaitu Abah Ummi dan keluarga. 

Kami hanya bersarapan roti canai dan roti yang telah dibeli pada malam tadi kerana tiada kedai makan yang telah dibuka pada awal pagi. Tambahan pula kami agak kesuntukan masa kerana saya perlu mendaftarkan diri di kaunter pada jam 7.15 pagi. 

Usai urusan pendaftaran, saya iring Abah Ummi ke dewan untuk mengambil tempat duduk sementara saya memasuki barisan, menunggu giliran sebelum diarah memasuki dewan. Saat itu perasaan sebak saya semakin sukar dibendung sehingga hampir2 saya menitiskan air mata. Malu juga jika dilihat oleh teman2 sepengajian. 





Namun air mata itu tumpah jua saat saya duduk menunggu giliran menaiki pentas. Sebak dan terharu kerana tidak menyangka akan berjaya berada di dalam majlis sebegini selepas beberapa insiden dalam kehidupan yang hampir2 mematahkan semangat saya. Namun Allah itu Maha Adil. Dia memberi ganjaran setimpal atas setiap kebaikan yang dilakukan seikhlasnya. Dari situ saya lebih mengenal erti kehidupan bahawa keyakinan yang benar2 mantap kepadaNya semata akan menyebabkan perkataan 'kecewa' tiada dalam kamus hidup manusia kerana segala2nya telah berada di dalam ketentuanNya jua. Kita sebagai manusia hanya mampu berusaha dan melakukan yang terbaik mengikut upaya masing2. Selebihnya kita berserah kepadaNya jua kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik buat kita. 

Jujur juga saya katakan yang saya merasa sangat bersyukur kerana dapat meraikan hari yang istimewa bersama sahabat baik, Arab. Tiada kata yang dapat diluahkan untuk menggambarkan rasa syukur itu tetapi yang pasti saya gembira. 


Sebelum beredar dari UTM, saya dan keluarga mengambil peluang bergambar bersama di studio yang telah ditempah sejak semalam. 


Kini, perasaan sebak itu masih hadir setiap kali saya menatap gambar2 pada hari konvokesyen ini. Ia bukan sekadar gambar tetapi ia sebenarnya himpunan kisah2 perjalanan kehidupan yang dirangkumkan di dalam sekeping gambar. 

PraKonvokesyen - Raptai

Bismillahirrahmanirrahim...

25 Oktober 2013 (Jumaat) - Saya dan Arab gigih menghadiri taklimat dan raptai sebelum hari konvokesyen meskipun ada yang beranggapan tiada keperluan untuk menghadirinya. Bagi saya, tidak salah meluangkan waktu untuk hadir. Siapa tahu masih ada maklumat2 tambahan yang belum kami ketahui sebelum ini. Lagi pula, peluang sebegini hanya datang sekali dalam seumur hidup. Apa salahnya mencari ruang waktu untuk menghadirinya. Seawal jam 6.30 pagi saya sudah bertolak daripada rumah BaAn di Ulu Tiram dan berjanji untuk berjumpa Arab di UTM. Kami terus memasuki Dewan Sultan Iskandar dan mengambil tempat duduk masing2. Memang lega rasanya apabila keputusan kami untuk mengambil jubah lebih awal adalah tepat apabila melihat barisan yang sangat panjang menunggu giliran untuk mengambil jubah pada hari tersebut. 




Taklimat dan raptai berjalan selama 2 jam dan kelihatan agak ramai juga yang menghadirinya. Usai majlis, kami berpisah selepas membuat tempahan untuk mengambil gambar studio. Sengaja kami tempah awal2 untuk menjimatkan masa dan memudahkan urusan pada keesokan harinya. Saya terus menuju ke hotel yang telah ditempah melalui Agoda iaitu Kingston Hotel untuk mendaftar masuk. Sejujurnya, keadaan dalaman hotel ini sesuai dengan kadar yang ditawarkan tetapi lokasinya sangat tidak sesuai kerana berada di dalam kawasan restoran dan pusat hiburan. Bayangkan sepanjang malam kami terpaksa menahan telinga daripada nyanyian karaoke yang sangat kuat dan bingit. Nampaknya ia adalah kunjungan yang pertama dan terakhir buat kami ke situ. 



Awalnya, saya bercadang untuk pulang mengambil Abah Ummi selepas selesai urusan hotel tetapi membatalkan hasrat itu apabila BaAn memaklumkan yang dia akan datang menghantar mereka. Kami telah berjanji untuk bertemu di Plaza Angsana. Sempat juga saya membeli-belah di situ sementara menunggu ketibaan mereka dan aktiviti itu disambung selepas ketibaan mereka. Agak lama juga kami di situ malah sempat makan malam sebelum pulang ke hotel. 

Memikirkan yang kami perlu bertolak awal pada keesokan paginya, saya terpaksa memikirkan alternatif untuk menyediakan bekalan makanan terutama untuk Abah Ummi kerana mereka perlu makan sebelum mengambil ubat. Walaupun kepenatan, digagahkan juga diri untuk keluar membeli roti canai dan roti sebagai bekalan dan alas perut sementara menunggu majlis selesai. Hanya itu sahaja makanan tahan lama yang saya dapat fikirkan dan mudah untuk dicari di sekitar kawasan hotel. 

Malam itu, memang kami tidur dalam keadaan yang agak menyeksakan dek kerana gangguan bunyi2an yang hanya berkurangan mencecah jam 3 pagi. Memang gila! 

Wednesday, November 13, 2013

Simetri

Bismillahirrahmanirrahim...

Gambar ini saya rakamkan sewaktu kesesakan lalulintas dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Tiba2 saya perasan yang nombor mileage berada dalam keadaan simetri. Fikiran saya mula menerawang, mengaitkannya dengan kehidupan. Saya memang begitu. Kekadang terlalu banyak berfikir terutama apabila berada di dalam trafik yang tidak bergerak. Simetri, dalam bahasa mudahnya adalah bermaksud pantulan imej yang serupa seolah2 di tengahnya ada sebuah cermin. Meskipun ia tidak 100% sama tetapi ciri2nya adalah hampir2 sama. 


Begitulah saya melihat fasa kehidupan ini. Apa jua usaha kita pada hari ini, itulah hasil tuaiannya kelak. Segala2nya adil dan saksama untuk setiap individu meskipun pada pandangan mata kasar manusia, ia kelihatan seolah2 tidak adil. Hakikatnya, pada penilaian Yang Maha Pencipta, itulah yang terbaik buat diri kita, sesuai dengan apa yang telah kita usahakan dan kemampuan kita untuk menanggungnya. Jika baik yang diusahakan maka baik juga hasil yang diterima dan sebaliknya. Jangan pernah merungut dan membanding2kan rezeki kita dengan rezeki orang lain kerana ia ketentuan Allah jua. Syukuri nikmat yang telah diberi dan jangan merungut dengan nikmat yang belum dimiliki. Dia Maha Mengetahui apa yang selayaknya kita terima kerana Dia Maha Pencipta. Kita adalah hambaNya semata. Yang perlu kita perbuat adalah senantiasa memastikan yang kita berada di atas landasanNya yang benar. Jangan benarkan diri didorong dan dikawal oleh hawa nafsu yang akhirnya menghumban kita ke jalan kesesatan. 

Wallahua'lam. 

Tuesday, November 12, 2013

PraKonvokesyen - Demi Jubah

Bismillahirrahmanirrahim...

20 Oktober 2013 (Ahad) - Saya dan Arab memilih untuk mengambil jubah lebih awal untuk mengelakkan bersesak2 sehari sebelum hari konvokesyen. Untuk menjimatkan masa dan tenaga, kami juga memutuskan untuk pergi ke UTM Skudai dengan menaiki kapal terbang. Kami juga memilih untuk menaiki Malindo Air kerana Arab belum pernah merasai pengalaman menaikinya sedangkan saya sudah merasainya sewaktu Kembara Miri-Brunei. Terima kasih kepada Arab kerana gigih menguruskan tempahan tiket penerbangan sementara saya pula menyelesaikan urusan check-in sebelum kami bertolak ke sana.  

Penerbangan kami pergi dan balik.

Tiba di Senai, abang saya (BaAn) sudah sedia menunggu untuk membawa kami ke UTM Skudai. Alhamdulillah, urusan kami berjalan lancar walaupun terpaksa beratur untuk seketika sebelum mendapat giliran untuk mengambil jubah. Saya diberi jubah saiz M manakala Arab pula saiz S. 


Ada aku kesah? Hehe...

Kita ambil feel dulu hehe
Usai urusan pengambilan jubah, saya menemani Arab ke pejabat yang terletak bersebelahan dewan untuk mendapatkan surat jemputan konvokesyen yang sepatutnya sudah dipos lebih awal. Saya sudah menerimanya melalui pos tetapi atas sebab-sebab tertentu, Arab diminta untuk datang sendiri mengambilnya di pejabat sehari sebelum hari konvokesyen. Tanpa banyak soal, saya menemani Arab untuk mencari lokasi pejabat berkenaan yang tidak pernah kami kunjungi sepanjang bergelar pelajar UTM. Selepas berlegar2 beberapa ketika di situ, kami akhirnya menemui pejabat tersebut dengan bantuan seorang kakitangan yang kebetulan lalu di situ. Pegawai tersebut memaklumkan yang pejabat tersebut beroperasi pada hari tersebut untuk membuat persiapan menghadapi hari konvokesyen yang semakin hampir. Dengan yakin, saya mengajak Arab untuk mencuba nasib mendapatkan surat berkenaan pada hari itu juga. Tanpa banyak soal, kami bergegas ke situ dan memang kelihatan seperti ada beberapa orang kakitangan di dalamnya. Kami mengetuk pintu, memberi salam dan menghampiri kaunter tetapi pegawai yang kebetulan melalui kaunter memandang kami dengan pandangan sinis. Kami cuba menarik perhatiannya dengan memberitahu hasrat kami tetapi hanya dibalas dengan jawapan, 

"Pejabat tutup pada hari ini.

Muktamad. 

Entah mengapa hati saya nekad untuk terus mencuba lagi kerana mengenangkan susah payah kami datang dari jauh semata2 untuk mengambil jubah. Meyakini yang doa para musafir adalah mustajab, kami terus menanti di kaunter. Secara tiba2, seorang pegawai lelaki memasuki pejabat, kelihatan seolah2 baru sampai kerana tangannya membawa topi keledar dan jaket. Tanpa berlengah saya terus menyuarakan hasrat kami,

"Encik, kami ingin mendapatkan surat jemputan konvokesyen kerana atas alasan tertentu, ia tidak dipos dan kami diminta untuk mengambilnya sehari sebelum hari konvokesyen sedangkan kami tidak pasti sama ada dapat hadir atau tidak. Kami tahu pejabat ditutup pada hari ini tapi alang2 kami datang dari jauh, kami mencuba nasib kalau2 encik dapat membantu."

Sengaja saya gunakan perkataan "kami" untuk menggambarkan kesungguhan hasrat. Dalam hati saya terus berdoa agar Allah mempermudahkan urusan kami ini. Saya sangat percaya, segalanya mungkin jika hasrat di hati benar2 nekad. 

"Baiklah. Saya cuba cetaknya untuk puan. Boleh saya dapatkan IC puan," balas pegawai tersebut.

Hanya Allah yang tahu betapa bersyukurnya kami pada saat itu dan ia benar2 menyentuh hati saya. Betapa Allah benar2 Maha Mendengar doa hamba2Nya yang memohon dengan penuh kesungguhan. Pokoknya, yakin atau tidak dengan doa yang dipohon? Saya berani mengatakan yang saat itu saya benar2 yakin dan redha jika setelah mencuba sedaya mungkin, jawapan yang diterima tetap negatif. Alhamdulillah, urusan yang sepatutnya dibuat sehari sebelum hari konvokesyen telah berjaya disempurnakan lebih awal. 

Sebelum berlalu, saya sempat menyatakan kepada pegawai tersebut,

"Terima kasih Encik Zaini. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan kehidupan selepas ini."

"Eh, mana tahu nama saya?" Tanya pegawai itu kelihatan takjub apabila saya menyebut namanya. 

Sambil ketawa, kami memberitahu yang ia terpapar pada carta organisasi di situ. Dia pun turut ketawa apabila mendengar jawapan kami. 

Ia begitu mudah. Sama ada memilih untuk membantu atau tidak. Ternyata dia memilih untuk membantu dan kami dengan ikhlas mendoakan kebaikan buatnya. Saya sering mendefinisikan sikap sebegitu sebagai bekerja dengan jiwa. Jiwa ingin membantu tanpa terlalu terikat dengan peraturan sehingga lupa kepada tujuan asal menjawat pekerjaan itu. 

Kami kembali kepada BaAn yang sedia menunggu di tempat letak kereta dan destinasi seterusnya adalah Kacang Pool Haji di Larkin. Ia pengalaman pertama juga buat Arab. 

Sementara menunggu penerbangan pulang pada jam 3.30 petang, saya minta BaAn meninggalkan kami di JB Sentral sahaja. Sengaja saya tidak mahu membebankan BaAn pula yang terpaksa melayan kami jika pulang ke rumahnya. Kami lepak di situ buat seketika dan menaiki teksi ke Senai pada jam 1.30 petang. 

Lega rasanya apabila segala perancangan berjalan lancar dan kami selamat tiba di KLIA meskipun agak lewat berikutan keadaan cuaca yang kurang baik dan pesawat terpaksa berlegar2 selama hampir setengah jam sebelum dibenarkan mendarat.