Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, September 6, 2013

Mengubat Rindu

Bismillahirrahmanirrahim...



Aturan Allah begitu cantik. Ajakan seorang teman untuk menghadiri majlis bacaan yaasin di Masjid Putra memang tepat pada masanya. Sudah hampir sebulan saya tidak ke situ selepas bulan Ramadhan berakhir. Rindunya tidak terluah. Justeru, bercucuran air mata saya saat menjejakkan kaki ke dalamnya. Ia tidak dapat ditahan2 lagi sehingga saya tidak lagi peduli kepada mata2 yang memandang keadaan saya. Saya menangis semahunya atas ruang dan peluang yang masih diberi olehNya untuk saya berada di dalam rumahNya. 

Secara kebetulan, pihak masjid turut mengadakan majlis solat hajat untuk mendoakan adik2 yang akan menduduki PMR pada tahun ini. Majlis kemudian disusuli dengan program qiamullail dan adik2 akan bermalam di situ. Seronok saya melihat gelagat adik2 sesama mereka sejak mengambil wuduk lagi. Terimbas kisah2 lalu sewaktu saya seusia mereka. Betapa debaran itu masih dapat difahami dan saya pasti debaran yang sama juga turut dirasai oleh mereka. Zaman di mana segala2nya indah dan tiada perkara yang membebankan perlu difikirkan. Yang perlu difikirkan hanyalah untuk cemerlang di dalam akademik sahaja. 

Usai solat Maghrib, saya dan teman duduk berbual2 di perkarangan masjid, menikmati aiskrim yang dibeli sebentar tadi di Presint 8. Banyak yang kami bualkan tentang pengalaman berada di tanah suci. Saat itu saya merasakan satu perasaan kerinduan yang sangat membuak2 untuk menjejakkan kaki ke tanah suci lagi. Malah tindakan kami duduk berbual2 di situ juga cukup mengingatkan saya kepada waktu2 indah sewaktu menunaikan umrah bersama keluarga beberapa tahun yang lalu. Ia kenangan yang akan kekal manis di dalam lipatan ingatan saya. 

Kami tinggalkan perkarangan masjid sekitar jam 10.15 malam apabila menyedari yang kami perlu bekerja pada hari ini. Jauh di sudut hati, saya amat berterima kasih kepada teman saya itu kerana menerbitkan idea yang sememangnya serasi dengan jiwa saya. Ya benar, Masjid Putra memang sentiasa teratas di hati saya. Sudah banyak masjid di dalam Malaysia yang saya kunjungi tetapi tiada satu pun yang setanding dengan Masjid Putra. Lain orang mungkin lain citarasanya tetapi bagi saya, Masjid Putra punya ciri2 yang menepati jiwa saya. Banyak kenangan yang telah terbina di situ dan semoga suatu hari nanti ia akan jadi saksi di hadapan Allah SWT yang saya pernah berada di situ. 


No comments: