Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, May 3, 2013

Bila BaMa Sakit

Bismillahirrahmanirrahim...

19 April 2013 (Ahad) - BaMa, abang sulung saya yang tinggal di Rawang, Selangor. Kecoh sekejap apabila mendapat khabar yang BaMa sakit teruk. Hasrat untuk fokus kepada tesis terpaksa saya ketepikan buat seketika apabila mendapat khabar itu. Entah apa sakit sebenar yang dihidapi saya sendiri kurang pasti tetapi apabila sudah sampai kepada tahap menelefon Abah Ummi di kampung memohon dihalalkan makan minum, sudah tentulah saya kira ia sesuatu yang serius. Lalu saya dan adik-adik berpakat untuk menjenguk BaMa. Saya bertolak daripada teratak sekitar jam 3 petang dan singgah pula di Sungai Buloh untuk menjemput MakTeh dan AyahChik yang menaiki kereta saya. PakSoo pula menaiki kereta sendiri dan datang daripada arah Gombak. Kami berjanji untuk bertemu di Rawang.
 
Tiba di rumah BaMa, memang didapati BaMa demam teruk. Jangkaan kami mungkin BaMa terkena demam denggi tetapi apabila adik ipar (doktor) menganalisa ujian darah, didapati ia bukan denggi. Apa yang dikesali adalah apabila mendapat tahu yang BaMa hanya ke klinik swasta sahaja dan bukannya ke klinik/hospital kerajaan atas alasannya yang tersendiri. Lalu tanpa banyak soal, kami membuat keputusan untuk membawa BaMa ke Hospital Sungai Buloh. Tiba di sana, kami terus ke unit kecemasan atau lebih tepat bilik dekontaminasi. Di saat-saat begini, mempunyai ahli keluarga yang bertugas sebagai doktor memang sangat membantu. Bukan pula bermaksud kami memotong giliran malah terpaksa menunggu hampir 1 jam untuk mendapatkan rawatan tetapi tahap keyakinan itu lebih tinggi apabila keputusan yang diperoleh disahkan oleh ahli keluarga sendiri.
 
Akif dan ayahnya yang sakit
 
Bilik dekontaminasi katanya, saya agak maksudnya saringan

Izzani lena sementara menunggu AyahLong mendapatkan rawatan
BaMa ditemani adik ipar mendapatkan rawatan

Sedar tak sedar hampir 3 jam kami berkampung di situ sementara menunggu BaMa mendapatkan rawatan. Oleh kerana tiada katil kosong, kami diminta untuk pulang dahulu. Aduhai, ini tidak boleh jadi. Perkara ini harus diselesaikan juga pada malam ini. Selepas berbincang dengan adik-adik, saya veto untuk membawa BaMa ke hospital swasta. Saya terpaksa berbuat demikian kerana pada mulanya BaMa enggan untuk dimasukkan air. Pengalaman saya berhadapan dengan situasi MakTeh yang demam panas pada malam sebelum Raya Haji membuatkan saya nekad yang itu juga jalan penyelesaiannya buat BaMa. Lebih meyakinkan saya apabila ia disokong oleh adik ipar malah dia menolong mendapatkan keputusan ujian darah yang telah dijalankan sebentar tadi untuk dibawa bersama ke hospital swasta.



BaYu yang mempunyai pengalaman berurusan di Putra Medical Center, Sungai Buloh membawa kami ke situ dan segala urusan kemasukan dibantu oleh adik ipar. Urusan pengangkutan membawa BaMa pula diuruskan oleh PakSoo. Sementara menunggu proses pendaftaran dan rawatan selesai, kami mengambil peluang untuk menunaikan solat di situ malah Izzani dan Qaisara juga terpaksa mandi di situ. Usai solat, kami dapati BaMa sudah diberikan rawatan untuk memasukkan air lalu kami sepakat untuk ke restoran berdekatan kerana msing-masing sudah kelaparan.
 
Qaisara dan Izzani

Akhirnya, selepas dimasukkan 2 botol air, BaMa sudah kembali pulih dan tidak lagi seperti sebelumnya. Pun begitu, dia masih memerlukan rehat yang panjang sebelum kembali pulih seperti sedia kala.
 
Elok sahaja kami ingin beredar daripada restoran, panggilan daripada Abah memasuki telefon saya. Hati saya memang sudah menjangka yang Abah akan bertindak sedemikian. Tekaan saya tepat. Abah sudah menghampiri Tol Gombak dan bertanyakan lokasi kami. Begitulah kasih ibu dan bapa. Walau diri sendiri tidak berapa sihat, demi anak digagahkan juga untuk memandu datang ke KL.

Qaisara tolong order makanan untuk kami :)

Kami kemudian terpaksa menjemput Abah Ummi di sekitar Bandar Manjalara kerana Abah tersilap memasuki lorong. Waktu itu jam sudah menghampiri jam 10 malam. Dari situ, kami berpecah dengan saya, PakSoo, MakTeh dan BaMa kembali ke Rawang sementara BaYu membawa Abah Ummi pulang ke rumahnya di Sungai Buloh. Kami perlu segera kembali ke Rawang kerana perlu menghantar anak BaMa kembali ke asrama yang terletak di Slim River. Kereta saya terpaksa diparkirkan di rumah BaMa kerana akan menaiki kereta PakSoo sahaja untuk ke Slim River. Kami tiba di Slim River pada jam 12 tengah malam dan terus kembali ke Rawang pula untuk mengambil kereta saya. Akhirnya, kami tiba di Sungai Buloh pada jam 2 pagi. Satu perjalanan yang cukup meletihkan namun kami tiada pilihan.
 
Satu perkara yang jelas buat saya adalah peranan dan penglibatan ahli keluarga apabila salah seorang ahli keluarga jatuh sakit. Kadang-kadang sakit ini bukan soal fizikal sahaja tetapi ia lebih kepada emosi. Bayangkan jika sebelum kedatangan kami, BaMa enggan ke hospital meskipun diajak oleh isteri sendiri tetapi menurut sahaja apabila diajak oleh kami. Di situ saya nampak pentingnya menjaga hubungan adik-beradik meskipun masing-masing telah mempunyai keluarga sendiri kerana hubungan darah tidak akan putus sampai bila-bila. Mungkin hati pernah terluka, dilukai dan melukai tetapi apabila mendapat khabar saudara sendiri ditimpa musibah, tiada hati yang tidak akan tersentuh dan sanggup membiarkannya begitu sahaja. Justeru, peliharalah hubungan itu di waktu kita sihat agar apabila kita sakit kelak, sokongan dan bantuan ahli keluarga itulah yang sebenarnya akan menyembuhkan kita.
 
Wallahua'lam.

No comments: