Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, September 12, 2013

Amanah Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

11 September 2013 - Saya terpaksa memohon cuti untuk menghadiri taklimat berkenaan pengurusan akaun wakaf untuk pembinaan surau di taman yang didiami. Segalanya bermula apabila saya membantu hasrat jiran (Akmal) untuk mengusahakan pembinaan surau di tapak yang telah disediakan oleh pemaju. Mujur juga kami bertindak cepat kerana kedengaran khabar angin yang tapak itu bakal diambil oleh pihak lain.


Saya secara sukarela menawarkan diri membantu Akmal kerana pada waktu itu saya sedang cuti belajar. Bantuan saya pula lebih kepada menghantar dokumen2 berkaitan kepada pihak2 berkenaan sahaja dan kadangkala menelefon untuk mendapatkan status terkini. Ketika itu, saya memang kerap berkunjung ke Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam untuk ke Jabatan Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan Perbadanan Wakaf Selangor. Tidak sangka pula ia akan berlarutan sehingga nama saya dilantik sebagai bendahari secara rasmi. Malah saya masih teringat insiden semasa saya menghantar dokumen sebelum ini apabila ustaz yang menerima dokumen itu seolah2 terdiam mendengar penjelasan saya. Lalu saya ajukan persoalan,

"Kenapa, ustaz?"

"Begini puan, selalunya yang datang berurusan tentang pembinaan surau/masjid ni lelaki," jawab ustaz tersebut.

Saya hanya tertawa mendengar jawapan jujur ustaz tersebut lalu saya jelaskan yang saya hanya membantu mereka sahaja kerana secara kebetulan mempunyai kelapangan masa. 

Apabila menerima surat untuk menghadiri taklimat pula, Akmal tidak dapat menghadirinya lalu meminta saya untuk hadir. Oleh kerana saya sekarang juga mempunyai komitmen kerja tetapi masih mempunyai ruang untuk membantu, saya terpaksa memohon cuti untuk menghadirinya. Mujur juga seorang lagi rakan dapat turut serta. Jika tidak, agak segan juga ke sana berseorangan kerana hanya seorang sahaja wanita di dalam sesi taklimat tersebut yang turut dihadiri oleh wakil2 dari kariah2 lain. 

Saya tidak tahu apa hikmah di sebalik semua ini tetapi saya terima dan akan cuba menyumbangkan apa yang termampu meskipun agak segan juga apabila hanya saya seorang sahaja wanita di kalangan lelaki. Rasanya akan tiba juga suatu masa apabila saya merasa perlu untuk meletakkan jawatan dan menyerahkannya kepada orang yang lebih sesuai dan paling penting, lelaki. 

No comments: