Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Sunday, July 21, 2013

Bila Hati Sudah Terpaut

Bismillahirrahmanirrahim...

Kata orang, tabiat yang sudah sebati memang sukar untuk diubah atau jauh sekali dibuang. Sudah beberapa tahun saya mengunjungi Masjid Putra setiap kali Ramadhan. Pernah juga saya mencuba ke Masjid Besi tetapi akhirnya saya berpatah balik ke Masjid Putra juga. Meskipun kini saya bertugas di Jalan Duta, hati saya masih selesa untuk berbuka di Masjid Putra. Walhal Masjid Wilayah lebih dekat dengan pejabat saya sekarang namun entah kenapa hati saya belum terbuka untuk berbuka di situ. Mungkin kerana melihat keadaannya yang masih dalam pengubahsuaian atau mungkin kerana saya masih belum dapat menerima perubahan baru ini. Justeru saya sanggup gigih memandu pulang ke teratak, meredah lautan kesesakan demi untuk melunaskan hasrat berbuka di Masjid Putra.


Selalunya saya akan tiba di rumah sekitar jam 6 petang. Tanpa berlengah, saya terus mandi dan bersiap untuk ke masjid. Lokasi di dalam masjid pula sudah tentulah di sudut kanan saf pertama atau kedua. Itu lokasi kegemaran saya. 

Antara sebab saya lebih gemar ke Masjid Putra adalah kerana saya sudah selesa dengan sistemnya. Tempat berbuka antara jemaah lelaki dan wanita diasingkan, tidak seperti di sebuah masjid lain yang pernah saya kunjungi, apabila tempat duduk jemaah lelaki dan wanita tidak diasingkan menyebabkan saya kurang selesa. Sebaik azan dilaungkan, kami akan menikmati kurma dan kuih-muih serta segelas air sebelum menunaikan solat Maghrib. Usai solat maghrib barulah kami akan beratur untuk mendapatkan hidangan berat. Kemudian masa yang terluang antara Maghrib dan Isyak juga dapat dipenuhi dengan membaca Al-Quran. 

Pelbagai ragam dapat dilihat semasa beratur untuk mendapatkan makanan. Jika pada awal dahulu, pernah juga saya merasa kurang senang dengan kerenah jemaah yang gemar memintas barisan atas alasan membawa anak kecil dan kemudian berlengah2 semasa mendapatkan makanan, kini saya hanya membiarkan sahaja mereka berbuat demikian. Saya anggap ia sebagai sebahagian daripada cara untuk mendidik diri menjadi lebih sabar. 

Dalam soal hidangan pula, jika dahulu pernah juga saya memilih untuk ditambah kuah, diberi bahagian ayam atau ikan selain yang telah diceduk, kini saya hanya menerima sahaja apa juga yang telah diceduk oleh petugas ke dalam pinggan saya. Syukur kerana masih berpeluang menikmati rezekinya sedangkan masih ramai umat Islam di luar sana terutama di negara2 miskin yang berebut2 untuk menikmati hidangan  pada bulan Ramadhan. Umat Islam di Malaysia sebenarnya mewah dengan makanan malah saya rasa, tidak akan ada orang yang mati kebuluran semasa bulan Ramadhan di Malaysia ini. Bayangkan, hampir semua masjid dan surau menyediakan makan minum percuma sepanjang bulan Ramadhan. Rakyat asing juga turut mengambil kesempatan ini untuk berbuka di masjid dan saya dapat melihat jumlah mereka semakin bertambah setiap tahun terutama di Masjid Putra.

Semasa makan pula, saya akan duduk bersama jemaah lain yang tidak dikenali dan peluang ini saya ambil untuk berkenalan dengan mereka. Kadang2 saya hanya mendiamkan diri sahaja menikmati hidangan sambil melihat kerenah masing2. 

Saya tidak pasti berapa lama tabiat ini akan bertahan. Siapa tahu mungkin selepas ini saya berhijrah ke Masjid Wilayah pula. Hanya masa akan menentukannya. Buat sementara, saya masih selesa di sini. 

No comments: