Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, September 21, 2013

Cik Jah Ke UK

Bismillahirrahmanirrahim...

19 September 2013 - Demi untuk menghantar Cik Jah (CJ) dan keluarga yang bakal berlepas ke UK untuk melanjutkan pelajaran, saya dan Arab gigih merencana pergerakan untuk ke KLIA. Secara kebetulan, suami Arab bertugas di luar kawasan dan saya menawarkan diri untuk membawa Arab dan anak2 ke KLIA malah saya seronok melakukannya kerana sudah agak lama juga tidak berjumpa anak2 Arab, Izzah dan Dzaafir.

Usai waktu pejabat, saya terus ke tempat pertemuan yang dijanjikan untuk makan malam terlebih dahulu. Dari situ, kami bergerak ke rumah Arab untuk solat Maghrib dan Arab mempersiapkan anak2nya. Kami bertolak ke KLIA sekitar jam 8 malam melalui lebuhraya dan perjalanan ke sana hanya memakan masa selama setengah jam sahaja. 


CJ dan keluarga sudah berada di KLIA sejak jam 7.30 malam dan ketibaan kami memang tepat pada masanya kerana CJ baru sahaja selesai urusan di KLIA dan hanya menunggu masa untuk memasuki balai berlepas. 




Sayu hati dan kagum pun ada juga apabila melihat kegigihan CJ dan suami yang membawa 4 orang anak ke sana dan pada masa yang sama sedang mengandungkan anak kelima. Turut serta adalah emak CJ sepanjang tempoh pengajian selama 12 bulan kelak. Usai bersalaman dengan CJ, saya dan Arab bertolak pulang sekitar jam 10 malam. Tiba di rumah Arab pada jam 10.30 malam dan tiba di teratak sendiri pada jam 11 malam. Bohonglah kalau saya katakan yang saya tidak penat tetapi saya amat berpuas hati kerana dapat menunaikan hasrat berjumpa teman baik sebelum dia meninggalkan Malaysia. Namun kepenatan saya rasanya tidak dapat disamakan dengan kepenatan Arab yang perlu menguruskan anak2 dan saya gembira kerana dapat membantu dia. Memang sudah agak lama juga kami tidak meluangkan masa bersama begitu sebaik menamatkan pengajian dan mula memasuki alam pekerjaan. 

Selamat berjaya buat CJ dan keluarga. Siapa tahu jika ada rezeki saya juga bakal menyusul ke sana suatu hari nanti :)

Usaha Yang Baik Pasti DipermudahkanNya

Bismillahirrahmanirrahim...

21 September 2013 - Setelah lebih setahun dilantik sebagai AJK penaja pembinaan surau taman, akhirnya usaha kami mula membuahkan hasil. Segala penat lelah berulang-alik ke pejabat2 berkaitan terasa berbaloi apabila hari ini kami berjaya mendapatkan kerjasama daripada kontraktor untuk menyediakan lakaran surau yang diimpikan. Saya akui sedikit sebak kerana seolah2 tidak percaya usaha kami yang kecil ini mula menjadi kenyataan. Inilah sedikit sumbangan saya sebagai bekalan untuk dibawa mengadapNya kelak. Semoga ia menjadi amal jariah buat kami semua. 






Pertemuan yang bermula pada jam 9 pagi berlarutan sehingga jam 12.30 tengahari namun ia cukup memuaskan hati kami semua. Sasaran kami adalah untuk menggunakan surau tersebut pada bulan Ramadhan tahun depan. Semoga usaha kami ini akan dipermudahkanNya. 

Sunday, September 15, 2013

Kebaikan Rambang

Bismillahirrahmanirrahim...

Saat terdetik di hati untuk melakukan kebaikan rambang, jangan ditangguh2kan lagi. Terus lakukannya. Banyak kebaikan rambang yang boleh dilakukan dan yang paling mudah adalah senyum dan bagi yang Muslim memberi salam. Atau paling mudah dengan hanya mengangkat tangan apabila berselisih dengan pengawal keselamatan atau sesiapa sahaja yang bertugas menjaga keselamatan. Itu sebagai tanda hormat kepada mereka atas tugas yang disandang. Contoh paling mudah juga adalah dengan sekali sekala membayarkan tol untuk kereta belakang yang tidak dikenali. Namun saranannya elok dilakukan pada waktu2 bukan puncak terutama pada hujung minggu. Perhatikan reaksi kegembiraan mereka dan kita akan turut merasa kesan yang sama. Letaklah wang di tangan dan bukannya di hati agar mudah dihulurkan kepada yang memerlukan dan dikongsi bersama yang layak kerana yang diberi itulah sebenarnya hak kita yang kekal. 

Friday, September 13, 2013

Hikmah Membantu Kawan

Bismillahirrahmanirrahim...

Niat awal saya hanya untuk membantu seorang kawan namun akhirnya dianugerahkan sebuah ukhuwwah yang indah. Ria dan Ambiyah, kedua2nya daripada Jakarta. Pasti dihubungi jika ada rezeki ke sana.

Dari kiri: Ria, saya, Ambiyah

Thursday, September 12, 2013

Amanah Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

11 September 2013 - Saya terpaksa memohon cuti untuk menghadiri taklimat berkenaan pengurusan akaun wakaf untuk pembinaan surau di taman yang didiami. Segalanya bermula apabila saya membantu hasrat jiran (Akmal) untuk mengusahakan pembinaan surau di tapak yang telah disediakan oleh pemaju. Mujur juga kami bertindak cepat kerana kedengaran khabar angin yang tapak itu bakal diambil oleh pihak lain.


Saya secara sukarela menawarkan diri membantu Akmal kerana pada waktu itu saya sedang cuti belajar. Bantuan saya pula lebih kepada menghantar dokumen2 berkaitan kepada pihak2 berkenaan sahaja dan kadangkala menelefon untuk mendapatkan status terkini. Ketika itu, saya memang kerap berkunjung ke Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam untuk ke Jabatan Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan Perbadanan Wakaf Selangor. Tidak sangka pula ia akan berlarutan sehingga nama saya dilantik sebagai bendahari secara rasmi. Malah saya masih teringat insiden semasa saya menghantar dokumen sebelum ini apabila ustaz yang menerima dokumen itu seolah2 terdiam mendengar penjelasan saya. Lalu saya ajukan persoalan,

"Kenapa, ustaz?"

"Begini puan, selalunya yang datang berurusan tentang pembinaan surau/masjid ni lelaki," jawab ustaz tersebut.

Saya hanya tertawa mendengar jawapan jujur ustaz tersebut lalu saya jelaskan yang saya hanya membantu mereka sahaja kerana secara kebetulan mempunyai kelapangan masa. 

Apabila menerima surat untuk menghadiri taklimat pula, Akmal tidak dapat menghadirinya lalu meminta saya untuk hadir. Oleh kerana saya sekarang juga mempunyai komitmen kerja tetapi masih mempunyai ruang untuk membantu, saya terpaksa memohon cuti untuk menghadirinya. Mujur juga seorang lagi rakan dapat turut serta. Jika tidak, agak segan juga ke sana berseorangan kerana hanya seorang sahaja wanita di dalam sesi taklimat tersebut yang turut dihadiri oleh wakil2 dari kariah2 lain. 

Saya tidak tahu apa hikmah di sebalik semua ini tetapi saya terima dan akan cuba menyumbangkan apa yang termampu meskipun agak segan juga apabila hanya saya seorang sahaja wanita di kalangan lelaki. Rasanya akan tiba juga suatu masa apabila saya merasa perlu untuk meletakkan jawatan dan menyerahkannya kepada orang yang lebih sesuai dan paling penting, lelaki. 

Tuesday, September 10, 2013

Selamat Menghadapi UPSR

Bismillahirrahmanirrahim...

Semoga adik2 yang menduduki peperiksaan UPSR pada hari ini akan dapat menjawab soalan2 yang dikemukakan dengan tenang dan baik. Mulakan dengan bacaan Bismillah agar apa yang telah diusahakan sebelum ini dapat diaplikasi di dalam dewan peperiksaan.

Namun yakinlah bahawa apa jua keputusannya kelak bukanlah satu titik penentu dalam kehidupan ini. Perjalanan masih jauh. UPSR hanyalah sebahagian daripada perhentian2 dalam kehidupan yang harus dilalui sebelum tiba di perhentian2 yang seterusnya. Jika keputusan yang diperoleh kelak juga tidak seindah yang diharapkan, redhalah bahawa setiap ketentuanNya terkandung hikmah yang penuh rahsia namun cukup bermakna. Ada perhentian2 lain yang jauh lebih penting dan lebih getir akan ditempuhi dalam hidup ini seiring dengan pertambahan usia. Yang penting, usaha secukupnya telah dicurahkan di sepanjang perjalanan kehidupan ini.

Saya bersyukur kerana pernah melalui titik itu juga suatu masa dahulu dan berjaya melepasinya dengan baik. Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan setiap kali kami adik-beradik menduduki peperiksaan adalah Abah Ummi akan menghadiahkan 2 batang pensel 2B dan pemadam sebagai bekalan untuk menghadapi peperiksaan. Bagi kami, pensel 2B itu amat berharga kerana pada hari2 lain kami hanya diberi pensel biasa berwarna merah sahaja kerana pada waktu itu harga pensel 2B jauh lebih mahal daripada pensel merah. Ia antara perkara yang kami tunggu2 setiap kali menjelang musim peperiksaan selain doa daripada Abah Ummi untuk mengiringi perjuangan kami.

Justeru, kejayaan yang kami nikmati pada hari ini adalah hasil perjuangan Abah Ummi jua.

Monday, September 9, 2013

Jejak Masjid

Saya punya beberapa senarai #wishlist dan salah satunya adalah #wishlist #jejakmasjid. Saya meletakkan hasrat untuk menjejakkan kaki ke sebanyak mungkin masjid terutamanya yang punya nilai2 sejarah. 

Pagi ini terbaca tentang Masjid Muhammadiah di dalam akhbar Utusan Malaysia. Terdetik di hati untuk menjejakkan kaki ke sini lalu saya masukkan ia di dalam senarai #wishlist. 



Siapa tahu dengan izin Allah saya akan sampai ke sini satu hari nanti. 

Sepetang Bersama Adik2

Bismillahirrahmanirrahim...

8 September 2013 - Saya dan adik2 berjanji untuk berjumpa di Kondominium Semarak yang kami namakan Bakarians Guesthouse (BG) untuk tujuan pembersihan selepas penghuni terakhir menyewa selama 17 hari. Kami turut membawa hidangan makan tengahari secara potluck kerana merancang untuk makan tengahari bersama. Saya bertolak daripada teratak pada jam 11 pagi dan tiba di sana sekitar jam 12.30 tengahari selepas singgah di beberapa tempat terlebih dahulu untuk membeli sedikit barang keperluan.

Apabila semua sudah tiba, kami terus menjamu selera kerana perut juga sudah berkeroncong minta diisi. Saya pastinya seronok dapat berjumpa mereka terutama si kecil Qaisara dan Izzani. Kelakar sungguh melihat keletah Qaisara yang begitu aktif berjalan kerana baru sahaja 'mendapat lesen' untuk berjalan selepas hari raya baru2 ini. Tidak berhenti2 dia berjalan mengelilingi kawasan rumah.


Izzani pun tidak lama lagi pasti bakal menyusul jejak Qasisara juga. Dapat saya bayangkan yang mereka pasti akan berlari berkejar2an di mana2 sahaja.


Bila perut sudah diisi dan solat juga sudah ditunaikan, operasi mula dijalankan sedikit demi sedikit. Masing2 membersihkan ruang2 yang ada dan membuang sampah sarap yang ditinggalkan oleh penghuni.







Kami tinggalkan BG sekitar jam 6 petang dan saya terus memandu ke Putrajaya untuk ke Masjid Putra sebelum kembali ke teratak bagi melepaskan lelah, menanti hari baru muncul. Meskipun keletihan, saya puas kerana dapat menghabiskan masa bersama mereka. 

Mandi Laut

Bismillahirrahmanirrahim...

1 September 2013 - Seawal pagi saya bangun untuk membeli sarapan sebagai bekal kami ke pantai nanti. Adam dan Adeef pula segera bangun apabila saya memanggil mereka. Begitu teruja mereka untuk mandi laut meskipun ia sudah kali yang tidak terhitung lagi. Sebenarnya saya juga teruja untuk mandi laut kerana sudah agak lama tidak mandi kolam atau laut, tetapi kenalah cover line di hadapan anak2 buah. Hehe. 


Kami berjalan kaki lagi untuk ke pantai dan kelihatan suasana pantai yang lengang. Inilah yang saya gemar apabila mandi laut di kampung, aman dan tenang.


Sebelum mandi, kami alas perut dengan sarapan yang saya beli pagi tadi.




Pantai ini (Pantai Teluk Lipat) sememangnya istimewa buat kami sekeluarga. Di sini kami membesar. Justeru banyak cerita suka duka yang tersimpan di sini.



Namun begitu, sedikit kecewa apabila melihat sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang sesuka hati membuang sampah sarap merata2 di sekeliling kawasan pantai. 

Apapun, kami tetap menikmati mandi laut tetapi terpaksa berhenti apabila hujan rintik2 mula turun. 


Sepetang Bersama Geng Chenderiang

Bismillahirrahmanirrahim...

31 Ogos 2013 - Ini catatan tertunda iaitu pada petang saya tiba di kampung pada Hari Kemerdekaan yang lalu. Awalnya Abah Ummi menyuruh saya bersiap kerana ingin mengajak saya ke rumah abang di Chendering (dari situ nama Geng Chenderiang timbul). Aduhai, kepenatan menaiki bas masih bersisa dan dalam perjalanan, singgah pula di kebun tetapi melihat kesegeraan dan kesungguhan Abah Ummi bersiap, saya gagahkan diri juga untuk bersiap. Sempat mandi untuk menyegarkan diri dan bersedia untuk bertolak pada bila2 masa sahaja. Namun Allah Maha Kaya dan Maha Mengerti akan keadaan hamba2Nya.

Sebaik saya keluar dari rumah, kelihatan kereta BaHa memasuki perkarangan rumah. Aduhai, rupa2nya Abah tidak menelefon BaHa terlebih dahulu memaklumkan kedatangan kami. Mujur juga kami belum bertolak lagi. Tanpa banyak soal, saya terus mendukung Qhaleef dan mengajak abang2nya, Adam dan Adeef, untuk ke pantai. Terus hilang segala penat saat melihat kehadiran mereka.

Kami hanya berjalan kaki untuk ke pantai kerana perjalanan tidak pun sampai 10 minit.




Saya biarkan Adam dan Adeef lepas bebas menikmati suasana pantai sementara Qhaleef berada di pangkuan saya kerana masih belum boleh berjalan. 


Benda yang dipegang oleh Adeef itu adalah tulang sotong yang sememangnya banyak terdapat di sepanjang pantai. Dahulu saya dan adik-beradik sering menjadikan ia sebagai barang permainan dengan cara mencucuk kayu di atas permukaannya dan kami akan berlumba2 menolaknya. Kini ia bukan lagi barang permainan bagi kanak2 zaman sekarang tetapi sekali sekala saya cuba memperkenalkan beberapa permainan tradisional kepada mereka seperti teng-teng dan konda-kondi.


Kami beredar untuk pulang apabila hari semakin gelap dan berjanji untuk datang lagi pagi esok untuk mandi kerana melihat keadaan laut yang begitu tenang. 

Kita Merancang, Dia Tentukan

Bismillahirrahmanirrahim...

7 September 2013 - Kita merancang, Dia tentukan. Semalam saya dan teman2 sepatutnya ke Cyberjaya tetapi atas sebab2 tertentu yang juga berada di dalam ketentuanNya, perubahan perancangan akhirnya membawa saya menjejakkan kaki ke Bangsar Village (BV).


