Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, September 4, 2013

Rumah Terbuka 4/5

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, walaupun Syawal semakin menghampiri penghujungnya, undangan rumah terbuka masih diterima daripada teman2 yang masih mengingati saya. 5 undangan diterima untuk 24 Ogos 2013 dan 2 undangan pada 25 Ogos 2013. Seboleh mungkin jika tiada halangan yang benar2 mendesak, saya akan cuba untuk memenuhi undangan mereka sebagai tanda terima kasih atas ingatan mereka terhadap saya. Untuk undangan pada 25/8, saya tiada masalah untuk menghadirinya namun undangan pada 24/8 benar2 memerlukan saya untuk membuat perancangan rapi agar kesemuanya dapat dipenuhi. 

Lalu saya senaraikan maklumat undangan2 tersebut termasuk waktu dan lokasinya supaya mudah untuk saya menyusun pergerakan. Waktu rumah terbuka yang berbeza2 juga sangat membantu saya kerana ada yang mengadakannya pada sebelah petang sehingga ke waktu malam dan tidak terhad pada waktu tengahari sahaja. 

Kali ini pergerakan saya adalah secara solo sahaja kerana bimbang akan menyusahkan pihak2 lain dan terkejar2 mengejar waktu pula jika saya berjanji dengan mereka.


Destinasi pertama saya adalah rumah Juhaida yang terletak di Putrajaya. Juhaida merupakan teman sekelas sewaktu di MRSM Muar malah kami duduk bersama di barisan hadapan di dalam kelas. Hampir 1 jam di rumah Juhaida, saya terpaksa meminta izin untuk bergerak ke destinasi seterusnya. 

Dari kiri: saya, Juhaida, Farah & anak2

Dari situ, saya bergerak ke rumah Farah Afidah yang terletak di Sungai Merab. Sewaktu saya tiba kelihatan ramai teman2 seperjuangan yang telah tiba lebih awal dari saya. Hasrat sebenar saya menggagahkan juga diri untuk hadir sebenarnya adalah untuk bertemu dengan teman2 seperjuangan. Jika tidak kerana majlis sebegini, pasti sukar untuk kami bersua wajah kerana masing2 sibuk dengan urusan kehidupan sendiri. Namun tiada sebarang gambar diambil di situ malah saya juga tidak berlama di situ kerana perlu bertolak ke destinasi seterusnya pula. 

Kita hanya merancang, Dia yang menentukan. Jika mengikut perancangan asal, saya ingin ke rumah Maslinda yang terletak di Bandar Baru Bangi (BBB) terlebih dahulu dan selepas itu ke rumah Payah di Puchong. Namun sewaktu dalam perjalanan ke rumah Farah, saya dihubungi oleh Ono (sahabat UIA) yang bertanya sama ada saya akan hadir ke rumah terbuka Payah atau tidak. Saya nyatakan yang ia memang dalam perancangan tetapi saya perlu ke BBB terlebih dahulu. Pun begitu, perancangan saya akhirnya berubah apabila Ono sudah dalam perjalanan ke sana bersama seorang lagi sahabat iaitu Ida. Lalu saya bersetuju untuk terus ke Puchong selesai memenuhi undangan Farah. 

Begitu cantik aturanNya. Sewaktu tiba di rumah Farah, saya terjumpa pula seorang teman, Ilyani, yang ingin turut menghadiri rumah terbuka Maslinda. Mengetahui yang saya hanya berseorangan, Ilyani mengajak saya untuk pergi bersama ke sana tetapi saya maklumkan yang saya perlu ke Puchong terlebih dahulu dan mencadangkan agar kami bertemu selepas itu. Ilyani bersetuju dengan cadangan saya dan kami berjanji untuk bertemu pada jam 6 petang di sekitar BBB.

Saya memang tidak berlama di rumah Farah. Rasanya mungkin sekitar setengah jam sahaja lalu saya meminta diri untuk berlalu dan terus memandu menuju Puchong. Sewaktu saya tiba di rumah Payah, Ono dan Ida juga baru sahaja sampai dan kami sempat berbual2 sebelum muncul pula Harnisah yang merupakan salah seorang teman sebilik saya selama 4 tahun sewaktu di UIA Gombak. 

Dari kiri: Ono, saya, Payah, Harnisah, Ida

Agak lucu juga apabila mengetahui yang kami adalah tetamu terawal yang tiba kerana majlis sepatutnya bermula pada jam 4 petang. Tanpa berlengah, kami terus menikmati hidangan yang dimasak sendiri oleh Payah dan suami sambil berborak2 mengimbau kisah2 lalu dan bertanya khabar masing2. Memang seronok apabila sekali sekala dapat bersua dan berbual2 dengan mereka yang pernah sama2 mengharungi zaman pengajian dahulu. Sama2 merasai pahit maung kehidupan demi untuk menggenggam segulung ijazah. Semoga ukhuwwah kami akan terus berpanjangan hendaknya. 

Sekitar jam 6 petang, saya mohon izin untuk berundur kerana telah berjanji dengan Ilyani untuk sama2 bertandang ke rumah Maslinda pula. Oleh kerana saya belum menunaikan solat Asar, saya terus ke Masjid Hasanah, BBB dan berharap untuk berjumpa Ilyani di sana sebelum bertolak ke rumah Maslinda. Tiba di masjid, saya hubungi Ilyani untuk memaklumkan yang saya sudah sampai dan ingin solat terlebih dahulu. Bukan apa, saya bimbang jika dia menghubungi saya sewaktu saya sedang solat. 

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Sewaktu menghubungi Ilyani, dia memaklumkan yang dia sudah berada di Kota Warisan. Saya jadi hairan. Kenapa Ilyani ke sana sedangkan rumah Maslinda di BBB. Rupa2nya Ilyani tertukar dengan Maslinda yang seorang lagi yang juga turut mengadakan rumah terbuka pada hari yang sama. Apabila disahkan, Ilyani sebenarnya ingin ke rumah Maslinda di BBB, sama seperti saya. Tergelak besar saya mendengar jawapan Ilyani dan meminta dia untuk datang ke masjid. Bermakna jika Ilyani tidak berjumpa saya di rumah Farah dan tidak berjanji untuk pergi bersama2 ke rumah Maslinda di BBB, dia akan pergi ke rumah Maslinda di Kota Warisan. 

Sebaik Ilyani tiba, kami terus bertolak ke rumah Maslinda dan akhirnya menunaikan solat Maghrib di sana. Majlis sepatutnya tamat pada jam 8 malam tetapi awal2 lagi saya sudah SMS Maslinda memaklumkan yang kami akan tiba sedikit lewat. Untung juga sebenarnya datang lewat kerana dapat duduk berbual2 dengan tuan rumah yang pastinya sangat sibuk jika kami datang bersama2 tetamu lain. 

Dunia ini kadang2 terasa kecil kerana ke mana2 pun pergi, akan ada kaitan dengan kehidupan lalu. Sewaktu di rumah Maslinda, saya dihampiri oleh Murniyati yang pernah sama2 bekerja di tempat lama. Subhanallah. Dia kini bekerja di pejabat bersama2 Maslinda pula. Kali ini kunjungan saya agak lama kerana ia kunjungan terakhir dan saya terpaksa membatalkan hasrat memenuhi undangan ke-5 kerana faktor jarak iaitu di Seremban. 


Saya tinggalkan rumah Maslinda sekitar jam 9.30 malam sebaik tetamu terakhir tiba iaitu bos kepada Maslinda. Puas rasanya kerana dapat memenuhi sasaran memenuhi undangan rumah terbuka meskipun tidak sepenuhnya. 4/5. 

No comments: