Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, July 10, 2013

Kunjungan Singkat ke PD

Bismillahirrahmanirrahim...

18 Jun 2013 - Selepas menghantar Abah Ummi pulang, hati saya teringat kepada seorang sahabat yang kini bertugas di Port Dickson. Nora Indah, itu nama sahabat yang saya kenali sejak berada di Pusat Matrikulasi UIA sehingga sekarang. Kami pernah tinggal sebilik dengan seorang lagi sahabat iaitu Naimah. Usia Indah tua setahun daripada kami lalu kami menganggap dia seperti seorang kakak malah lagak dia melayan kami juga seperti seorang kakak. Dialah pendamai di saat saya dan Naimah berselisih faham dan dialah yang menjaga kami seperti seorang ibu pada bulan Ramadhan. Malah boleh saya katakan yang Indah antara penyebab hubungan persahabatan antara saya dan Naimah kekal sehingga hari ini. Ya, hubungan kami tidak sentiasa indah namun saya menyayangi mereka berdua kerana Allah Taala.

Lalu saya putuskan untuk mencuba nasib menghubungi Indah. Alhamdulillah, ternyata kami ditakdirkan untuk bertemu pada hari itu kerana Indah juga tidak sibuk dengan urusan pekerjaan. Tanpa banyak soal, saya terus memandu memasuki lebuhraya KL-Seremban dan kami berjanji untuk bertemu di Restoran Sup Power, Port Dickson. Mujur juga PD bukan satu tempat yang asing buat saya dek kerana kekerapan menjalankan program di beberapa buah hotel di sekitar kawasan tersebut. Justeru tidak sukar untuk saya menemui lokasi restoran yang dimaksudkan oleh Indah.

Saya tiba di tempat yang dijanjikan sekitar jam 12 tengahari dan tidak lama kemudian, Indah pula tiba. Gembira sungguh hati saya melihat wajah ceria Indah. Dia memang begitu, sentiasa ceria dan bersemangat. Agak lama juga kami berbual di situ sambil menikmati makan tengahari. Pada awalnya, saya hanya bercadang untuk beredar sebaik selesai makan tengahari, tetapi apabila Indah mempelawa saya untuk singgah ke rumahnya, saya akur. Indah turut mencadangkan agar saya menaiki keretanya sahaja dan meninggalkan kereta saya buat sementara di kawasan parkir restoran tersebut.

Dalam perjalanan, Indah singgah sebentar di tempat kerjanya iaitu Politeknik Port Dickson untuk menyerahkan makanan yang dipesan oleh rakan-rakan sekerjanya. Dalam masa yang sama, saya tidak melepaskan peluang untuk meninjau keadaan di dalam politeknik tersebut kerana ini merupakan kunjungan saya yang pertama ke situ. Indah pula melayan permintaan saya untuk bersiar-siar melihat kawasan sekeliling dan bergambar di pintu masuk politeknik. Indah sebenarnya mentertawakan permintaan saya untuk bergambar di pintu masuk tetapi saya abaikan sahaja asalkan hasrat saya dapat dipenuhi.



Kemudian Indah membawa saya ke rumahnya yang terletak tidak jauh daripada politeknik. Saya tidak bercadang untuk berlama tetapi dengan Indah, mustahil saya berbuat demikian. Secara kebetulan pula, Indah sedang membuat persiapan untuk menghadapi temuduga mendapatkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian PhD. Saya yang masih bersemangat dengan urusan pengajian pula mengambil peluang untuk berkongsi sedikit ilu yang ada dengan Indah. Dari satu cerita ke cerita yang lain dan akhirnya jam sudah menunjukkan pukul 4 petang. Kali ini saya terpaksa menguatkan semangat untuk pulang kerana ingin mengelak daripada terperangkap di dalam kesesakan bersama orang-orang yang pulang dari kerja. Indah menghantar saya ke lokasi kereta ditinggalkan dan saya terus memandu pulang ke KL. Sayu rasanya hati saat berlalu meninggalkan Indah tetapi saya gembira kerana akhirnya janji saya kepada Indah untuk menziarahi dia di situ telah dipenuhi. Indah sebenarnya tinggal di PD bersama anak bongsunya dan terpaksa berjauhan dengan suaminya yang bertugas di Johor di samping turut menjaga 2 orang lagi anak mereka.


Dalam perjalanan pulang, saya sempat memasuki kawasan yang dinamakan Bandar Tentera Darat. Di sini juga terletak Muzium Tentera Darat yang belum sempat saya kunjungi. Justeru, itu bakal menjadi penyebab untuk saya datang lagi ke sini kelak. 



No comments: