Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, October 11, 2013

Kepulangan Singkat

Bismillahirrahmanirrahim...

28 September 2013 - Hati gelisah apabila mendapat khabar yang Abah demam. Saya tidak pulang ke kampung semasa cuti Hari Malaysia lepas kerana terlibat dengan kursus. Lalu tanpa banyak soal, saya membeli tiket kapalterbang untuk pulang seketika menjenguk Abah Ummi. Penerbangan KL-KT pada petang Sabtu dan penerbangan KT-KL pula pada pagi Sabtu. Sengaja saya membeli tiket kapalterbang kerana hanya pulang berseorangan dan kos tiket pula lebih kurang sama dengan kos petrol jika saya pulang dengan kereta. Malah badan juga tidak penat. 

Seperti biasa, saya akan memarkir kereta di Putrajaya Sentral dan menaiki tren ke KLIA. Seronok apabila saya perasan yang kadar parking di situ telah dikurangkan kepada RM2 sehari dan surcaj RM2 jika bermalam. Bermakna jumlah yang dikenakan hanya RM4/hari berbanding RM8/hari sebelum ini. Alhamdulillah.


Usai sarapan di kafe Lengkuas, Putrajaya Sentral, saya terus mengambil tren untuk ke KLIA. Sengaja saya merancang untuk tiba awal kerana ingin meluangkan masa membaca buku di situ. Namun ternyata perancangan Allah jauh lebih baik apabila saya ditakdirkan untuk bertemu rakan di pejabat lama sebaik menjejakkan kaki di sebuah kafe. Seperti biasa, niat asal saya adalah untuk mendapatkan secawan kopi sambil menikmati bacaan di situ. Akhirnya, niat itu berganti menjadi sesi borak bersama teman lama, Shaffri. 


Rupa2nya Shaffri juga sedang menunggu penerbangan yang sama dengan saya dan penerbangan kami telah ditunda kepada jam 3 petang. Dia datang dari Kota Kinabalu, Sabah untuk menghadiri kursus di bandar KT bersama rakan2 sejawatan yang lain.


Penerbangan yang dijadualkan berlepas pada jam 3 petang akhirnya hanya berlepas pada jam 3.45 petang. Anehnya, tidak pula saya merungut kerana kelewatan itu sebaliknya hanya membiarkan sahaja petugas menyelesaikan situasi yang sedang mereka hadapi. Saya percaya mereka sedang cuba melakukan yang terbaik dan pastinya setiap perkara yang berlaku itu ada hikmahnya yang tersendiri.

Kami tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, KT pada jam 4.45 petang dan seperti dijanjikan, BaHa akan datang menjemput saya di situ. BaHa dan keluarga sebenarnya sudah pulang ke kampung semalam dan hari ini dalam perjalanan pulang ke KT bersama Abah Ummi. Oleh kerana ia hanya kepulangan yang singkat, saya minta Abah Ummi bermalam di rumah BaHa sahaja agar kami dapat meluangkan masa untuk makan malam bersama. 

Sebelum pulang ke rumah BaHa, kami singgah untuk menikmati minum petang di kawasan berhampiran lapangan terbang yang memang terkenal dengan deretan kedai  menjual makanan laut yang digoreng celup tepung. Malah ada yang menggunakan singkatan ICT untuk ikan celup tepung. 




Ketupat sotong yang hanya ada di Pantai Timur sahaja tetapi yang ini tidak kena dengan selera saya. Masak sendiri lebih sedap!

Malamnya kami ke Pulau Duyong untuk menikmati makan malam di sebuah restoran bernama D'Ganu Steamboat. Saya pernah terbaca ulasan yang baik mengenai tempat ini di dalam sebuah blog dan berhajat untuk membelanja keluarga makan di sini. Pun begitu, layanan yang kami terima agak mengecewakan dan hampir2 saya ingin membatalkan sahaja keinginan untuk makan di situ tetapi untuk tidak merosakkan suasana, saya cuba untuk bersabar. Yang penting, saya seronok melihat keletah anak2 saudara berebut2 untuk memasak steamboat. 