Ia kunjungan saya yang pertama ke situ sejak ia bertukar nama. Dahulu ia bernama Hankyu Jaya. Kali terakhir saya ke situ adalah sewaktu menuntut di Pusat Matrikulasi UIA, Lembah Pantai. Tempat ini sememangnya meninggalkan banyak kenangan buat saya sewaktu mula2 mengenal erti kehidupan di kota besar. Ia antara lokasi terdekat kami untuk mendapatkan barang keperluan iaitu di Pasaraya TMC. Waktu itu kami hanya perlu menaiki bas Intrakota dengan tambang 50 sen untuk ke Bangsar dari Lembah Pantai. Sampai di satu selekoh, kami akan turun dan berjalan kaki ke pasaraya tersebut untuk mendapatkan barangan yang diperlukan. Selalunya kami akan pergi sekitar lepas waktu Asar sebaik menyiapkan tugasan akademik. Sebaik masuk waktu Maghrib, kami akan ke Masjid Saidina Abu Bakar untuk menunaikan solat sebelum bertolak pulang ke asrama. Jika ada baki wang lebih, kami akan pergi ke gerai makan untuk mengisi perut sebelum menaiki bas yang sama. Malah masjid itu juga sering menjadi lokasi tetap kami pada bulan Ramadhan kerana ia menyediakan hidangan untuk berbuka malah di sinilah saya mula mengetahui yang masjid ada menyediakan hidangan berbuka untuk jemaahnya dan tabiat itu kekal sehingga ke hari ini. Paling tidak dapat dilupakan adalah kenangan sewaktu kami menghadapi krisis bekalan air sekitar tahun 1997/1998. Oleh kerana hampir semua tangki di dalam kawasan UIA telah kosong, kami nekad menaiki bas ke masjid itu untuk mandi dan membasuh pakaian. Rupa2nya bukan kami sahaja yang berfikiran sebegitu kerana ternyata ramai juga yang berbuat perkara yang sama sewaktu kami sampai di situ. Kini, semua kenangan itu sudah menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup yang amat saya hargai. 

Ya, sudah hampir 10 tahun tempohnya sejak kali terakhir saya ke situ. Bagi sesetengah orang, ia mungkin kedengaran agak pelik atau kolot? Entahlah. Pelbagai tafsiran boleh dibuat tetapi itulah saya. Tidak akan menjejakkan kaki ke sesuatu tempat semata2 untuk tujuan yang saja2. Benar saya suka memerhati gelagat manusia tetapi jiwa saya lebih serasi melakukannya di tempat2 yang terbuka seperti di tepi pantai atau kawasan lapang. Mungkin kerana saya dibesarkan di rumah yang berhampiran kedudukannya dengan pantai. 

Barangkali pasti ada juga yang merasa pelik jika mendapat tahu sepanjang menjalani kehidupan di KL ini, kunjungan saya ke Midvalley belum sampai habis bilangan jari kedua2 tangan. Begitu juga dengan KLCC. Jauh sekali Pavillion yang tidak pernah langsung saya jejak. Malah jika ke Midvalley atau KLCC pun, tujuan utama saya hanyalah untuk ke kedai buku MPH dan Kinokuniya sahaja. Selebihnya saya ke situ hanya untuk berjalan2 bersama keluarga yang datang bercuti.

Pun begitu, saya tiada halangan jika diajak oleh teman2 untuk ke tempat2 sedemikian demi untuk meraikan ajakan mereka dan pada masa yang sama memberikan peluang kepada saya untuk menjejakkan kaki ke situ. Justeru, ajakan seorang teman untuk ke BV kali ini saya raikan di samping mengambil peluang untuk melihat apa yang ada di situ. Entah apa yang difikirkan oleh teman saya itu apabila saya nyatakan yang itu kunjungan pertama saya ke situ tetapi saya hanya tertawa mendengar kenyataannya,

"Kau ni semua kali pertama."

Apa nak buat, inilah saya. Haha. Pendek kata, sebagaimana saya menerima kehadiran teman2 dalam hidup ini seadanya, begitulah juga saya mengharapkan mereka untuk menerima saya seadanya kerana perbezaan itulah yang akan menambahkan warna-warni dalam sesebuah persahabatan atau perhubungan. Malah saya percaya Allah punya sebab tersendiri mempertemukan saya dengan mereka. Tidak mungkin Allah mentakdirkan sesuatu yang sia2 buat hamba2Nya. Yang perlu dilihat dan diperhati adalah hikmah yang tersembunyi di sebaliknya dan saling belajar menerima kelebihan dan kekurangan masing2. 

Oleh kerana kami tiba saat waktu sudah menginjak Maghrib, saya sarankan untuk kami menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu di masjid yang telah memberikan 1001 kenangan kerana BV terletak betul2 bersebelahan dengan masjid tersebut. Ia kelihatan sudah berubah malah ternampak ia sudah jauh lebih elok sama ada dari segi binaan atau struktur luarannya berbanding dahulu. Tercetus sedikit rasa sayu dalam hati saat kaki melangkah masuk ke situ apabila mengenangkan kenangan2 yang telah terbina di situ bersama teman2 seperjuangan. Syukur masih diberi peluang menjejakkan kaki ke situ lagi. 

Sesungguhnya benarlah, kita merancang, Dia tentukan. Jika tidak kerana pembatalan perancangan untuk ke Cyberjaya pada hari itu, saya tidak akan berpeluang untuk menjejakkan kaki ke situ lagi. 

Friday, September 6, 2013

Mengubat Rindu

Bismillahirrahmanirrahim...



Aturan Allah begitu cantik. Ajakan seorang teman untuk menghadiri majlis bacaan yaasin di Masjid Putra memang tepat pada masanya. Sudah hampir sebulan saya tidak ke situ selepas bulan Ramadhan berakhir. Rindunya tidak terluah. Justeru, bercucuran air mata saya saat menjejakkan kaki ke dalamnya. Ia tidak dapat ditahan2 lagi sehingga saya tidak lagi peduli kepada mata2 yang memandang keadaan saya. Saya menangis semahunya atas ruang dan peluang yang masih diberi olehNya untuk saya berada di dalam rumahNya. 

