Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Wednesday, May 8, 2013

Mengundi dan Hari Lahir

Bismillahirrahmanirrahim...

4 Mei 2013 - Saya bertolak pada jam 8 pagi daripada teratak menuju ke Sungai Buloh untuk mengambil MakTeh dan berkonvoi bersama BaYu untuk pulang ke kampung. Seperti dijangka, trafik agak sesak namun masih boleh diterima berbanding pada malam tadi. Khabar daripada teman-teman yang tersangkut di dalam kesesakan pada malam tadi membuatkan saya rasa syukur kerana mengubah hasrat untuk pulang ke kampung kepada hari Sabtu. Kesesakan berlarutan sepanjang lebuhraya Karak menyebabkan perjalanan kami memakan masa lebih panjang daripada biasa. Suasananya memang macam balik berhari raya. 

Selepas 2 kali berhenti iaitu di Kuantan untuk makan tengahari dan di Cherating untuk solat jamak, kami akhirnya tiba di kampung halaman pada jam 6 petang. Abang-abang sudah ada yang tiba lebih awal daripada kami. 

Menghangatkan lagi suasana, Ummi memasak nasi dagang sebagai hidangan utama. Aduhai, memang soal diet tiada lagi dalam senarai setiap kali berada di kampung halaman.

5 Mei 2013 - Hari yang ditunggu tiba dan itu pun tujuan sebenar kami pulang iaitu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Pada mulanya, kami ke pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan Sura Dungun pada jam 10 pagi tetapi apabila melihat jumlah pengundi yang terlalu ramai dan kami tidak sanggup menunggu lama di dalam suasana panas, kami menunda hasrat untuk mengundi kepada waktu petang. Sementara itu, kami singgah di rumah ibu saudara untuk bertanya khabar saudara-mara. Memang macam raya. 

Akhirnya, kami ke sana sekali lagi selepas makan tengahari. Nampaknya suasana sudah agak reda dan kami tidak perlu beratur panjang untuk mengundi. Kali ini, saya mengundi di saluran 4 dan ini merupakan kali ketiga saya mengundi. 




Lucunya, sewaktu saya ingin memasuki barisan, saya menegur seorang wanita yang bersandar pada pintu kelas. Bimbang jika saya memotong barisan pengundi lain, dengan hormat saya bertanya kepada wanita itu,

"Assalamualaikum, awak sedang beratur ke?"

Wanita itu memandang saya sambil berkata,

"Karimah kan?" Begitu yakin wanita itu menyebut nama saya.

Saya terdiam seketika sebelum nama wanita itu menjelma di ingatan. 

"Subhanallah, Jamaliah kan?"

Saya sungguh gembira bertemu teman persekolahan malah di sekolah inilah kami sama-sama menghabiskan zaman sekolah rendah. Lebih ironi, kami mengundi di kelas yang merupakan salah satu kelas kami dahulu.

Kata Jamaliah, wajah saya tidak jauh berubah sejak dari dulu. Memang ramai juga kawan-kawan yang berkata begitu tapi saya sendiri kurang pasti. Yelah, wajah sendiri kan, mana nak perasan sangat. Hakikatnya, wajah Jamaliah juga tidak jauh berubah, masih cantik seperti dulu :)

Sempat juga kami berbual-bual bertanya khabar sementara menunggu giliran untuk mengundi. Rasanya sudah berbelas-belas tahun kami tidak bersua malah saya sudah lupa bila kali terakhir kami berjumpa.



Antara tujuan lain kepulangan kami pada kali ini adalah untuk meraikan hari lahir Ummi yang jatuh pada 3 Mei (59 tahun) dan hari lahir Adam yang jatuh pada 6 Mei (8 tahun). Atas faktor kekangan masa, hari lahir mereka terpaksa diraikan pada hari ini. Awal-awal lagi saya sudah menempah sate kegemaran di Pantai Teluk Lipat di samping hidangan lain termasuk subjek utama iaitu kek. 

Turut memeriahkan suasana majlis yang diadakan selepas waktu Isyak adalah saudara-mara terdekat. Seronok rasanya apabila sekali sekala dapat berkumpul bersama mereka dan mendengar pelbagai cerita. Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri sehingga terlupa akan kehadiran mereka. 







Usai makan-makan, kami berkumpul di hadapan TV untuk menunggu keputusan pilihanraya. Ia memang satu penantian yang cukup mendebarkan dan kami menunggu sehingga jam 3 pagi. 

6 Mei 2013 - Akhirnya, kami perlu kembali ke KL untuk meneruskan tanggungjawab yang belum selesai. Saya sendiri masih berdebar-debar kerana tesis yang masih belum disempurnakan sedang tarikh penghantaran semakin hampir. 

Hati memang sangat berat untuk pulang kerana masih belum puas bergomol dengan budak-budak kecil kesayangan tetapi kehidupan perlu diteruskan. Kami bertolak pada jam 3.30 petang daripada kampung halaman dan memilih untuk melalui jalan belakang daripada Dungun ke Kemaman bagi mengelakkan kesesakan terutama di jambatan Kuang yang masih dalam pembinaan. Saya percaya masih ramai yang memilih untuk bertolak pulang ke KL pada hari ini meskipun hanya negeri Selangor dan Pulau Pinang yang mengumumkan cuti pada hari ini. Telahan kami benar kerana didapati R&R sepanjang LPT dipenuhi dengan kenderaan. 



Sebaik memasuki lebuhraya Karak, kami menerima laporan trafik tentang kemalangan yang berlaku di Genting Sempah menyebabkan kesesakan teruk. Aduhai, jenuh juga melayan kesesakan di samping menyampah dengan sikap pemandu-pemandu yang suka menyusahkan pemandu-pemandu lain dengan menggunakan laluan kecemasan. Satu sikap yang memang saya sendiri tidak faham kerana ia menyusahkan orang lain dan menambahkan lagi kesesakan terutama apabila laluan kecemasan berakhir dan mereka berebut untuk memasuki laluan biasa. 

Dalam perjalanan, kami singgah di Hentian Masjid Lentang untuk menunaikan solat jamak dan melepaskan lelah meredah kesesakan. Pemanduan menjadi lebih mencabar apabila hujan lebat sepanjang perjalanan sejak dari lebuhraya LPT lagi malah berterusan sehingga kami tiba di Tol Gombak.


Alhamdulillah, akhirnya kami tiba di Gombak sekitar jam 9.30 malam dan sebelum pulang kami sempat singgah untuk makan malam di restoran kegemaran kami iaitu Pak Tam Corner. Setakat ini servis dan kualiti masakan mereka tidak pernah mengecewakan kami malah harganya juga berpatutan. 

Kini masa untuk kembali fokus kepada tugasan yang masih belum selesai.

No comments: