Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, June 28, 2013

Kembara Singapura - Episod 2

Bismillahirrahmanirrahim...

Suasana di Mustafa Center sangat sesak. Pada saya, tempat ini kalau di Malaysia sama seperti Mydin. Kami hanya menjenguk sahaja dan berlegar-legar di situ kerana tiada apa yang ingin dibeli. Jadi kami putuskan untuk beredar sahaja dari situ. Sekali lagi kami berdepan cabaran untuk mendapatkan teksi. Memang banyak teksi yang melalui kawasan tersebut tetapi ramai juga penumpang yang menunggu untuk menaikinya. Bayangkan kami terpaksa menunggu hampir 1 jam namun tidak berhasil sehingga kami memutuskan untuk menaiki MRT terdekat iaitu di stesen Farrer Park dan turun di mana-mana stesen yang memudahkan kami untuk mendapatkan teksi. 


Malamnya pula kami tidak ke mana-mana kerana sudah keletihan tetapi kami sempat makan malam di sebuah restoran berdekatan iaitu Sri Bistari Changi Village. 




9 Jun 2013 - Pagi ini kami bersarapan di medan selera yang terletak di dalam Geylang Serai Market. Memang banyak pilihan makanan di situ dan harganya juga berpatutan. Sekali lagi tiada gambar diambil di situ. Entah kenapa saya kurang teringin untuk mengambil gambar di situ, mungkin kerana saya pernah datang ke situ sebelum ini. 

Usai sarapan, kami terus menaiki teksi untuk ke Arab Street. Itu destinasi terakhir kami sebelum bertolak pulang ke Malaysia. Kami sekali lagi terkena apabila teksi pertama yang membawa BaYu dan keluarga serta Ummi telah menurunkan mereka di lokasi yang agak jauh daripada Masjid Sultan sementara teksi yang dinaiki oleh saya, MakTeh dan Abah pula berhenti betul-betul di tepi Masjid Sultan. Lebih menggusarkan apabila BaYu mematikan telefon. Hampir setengah jam saya menapak mengelilingi kawasan sekitar untuk mencari mereka. Akhirnya kami menemui mereka di perkarangan masjid dan mereka juga sedang mencari kami. Dari situ, kami ke Istana Glam yang terletak bersebelahan dengan Masjid Sultan. Kami hanya berlegar-legar di perkarangannnya sahaja dan bagi yang ingin masuk ke dalam, tiket berharga SGD4 dikenakan. 










Hampir 2 jam juga kami berada di Arab Street dan sempat membeli cenderamata di deretan kedai yang ada di situ. Sekitar jam 11.30 pagi, kami kembali ke hotel kerana perlu check-out daripada hotel pada jam 12 tengahari.

Usai check-out, saya cuba mendapatkan bantuan pihak hotel untuk mendapatkan teksi untuk ke Terminal Bas di Queen Street tetapi kadar yang dikenakan adalah SGD45. Lalu kami putuskan untuk menahan sendiri teksi yang lalu di depan hotel. Aduhai, cabaran yang sama iaitu kesukaran untuk mendapatkan teksi masih kami hadapi. Saya dan BaYu terpaksa berjalan jauh sedikit daripada hotel untuk mendapatkan teksi dan kami hanya berjaya mendapatkannya selepas setengah jam berusaha. 

Perancangan asal kami adalah untuk menaiki bas dari Terminal Ban San di Queen Street untuk ke JB tetapi apabila mengenangkan keletihan yang masih bersisa dan kesukaran untuk turun dan naik bas semasa pemeriksaan imigresen kelak, kami putuskan untuk menaiki teksi sahaja. Sebenarnya lokasi terminal ini hanya berdekatan dengan Arab Street dan kami sepatutnya boleh terus pergi ke situ pada pagi tadi tetapi apabila mengenangkan beg-beg yang perlu dibawa, kami putuskan untuk berpatah balik ke hotel. 

Nasib kami baik kerana tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan teksi ke JB dan kadar yang dikenakan adalah SGD70. Mahal? Kami terpaksa pejamkan mata sahaja kerana sudah keletihan. Yang berada di dalam fikiran kami adalah untuk pulang ke Malaysia sahaja. 

