Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, July 10, 2013

KMB: Ambuyat

Bismillahirrahmanirrahim...

Jika sudah berada di Brunei, memang tidak lengkap perjalanan rasanya jika tidak mencuba makanan tradisi mereka di sini iaitu ambuyat. Lagipun perut kami sudah berkeroncong kerana kali terakhir kami makan adalah sewaktu berada di kompleks pada pagi tadi. 

Untuk makan tengahari dan seterusnya merasai ambuyat, KD telah membawa kami ke sebuah restoran iaitu Aminah Arif Restaurant. Urusan menempah makanan memang saya serahkan bulat-bulat kepada KD kerana dia pastinya lebih arif dalam soal itu. 


Di samping ambuyat, makanan lain juga turut dijual di sini dan pada saya, harganya lebih kurang sama dengan di Malaysia, dengan syarat kita tidak mengambilkira perbezaan matawangnya.


Ambuyat atau sebenarnya tepung sagu dihidangkan bersama lauk-pauknya iaitu pucuk midin goreng belacan, ikan goreng, urat ketin masak merah dan sambal tempoyak. Oleh kerana ini percubaan pertama, KD hanya memilih set untuk 2 orang sahaja malah turut meminta nasi putih kerana bimbang kami tidak dapat menerima ambuyat. 

Ternyata telahan KD benar. Saya sendiri gagal menerima ambuyat kerana rasanya yang tawar dan akhirnya memilih nasi putih. Sempat juga saya menjeling para pelangan di meja-meja sebelah yang begitu ralit menikmati ambuyat dengan menggunakan penyepit yang disediakan. Mungkin kerana ia makanan ruji bagi mereka maka mereka tiada masalah untuk memakannya dengan begitu berselera. Bagi kami yang sudah biasa dengan nasi putih, ambuyat bukan pilihan kami. Apapun, setidak-tidaknya kami sudah mencuba dan merasai sendiri makanan tersebut. 





KD yang cuba mengabui mata kami dengan 'kesedapan' ambuyat tetapi gagal.


No comments: