Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Saturday, June 15, 2013

Ujian Dalam Ujian

Bismillahirrahmanirrahim...

5 Jun 2013 - Hari ini adalah hari penentuan kepada segala penat lelah saya selama ini. Namun ia tidak semudah itu. Dalam entri sebelum ini saya ada nyatakan yang giliran pembentangan saya adalah pada sebelah petang dan saya bercadang untuk hadir lebih awal ke UTM untuk melihat pembentangan calon-calon sebelum saya. 

Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat saya. Dia tidak mengizinkan saya untuk hadir awal seperti dirancang sebaliknya diuji terlebih dahulu dengan ujian kepada kereta saya. Namun Dia juga telah memberi kemudahan kepada saya untuk melalui ujian-ujian itu dengan tenang dan selamat. 

Ujian 1. Akhir-akhir ini saya memang perasan yang bateri kereta sudah semakin lemah kerana sudah mencapai usia 2 tahun sejak kali terakhir ditukar. Tambahan pula enjin menjadi semakin sukar untuk dihidupkan setiap kali kunci diputar, tidak lagi seperti biasa. Saya fikir pengalaman sebelum ini juga turut mengajar kita untuk mengenali keadaan kereta sendiri. Namun begitu, dalam kekalutan menyempurnakan tesis, saya mengenepikan terlebih dahulu urusan lain termasuk penyelenggaraan kereta. Natijahnya perlu saya hadapi pada pagi ini. Ia gagal dihidupkan saat saya sudah bersiap untuk ke UTM menghadapi saat penentuan. Pertolongan Allah datang dalam bentuk kehadiran abang saya, BaHa dan keluarga pada malam tadi ke teratak sempena cuti sekolah. Saya pinjam kereta BaHa untuk ke bengkel terdekat dan membeli bateri kereta baru. Sengaja saya pergi sendiri kerana tidak mahu membebankan BaHa yang masih keletihan sejak tiba malam tadi. 

Di bengkel, mekanik menawarkan diri untuk menukar bateri kereta saya yang ditinggalkan di rumah tanpa bayaran tambahan. Syaratnya saya perlu mengambil dan menghantar dia semula ke bengkel. Satu perkara yang mudah dan amat saya alu-alukan kerana saya tidak perlu meminta bantuan BaHa untuk menukar bateri tersebut sementara saya sendiri sudah bersiap dengan pakaian bersesuaian untuk sesi pembentangan. 

Usai bateri ditukar, saya terus menghantar mekanik tersebut pulang ke bengkel seperti yang dijanjikan dan bayaran hanya dijelaskan sebaik semua proses selesai. 

Ujian 2. Ternyata setiap yang Allah aturkan itu ada sebabnya yang tersendiri. Entah mengapa saya begitu mudah menerima tawaran mekanik sebentar tadi untuk membantu saya menukar bateri kereta di teratak walaupun perlu berulang-alik menghantar dia kembali ke bengkel. Mungkin kerana saya fikir saya masih punya waktu untuk ke UTM di samping saya tidak mahu bersikap cemas menghadapi situasi sebegini kerana saya amat yakin setiap masalah ada jalan penyelesaiannya dan semua ini hanya ujian semata untuk saya. 

Dalam perjalanan menghantar mekanik tersebut, dia menegur yang dia terasa seperti ada yang tidak kena dengan tayar kereta saya. Dalam hati saya terdetik, amboi hebat betul dia ni atau saja nak kenakan aku? Saat itu memang perasaan sedikit cemas sudah hadir kerana jam sudah semakin menghampiri 12 tengahari sedangkan jika mengikut perancangan awal, saya sepatutnya sudah tiba di UTM pada waktu itu. Ternyata telahan mekanik itu benar kerana apabila kami sama-sama memeriksa keadaan tayar kereta, kami menemui sebatang paku bengkok menembusi tayar belakang. Aduhai bayangkan jika saya meneruskan perjalanan dalam keadaan tersebut dan akhirnya pancit di tepi jalan sebelum tiba ke UTM. Waktu itu rasa macam mahu sujud syukur di atas lantai bengkel sahaja tetapi saya masih waras. Saya sedar betapa Allah ingin menguji saya tetapi pada masa yang sama masih memberi jalan keluar untuk menghadapinya. Lalu dengan pantas mekanik tersebut membuka tayar kereta, menanggalkan paku tersebut dan menampalnya. Kos tampalan hanya RM6 sahaja, satu kadar yang bagi saya boleh diterima. 


Usai proses tampalan, saya meneruskan perjalanan ke UTM. Alhamdulillah trafik lancar dan saya tiba sekitar jam 12.45 tengahari. Sesi pembentangan saya dijadualkan pada jam 2 petang. Sempatlah saya menunaikan solat zohor terlebih dahulu di Masjid UTM. Debaran untuk menghadapi saat pembentangan masih boleh saya hadapi dengan baik. Saya fikir sama ada suka atau tidak, saya tetap perlu menghadapinya juga. Cabaran untuk didepani bukan untuk kita lari daripadanya. 

Sepertimana sesi-sesi pembentangan sebelum ini, saya sudah bersiap dengan laptop dan perakam video untuk merekod setiap komen dan teguran yang diberi oleh para penilai. Untuk sesi akhir ini, saya perlu berhadapan dengan penyelia sendiri dan 2 orang penilai luar yang lebih senior. Masa untuk pembentangan adalah selama 20 minit dan seterusnya untuk sesi soal jawab. Saya sempurnakan pembentangan hanya dalam masa 15 minit sahaja kerana hanya poin-poin penting diutarakan dan selebihnya telah dijelaskan di dalam laporan yang telah dihantar lebih awal. 

Agak banyak juga soalan yang diutarakan dan ada yang dapat saya jawab dan ada yang tidak. Bagi soalan yang tidak dapat dijawab, saya akuinya dengan jujur kerana saya fikir berbohong atau mempertahankan sesuatu yang tidak diketahui adalah sesuatu yang tidak wajar untuk dilakukan. Fikir saya lagi, jika saya tahu semua perkara bermakna tempat duduk saya adalah di sebelah penyelia dan bukannya berdiri di hadapan mereka. Namun bagi perkara yang benar-benar diyakini, saya cuba untuk mempertahankannya dengan gaya yang tidak menampakkan untuk merendah-rendahkan mereka pula kerana walau apa pun situasinya, mereka lebih jauh berpengalaman dan yang pasti, penentuan lulus atau gagal pembentangan saya telah ditakdirkan melalui mereka. 

Hampir 1 jam juga sesi berlangsung dan saya diminta untuk meninggalkan bilik pembentangan buat seketika untuk memberi ruang perbincangan kepada mereka. Tiba-tiba debaran semakin kuat dirasakan kerana sebentar lagi keputusan akan dibuat.

"Karimah, tolong masuk," panggil penyelia kepada saya yang menunggu di luar bilik.

"Ok, Karimah. Tahniah kerana lulus tetapi dengan sedikit pindaan dalam tempoh sebulan," umum penyelia saya sambil disaksikan oleh 2 orang penilai luar tadi. 

"Alhamdulillah, terima kasih Prof.," respon saya dengan penuh kesyukuran. 

Sekali lagi saya rasa ingin terus sujud syukur di situ juga. Terasa ringan segala kesukaran dan terasa berbaloi hari-hari yang dilalui dengan tidur yang tidak lena selama ini. Usai pembentangan baru saya ketahui yang untuk sesi pada hari ini, hanya 2 orang pembentang termasuk saya yang lulus dengan pindaan dalam tempoh sebulan. 


Tempoh cuti belajar yang diberikan oleh penaja kepada saya akan tamat pada 23 Jun ini. Justeru saya perlu melaporkan diri untuk kembali bertugas pada 24 Jun ini. Sebelum itu, saya ingin menikmati ruang waktu yang ada ini sepuas-puasnya dengan keluarga dan teman-teman. 

1 comment:

Roza said...

Mabrouk Cik Karim...