Perjalanan pulang lancar dan memakan masa tidak sampai 2 jam. Kami minta diturunkan di kedai makan kacang pool haji yang terletak berhampiran balai bomba Larkin. Dari situ, kami akan menaiki kereta abang saya, BaAn, kerana kami merancang untuk bermalam di rumahnya. Namun sebelum itu, BaYu telah menyuarakan hasrat untuk mejejakkan kaki ke Tanjung Piai. Mujur juga BaAn bersetuju untuk membawa kami ke sana. Ini merupakan kunjungan kali ketiga ke sini buat saya dan yang kedua buat Abah Ummi. 








Kembara Singapura - Episod 1

Bismillahirrahmanirrahim...

Kembara ini saya atur sebagai menunaikan janji kepada Abah Ummi untuk membawa mereka ke Singapura selepas 2 kali saya ke sana sebelum ini. Abah Ummi sebenarnya pernah pergi ke sana sewaktu kami masih kecil tetapi hanya MakTeh seorang yang pernah turut dibawa bersama. Di samping itu, ini juga masa untuk saya meluangkan masa bersama keluarga selepas bertungkus-lumus menyiapkan tesis sebelum ini. Kembara kali ini lebih menggembirakan apabila adik lelaki, BaYu dan keluarganya turut serta. 


Perjalanan kami bermula pada 8 Jun 2013, jam 5.30 pagi di Putrajaya Sentral kerana kami memarkirkan kereta di situ. Dari situ, kami menaiki tren KLIA Transit pada jam 6.20 pagi untuk ke KLIA. Penerbangan kami dengan JetStar dijadualkan pada jam 8.45 pagi. Sengaja saya tempah penerbangan melalui JetStar kerana ingin berlepas daripada KLIA. Usai urusan check-in dan bagasi, kami bersarapan terlebih dahulu di medan selera yang terletak di tingkat 2. 


Sejam sebelum waktu penerbangan, kami mula bergerak masuk ke balai berlepas antarabangsa. Sementara menunggu waktu berlepas, BaYu dan isteri sempat memandikan Qaisara yang bangun seawal jam 4 pagi. Di sini juga berlaku insiden yang hampir-hampir menyebabkan kami terlepas penerbangan apabila kami tidak perasan pertukaran pintu berlepas oleh pihak JetStar. Mujur kami tersedar 15 minit sebelum pintu ditutup apabila melihat majoriti penumpang yang berada di pintu tersebut adalah India. Nyaris-nyaris kami menaiki penerbangan ke Kathmandu huhu. Maka berlari-lari anaklah kami menuju ke pintu yang sebenarnya. 

Penerbangan hanya memakan masa 45 minit sahaja. Saya puji pengurusan JetStar yang mengepilkan borang Visa-On-Arrival (VOA) kepada penumpang sewaktu kami memasuki pintu kapalterbang. Justeru kami mempunyai masa yang mencukupi untuk melengkapkan borang tersebut tetapi kami hanya mengisinya apabila sampai di Lapangan Terbang Changi :)



Bergambar sementara menunggu borang VOA diisi. Qaisara mungkin masih mamai.


Gigih mengisi borang VOA.


Selesai mengisi borang, kami turun ke terminal ketibaan. Mulanya kami bercadang untuk membeli Singapore Tourist Pass (STP) tetapi apabila memikirkan kesukaran untuk mendapatkan refund kelak, kami batalkan sahaja hasrat itu. Untuk STP, kadar untuk penggunaan selama 2 hari adalah sebanyak SGD16 dan deposit sebanyak SGD10 seorang. Keputusan kami tepat kerana akhirnya kami lebih banyak menaiki teksi berbanding bas dan MRT kerana kasihan melihat Abah Ummi keletihan berjalan di samping membawa stroller Qaisara. 


Dari Changi, kami menaiki tren ke stesen MRT dan meneruskan perjalanan ke stesen Paya Lebar kerana itu adalah stesen terdekat dengan hotel yang telah ditempah di kawasan Geylang iaitu Hotel 81 Opera. Namun ternyata maklumat yang saya perolehi daripada Google tidak berapa tepat apabila kami perlu berjalan selama 45 minit sebelum tiba ke hotel berkenaan. Kasihan Abah Ummi yang keletihan. Mulanya kami ingin mengambil teksi sahaja tetapi pemandu teksi enggan menghantar kami atas alasan jarak yang terlalu dekat. Mempercayai kata-kata pemandu teksi, kami meneruskan langkah ke hotel tersebut. Rupa-rupanya pemandu teksi tersebut telah tersilap faham tentang kedudukan hotel kami kerana terdapat beberapa cawangan Hotel 81 di sekitar kawasan tersebut. Malangnya kedudukan hotel kami jauh ke belakang daripada jalan utama. Saya sebenarnya tidak berapa kisah dengan kedudukan hotel tersebut jika datang tanpa Abah Ummi dan anak kecil. Kasihan sungguh melihat Abah Ummi kepenatan di samping BaYu yang terpaksa menolak stroller melalui laluan di celah-celah kedai. Mujur juga kami hanya menginap di situ hanya untuk semalam sahaja. 



Jika diikutkan, memang ramai yang mencadangkan jika ingin ke Singapura, lebih baik dan berbaloi untuk menginap di Johor Bharu sahaja tetapi apabila memikirkan soal masa untuk berulang-alik dengan kehadiran warga emas dan anak kecil, saya putuskan untuk menginap di dalam Singapura sahaja. Sengaja saya pilih hotel di kawasan Geylang kerana ingin berkunjung ke Geylang Serai Market. Malah di kawasan ini juga amat mudah untuk mendapatkan makanan halal. 

Usai check-in di hotel, kami berehat seketika sebelum meneruskan aktiviti yang telah dirancang. Sebelum itu, kami sempat makan tengahari di Restoran Maimunah. Di situ memang ramai sekali orang Malaysia tetapi pada saya, rasanya biasa-biasa sahaja. Dek kerana keletihan, tiada sebarang gambar diambil sewaktu kami di situ. 

Destinasi pertama kami adalah Merlion Park. Mulanya kami bercadang untuk menaiki bas dan MRT sahaja tetapi akhirnya memilih untuk menaiki teksi sahaja. Oleh kerana kami bertujuh, maka kami terpaksa berpecah menaiki 2 buah teksi kerana tiada teksi MPV di Singapura. Untuk perjalanan ke situ, kadar berdasarkan meter yang dicaj adalah SGD8. 



Memang ramai orang di kawasan tersebut kerana sudah pastilah semua orang ingin bergambar di tempat yang menjadi mercu tanda Singapura. Hampir 1 jam di situ, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu Mustafa Center. Namun cabaran buat kami apabila begitu sukar untuk mendapatkan teksi di situ dan kami terpaksa menunggu hampir 1 jam. 

Saturday, June 22, 2013

Hobi Baru

Bismillahirrahmanirrahim...

Baru-baru ini sewaktu bercuti ke Singapura bersama keluarga, saya menemui sesuatu yang menarik perhatian untuk dimiliki iaitu loceng kecil. Selalunya fridge magnet adalah benda wajib yang dibeli apabila berkunjung ke sesuatu tempat sebagai tanda kenangan. Nampaknya kini loceng kecil akan menjadi koleksi baru saya selain fridge magnet. Setakat ini sudah 2 unit loceng kecil saya beli hasil kunjungan ke 2 buah negara iaitu Singapura dan Brunei.


Saturday, June 15, 2013

Ujian Dalam Ujian

Bismillahirrahmanirrahim...

5 Jun 2013 - Hari ini adalah hari penentuan kepada segala penat lelah saya selama ini. Namun ia tidak semudah itu. Dalam entri sebelum ini saya ada nyatakan yang giliran pembentangan saya adalah pada sebelah petang dan saya bercadang untuk hadir lebih awal ke UTM untuk melihat pembentangan calon-calon sebelum saya. 

Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat saya. Dia tidak mengizinkan saya untuk hadir awal seperti dirancang sebaliknya diuji terlebih dahulu dengan ujian kepada kereta saya. Namun Dia juga telah memberi kemudahan kepada saya untuk melalui ujian-ujian itu dengan tenang dan selamat. 

Ujian 1. Akhir-akhir ini saya memang perasan yang bateri kereta sudah semakin lemah kerana sudah mencapai usia 2 tahun sejak kali terakhir ditukar. Tambahan pula enjin menjadi semakin sukar untuk dihidupkan setiap kali kunci diputar, tidak lagi seperti biasa. Saya fikir pengalaman sebelum ini juga turut mengajar kita untuk mengenali keadaan kereta sendiri. Namun begitu, dalam kekalutan menyempurnakan tesis, saya mengenepikan terlebih dahulu urusan lain termasuk penyelenggaraan kereta. Natijahnya perlu saya hadapi pada pagi ini. Ia gagal dihidupkan saat saya sudah bersiap untuk ke UTM menghadapi saat penentuan. Pertolongan Allah datang dalam bentuk kehadiran abang saya, BaHa dan keluarga pada malam tadi ke teratak sempena cuti sekolah. Saya pinjam kereta BaHa untuk ke bengkel terdekat dan membeli bateri kereta baru. Sengaja saya pergi sendiri kerana tidak mahu membebankan BaHa yang masih keletihan sejak tiba malam tadi. 

Di bengkel, mekanik menawarkan diri untuk menukar bateri kereta saya yang ditinggalkan di rumah tanpa bayaran tambahan. Syaratnya saya perlu mengambil dan menghantar dia semula ke bengkel. Satu perkara yang mudah dan amat saya alu-alukan kerana saya tidak perlu meminta bantuan BaHa untuk menukar bateri tersebut sementara saya sendiri sudah bersiap dengan pakaian bersesuaian untuk sesi pembentangan. 

Usai bateri ditukar, saya terus menghantar mekanik tersebut pulang ke bengkel seperti yang dijanjikan dan bayaran hanya dijelaskan sebaik semua proses selesai. 

Ujian 2. Ternyata setiap yang Allah aturkan itu ada sebabnya yang tersendiri. Entah mengapa saya begitu mudah menerima tawaran mekanik sebentar tadi untuk membantu saya menukar bateri kereta di teratak walaupun perlu berulang-alik menghantar dia kembali ke bengkel. Mungkin kerana saya fikir saya masih punya waktu untuk ke UTM di samping saya tidak mahu bersikap cemas menghadapi situasi sebegini kerana saya amat yakin setiap masalah ada jalan penyelesaiannya dan semua ini hanya ujian semata untuk saya. 

Dalam perjalanan menghantar mekanik tersebut, dia menegur yang dia terasa seperti ada yang tidak kena dengan tayar kereta saya. Dalam hati saya terdetik, amboi hebat betul dia ni atau saja nak kenakan aku? Saat itu memang perasaan sedikit cemas sudah hadir kerana jam sudah semakin menghampiri 12 tengahari sedangkan jika mengikut perancangan awal, saya sepatutnya sudah tiba di UTM pada waktu itu. Ternyata telahan mekanik itu benar kerana apabila kami sama-sama memeriksa keadaan tayar kereta, kami menemui sebatang paku bengkok menembusi tayar belakang. Aduhai bayangkan jika saya meneruskan perjalanan dalam keadaan tersebut dan akhirnya pancit di tepi jalan sebelum tiba ke UTM. Waktu itu rasa macam mahu sujud syukur di atas lantai bengkel sahaja tetapi saya masih waras. Saya sedar betapa Allah ingin menguji saya tetapi pada masa yang sama masih memberi jalan keluar untuk menghadapinya. Lalu dengan pantas mekanik tersebut membuka tayar kereta, menanggalkan paku tersebut dan menampalnya. Kos tampalan hanya RM6 sahaja, satu kadar yang bagi saya boleh diterima. 


Usai proses tampalan, saya meneruskan perjalanan ke UTM. Alhamdulillah trafik lancar dan saya tiba sekitar jam 12.45 tengahari. Sesi pembentangan saya dijadualkan pada jam 2 petang. Sempatlah saya menunaikan solat zohor terlebih dahulu di Masjid UTM. Debaran untuk menghadapi saat pembentangan masih boleh saya hadapi dengan baik. Saya fikir sama ada suka atau tidak, saya tetap perlu menghadapinya juga. Cabaran untuk didepani bukan untuk kita lari daripadanya. 

Sepertimana sesi-sesi pembentangan sebelum ini, saya sudah bersiap dengan laptop dan perakam video untuk merekod setiap komen dan teguran yang diberi oleh para penilai. Untuk sesi akhir ini, saya perlu berhadapan dengan penyelia sendiri dan 2 orang penilai luar yang lebih senior. Masa untuk pembentangan adalah selama 20 minit dan seterusnya untuk sesi soal jawab. Saya sempurnakan pembentangan hanya dalam masa 15 minit sahaja kerana hanya poin-poin penting diutarakan dan selebihnya telah dijelaskan di dalam laporan yang telah dihantar lebih awal. 

Agak banyak juga soalan yang diutarakan dan ada yang dapat saya jawab dan ada yang tidak. Bagi soalan yang tidak dapat dijawab, saya akuinya dengan jujur kerana saya fikir berbohong atau mempertahankan sesuatu yang tidak diketahui adalah sesuatu yang tidak wajar untuk dilakukan. Fikir saya lagi, jika saya tahu semua perkara bermakna tempat duduk saya adalah di sebelah penyelia dan bukannya berdiri di hadapan mereka. Namun bagi perkara yang benar-benar diyakini, saya cuba untuk mempertahankannya dengan gaya yang tidak menampakkan untuk merendah-rendahkan mereka pula kerana walau apa pun situasinya, mereka lebih jauh berpengalaman dan yang pasti, penentuan lulus atau gagal pembentangan saya telah ditakdirkan melalui mereka. 

Hampir 1 jam juga sesi berlangsung dan saya diminta untuk meninggalkan bilik pembentangan buat seketika untuk memberi ruang perbincangan kepada mereka. Tiba-tiba debaran semakin kuat dirasakan kerana sebentar lagi keputusan akan dibuat.

"Karimah, tolong masuk," panggil penyelia kepada saya yang menunggu di luar bilik.

"Ok, Karimah. Tahniah kerana lulus tetapi dengan sedikit pindaan dalam tempoh sebulan," umum penyelia saya sambil disaksikan oleh 2 orang penilai luar tadi. 

"Alhamdulillah, terima kasih Prof.," respon saya dengan penuh kesyukuran. 

Sekali lagi saya rasa ingin terus sujud syukur di situ juga. Terasa ringan segala kesukaran dan terasa berbaloi hari-hari yang dilalui dengan tidur yang tidak lena selama ini. Usai pembentangan baru saya ketahui yang untuk sesi pada hari ini, hanya 2 orang pembentang termasuk saya yang lulus dengan pindaan dalam tempoh sebulan. 


Tempoh cuti belajar yang diberikan oleh penaja kepada saya akan tamat pada 23 Jun ini. Justeru saya perlu melaporkan diri untuk kembali bertugas pada 24 Jun ini. Sebelum itu, saya ingin menikmati ruang waktu yang ada ini sepuas-puasnya dengan keluarga dan teman-teman. 

Wednesday, June 5, 2013

Saat Yang Ditunggu-tunggu

Bismillahirrahmanirrahim...

Ya, hari ini adalah saat yang ditunggu-tunggu selepas bertungkus lumus menyiapkan tesis sebelum ini. Tidak sabar rasanya untuk melepasi saat ini meskipun debaran tetap hadir di sudut hati. Hanya pasrah dengan segala usaha yang telah dilakukan sebelum ini agar ia membuahkan hasil pada hari ini. 

Sesi saya adalah pada sebelah petang tetapi sengaja saya hadir pada sebelah pagi untuk mendapatkan mood di samping melihat penyampaian teman-teman yang lain. Setidak-tidaknya dapat juga saya menebak bentuk soalan yang bakal dikemukakan oleh panel kepada saya kelak.

Malam tadi 3 stooges tiba di rumah saya sempena cuti sekolah. Sedikit ralat kerana tidak dapat meluangkan masa bersama mereka pada hari ini kerana yang utama perlu diutamakan jua. Jika ada kesempatan, insyaAllah akan bersama mereka sebaik tamat urusan di UTM pada hari ini.

Robbi yassir wala tua'ssir, robbi tammim bilkhoir. 

Saturday, June 1, 2013

Berlayar ke Janda Baik

Bismillahirrahmanirrahim...

1 Jun 2013. Sudah agak lama saya menyimpan hasrat untuk menjejakkan kaki ke Janda Baik. Justeru, jemputan seorang teman yang mengadakan majlis resepsi di salah sebuah rumah penginapan milik keluarganya adalah kena pada masanya. Secara kebetulan, teman saya, Timoat juga ada bertanya tentang tempat tersebut dan kunjungan kami kali ini adalah untuk memenuhi undangan di samping meninjau sendiri tempat tersebut yang dinamakan Sailor's Rest. Maka seawal jam 11 pagi, kami 'berlayar' ke sana dengan menaiki kereta saya. 

Sebelum itu, kami singgah sebentar di Sungai Buloh iaitu rumah adik saya sebelum meneruskan perjalanan ke Janda Baik. Kami berhadapan dengan trafik yang agak sesak untuk melepasi Tol Gombak. Rupa-rupanya ramai yang berpusu-pusu datang untuk menonton perlawanan bola sepak antara Pahang dan Johor yang tertangguh sebelum ini. Alhamdulillah perjalanan kami lancar sebaik melepasi Tol Gombak dan kami keluar di persimpangan Genting Sempah untuk menuju ke lokasi majlis. 

Saya sebenarnya pernah ke sini sebelum ini untuk memenuhi undangan menyampaikan taklimat program yang diadakan di salah sebuah resort di situ. Justeru suasananya tidak begitu asing buat saya dan kami hanya meneruskan perjalanan sehingga tiba di Sailor's Rest. Alhamdulillah kami tidak sesat kerana tuan rumah memaklumkan ada tetamu lain yang tersesat jalan ke situ. 

Tiba di sana, tanpa banyak soal saya dan Timoat terus menikmati hidangan sebelum bertemu dan bergambar dengan pengantin. Tahniah buat Tengku Zahaslan (Elan) dan isteri atas perkahwinan. 

Usai bersua wajah dengan pengantin, kami sempat meronda-ronda sekeliling kawasan untuk melihat sendiri kemudahan-kemudahan yang ada di situ. Sebelum ini saya hanya mendengar cerita daripada Elan sahaja. 

Puas meronda, kami beransur pulang dan sepanjang perjalanan dapat dilihat memang banyak resort-resort lain di sekitar Janda Baik. Sebenarnya saya dan Timoat secara kebetulan sedang meninjau tempat untuk mengadakan hari  keluarga dan kunjungan kali ini adalah sambil menyelam sambil minum air :)




Daripada Mengenaan Ke Mengikan

Bismillahirrahmanirrahim...

31 Mei 2013. Saya mempunyai beberapa orang sahabat baik yang menamakan diri kami sebagai 'Geng Mengenaan'. Nama itu wujud kerana merujuk kepada menu wajib yang kami nikmati iaitu roti naan. Lokasi pilihan kami pula adalah Pusat Kejiranan Presint 16, Putrajaya. 

Kami sepatutnya berjumpa pada jam 6 petang di lokasi biasa tetapi kerana kesilapan saya yang gagal untuk tiba pada waktu dijanjikan, sesi mengenaan akhirnya menjadi sesi mengikan. Ia bermula apabila saya mempunyai urusan di Sri Gombak dan bertolak agak lambat menuju ke Putrajaya. Dalam kekalutan itu saya telah tersilap percaturan apabila memasuki laluan yang kurang sesuai pada waktu puncak. Saya sepatutnya terus memasuki DUKE dan MEX untuk terus ke Putrajaya tetapi saya tersilap memasuki Jalan Kuching. Akibatnya, saya terperangkap dalam kesesakan dan gagal tiba pada waktu yang dijanjikan sedangkan Ady dan Ila sudah tiba di sana. Kali ini, hanya kami bertiga dapat meluangkan masa bersama. 

Untuk menebus kesilapan, saya bersetuju untuk membelanja mereka di tempat pilihan mereka. Lalu mereka memilih untuk makan malam di Manhattan Fish Market, Alamanda. Sebenarnya sudah hampir setahun lebih juga saya tidak menjejakkan kaki ke Alamanda. Malah ini juga kali pertama saya makan di sini.

Ya, oleh kerana ini pengalaman pertama saya makan di sini maka saya agak sedikit jakun dengan cara hidangan mereka. Mujur juga Ila sudah beberapa kali makan di sini sebelum ini. Tidaklah terlalu terserlah kejakunan saya haha. 

Apapun, saya puas hati dengan kualiti hidangan  dan servis di tempat ini. Lebih gembira apabila dapat meluangkan masa dengan teman-teman baik. Memang rezeki Ady dan Ila yang sanggup menunggu saya tiba meskipun terlewat daripada perancangan asal. 




Jejak Masjid - Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong

Bismillahirrahmanirrahim...

29 Mei 2013. Keinginan untuk ke sini timbul semasa saya menonton rancangan Bismillah di TV3 sementara menunggu hari siang. Masjid tersebut kelihatan sungguh cantik dan sungguh mendamaikan di mata saya. Lalu saya sematkan hasrat di hati untuk menjejakkan kaki ke situ. Sebenarnya, sejak dulu saya memang berhasrat untuk menyenaraikan masjid-masjid yang pernah saya jejaki sebagai kenangan peribadi. Namun ia tidak pernah menjadi kenyataan dan sebahagian gambar masjid yang pernah diambil hanya tersimpan kemas di dalam PC sahaja. Mungkin sudah tiba masanya saya merealisasikan hasrat saya itu atau ia akan terus kekal sebagai hasrat sahaja. 

Secara kebetulan, saya juga sudah agak lama tidak berjumpa teman sepengajian yang pernah menjadi teman serumah sewaktu menyewa di Shah Alam iaitu Aida. Lalu saya hubungi Aida dan kami berjanji untuk bertemu di masjid tersebut sebelum makan malam bersama. Saya bertolak daripada teratak selepas merehatkan diri buat seketika sebaik selesai urusan di UTM. 

Perjalanan ke sana memakan masa hampir sejam setengah daripada teratak saya berikutan keadaan trafik yang agak sesak pada waktu puncak. Namun ia berbaloi kerana suasana di situ sungguh mendamaikan. Rekabentuknya nampak ringkas tetapi kemas memudahkan saya untuk menemui kawasan solat wanita. Ia turut dilengkapi kemudahan penghawa dingin dan bilik persalinan khusus untuk wanita. Tertera jelas juga di papan kenyataan tentang kos pembinaan masjid iaitu RM25.5 juta.

Usai menunaikan solat Maghrib berjemaah di situ, kami bertolak ke Seksyen 13 untuk makan malam. Dalam perjalanan, baru saya perasan yang saya pernah ke sini sebelum kewujudan masjid tersebut bersama adik-adik. Waktu itu saya membawa adik-adik meronda bandar Shah Alam menaiki kereta pertama iaitu Kancil sehingga tanpa disedari kami sampai ke kawasan ini (Bukit Jelutong) yang masih dalam proses pembangunan.  Hari ini kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan perumahan mewah termasuk masjid yang berjaya menawan hati saya ini. 



Draf Akhir

Bismillahirrahmanirrahim...

29 Mei 2013. Selepas beberapa minggu hidup tidak berapa menentu, akhirnya draf akhir tesis siap dicetak untuk dihantar kepada penyelia. Lega memang lega tetapi ia belum berakhir di situ kerana masih menunggu proses semakan dan viva pula. Apapun, saya bersyukur kerana setidak-tidaknya saya sudah mula nampak sedikit cahaya di penghujung jalan berbanding sebelum ini apabila saya terasa seperti teraba-raba di dalam kegelapan. Benarlah kata orang, semakin banyak yang kita pelajari, semakin banyak yang tidak kita ketahui. Menggambarkan betapa luasnya ilmu Allah ini sehingga tidak terjangkau dek minda manusia yang amat terbatas ini. 

Draf perlu dihantar kepada penyelia pada hari ini sebelum jam 2 petang. Lalu selesai mencetak draf, tanpa berlengah saya terus bertolak ke UTM dan sempat singgah untuk binding di Taman Melawati. Usai penghantaran, saya sempat makan tengahari bersama sahabat baik, Azlina@Arab, yang juga bertemu penyelia pada hari yang sama. Kemudian saya terus pulang ke rumah untuk merehatkan diri seketika sebelum meneruskan misi seterusnya.