Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, October 11, 2013

Usia Semakin Singkat

Bismillahirrahmanirrahim...

10 Oktober 2013 - Alhamdulillah, masih diberi waktu untuk menikmati alam ciptaanNya ini. Usia semakin berkurang jika diukur kepada usia wafatnya Rasulullah. Banyak perkara yang bermain di dalam benak saya akhir2 ini. Berapa banyak amalan yang benar2 diterima olehNya, berapa banyak dosa yang telah dilakukan dan berapa banyak pula baki waktu yang masih tinggal untuk saya di dunia ini? Jika bercakap soal takut mati, jawapan saya adalah ya. Saya takut meninggalkan dunia ini dalam keadaan saya tidak membawa amalan secukupnya untuk dibawa mengadap Yang Maha Esa.  

Petikan Anekdot Madinah: Benar DIA Maha Mendengar karya Prof. Mohd Kamil Ibrahim

Tidak seperti tahun2 sebelumnya, tahun ini saya merancang untuk memohon cuti bersempena ulangtahun kelahiran yang jatuh pada hari bekerja. Hajatnya untuk melalui lembaran ini dengan pergi ke suatu lokasi yang menenangkan jiwa saya namun saya tidak menetapkan tempatnya secara spesifik. Hanya itu niat yang terdetik di hati. 

Perancangan Allah lebih hebat. Rupa2nya Dia mengaturkan agar saya dapat membantu sahabat baik, Arab, untuk memenuhi temujanji pemeriksaan kesihatan anaknya di HKL pada tarikh yang sama. Tanpa banyak soal, saya menawarkan diri untuk menemani dia ke sana kerana suaminya berada di luar negeri atas urusan rasmi. Mungkin kerana niat itu juga urusan permohonan cuti saya telah dipermudahkan olehNya apabila tanpa banyak soal, telah diluluskan oleh ketua jabatan. 

Saya bertolak dari teratak seawal jam 6.30 pagi, sama seperti waktu saya bertolak ke pejabat pada setiap hari. Tiada beban di hati ini kerana saya ikhlas untuk membantu dia. Saya ingin menjadi tangan yang sentiasa berada di atas dan menjadi kawan yang benar2 dapat membantu terutama di saat sukar. Tiba di rumah Arab, anak2nya sudah disiapkan lebih awal dan saya hanya menunggu seketika untuk Arab bersiap. Tiada masalah untuk saya melayani Izzah dan Dzaafir kerana kedua2nya sudah saya anggap seperti anak saudara sendiri. 

Kami mulakan perjalanan dengan menghantar Izzah ke tadika terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke HKL. Waktu temujanji yang ditetapkan adalah pada jam 9.30 pagi dan kerana waktu masih awal, Arab menyuarakan hasrat untuk bersarapan di kafe UTM terlebih dahulu. Arab hanya bersarapan sendirian sahaja kerana saya punya banyak alasan untuk berpuasa. Mujur juga Arab tidak kisah untuk makan bersendirian sementara saya menunggu Dzaafir yang lena di dalam kereta. 

Usai sarapan, destinasi pertama kami adalah wad pediatrik. Saya tinggalkan Arab dan Dzaafir di lobi untuk mereka menyelesaikan urusan di situ dan beredar ke kawasan tempat letak kereta. Oleh kerana kesukaran untuk mendapatkan ruang, saya hanya menunggu sahaja di dalam kereta dan awal2 lagi saya sudah bersedia dengan bekalan sebuah buku. Lebih satu jam menunggu, saya beredar apabila menerima panggilan daripada Arab memaklumkan yang urusan mereka sudah selesai dan perlu beredar ke destinasi seterusnya pula iaitu Kompleks Pakar. 

Bekal untuk tempoh menunggu
Ia bangunan baru yang terletak betul2 berhadapan dengan Hotel Grand Seasons dan itu kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ. Masalah biasa yang dihadapi adalah untuk mendapatkan ruang parkir yang memang sangat terhad. Namun Allah telah mempermudahkan urusan kami apabila kon yang menghalang laluan ke parkir staf telah dialihkan lalu saya nekad memasuki ruang tersebut. Hanya pada Dia saya berserah agar kereta tidak diclamp sepanjang diletakkan di situ. 

Urusan seterusnya adalah untuk menyerahkan sampel air kencing dan darah serta seterusnya berjumpa doktor pakar. Awal2 lagi saya sudah menyediakan mental yang urusan ini pasti akan berlarutan sehingga ke waktu petang. Saya tidak tahu sama ada kehadiran saya benar2 membantu Arab tetapi saya senang dapat menemani dia dalam keadaan begitu kerana saya tahu ia situasi yang agak sukar untuk dihadapi bersama anak kecil. Setidak2nya saya dapat membantu menjaga Dzaafir apabila Arab perlu menyelesaikan urusan2 di kaunter atau ketika Dzaafir ingin bebas berlari. Bagi saya, ia bukan satu masalah besar malah saya seronok melakukannya. 

Seperti dijangka, segala urusan hanya tamat sekitar jam 4 petang dan tanpa berlengah kami terus beredar pulang untuk mengelakkan berdepan dengan kesesakan trafik yang lebih teruk berikutan hujan lebat. Tiba di kawasan perumahan Arab, kami terus menjemput Izzah di tadika terlebih dahulu dan kemudian singgah di sebuah restoran Arab untuk membeli nasi arab (ironi sungguh haha). Awalnya saya bercadang untuk berbuka puasa di Masjid Putra sahaja seperti kebiasaan pada hari Khamis, tetapi menukar perancangan apabila melihat waktu tidak mengizinkan untuk saya ke sana di samping diminta oleh Arab untuk berbuka di rumahnya sahaja. Saya akhirnya bersetuju dengan saranan Arab dan hanya pulang ke teratak selepas solat Isyak. 

Syukur urusan kami telah dipermudahkanNya kerana kedengaran berita yang kesesakan trafik sangat teruk berlaku di KL akibat hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat. Banyak perkara yang perlu disyukuri meskipun kami melalui hari yang cukup panjang di HKL. Yang pasti, saya tidak ralat meluangkan masa membantu sahabat saya itu malah gembira kerana sekurang2nya saya melakukan sesuatu yang baik di saat lembaran baru dalam kehidupan bermula. Tidak pula luahan saya ini untuk menggambarkan yang saya ini adalah seorang yang baik kerana saya sedar yang pelbagai kelemahan masih melingkari diri dan setiap saat saya duji olehNya. Justeru, saya perlu memastikan yang saya berada di dalam lingkungan suasana yang sentiasa mengingatkan saya kepadaNya jua. Bahawa hidup ini hakikatnya adalah ujian semata...Wallahua'lam.

2 comments:

ilass said...

alhamdulillah..indahnya erti persahabatan tu.

Karimah Abdullah said...

Beb ila,

Kau jua sahabatku :)