Secara kebetulan, pihak masjid turut mengadakan majlis solat hajat untuk mendoakan adik2 yang akan menduduki PMR pada tahun ini. Majlis kemudian disusuli dengan program qiamullail dan adik2 akan bermalam di situ. Seronok saya melihat gelagat adik2 sesama mereka sejak mengambil wuduk lagi. Terimbas kisah2 lalu sewaktu saya seusia mereka. Betapa debaran itu masih dapat difahami dan saya pasti debaran yang sama juga turut dirasai oleh mereka. Zaman di mana segala2nya indah dan tiada perkara yang membebankan perlu difikirkan. Yang perlu difikirkan hanyalah untuk cemerlang di dalam akademik sahaja. 

Usai solat Maghrib, saya dan teman duduk berbual2 di perkarangan masjid, menikmati aiskrim yang dibeli sebentar tadi di Presint 8. Banyak yang kami bualkan tentang pengalaman berada di tanah suci. Saat itu saya merasakan satu perasaan kerinduan yang sangat membuak2 untuk menjejakkan kaki ke tanah suci lagi. Malah tindakan kami duduk berbual2 di situ juga cukup mengingatkan saya kepada waktu2 indah sewaktu menunaikan umrah bersama keluarga beberapa tahun yang lalu. Ia kenangan yang akan kekal manis di dalam lipatan ingatan saya. 

Kami tinggalkan perkarangan masjid sekitar jam 10.15 malam apabila menyedari yang kami perlu bekerja pada hari ini. Jauh di sudut hati, saya amat berterima kasih kepada teman saya itu kerana menerbitkan idea yang sememangnya serasi dengan jiwa saya. Ya benar, Masjid Putra memang sentiasa teratas di hati saya. Sudah banyak masjid di dalam Malaysia yang saya kunjungi tetapi tiada satu pun yang setanding dengan Masjid Putra. Lain orang mungkin lain citarasanya tetapi bagi saya, Masjid Putra punya ciri2 yang menepati jiwa saya. Banyak kenangan yang telah terbina di situ dan semoga suatu hari nanti ia akan jadi saksi di hadapan Allah SWT yang saya pernah berada di situ. 


Thursday, September 5, 2013

Kau Pergi Jua

Bismillahirrahmanirrahim...



"Setelah 2 tahun lebih bersama, malam ini kau pergi jua. Pergi yang takkan kembali lagi. Relaku dengan pemergianmu bukan tanda kebencian tetapi mengertilah bahawa segala yang ada di dunia ini hanya fana semata. Namun begitu, segala kenangan kita bersama akan tetap mekar di hati sanubariku. Aku yakin pemunya yang baru akan menjagamu dengan baik kerna aku dapat melihat kesungguhannya yang sanggup datang dari jauh, lewat tengah malam demi untuk memilikimu. Berbahagialah dikau di tempat yang baru."

Agak terkejut juga saya tadi menerima panggilan bertalu2 pada jam 11.45 malam saat saya sudah lena diulit mimpi. Apa tidaknya, janji asal adalah pada jam 10 malam tetapi tiada sebarang berita diterima sama ada jadi atau tidak dan saya juga sudah teramat mengantuk. Lalu saya beranggapan dia mungkin telah membatalkan hasrat untuk membelinya. Ternyata dia punya kesungguhan mendapatkan pengangkutan sehingga menyebabkan kelewatan. Mujur saya terbangun dan terbuka hati untuk membalas panggilan ke4 yang dibuatnya. Pening sekejap kepala saya kerana terbangun dengan secara tiba2. Ternyata dia sudah hampir dengan teratak saya dan saya terus bersiap menerima kedatangannya bersama lori. 

Tersenyum lebar dia apabila saya memulangkan RM20 daripada jumlah RM200 yang diberikan kepada saya. Itu harga asal yang dipersetujui bersama tetapi saya kurangkan kerana kesungguhannya yang ditunjukkannya. Sebelum ini sudah beberapa kali ada yang datang merisik untuk membelinya tetapi hanya hangat2 tahi ayam sahaja. Justeru, ada kewajaran di situ untuk saya mengurangkan sedikit harga atas usaha yang telah ditunjukkannya. 

Kini ruang itu kosong dan saya masih memikirkan sama ada untuk mencari penggantinya atau tidak.

Wallahua'lam.

Wednesday, September 4, 2013

Membuak2

Bismillahirrahmanirrahim...

30 Ogos 2013 - Perasaan untuk pulang ke kampung sangat membuak2 menyebabkan saya nekad untuk membeli tiket bas pada malam itu juga untuk perjalanan pada pagi Sabtu 31 Ogos. Perjalanan dijadualkan pada jam 10 pagi daripada Putrajaya Sentral. Seperti biasa, saya akan memarkir kereta di situ sama ada untuk menaiki bas atau kapal terbang. Seawal jam 9 pagi, saya bertolak ke sana supaya saya sempat untuk bersarapan di kafe di situ. 

Bas tiba agak lewat namun kali ini saya beruntung kerana mendapat tempat duduk di tingkat bawah. Sebenarnya saya kurang gemar jika mendapat tempat duduk di tingkat atas kerana kuat goyangannya semasa bergerak boleh menyebabkan saya sedikit pening. 

Namun agak kurang bernasib baik pula apabila saya lupa untuk membawa jaket bersama kerana kesejukan melampau di dalam bas menyebabkan saya menggigil. Bayangkan menahan kesejukan selama 5 jam sepanjang perjalanan. Memang bengkak pundi kencing jadinya huhu. 


Perjalanan Alhamdulillah lancar meskipun sedikit sesak sewaktu ingin keluar daripada kawasan Hentian Putra kerana bertembung dengan trafik yang baru selesai perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan. Selebihnya saya hanya berbual dengan makcik yang duduk bersebelahan saya. Rupa2nya saya mengenali anaknya yang membuka kedai runcit di kampung. Begitu kecil dunia ini. Banyak yang kami bualkan dan paling saya kagumi adalah tahap kesihatan makcik itu yang masih baik meski telah mencecah usia 68 tahun. Sempat juga makcik berpesan kepada saya agar menurun dan mengawal berat badan agar tidak berlebihan. Saya tidak berkecil hati dengan teguran itu kerana saya sendiri tidak selesa dengan berat badan sekarang dan azam untuk menurunkannya telah sekian lama tinggal sekadar azam sahaja. Sedikit sebanyak teguran makcik itu membangkitkan kesedaran dalam diri saya agar kembali menghidupkan azam itu. 

Saya tiba di Dungun sekitar jam 4 petang tetapi diminta oleh Abah untuk turun di persimpangan berhampiran kebun kami. Agak lucu apabila melihat reaksi penumpang lain yang melihat saya turun di kawasan hutan seorang diri sedangkan di sebalik hutan itu ada kebun yang tersembunyi dan Abah sebenarnya sudah sedia menunggu saya di situ. 

Ziarah Anak Jiran

Bismillahirrahmanirrahim...

28 Ogos 2013 - Akhirnya dapat juga saya memenuhi hasrat untuk menjenguk anak jiran yang baru berusia 7 hari. Sebenarnya dari awal sejak mendapat berita yang jiran saya sudah bersalin, saya sudah merancang untuk menjenguknya tetapi bayi terpaksa ditahan di wad pula kerana jangkitan kuning. Secara kebetulan, suami jiran saya terpaksa keluar pula pada malam tersebut atas urusan kerja. Jadi saya temani dia sehingga suaminya pulang sekitar jam 11.30 malam. 


Didoakan semoga membesar menjadi anak soleh.

Rumah Terbuka 4/5

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, walaupun Syawal semakin menghampiri penghujungnya, undangan rumah terbuka masih diterima daripada teman2 yang masih mengingati saya. 5 undangan diterima untuk 24 Ogos 2013 dan 2 undangan pada 25 Ogos 2013. Seboleh mungkin jika tiada halangan yang benar2 mendesak, saya akan cuba untuk memenuhi undangan mereka sebagai tanda terima kasih atas ingatan mereka terhadap saya. Untuk undangan pada 25/8, saya tiada masalah untuk menghadirinya namun undangan pada 24/8 benar2 memerlukan saya untuk membuat perancangan rapi agar kesemuanya dapat dipenuhi. 

Lalu saya senaraikan maklumat undangan2 tersebut termasuk waktu dan lokasinya supaya mudah untuk saya menyusun pergerakan. Waktu rumah terbuka yang berbeza2 juga sangat membantu saya kerana ada yang mengadakannya pada sebelah petang sehingga ke waktu malam dan tidak terhad pada waktu tengahari sahaja. 

Kali ini pergerakan saya adalah secara solo sahaja kerana bimbang akan menyusahkan pihak2 lain dan terkejar2 mengejar waktu pula jika saya berjanji dengan mereka.


Destinasi pertama saya adalah rumah Juhaida yang terletak di Putrajaya. Juhaida merupakan teman sekelas sewaktu di MRSM Muar malah kami duduk bersama di barisan hadapan di dalam kelas. Hampir 1 jam di rumah Juhaida, saya terpaksa meminta izin untuk bergerak ke destinasi seterusnya. 

Dari kiri: saya, Juhaida, Farah & anak2

Dari situ, saya bergerak ke rumah Farah Afidah yang terletak di Sungai Merab. Sewaktu saya tiba kelihatan ramai teman2 seperjuangan yang telah tiba lebih awal dari saya. Hasrat sebenar saya menggagahkan juga diri untuk hadir sebenarnya adalah untuk bertemu dengan teman2 seperjuangan. Jika tidak kerana majlis sebegini, pasti sukar untuk kami bersua wajah kerana masing2 sibuk dengan urusan kehidupan sendiri. Namun tiada sebarang gambar diambil di situ malah saya juga tidak berlama di situ kerana perlu bertolak ke destinasi seterusnya pula. 

Kita hanya merancang, Dia yang menentukan. Jika mengikut perancangan asal, saya ingin ke rumah Maslinda yang terletak di Bandar Baru Bangi (BBB) terlebih dahulu dan selepas itu ke rumah Payah di Puchong. Namun sewaktu dalam perjalanan ke rumah Farah, saya dihubungi oleh Ono (sahabat UIA) yang bertanya sama ada saya akan hadir ke rumah terbuka Payah atau tidak. Saya nyatakan yang ia memang dalam perancangan tetapi saya perlu ke BBB terlebih dahulu. Pun begitu, perancangan saya akhirnya berubah apabila Ono sudah dalam perjalanan ke sana bersama seorang lagi sahabat iaitu Ida. Lalu saya bersetuju untuk terus ke Puchong selesai memenuhi undangan Farah. 

Begitu cantik aturanNya. Sewaktu tiba di rumah Farah, saya terjumpa pula seorang teman, Ilyani, yang ingin turut menghadiri rumah terbuka Maslinda. Mengetahui yang saya hanya berseorangan, Ilyani mengajak saya untuk pergi bersama ke sana tetapi saya maklumkan yang saya perlu ke Puchong terlebih dahulu dan mencadangkan agar kami bertemu selepas itu. Ilyani bersetuju dengan cadangan saya dan kami berjanji untuk bertemu pada jam 6 petang di sekitar BBB.

Saya memang tidak berlama di rumah Farah. Rasanya mungkin sekitar setengah jam sahaja lalu saya meminta diri untuk berlalu dan terus memandu menuju Puchong. Sewaktu saya tiba di rumah Payah, Ono dan Ida juga baru sahaja sampai dan kami sempat berbual2 sebelum muncul pula Harnisah yang merupakan salah seorang teman sebilik saya selama 4 tahun sewaktu di UIA Gombak. 

Dari kiri: Ono, saya, Payah, Harnisah, Ida

Agak lucu juga apabila mengetahui yang kami adalah tetamu terawal yang tiba kerana majlis sepatutnya bermula pada jam 4 petang. Tanpa berlengah, kami terus menikmati hidangan yang dimasak sendiri oleh Payah dan suami sambil berborak2 mengimbau kisah2 lalu dan bertanya khabar masing2. Memang seronok apabila sekali sekala dapat bersua dan berbual2 dengan mereka yang pernah sama2 mengharungi zaman pengajian dahulu. Sama2 merasai pahit maung kehidupan demi untuk menggenggam segulung ijazah. Semoga ukhuwwah kami akan terus berpanjangan hendaknya. 

Sekitar jam 6 petang, saya mohon izin untuk berundur kerana telah berjanji dengan Ilyani untuk sama2 bertandang ke rumah Maslinda pula. Oleh kerana saya belum menunaikan solat Asar, saya terus ke Masjid Hasanah, BBB dan berharap untuk berjumpa Ilyani di sana sebelum bertolak ke rumah Maslinda. Tiba di masjid, saya hubungi Ilyani untuk memaklumkan yang saya sudah sampai dan ingin solat terlebih dahulu. Bukan apa, saya bimbang jika dia menghubungi saya sewaktu saya sedang solat. 

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Sewaktu menghubungi Ilyani, dia memaklumkan yang dia sudah berada di Kota Warisan. Saya jadi hairan. Kenapa Ilyani ke sana sedangkan rumah Maslinda di BBB. Rupa2nya Ilyani tertukar dengan Maslinda yang seorang lagi yang juga turut mengadakan rumah terbuka pada hari yang sama. Apabila disahkan, Ilyani sebenarnya ingin ke rumah Maslinda di BBB, sama seperti saya. Tergelak besar saya mendengar jawapan Ilyani dan meminta dia untuk datang ke masjid. Bermakna jika Ilyani tidak berjumpa saya di rumah Farah dan tidak berjanji untuk pergi bersama2 ke rumah Maslinda di BBB, dia akan pergi ke rumah Maslinda di Kota Warisan. 

Sebaik Ilyani tiba, kami terus bertolak ke rumah Maslinda dan akhirnya menunaikan solat Maghrib di sana. Majlis sepatutnya tamat pada jam 8 malam tetapi awal2 lagi saya sudah SMS Maslinda memaklumkan yang kami akan tiba sedikit lewat. Untung juga sebenarnya datang lewat kerana dapat duduk berbual2 dengan tuan rumah yang pastinya sangat sibuk jika kami datang bersama2 tetamu lain. 

Dunia ini kadang2 terasa kecil kerana ke mana2 pun pergi, akan ada kaitan dengan kehidupan lalu. Sewaktu di rumah Maslinda, saya dihampiri oleh Murniyati yang pernah sama2 bekerja di tempat lama. Subhanallah. Dia kini bekerja di pejabat bersama2 Maslinda pula. Kali ini kunjungan saya agak lama kerana ia kunjungan terakhir dan saya terpaksa membatalkan hasrat memenuhi undangan ke-5 kerana faktor jarak iaitu di Seremban. 


Saya tinggalkan rumah Maslinda sekitar jam 9.30 malam sebaik tetamu terakhir tiba iaitu bos kepada Maslinda. Puas rasanya kerana dapat memenuhi sasaran memenuhi undangan rumah terbuka meskipun tidak sepenuhnya. 4/5. 

Rumah Terbuka Tun M

Bismillahirrahmanirrahim...

Akibat malas nak menaip semula, paut sahaja daripada blog keluarga untuk kisah yang sama iaitu Rumah Terbuka Tun M.

Sekian, terima kasih. 

Kerna Mereka

Bismillahirrahmanirrahim...

14 Ogos 2013 - BaHa dan keluarga tiba dari Kulim, Kedah di teratak saya sekitar jam 1.30 pagi. Mereka sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Terengganu selepas menyambut hari raya di Kulim. Saya sudah tentulah seronok kerana dapat berjumpa dengan anak2 buah yang digelar 3 stooges. Sedihnya pula kerana seawal jam 6.30 pagi saya terpaksa bertolak ke pejabat kerana ada tugasan yang perlu disempurnakan. Seharian mereka hanya berada di rumah dan keluar beraya pada sebelah petangnya sedangkan saya berada di pejabat. Saya cukup tidak suka dengan perasaan begini. 





15 Ogos 2013 - BaHa bercadang untuk bertolak pulang ke kampung pada hari ini. Saya nekad meminta cuti daripada bos untuk meluangkan masa bersama mereka. Akhirnya hasrat BaHa untuk pulang ke kampung terpaksa ditunda kepada keesokan harinya. 

Saya bawa mereka ke Paya Indah Wetlands untuk melihat buaya dan badak air. Sebelum ini saya pernah datang ke sini sewaktu hari keluarga dan berpeluang untuk melihat buaya diberi makan. Lalu saya ingin berkongsi momen itu dengan mereka terutama Adam dan Adeef. Namun nasib kami kurang baik kerana rupa2nya buaya hanya diberi makan pada hari Ahad sahaja pada jam 11 pagi. 


Apapun, mereka berpeluang melihat sendiri buaya2 yang memenuhi kolam. Seronok melihat Adam dan Adeef begitu teruja dengan buaya2 tersebut.




Kemudian kami bergerak ke tempat landak raya dan kura2.


Gaya macam YB je. Adeef oh Adeef!
Hasrat untuk melihat badak air juga tidak kesampaian kerana sepanjang masa ia hanya berada di dalam air sahaja. Perut pun sudah mula berkeroncong kerana sudah hampir masuk waktu tengahari. Lalu saya bawa mereka ke Kelab Ekuestrian Putrajaya kerana sebelum ini saya pernah membawa Abah Ummi dan BaYu ke sini. Kini tiba giliran BaHa dan keluarga pula.


Suasana di dalam restoran agak lengang kerana belum memasuki jam 1 petang dan sengaja saya ingin mengelak keadaan tersebut. Namun sedikit kecewa juga kerana menu tidak lengkap sepenuhnya berikutan sebahagian staf mereka masih bercuti raya. Lalu kami pesan apa yang ada sahaja. Siapa tahu mungkin lain kali kami akan ke sini lagi kerana saya berpuas hati dengan servis mereka dan diskaun 15% diberikan kepada kakitangan kerajaan.


Usai makan tengahari, kami bergerak ke Taman Wetland Putrajaya untuk bersiar2 di dalamnya. Gembira hati saya menyaksikan keterujaan Adeef dan Adam melihat itik2 dan angsa2 yang dipelihara di situ. Saat2 sebegini bagi saya amat bererti. Rupa2nya masih banyak tempat2 menarik di situ yang belum saya terokai termasuk tapak perkhemahan yang begitu lengkap fasilitinya. Malah kami sempat menunaikan solat di surau yang berada di dalam kawasan tersebut.


Destinasi kami yang seterusnya adalah Taman Warisan Pertanian dan secara kebetulan PakSoo dan keluarga juga berada di sekitar Putrajaya. Maka kami berjumpa di Taman Warisan Pertanian untuk sama2 memasuki taman tersebut. Jujur sepanjang bekerja di Putrajaya, saya sendiri tidak pernah memasuki tempat tersebut. Pun begitu, hasrat tersebut terpaksa dibatalkan juga apabila dimaklumkan perkhidmatan coaster tidak beroperasi kerana masih ada staf yang bercuti raya. Oleh kerana kami tidak sanggup berjalan kaki sejauh 2 km dan ditambah pula dengan cuaca panas serta kehadiran anak2 kecil, kami tangguhkan dahulu hasrat tersebut mungkin ke satu masa yang lebih sesuai pada masa akan datang. Bukan itu sahaja, hasrat PakSoo untuk menikmati cendol juga terpaksa dibatalkan kerana faktor masa dan kami juga sebenarnya sudah keletihan setelah seharian berjalan2.

Akhirnya kami kembali ke teratak saya untuk berehat dan menyegarkan diri terlebih dahulu sebelum keluar untuk makan malam. Saya ingin membawa mereka untuk menikmati makanan barat di sebuah restoran di Serdang yang sering saya kunjungi iaitu Chop n Steak, Serdang.



Ini yee mee ketam yang dipesan oleh BaHa. Ketamnya berbau busuk, kata BaHa lalu saya maklumkan kepada cashier semasa membuat bayaran. Lega apabila dia membatalkan pesanan tersebut dan tiada sebarang caj dikenakan untuknya. Saya puji tindakannya kerana saya memang sedikit cerewet dengan servis yang ditawarkan kepada pelanggan. Jika saya rasakan servis yang diberikan tidak berbaloi dengan harga yang dikenakan, maka ia bakal jadi kunjungan yang terakhir ke situ. Setakat ini saya masih berpuas hati dengan servis mereka dan harga yang dikenakan juga berpatutan. Tambahan pula saya maklumkan kepadanya dengan cara dan niat yang baik dan bukannya menengking atau memarahi dia. Justeru respon baik yang saya terima daripada mereka amat saya hargai.




Usai makan malam, kami berpecah menuju haluan masing2 sementara saya mengikut BaHa dan keluarga berhari raya ke rumah kawannya di Gombak. Jika diikutkan saya sudah keletihan kerana esok perlu bangun awal untuk ke tempat kerja tetapi apabila mengenangkan yang ini saat terakhir saya bersama mereka sebelum mereka kembali pulang ke kampung, saya gagahkan juga diri mengikut mereka.

Bila berjumpa kawan, pasti banyak yang ingin mereka bualkan dan saya tidak sabar menunggu saat untuk pulang dan tidur. Akhirnya kami tiba di teratak saya sekitar jam 1.30 pagi dan tanpa banyak soal, saya terus masuk tidur.

16 Ogos 2013 - Seawal jam 6.30 pagi, saya sudah bertolak ke pejabat dan sempat meminta BaHa untuk singgah di pejabat sebelum bertolak pulang ke kampung agar saya sempat bertemu dengan mereka. Mujur juga saya tidak sibuk dengan urusan kerja sewaktu ketibaan mereka pada waktu tengahari. Usai bersalaman, mereka terus bertolak pulang ke kampung dan saya kembali ke pejabat meneruskan tanggungjawab yang masih berbaki.

Apapun, saya puas kerana dapat meluangkan masa bersama mereka kerana mereka penting buat saya.