Kesimpulannya, tempat ini sebenarnya bagus dan harganya juga berpatutan namun kualiti servis perlu diperbaiki jika ingin kekal lama dalam perniagaan ini. Kami sendiri terpaksa menunggu lama dan beberapa kali memanggil pekerja untuk membersihkan meja dan mengambil pesanan. Lebih mengecewakan apabila respon daripada pekerja juga tidak mesra pelanggan namun saya masih cuba untuk bersabar. Jika tidak, saya tidak tahu apa yang bakal saya ucapkan kepada mereka. Niat saya tetap satu, tidak mahu merosakkan mood kami untuk menikmati makan malam bersama. 

Selesai makan malam, saya memenuhi permintaan Adam dan Adeef untuk melihat deretan bot berhias yang berada berhampiran restoran. Ia tidak beroperasi pada malam tersebut kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Apapun, kami sempat meronda2 kawasan sekitar sekadar untuk memenuhi naluri ingin tahu mereka berdua. 



29 September 2013 - Saya sudah bersiap seawal jam 7 pagi kerana perlu menaiki penerbangan pada jam 9.15 pagi. Sempat juga melambai Adam yang sudah bersiap untuk ke sekolah tetapi hati sedikit tersentuh apabila Adam bertanya, 

"MakLong balik bila?". 

Dia hanya menunduk saat saya menjawab yang saya akan pulang pada pagi itu. Tidak tahu apa yang bermain dalam kepala anak kecil itu tetapi saya menyayangi dia. Sementara Adeef pula mogok tidak mahu bangun dan tidak mahu ke sekolah apabila dikejut oleh Mamanya. Akhirnya, dia bangun apabila mendengar kata2 saya, 

"Adeef, MakLong nak naik kapal terbang ni"

Dengan mudah dia bangun tetapi tetap mogok tidak mahu ke sekolah. Mungkin dia menyangka yang saya akan turut membawa dia menaiki kapal terbang seperti sebelum ini. InsyaAllah, jika ada rezeki, MakLong akan bawa Adeef lagi. 

Akhirnya, saya dan Abah Ummi bertolak ke lapangan terbang pada jam 8 pagi. Sengaja saya bertolak kerana trafik ke sana kadang2 sukar dijangka. Ada masanya lancar dan kadang2 sesak. Mengenangkan yang ia adalah waktu puncak, lebih selamat jika saya bertolak awal ke sana. Kami tiba apabila jam menghampiri 9 pagi dan suasana kelihatan agak sesak, dipenuhi dengan jemaah haji yang akan turut sama menaiki penerbangan yang sama. Sekali lagi hati tersentuh melihat kehadiran mereka, tetamu2 Allah, merindui saat bilakah akan ada peluang untuk menjejakkan kaki lagi ke sana. 

Saat yang tidak disukai datang lagi. Menyalami Abah Ummi merupakan saat yang paling sukar buat saya meskipun untuk kali yang keberapa pun. Bimbang jika ia adalah pertemuan terakhir antara kami. 

Sewaktu memasuki balai berlepas, sekali lagi Allah mentakdirkan saya untuk bertemu seorang lagi teman lama apabila saya dengan selamba berpusing dan bertanya kepadanya, 

"Ini penerbangan ke KL kan?"

"Eh, ini CK kan?"

"Ya Allah, ini Raha kan?"

Kami saling berpelukan. Begitu takdir Allah, sangat cantik susunannya. Pergi dan balik perjalanan menemukan saya dengan insan2 yang dikenali. Kali terakhir saya berjumpa Raha adalah sewaktu menghadiri perkahwinannya di KT pada tahun 2009. Raha yang berasal dari Sarawak tetapi bertugas di KT sebenarnya ingin ke KL untuk menghadiri program di Melaka. Lalu saya sempat menemani dia di KLIA selama lebih 2 jam sementara menunggu kehadiran kawannya yang akan turut serta ke Melaka. Banyak yang kami perbualkan dan kami ia satu pertemuan yang sangat saya hargai. 


Wallahua'lam. 

No comments: