Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, June 28, 2013

Kembara Singapura - Episod 1

Bismillahirrahmanirrahim...

Kembara ini saya atur sebagai menunaikan janji kepada Abah Ummi untuk membawa mereka ke Singapura selepas 2 kali saya ke sana sebelum ini. Abah Ummi sebenarnya pernah pergi ke sana sewaktu kami masih kecil tetapi hanya MakTeh seorang yang pernah turut dibawa bersama. Di samping itu, ini juga masa untuk saya meluangkan masa bersama keluarga selepas bertungkus-lumus menyiapkan tesis sebelum ini. Kembara kali ini lebih menggembirakan apabila adik lelaki, BaYu dan keluarganya turut serta. 


Perjalanan kami bermula pada 8 Jun 2013, jam 5.30 pagi di Putrajaya Sentral kerana kami memarkirkan kereta di situ. Dari situ, kami menaiki tren KLIA Transit pada jam 6.20 pagi untuk ke KLIA. Penerbangan kami dengan JetStar dijadualkan pada jam 8.45 pagi. Sengaja saya tempah penerbangan melalui JetStar kerana ingin berlepas daripada KLIA. Usai urusan check-in dan bagasi, kami bersarapan terlebih dahulu di medan selera yang terletak di tingkat 2. 


Sejam sebelum waktu penerbangan, kami mula bergerak masuk ke balai berlepas antarabangsa. Sementara menunggu waktu berlepas, BaYu dan isteri sempat memandikan Qaisara yang bangun seawal jam 4 pagi. Di sini juga berlaku insiden yang hampir-hampir menyebabkan kami terlepas penerbangan apabila kami tidak perasan pertukaran pintu berlepas oleh pihak JetStar. Mujur kami tersedar 15 minit sebelum pintu ditutup apabila melihat majoriti penumpang yang berada di pintu tersebut adalah India. Nyaris-nyaris kami menaiki penerbangan ke Kathmandu huhu. Maka berlari-lari anaklah kami menuju ke pintu yang sebenarnya. 

Penerbangan hanya memakan masa 45 minit sahaja. Saya puji pengurusan JetStar yang mengepilkan borang Visa-On-Arrival (VOA) kepada penumpang sewaktu kami memasuki pintu kapalterbang. Justeru kami mempunyai masa yang mencukupi untuk melengkapkan borang tersebut tetapi kami hanya mengisinya apabila sampai di Lapangan Terbang Changi :)



Bergambar sementara menunggu borang VOA diisi. Qaisara mungkin masih mamai.


Gigih mengisi borang VOA.


Selesai mengisi borang, kami turun ke terminal ketibaan. Mulanya kami bercadang untuk membeli Singapore Tourist Pass (STP) tetapi apabila memikirkan kesukaran untuk mendapatkan refund kelak, kami batalkan sahaja hasrat itu. Untuk STP, kadar untuk penggunaan selama 2 hari adalah sebanyak SGD16 dan deposit sebanyak SGD10 seorang. Keputusan kami tepat kerana akhirnya kami lebih banyak menaiki teksi berbanding bas dan MRT kerana kasihan melihat Abah Ummi keletihan berjalan di samping membawa stroller Qaisara. 


Dari Changi, kami menaiki tren ke stesen MRT dan meneruskan perjalanan ke stesen Paya Lebar kerana itu adalah stesen terdekat dengan hotel yang telah ditempah di kawasan Geylang iaitu Hotel 81 Opera. Namun ternyata maklumat yang saya perolehi daripada Google tidak berapa tepat apabila kami perlu berjalan selama 45 minit sebelum tiba ke hotel berkenaan. Kasihan Abah Ummi yang keletihan. Mulanya kami ingin mengambil teksi sahaja tetapi pemandu teksi enggan menghantar kami atas alasan jarak yang terlalu dekat. Mempercayai kata-kata pemandu teksi, kami meneruskan langkah ke hotel tersebut. Rupa-rupanya pemandu teksi tersebut telah tersilap faham tentang kedudukan hotel kami kerana terdapat beberapa cawangan Hotel 81 di sekitar kawasan tersebut. Malangnya kedudukan hotel kami jauh ke belakang daripada jalan utama. Saya sebenarnya tidak berapa kisah dengan kedudukan hotel tersebut jika datang tanpa Abah Ummi dan anak kecil. Kasihan sungguh melihat Abah Ummi kepenatan di samping BaYu yang terpaksa menolak stroller melalui laluan di celah-celah kedai. Mujur juga kami hanya menginap di situ hanya untuk semalam sahaja. 



Jika diikutkan, memang ramai yang mencadangkan jika ingin ke Singapura, lebih baik dan berbaloi untuk menginap di Johor Bharu sahaja tetapi apabila memikirkan soal masa untuk berulang-alik dengan kehadiran warga emas dan anak kecil, saya putuskan untuk menginap di dalam Singapura sahaja. Sengaja saya pilih hotel di kawasan Geylang kerana ingin berkunjung ke Geylang Serai Market. Malah di kawasan ini juga amat mudah untuk mendapatkan makanan halal. 

Usai check-in di hotel, kami berehat seketika sebelum meneruskan aktiviti yang telah dirancang. Sebelum itu, kami sempat makan tengahari di Restoran Maimunah. Di situ memang ramai sekali orang Malaysia tetapi pada saya, rasanya biasa-biasa sahaja. Dek kerana keletihan, tiada sebarang gambar diambil sewaktu kami di situ. 

Destinasi pertama kami adalah Merlion Park. Mulanya kami bercadang untuk menaiki bas dan MRT sahaja tetapi akhirnya memilih untuk menaiki teksi sahaja. Oleh kerana kami bertujuh, maka kami terpaksa berpecah menaiki 2 buah teksi kerana tiada teksi MPV di Singapura. Untuk perjalanan ke situ, kadar berdasarkan meter yang dicaj adalah SGD8. 



Memang ramai orang di kawasan tersebut kerana sudah pastilah semua orang ingin bergambar di tempat yang menjadi mercu tanda Singapura. Hampir 1 jam di situ, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Mustafa Center. Namun cabaran buat kami apabila begitu sukar untuk mendapatkan teksi di situ dan kami terpaksa menunggu hampir 1 jam. 

No comments: