Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, July 10, 2013

KMB: Kampung Air

Bismillahirrahmanirrahim...

15 Jun 2013 - Hari ini KD membawa kami merasai pengalaman melihat sendiri suasana perkampungan yang dibina di atas air yang lebih dikenali dengan nama Kampung Air. Namun sebelum ke destinasi tersebut, KD membawa kami singgah di tempat kerja KD iaitu Universiti Brunei Darussalam. Jujur saya katakan yang suasana di dalamnya sangat sederhana, jauh berbeza daripada apa yang saya bayangkan. Kami terpaksa singgah sebentar di situ kerana ada urusan yang perlu diselesaikan oleh KD terlebih dahulu sebelum membawa kami ke Kampung Air. 


Usai urusan, kami terus menuju ke jeti bot yang terletak berhampiran dengan Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Sebaik memarkirkan kenderaan, kami dihampiri oleh seorang pemilik bot yang menawarkan BND30 untuk membawa kami mengelilingi Kampung Air. Menurut KD, kadar itu jauh lebih murah daripada kadar semasa musim cuti sekolah yang mencecah BND70. Saya bersetuju dengan tawaran tersebut tetapi terpaksa mencari pengurup wang terlebih dahulu kerana tidak mempunyai matawang BND yang mencukupi. Lalu KD membawa kami masuk ke kompleks berdekatan namun kaunter pengurup wang masih belum dibuka. Jalan penyelesaiannya adalah saya terpaksa meminjam wang daripada KD terlebih dahulu dan berjanji membayarnya semula apabila kaunter telah dibuka kelak.


Semasa berada di dalam kompleks berkenaan, saya sempat melihat penggunaan tulisan jawi yang sangat meluas tetapi dari satu sudut, ia turut kedengaran agak kelakar. Apapun, saya hormati kesungguhan kerajaan Brunei memperkasa tulisan jawi.




Kemudian, kami terus ke jeti dan menaiki bot yang sedia menanti. Hampir 45 minit juga kami dibawa mengelilingi kampung air yang memenuhi persisiran sungai. Kemudahan di situ juga lengkap dengan kemudahan seperti perkampungan di darat seperti sekolah, masjid dan tandas. Namun apa yang menarik adalah apabila melihat setiap rumah mempunyai garaj untuk menempatkan bot masing-masing. Di situ, bot merupakan pengangkutan utama mereka untuk berulang-alik daripada rumah dan daratan. Rata-rata penduduk di perkampungan tersebut juga mempunyai kereta tetapi diparkirkan di daratan. 


Jika di darat, perhentian bas adalah tempat untuk menunggu bas atau teksi, di perkampungan ini jeti-jeti dibina sebagai tempat menunggu bot.











Tiba di jeti, kami terus berjalan semula memasuki kompleks untuk meneruskan hasrat yang terbengkalai sebelum ini iaitu untuk menukar matawang. Mujur kaunter pengurup wang telah dibuka dan kami terus berurusan di situ. 


Usai menukar wang, kami ke aras 1 untuk mengalas perut di samping mencuba makanan yang ada di situ. Bagi saya, harga kuih-muih yang dijual tidak jauh bezanya dengan di Malaysia iaitu 3 ketul untuk BND1. Saya mengambil peluang untuk mencuba pulut panggang yang dijual di situ. Ternyata rasanya tidak jauh beza dengan pulut panggang yang ada di Malaysia. Mungkin kerana kita memang serumpun maka perbezaan itu tidak terlalu ketara.



Kemudian kami pulang ke rumah KD untuk berehat seketika sebelum meneruskan lawatan ke destinasi berikutnya. 

No comments: