Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, July 31, 2013

Genap Sebulan

Bismillahirrahmanirrahim...

Pejam celik pejam celik, hari ini genap sebulan saya dan rakan2 bertugas di tempat baru.

Begitu pantas masa berlalu. Masih teringat saat kami terkedu menerima surat penempatan pada 1 Julai 2013 kerana tidak pernah menjangka akan ditempatkan di sini.

Namun kami akur dan pasrah. Kami hadir melaporkan diri seperti diarahkan dan seterusnya menunggu penempatan dalaman pula.

Kini rutin saya bermula seawal jam 5 pagi dan perjalanan ke tempat kerja bermula pada jam 6.30 pagi. Saya tidak boleh lewat kerana perbezaan trafiknya sangat ketara. Selalunya saya akan tiba di pejabat sebelum jam 7.30 pagi. Pernah saya mencuba bertolak sekitar jam 6.40 pagi. Natijahnya, saya tiba di pejabat hampir jam 8 pagi. Saya serik lalu terpaksa menggagahkan diri untuk bertolak pada jam 6.30 pagi.

Secara peribadi, saya meletakkan sasaran awal selama 6 bulan untuk melihat sama ada saya dapat bertahan di tempat baru ini atau tidak. Jika saya berjaya melepasi tempoh itu, maka saya beranggapan yang saya sesuai dengan tempat baru ini. Kekadang kita sering merasa sesuatu perkara itu tidak baik untuk kita tetapi sebenarnya itulah yang terbaik buat diri kita.





Monday, July 29, 2013

Iftar Kawan2

Bismillahirrahmanirrahim...

28 Julai 2013 - Akhirnya, perancangan kami menjadi kenyataan. Sebelum ini sudah beberapa kali kami merancang untuk mengadakan acara makan-makan di rumah Ila Ramliey tetapi sering tertangguh. Kali ini kami teruskan juga perancangan walaupun hanya 4 orang yang dapat hadir. Konsepnya secara potluck tetapi hidangan utama akan disediakan oleh Ila selaku tuan rumah. Begitu gigih Ila memasak lauk pauk untuk menjamu kami berbuka puasa. Terharu melihat Ila menyediakan hidangan ketam yang selama ini hanya menjadi tatapan di blog atau Instagram sahaja. Begitu juga hidangan yang dibawa oleh Hajah iaitu kerabu mangga memang kegemaran saya. Terima kasih Hajah! Ady juga turut membawa pencuci mulut yang kena dengan selera saya, tidak terlalu manis dan tidak terlalu muak. Saya pula membawa sate sebanyak 100 cucuk (kes tak sedar diri yang nak makan hanya beberapa orang sahaja) dan air kelapa.





Saya memang sedikit cerewet dengan pencuci mulut tetapi yang ini memang saya suka. Hati sangat gembira apabila dapat menikmati pencuci mulut ini selepas Ady memaparkan di dalam Instagramnya dan saya nyatakan hasrat untuk mencubanya. Tak sangka Ady benar2 membawanya. Memang sangat sedap. Terima kasih Ady!



Kalau dah berkumpul bersama mereka, memang mustahil akan pulang awal. Dari satu cerita ke cerita yang lain sehingga tidak sedar malam sudah semakin larut. Akhirnya kami tinggalkan rumah Ila sekitar jam 10.30 malam dengan perut yang penuh dan hati yang gembira selepas berkongsi (bergosip?) pelbagai kisah yang mencuit hati. Terima kasih Ila!


Terawih? Alhamdulillah tidak kami abaikan cuma ditunaikan secara sendirian :)

Iftar Sepupu2

Bismillahirrahmanirrahim...

27 Julai 2013 - Syukur apabila hasrat untuk mengumpulkan sepupu2 di bulan Ramadhan yang mulia ini berjaya dilaksanakan meskipun tidak semua dapat hadir. Sengaja saya minta BaYu menjadi hos kerana ruang rumahnya yang luas dan selesa untuk berkumpul. Kali ini sepupu2 yang berkumpul adalah daripada sebelah adik-beradik Ummi.


Untuk hidangan pula, kami berpakat menyediakannya secara potluck. Saya menempah sate dan menyediakan mee bandung untuk majlis ini sementara BaYu dan isteri pula menyediakan nasi minyak dan bubur lambuk. MakTeh pula dengan trademarknya yang gemar menyediakan kek telah membawa red velvet cake. Husna membawa pulut mangga dan selebihnya ada yang membawa roti john, tepung pelita, ayam tempayan dan koktel. Sudahnya penuh meja dengan makanan sehingga tidak larat untuk dihabiskan.


BaYu dan nasi minyaknya

Ju mengopek cempedak untuk digoreng

PakSoo dan bancuhan koktelnya

Qaisara dan Izzani

Gotong-royong menyediakan hidangan

Akid, Qaisara dan Akif

Sebahagian daripada hidangan
Majlis bermula jam 6.45 petang dengan bacaan yassin untuk disedekahkan kepada ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah terutama arwah datuk dan nenek.

Bacaan Yaasin

Khusyuk
Apabila masuk waktu Maghrib, kami terus berbuka dan seterusnya solat Maghrib berjemaah. Lepas solat, kami sambung makan lagi.

Melayan kerenah anak

Melihat pertambahan usia masing2 membuatkan saya sedar betapa pantas masa berlalu. Jika dulu kami asyik dengan dunia kanak2, kini kami mengharungi alam dewasa dengan cara tersendiri. Pun begitu, saya berharap kedewasaan tidak akan menyebabkan kami lupa kepada ikatan darah yang terjalin dan aktiviti sebegini sedikit sebanyak akan dapat mengeratkan silaturrahim antara kami.

Akid dan PakSoo

Lambat tapi sampai juga

Iftar di Chakri Express, Alamanda

Bismillahirrahmanirrahim...

26 Julai 2013 - Saya telah dihubungi oleh rakan2 baik untuk menjayakan mini iftar kami. Memang saya seronok diminta menguruskannya tetapi sedikit risau dengan sambutan yang bakal diterima. Tambahan pula lokasi saya bertugas juga jauh daripada mereka dan lokasi yang dipilih untuk iftar pastinya di sekitar Putrajaya. Urusan mencari lokasi bersesuaian juga merupakan satu kesukaran buat saya kerana jika dulu saya akan terus singgah di lokasi sekitar Putrajaya untuk meninjau harga buffet Ramadhan yang ditawarkan tetapi kerana faktor jarak, saya terpaksa bergantung kepada maklumat di Internet semata. 

Jika diikutkan, saya sebenarnya memang kurang gemar untuk berbuka secara buffet tetapi demi memenuhi permintaan rakan2, saya korbankan juga hasrat itu sekali sekala. Niatnya cuma satu iaitu untuk bersua dan berkumpul bersama rakan2 kerana jarang2 mendapat peluang sebegitu pada bulan2 lain. 

Pada awalnya, seramai 5 orang termasuk saya bersetuju untuk hadir tetapi akhirnya hanya kami bertiga sahaja yang berjaya membuat kemunculan. Apakan daya, masing2 punya komitmen dan urusan tersendiri yang kekadang terpaksa kita akur. Saya akui pada mulanya sedikit kecewa tetapi apabila bersua wajah dengan mereka yang dapat hadir, kekecewaan saya terubat.

Kami :)
Untuk mengelakkan kesesakan, saya tinggalkan pejabat seawal jam 4.30 petang meredah lautan kesesakan yang agak padat berikutan cuti Nuzul Quran di Selangor. Ia sudah menjadi satu kemestian setiap kali cuti Nuzul Quran apabila warga Selangor yang bercuti mengambil peluang untuk turun ke KL membeli barang keperluan Aidilfitri. Saya tiba di Putrajaya sekitar jam 6 petang dan terus menunaikan solat Asar di surau Presint 16. 

Lokasi yang dipilih untuk mini iftar ini adalah Chakri Ekspress di Alamanda Putrajaya kerana faktor lokasi, kemudahan parking dan surau serta harga yang ditawarkan juga agak berpatutan berbanding dengan tempat2 lain. Sebenarnya lokasi awal yang dicadangkan adalah Taman Ekuestrian Putrajaya tetapi tiada kekosongan menyebabkan saya terpaksa mencari alternatif lain dan akhirnya Chakri Ekspress menjadi pilihan. 

Irah dan anak2

Usai makan ala kadar, kami bergegas untuk solat Maghrib terlebih dahulu di surau sementara yang disediakan oleh pihak Alamanda. Agak mengejutkan apabila melihat barisan yang agak panjang menunggu giliran untuk mengambil wuduk. Mujur saya masih menyimpan wuduk daripada solat Asar tadi sementara Arab dan Irah membatalkan hasrat untuk beratur sebaliknya mengambil wuduk di tandas berdekatan. Saya fikir jika mereka terus beratur, ada kemungkinan akan terlepas waktu solat. Saya fikir ramai juga yang sedang beratur pasti akan terlepas waktu berikutan waktu Isyak yang semakin hampir sewaktu kami tinggalkan surau sedangkan barisan masih lagi panjang. Bagi saya, tindakan pihak pengurusan menyediakan tempat wuduk yang agak terhad adalah tidak praktikal jika dibandingkan dengan jumlah pengunjung yang semestinya akan bertambah berkali ganda berbanding pada bulan2 lain.

Beratur untuk mengambil wuduk
Usai solat Mahgrib, kami berhasrat untuk menyambung menikmati hidangan yang masih belum sempat dijamah tetapi agak mengecewakan apabila hampir semua hidangan telah habis. Terasa tidak berbaloi pula dengan kadar yang dikenakan. Sepatutnya mereka dapat mengagak kuantiti hidangan yang disediakan dengan jumlah pelanggan yang datang. Malah bukan kami sahaja yang terkena tetapi beberapa orang pelanggan juga turut mengalami nasib yang sama.

Apapun, ia satu pertemuan yang menggembirakan buat saya dan kami tinggalkan Alamanda sekitar jam 9.30 malam.

Kanak2 penyeri pertemuan
Pulang ke teratak, saya muatnaik gambar pertemuan kami ke Instagram. Tidak sangka pula ia mendapat perhatian pihak Chakri Xpress. Kejadian yang kami alami sebentar tadi terus saya maklumkan kepada mereka dan dimaklumkan yang ia akan diambil perhatian. Namun saya tidak pasti sejauh mana kesannya kepada pelanggan terutama cuma sedikit gembira kerana keluhan yang diluahkan diberi perhatian.



Komen di Instagram

Wednesday, July 24, 2013

Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim...

Usai menghantar tesis kepada penaja di Putrajaya semalam, saya hubungi Arab untuk bertanya khabar setelah mendapat tahu yang dia jatuh sakit. Sangka saya dia masih berehat di rumah tetapi rupa2nya dia sudah kembali ke pejabat. Lalu saya singgah untuk menjenguknya di pejabat.

 
Terasa sedikit janggal juga apabila saya dan Arab kini bertugas di lokasi yang berbeza.  Apa tidaknya, dahulu setiap kali berpeluang pasti kami akan keluar untuk makan tengahari bersama terutama pada hari Jumaat. Kemudian kami ditakdirkan melanjutkan pengajian di UTM dan Alhamdulillah sudah sama2 berjaya menamatkan pengajian.
 
Pun begitu, inilah yang dinamakan kehidupan. Sentiasa akan berhadapan dengan perubahan namun perubahan itu tidak akan mengubah perhubungan sedia ada meskipun perhubungan yang baru akan terjalin. Malah ia akan lebih menjadikan kehidupan ini lebih menarik dan insyaAllah indah untuk dilalui. Mujur juga saya ditempatkan bersama Tmot di tempat baru ini. Setidak2nya kami tidak bersendirian di samping kehadiran teman2 seangkatan yang lain.
 
Harapan saya semoga ukhuwwah ini berkekalan walau di mana pun kami berada kelak.
 
 

Tamat Pengajian

Bismillahirrahmanirrahim...

Semalam saya menguruskan penyerahan tesis kepada UTM dan penaja sebagai bukti tesis telah disempurnakan dengan jayanya. Satu perasaan lega yang tidak dapat digambarkan hadir dalam diri saat diminta melengkapkan borang permohonan penganugerahan atau ringkasnya, borang graduasi. Terasa segala penat lelah yang dicurahkan selama ini berbaloi. Waktu2 yang dihabiskan berjam2 dan berminggu2 di bilik kecil di dalam perpustakaan dan kadang2 di teratak sendiri, terasa terbayar dengan pengesahan tamat pengajian tersebut. Kini keterujaan adalah untuk menanti hari konvokesyen yang dijangka sekitar awal bulan Oktober kelak.


Saya abadikan nama arwah di dalam tesis kerana ia sebahagian daripada peristiwa yang perlu dilalui saat melalui jalan untuk menyempurnakan pengajian ini. Pemergian arwah benar2 memberi satu perasaan yang tidak pernah saya rasakan sebelum ini dan ia menjadi pengajaran yang cukup besar dalam hidup ini bahawa kematian adalah satu kepastian.


Benar, jalan menuju kejayaan bukan mudah namun tidak pula mustahil untuk dilalui asalkan tidak mudah patah semangat. Kehadiran keluarga dan teman2 yang memahami sangat membantu saat hati gundah gulana berhadapan dengan cabaran2 di dalam pengajian.

 
Terima kasih Allah atas kurniaan ini. Alhamdulillah!
 

Monday, July 22, 2013

Iftar Bersama Adik2

Bismillahirrahmanirrahim...

21 Julai 2013 - Semalam saya melunaskan niat untuk berbuka bersama adik2 meskipun PakSoo dan MakTeh tidak dapat turut serta. PakSoo bertugas di luar kawasan sementara MakTeh pula pulang ke kampung. Maka hanya BaYu dan adik2 ipar sahaja yang dapat turut serta. Ia adalah rutin tahunan saya sejak dahulu, membelanja adik2 berbuka puasa. Selagi saya mampu, insyaAllah akan saya kekalkan niat ini kerana mereka sentiasa ada saat saya memerlukan. Bak kata Ustaz Hasrizal@Saifulislam, erti hidup pada memberi.

Pada awalnya, saya memilih Restoran Nelayan Titiwangsa yang kini berpindah ke lokasi baru di Gombak sebagai lokasi berbuka tetapi apabila saya menghubungi mereka untuk membuat tempahan, mereka memaklumkan hanya menerima pelanggan secara walk-in sahaja. Enggan mengambil risiko gagal mendapatkan meja, saya terus mencari alternatif lain dan akhirnya memilih Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) di Bukit Kiara. Saya pernah membawa mereka ke sini kira2 3 tahun yang lalu sewaktu kami masih menyewa di Keramat.

Meja dipenuhi dengan pelanggan tetapi suasananya tidak sepadat kunjungan terdahulu. Setelah diamati, rupa2nya dahulu kami datang pada hari bekerja dan kali ini pada hujung minggu menyebabkan jumlah pelanggan tidak seramai yang disangka. Pun begitu, ada baiknya juga kerana ia memberi keselesaan kepada kami menikmati hidangan yang disediakan.


Variasi makanan yang disediakan memang menarik dan menyelerakan serta diletakkan di sudut yang memudahkan pelanggan untuk mendapatkannya. Kelihatan di satu sudut kambing golek yang sedang dipanggang dan saya tidak melepaskan peluang untuk menikmatinya. Di sebelahnya pula disediakan hidangan masakan Arab iaitu nasi kuzi dan nasi mandy.



Sara turut kelihatan berselera menikmati hidangan sementara Izzani berada di pangkuan BaYu.


Makanan diambil seawal jam 7 dan memenuhi meja. Paling menarik pelbagai jenis air turut disediakan di situ dan pelanggan bebas memilih mengikut kegemaran masing2 namun air mocha nyata menjadi pilihan ramai sehingga ada yang sanggup menceduknya lagi meskipun hanya tinggal ais sahaja.


Menu wajib iaitu sate. Atas sebab ini juga menyebabkan saya kurang berpuas hati apabila buffet Ramadhan di Residence Resort Paka tidak menyediakan sate di dalam senarai hidangan mereka sedangkan harga yang dikenakan juga agak mahal iaitu RM58/pax. Bandingkan dengan kadar yang dikenakan di KGPA iaitu RM59.90/pax dan variasi makanan yang jauh lebih menyelerakan.







Cubaan menceriakan Izzani yang agak sugul ditinggalkan ayahnya yang bertugas di luar kawasan selama 2 minggu.


Ini pula aksi Sara yang meroyan melihat jumlah makanan yang banyak di hadapan mata tetapi gagal untuk menikmatinya haha. Macam2 Sara ni.


Paling menarik, lebihan makanan yang diambil dan tidak dapat dihabiskan boleh dibungkus untuk dibawa pulang. Ini pengalaman pertama saya dan agak terkejut juga kerana tidak pernah pihak hotel membenarkan pelanggan membawa pulang hidangan buffet.


Sunday, July 21, 2013

Bila Hati Sudah Terpaut

Bismillahirrahmanirrahim...

