Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, July 10, 2013

KMB: Pulang ke KL

Bismillahirrahmanirrahim...

17 Jun 2013 - Penerbangan kami untuk pulang ke KL dengan Malindo Air dijadualkan pada jam 11.30 pagi. Saya telah berjanji untuk memulangkan kereta sewa pada jam 9 pagi di tempat yang sama kami bertemu sebelum ini.  Mujur juga harga bilik adalah termasuk sarapan dan kami sempat bersarapan di hotel sebelum memulakan perjalanan ke Lapangan Terbang Miri.

Sengaja saya pilih untuk tiba awal di lapangan terbang kerana tidak mahu bersesak dengan penumpang lain. Usai menyerahkan kunci kereta kepada pemilik, kami terus ke kaunter untuk mendaftar masuk dan menyerahkan bagasi. Dek kerana tiba terlalu awal, agak lama juga kami menunggu di dalam balai berlepas sebelum dipanggil menaiki kapal terbang. Lega rasanya apabila tidak berlaku sebarang kelewatan dalam penerbangan.


Nyata perkhidmatan yang disediakan oleh Malindo Air tidak mengecewakan sepertimana kedatangan kami sebelum ini. Selain diberikan percuma berat bagasi sebanyak 20 kg, mereka juga turut memberikan makanan dan minuman secara percuma kepada penumpang.


Agak mengejutkan juga apabila melihat separuh daripada tempat duduk di dalam kapal terbang kosong. Justeru saya tidak melepaskan peluang untuk memilih tempat duduk lain yang lebih strategik selepas beberapa ketika pesawat selamat berlepas. 



Perjalanan pulang turut mengambil masa selama 2 jam 10 minit, sama seperti waktu kedatangan kami tempohari. Oleh kerana ini merupakan pengalaman pertama menaiki Malindo Air, saya mengambil peluang untuk bergambar bersama krew sebelum meninggalkan pesawat. Mujur juga mereka tidak kisah melayan permintaan kami :)



Ini antara kemudahan yang disediakan di dalam pesawat. Penumpang boleh menggunakan earphone sendiri atau membelinya daripada krew pada harga RM15 untuk menikmati pilihan filem dan lagu yang terkandung di dalamnya.


Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan servis yang disediakan oleh Malindo Air dan yang paling penting, kami mendarat di KLIA. Kepenatan jelas terasa saat pesawat tiba di KLIA namun saya gembira kerana dapat menyempurnakan niat membawa Abah Ummi berjalan-jalan selepas saya tamat pengajian dan sebelum kembali melangkah semula ke alam pekerjaan. 

2 comments:

Jari-Jari Yang Bersuara said...

Wah. best semua cerita miri-brunei ni.. cukup lengkap sbg panduan trip saya november ni.. terima kasih.

Karimah Abdullah said...

Terima kasih jari2 yg bersuara kerana singgah. Glad that the info helps you. Have fun!