Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, July 10, 2013

Kembara Miri-Brunei (KMB)

Bismillahirrahmanirrahim...

14 Jun 2013 - Akhirnya waktu yang ditunggu tiba juga. Ini kembara kedua selepas kembara Singapura, yang saya rancang buat Abah Ummi. Saya namakan ia sebagai kembara tebusjanji selepas sedikit 'mengabaikan' mereka sewaktu saya gigih menyiapkan tesis tempohari. Kembara ini juga sebagai memenuhi janji terhadap sepupu yang bekerja di Universiti Brunei Darussalam, bahawa saya akan mengunjungi dia dan keluarga di sana sekiranya mendapat peluang.

Seawal jam 5 pagi, saya dan Abah Ummi bertolak ke stesen Putrajaya Sentral untuk menaiki tren KLIA Transit ke KLIA. Penerbangan kami ke Miri dijadualkan pada jam 8.10 pagi. Ini sebenarnya pengalaman pertama saya menaiki penerbangan Malindo Air dan sengaja saya pilih penerbangan ini kerana lebih selesa untuk berlepas daripada KLIA berbanding LCCT. Lebih-lebih lagi harga yang ditawarkan adalah kompetitif iaitu RM98 sehala. Namun saya tidak pula menyangka yang ini adalah penerbangan Malindo Air yang pertama ke Miri. Perjalanan ke Miri memakan masa 2 jam 10 minit dan saya sangat berpuashati dengan servis yang ditawarkan oleh Malindo Air. Antaranya ruang letak kaki yang lebih luas, pemberian makanan percuma dan berat bagasi percuma sebanyak 20 kg di samping kemudahan skrin video yang menyediakan pilihan hiburan lagu, games dan filem yang boleh dinikmati sepanjang penerbangan. Turut bersama kami dalam penerbangan ini adalah pihak media yang dijemput untuk menyertai penerbangan pertama ini. Ketibaan kami disambut dengan persembahan tarian tradisional dan dikalungkan dengan rantai tradisional Sarawak. Seronok rasanya dilayan istimewa begitu terutama buat Abah Ummi hehe. Memang rezeki kami nampaknya kerana saya memang tidak tahu menahu langsung tentang sambutan yang akan diadakan oleh pihak Malindo Air. 

Usai melepasi acara sambutan, kami melalui pemeriksaan Imigresen dan diberikan slip kemasukan yang perlu disimpan untuk diserahkan semula semasa meninggalkan negeri Sarawak. 

Destinasi sebenar kunjungan kami ini adalah Bandar Seri Begawan, Brunei iaitu untuk menziarahi sepupu saya yang bekerja dan tinggal di sana. Untuk ke sana, saya telah lebih awal menempah kereta sewa dan mendapat kereta MyVi pada kadar RM100 sehari. Sebaik mendapatkan bagasi, kami terus menemui pemilik kereta sewa yang telah sedia menunggu ketibaan kami di luar lapangan terbang. Tempahan kereta sewa ini saya buat melalui hasil carian di Internet sahaja kerana ingin mendapatkan kadar yang saya rasakan berpatutan dengan kemampuan sendiri. Namun begitu, terdapat beberapa buah syarikat kereta sewa juga turut beroperasi di situ dan tempahan boleh dibuat secara walk-in atau lebih awal secara online. Walau bagaimanapun, saya difahamkan yang urusan pembayaran di situ hanya menerima kad kredit sahaja. Pun begitu, sengaja juga saya memilih untuk membuat tempahan lebih awal kerana tidak mahu mengambil risiko ketiadaan kereta sewaktu ketibaan dan seterusnya merencatkan perancangan kami untuk bertolak ke Brunei.

Sebaik mendapat kereta sewa, kami terus menuju ke pusat bandar Miri untuk menukar sedikit wang kepada matawang Brunei Dollar (BND). Syukur saya sempat mendapatkan BND30 kerana banyak kaunter telah mula ditutup pada waktu rehat hari Jumaat. 







Sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei, Abah sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid At-Taqwa, Miri manakala saya dan Ummi sudah merancang untuk jama' ta'khir sewaktu tiba di Brunei kelak. 


Usai solat Jumaat, pemanduan diteruskan menuju ke Pos Imigresen Sungai Tujuh. Mujur juga papan tanda ke arah situ memang jelas kelihatan dan tidak berlaku aksi membuang masa kerana sesat. Keadaan jalan memang diakui agak tidak memuaskan tetapi proses pembaikan juga kelihatan sedang dilakukan. Mungkin jika saya datang sekali lagi ke sini, suasana sudah semakin baik. Perjalanan daripada bandar Miri menuju ke Pos Imigresen Sungai Tujuh memakan masa hampir 30 minit sahaja. Sebelum itu, kami perlu melepasi jambatan dan membayar tol sebanyak RM10. 


Di sini, paspot dan slip yang diberikan sewaktu ketibaan di lapangan terbang tadi perlu diserahkan kepada pegawai Imigresen kerana akan meninggalkan sempadan Malaysia. Suasana memang lengang. Mungkin kerana ia adalah hari bekerja.




Usai urusan di pos Imigresen Malaysia, pasport perlu diserahkan kepada pegawai Imigresen Brunei pula untuk dicop. Di samping itu, saya juga perlu melengkapkan borang kebenaran membawa masuk kenderaan persendirian dan tempoh dibenarkan adalah selama 30 hari. Antara maklumat yang diperlukan di dalam borang tersebut adalah nombor casis dan tarikh tamat tempoh cukai jalan. 

Usai urusan imigresen, kelihatan jelas papan tanda penunjuk arah menuju ke Bandar Seri Begawan (BGB). Tanpa membuang masa, kami teruskan perjalanan dan mula memasuki sempadan Kuala Belait. Sepertimana kami perlu membayar tol sebelum melepasi Pos Imigresen Sungai Tujuh, kami juga perlu menjelaskan tol sebaik melepasti pos Imigresen Kuala Belait iaitu sebanyak BND3. Dek kerana itulah saya telah awal-awal lagi menukar sedikit matawang BND sewaktu berada di bandar Miri tadi. Pemanduan menuju ke BGB memang tidak sukar kerana terdapat banyak papan tanda sepanjang perjalanan. Namun begitu, pemanduannya begitu membosankan kerana hanya dikelilingi oleh pokok-pokok sahaja dan keadaan permukaan lebuhrayanya juga tidak serata lebuhraya di Malaysia. Lebih menambahkan rasa mengantuk, hadlaju yang dibenarkan adalah 80 km/j sahaja. 


Untuk menghilangkan rasa mengantuk, saya singgah di sebuah restoran yang kedengaran agak lucu namanya. Pada mulanya Abah ingin makan nasi tetapi kerana kami tidak mempunyai matawang BND yang mencukupi, kami hanya menikmati rojak dan teh tarik sahaja. Perut memang lapar tetapi rasa rojaknya yang manis tidak dapat saya terima. Mujur ada teh tarik sebagai penyelamat keadaan.  



Perjalanan diteruskan lagi dan saya sudah berjanji untuk berjumpa dengan sepupu (Kak Da) di Masjid Jame' Asr. Saya iyakan sahaja arahan Kak Da malah saya main redah sahaja jalan menuju ke situ. Logiknya, masjid pasti berada di tengah-tengah bandaraya. Telahan saya benar kerana dari jauh sudah kelihatan menara masjid tersebut. Seperti dirancang, saya dan Ummi mengambil peluang menunaikan solat jamak ta'khir di situ. Masjid ini memang menjadi kebanggaan rakyat Brunei kerana kubahnya yang disalut dengan emas 24 karat malah ia memang menjadi tumpuan pelancong. Sewaktu kami tiba, memang kelihatan beberapa buah bas pelancong yang membawa para pelancong luar ke situ. 





Usai solat, Kak Da dan keluarga sudah tiba di perkarangan masjid. Rindu pada si kecil Amru yang memang cukup lincah dan lucu keletahnya. 



Antara perkara paling mencabar adalah perubahan waktu solat Subuh. Memang kena kuatkan semangat untuk bangun awal kerana jika terbangun pukul 6, ia sudah seperti pukul 7 di Malaysia. Kianggeh yang tertera pada waktu solat adalah lokasi rumah Kak Da dan saya tidak tahu apa maksudnya. 


Tiba di rumah Kak Da, kami dijamu makan nasi dan gulai kambing. Memang tepat pada masanya kerana kami memang sedang lapar. Pada malamnya, saya 'pengsan' awal kerana kepenatan memandu malah saya hanya bangun solat jamak Maghrib dan Isyak pada pukul 4 pagi. 

1 comment:

Anonymous said...

salam..nak tanya..bole bg contact number or link tak utk sewa kereta...
thanks eik