Kata orang, tabiat yang sudah sebati memang sukar untuk diubah atau jauh sekali dibuang. Sudah beberapa tahun saya mengunjungi Masjid Putra setiap kali Ramadhan. Pernah juga saya mencuba ke Masjid Besi tetapi akhirnya saya berpatah balik ke Masjid Putra juga. Meskipun kini saya bertugas di Jalan Duta, hati saya masih selesa untuk berbuka di Masjid Putra. Walhal Masjid Wilayah lebih dekat dengan pejabat saya sekarang namun entah kenapa hati saya belum terbuka untuk berbuka di situ. Mungkin kerana melihat keadaannya yang masih dalam pengubahsuaian atau mungkin kerana saya masih belum dapat menerima perubahan baru ini. Justeru saya sanggup gigih memandu pulang ke teratak, meredah lautan kesesakan demi untuk melunaskan hasrat berbuka di Masjid Putra.


Selalunya saya akan tiba di rumah sekitar jam 6 petang. Tanpa berlengah, saya terus mandi dan bersiap untuk ke masjid. Lokasi di dalam masjid pula sudah tentulah di sudut kanan saf pertama atau kedua. Itu lokasi kegemaran saya. 

Antara sebab saya lebih gemar ke Masjid Putra adalah kerana saya sudah selesa dengan sistemnya. Tempat berbuka antara jemaah lelaki dan wanita diasingkan, tidak seperti di sebuah masjid lain yang pernah saya kunjungi, apabila tempat duduk jemaah lelaki dan wanita tidak diasingkan menyebabkan saya kurang selesa. Sebaik azan dilaungkan, kami akan menikmati kurma dan kuih-muih serta segelas air sebelum menunaikan solat Maghrib. Usai solat maghrib barulah kami akan beratur untuk mendapatkan hidangan berat. Kemudian masa yang terluang antara Maghrib dan Isyak juga dapat dipenuhi dengan membaca Al-Quran. 

Pelbagai ragam dapat dilihat semasa beratur untuk mendapatkan makanan. Jika pada awal dahulu, pernah juga saya merasa kurang senang dengan kerenah jemaah yang gemar memintas barisan atas alasan membawa anak kecil dan kemudian berlengah2 semasa mendapatkan makanan, kini saya hanya membiarkan sahaja mereka berbuat demikian. Saya anggap ia sebagai sebahagian daripada cara untuk mendidik diri menjadi lebih sabar. 

Dalam soal hidangan pula, jika dahulu pernah juga saya memilih untuk ditambah kuah, diberi bahagian ayam atau ikan selain yang telah diceduk, kini saya hanya menerima sahaja apa juga yang telah diceduk oleh petugas ke dalam pinggan saya. Syukur kerana masih berpeluang menikmati rezekinya sedangkan masih ramai umat Islam di luar sana terutama di negara2 miskin yang berebut2 untuk menikmati hidangan  pada bulan Ramadhan. Umat Islam di Malaysia sebenarnya mewah dengan makanan malah saya rasa, tidak akan ada orang yang mati kebuluran semasa bulan Ramadhan di Malaysia ini. Bayangkan, hampir semua masjid dan surau menyediakan makan minum percuma sepanjang bulan Ramadhan. Rakyat asing juga turut mengambil kesempatan ini untuk berbuka di masjid dan saya dapat melihat jumlah mereka semakin bertambah setiap tahun terutama di Masjid Putra.

Semasa makan pula, saya akan duduk bersama jemaah lain yang tidak dikenali dan peluang ini saya ambil untuk berkenalan dengan mereka. Kadang2 saya hanya mendiamkan diri sahaja menikmati hidangan sambil melihat kerenah masing2. 

Saya tidak pasti berapa lama tabiat ini akan bertahan. Siapa tahu mungkin selepas ini saya berhijrah ke Masjid Wilayah pula. Hanya masa akan menentukannya. Buat sementara, saya masih selesa di sini. 

Berbuka Puasa di Kampung

Bismillahirrahmanirrahim...

13 Julai 2013 - Di samping pesta ibadah, puasa juga adalah tentang keluarga. Syukur kerana masih dapat berkumpul bersama ahli keluarga untuk berbuka puasa. Ditambah pula dengan kehadiran si cilik yang meriuh-rendahkan suasana.


Qaisara dan Qhaleef, lahir pada tahun yang sama tetapi berbeza bulan. Mereka sepupu.



Menu wajib setiap kali Ramadhan air tangan Ummi sudah pastilah bubur lambuk. Bubur lambuk di Terengganu memang berbeza dengan bubur lambuk di KL atau negeri2 lain kerana dimasukkan pucuk paku pakis dan sayur2 lain seperti cekur manis dan kaduk. Ramuan paling penting yang saya pasti tidak akan dalam bubur lambuk di tempat lain adalah budu :)