Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, May 17, 2013

Selamat Hari Guru

Bismillahirrahmanirrahim...

16 Mei. Tarikh keramat buat seorang yang bergelar guru pada setiap tahun. Hari para guru diraikan atas segala pengorbanan yang telah dicurahkan dalam mendidik anak bangsa. Tugas guru tidak dinafikan sungguh mulia malah saya juga dibesarkan oleh seorang guru dan kini ada beberapa orang ahli keluarga yang turut menyandang jawatan sebagai guru. 

Meskipun saya tahu bekas guru-guru saya tidak akan membaca catatan saya ini, saya tetap ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih saya kepada mereka atas segala ilmu yang telah dicurahkan. Saya sedar tanpa jasa dan pengorbanan mereka mendidik kami anak bangsa, sudah pasti kami tidak akan berada pada kedudukan sekarang.

Saya mula mengenali pendidikan formal hanya apabila memasuki sekolah rendah di usia 7 tahun. Ya, saya tidak pernah melalui alam pra-sekolah. Baiklah, saya mengaku sebenarnya pernah tetapi hanya 2 minggu dan ia langsung tidak berbekas di hati saya kerana sepanjang tempoh itu saya hanya mengalirkan mata sahaja. Saya sendiri sudah lupa sebab saya begitu sedih dan tidak dapat menghabiskan zaman pra-sekolah sehingga akhirnya memaksa Abah untuk terus memberhentikan saya. 

Namun, pemberhentian saya tidak bermakna proses pembelajaran saya juga terhenti. Dialah guru pertama saya yang mengajar saya mengenal abjad sama ada rumi atau jawi, tidak jemu-jemu melayan pertanyaan saya yang tahu mengeja tetapi tidak tahu sebutan perkataannya. Malah pertanyaan yang berulang kali sama itu tidak pernah diendahkan oleh Ummi, guru pertama saya. Guru yang hanya lulus setakat SRP sahaja tetapi punya cita-cita besar untuk anak-anaknya. Ummi bukan tidak pandai tetapi desakan kewangan dan keluarga yang pada masa itu masih terbelenggu dengan persepsi anak perempuan tidak perlu berpendidikan tinggi memaksa Ummi dihalang daripada meneruskan persekolahan. Dek kesabaran Ummi, saya sudah mampu membaca tulisan rumi dan jawi di usia 6 tahun. 

Apabila kami adik-beradik semakin membesar dan keperluan kewangan semakin meruncing, Ummi berkorban membantu meringankan beban Abah dengan membuat kuih popia. Ya, kuih popia yang hanya berharga 10 sen dan 20 sen sebiji mengikut saiz, dibuat oleh Ummi dengan kudrat yang saya rasa jauh lebih mahal daripada itu. Hancur kulit tangan Ummi akibat terlalu banyak memotong ubi keledek yang akan dimasak untuk dijadikan inti popia. Saya masih ingat, setiap hari Khamis yang merupakan hari pasar malam diadakan di bandar Dungun, Ummi akan memborong beberapa kilo ubi keledek daripada seorang makcik untuk diproses menjadi inti popia. Selalunya proses itu akan dilakukan pada hari Jumaat sewaktu menonton filem Hindustan. Ya, dulu filem Hindustan memang ditayangkan pada hari Jumaat berbanding sekarang pada hari Sabtu. Hari Jumaat pula merupakan hari cuti bagi kami di sebelah Pantai Timur. 

Untuk kulit popia pula, Ummi bancuh sendiri adunan dan memasaknya pada setiap petang. Tidak terbayang bagaimana Ummi mampu berdiri berjam-jam dan berhadapan dengan bahang api untuk menyiapkannya. Kemudian Ummi akan memasukkan inti ke dalam kulit-kulit yang telah disediakan, menggulung dan menyimpannya di dalam peti sejuk sebelum digoreng. Saya mengaku pernah beberapa kali mencuri makan popia tersebut. Seawal jam 4 pagi pula, Ummi akan bangun untuk menggoreng popia tersebut sebelum dimasukkan ke dalam bekas yang akan dibawa oleh kami secara bergilir-gilir ke kantin sekolah. Pada waktu itu, makcik kami mendapat tender menguruskan kantin sekolah dan ia memberi peluang kepada Ummi untuk menghantar popia ke situ. Memang kami seronok menjalankan tugas membawa popia kerana Ummi akan memberi upah atas tugas yang telah kami jalankan. 

Usaha ini Ummi teruskan beberapa tahun sejak saya bersekolah rendah sehingga saya dewasa. Seingat saya, Ummi hanya berhenti membuatnya apabila saya memasuki sekolah menengah. Namun, selepas itu Ummi mengambil upah membuat nasi lemak pula atas permintaan cucu saudaranya yang melanjutkan pelajaran di UiTM Terengganu. Saya masih ingat setiap kali pulang ke kampung, kami akan membantu Ummi membungkus nasi lemak sebelum cucu saudara Ummi datang mengambilnya sekitar selepas waktu Maghrib. 

Abah pula lebih tegas dalam mendidik kami. Mungkin kerana Abah sendiri seorang guru. Namun saya masih ingat sisi lembut Abah sewaktu kami masih kecil. Sengaja saya tidur di ruang tamu agar Abah mendukung saya ke bilik tidur. Pada waktu malam pula, Abah akan bangun menjenguk keadaan kami jika digigit nyamuk kerana rumah lama kami tidak mempunyai kipas jauh sekali penghawa dingin. Jika hujan pula, air hujan akan menitis kerana atap rumah kami adalah diperbuat daripada susunan kepingan bata. Masih saya ingat apabila Abah mengejutkan saya yang terkencing malam agar bangun untuk menukar pakaian sedangkan saya sendiri tidak sedar keadaan itu. Apabila kami demam pula, Abah pasti tidak tidur lena menjaga kami.

Hafalan sifir pula adalah satu kewajipan buat kami. Habuan beberapa sen pasti akan diberikan oleh Abah kepada kami jika berjaya menghafal sifir. Untuk memudahkan kami mengenali huruf jawi, Abah menulis sendiri di atas kad manila dan ditampalkan di dinding rumah kayu kami. Abah juga tidak pernah kedekut jika kami meminta duit untuk membeli buku. 

Masih banyak lagi jasa-jasa Abah Ummi yang jika ingin ditulis pasti akan memakan masa yang panjang dan tidak mampu untuk disenaraikan kesemuanya. Yang nyata, mereka guru pertama saya sebelum hadir guru-guru lain yang turut memberi kesan dalam hidup ini. 

Atas jasa kalian, hanya doa yang mampu dipanjatkan agar Allah membalas dengan sewajarnya. 

No comments: