Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, July 10, 2013

Saat Yang Tidak Digemari

Bismillahirrahmanirrahim...

18 Jun 2013 - Hari ini Abah Ummi akan pulang ke kampung. Pada awalnya saya bercadang untuk menghantar mereka pulang dengan kereta tetapi apabila memikirkan beberapa urusan yang perlu saya langsaikan, saya terpaksa menghantar mereka pulang dengan menaiki kapal terbang. Sengaja saya rahsiakan tentang pembelian tiket tersebut kerana Ummi ada menyuarakan hasrat tidak kisah sekiranya pulang dengan menaiki bas. Sewaktu mendengar kata-kata Ummi itu, saya hanya mendiamkan diri sahaja kerana sudah mempunyai perancangan sendiri. Ini janji saya kepada diri sendiri. Selagi saya mampu dan diberi izin olehNya, saya sekali-kali tidak akan membiarkan mereka melalui kesusahan dalam usia emas sebegitu kerana apa jua yang saya miliki pada hari ini adalah hasil pengorbanan mereka. Saya yakin yang saya tidak akan sekali-kali jatuh miskin jika membelanjakan wang untuk kemaslahatan ibu bapa malah ia lebih menenangkan jiwa saya. Malah jika dicongak kos yang perlu saya keluarkan jika menghantar mereka pulang dengan kereta, ia hampir lebih kurang sama sahaja.

Saya angkut beg Abah Ummi memasuki bonet kereta dan meneruskan pemanduan menuju ke LCCT. Ya, LCCT kerana harga tiket yang dibeli pada saat akhir agak mahal dan saya terpaksa membeli tiket AA. Lagi pula, Ummi sendiri lebih suka dengan LCCT kerana tidak perlu berjalan jauh untuk ke balai berlepas.

Sebelum itu, saya bawa Abah Ummi untuk bersarapan di sebuah restoran di Kota Warisan, Sepang. Rasanya dari situ, Ummi sudah dapat mengagak yang saya sebenarnya sedang membawa mereka menuju ke lapangan terbang dan bukannya stesen bas.


Usai bersarapan, kami teruskan perjalanan dalam keadaan santai kerana penerbangan dijadualkan pada jam 11.30 pagi. Sebaik selesai urusan bagasi dan kami mula bergerak menuju ke pintu balai berlepas, perasaan yang amat saya tidak gemari hadir. Perasaan berat untuk melepaskan mereka dan sayu apabila melihat pandangan mereka yang seolah-olah melihat saya seperti anak kecil. Oh, saya memang tidak suka dengan perasaan ini. Perasaan yang sama sejak saya mula memasuki asrama di awal usia 13 tahun dan ia berulang-ulang setiap kali saya memasuki fasa baru kehidupan. Hati jadi lebih sayu apabila Abah bertanya,

"Kak Imah tak balik sekali?"

Saya hanya menggemamkan bibir sambil menggelengkan kepala sahaja kerana seolah-olah ada batu besar yang menyekat kerongkong saya. Saya terus menyalami dan memeluk Abah Ummi sebelum melepaskan mereka memasuki balai berlepas. 


Mereka berlalu dengan pandangan yang sukar untuk dimengertikan namun saya pasti ia sarat dengan kasih sayang. Saya sedar saya bukan anak yang baik tapi sentiasa cuba melakukan yang terbaik buat mereka.


Saya terus berdiri di situ memerhatikan mereka melepasi pemeriksaan keselamatan. Abah sempat melambaikan tangan kepada saya sebelum saya berpusing dan berjalan menuju ke arah kereta. 

No comments: