Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Thursday, May 2, 2013

Bengkel SEM

Bismillahirrahmanirrahim...

27 & 28 April 2013 (Sabtu&Ahad) - Seawal jam 7 pagi saya sudah bertolak ke Wisma R&D, Universiti Malaya yang terletak bersebelahan Menara Telekom. Agak menghairankan juga apabila saya tidak pernah mengetahui kewujudan tempat tersebut sepanjang 2 tahun mengikuti pengajian di Pusat Matrikulasi UIA, Lembah Pantai sebelum ini. Namun kehairanan saya terjawab apabila mendapat tahu yang tempat tersebut diduduki oleh Telekom sebelum diambilalih oleh pihak UM (saya tidak pasti sama ada pihak UM membeli atau menyewanya daripada pihak Telekom). Memang mustahil saya tidak perasan tempat tersebut kerana di situlah kami akan turun daripada bas setiap kali pulang daripada pusat bandaraya dengan menaiki bas Metro bernombor 12.

Tujuan saya ke situ sebenarnya adalah untuk mengikuti bengkel Structural Equation Modelling atau ringkasnya SEM yang dianjurkan oleh Malaysian Postgraduate Workshop Series (MPWS). Saya mengambil keputusan untuk mengikut bengkel ini selepas mendapati saya memerlukannya untuk menyempurnakan tesis. Sedikit sesalan bersarang di hati kerana saya sepatutnya mengikuti bengkel ini lebih awal lagi dan bukannya apabila sudah berada di penghujung pengajian. Apapun, saya yakin pasti ada hikmah dan pengajaran di sebalik semua ini sebagai panduan pada masa hadapan. Siapa tahu saya memerlukannya untuk pengajian di peringkat PhD pula :)
 
Hampir 30 orang peserta menyertai bengkel ini yang rata-rata terdiri daripada pelajar PhD dan mempunyai profesion sebagai pensyarah. Hanya 3 orang termasuk saya sahaja merupakan pelajar Master. Saya tidak kisah dengan situasi itu malah jadi lebih bersemangat apabila bergandingan dengan mereka yang turut membakar semangat saya untuk menyempurnakan pengajian sehingga ke peringkat PhD juga.
 
Instruktor bagi bengkel ini adalah Dr. Zainuddin bin Awang, pensyarah daripada UiTM Kelantan. Saya puji cara pengajaran beliau yang mudah difahami dan sistematik dengan merujuk kepada buku tulisan beliau sendiri. Sungguh, tidak rugi saya melabur sebanyak RM300 untuk menyertai bengkel ini. Bengkel diadakan di dalam makmal komputer yang dilengkapi dengan kemudahan secukupnya.
 





Bengkel berlangsung sehingga jam 5 petang dan diteruskan pula sehingga esok untuk tempoh waktu yang sama. Mujur juga yuran penyertaan adalah termasuk kos makan minum menyebabkan kami tidak perlu tergesa-gesa untuk mencari tempat makan pula. Di samping mendapat ilmu baru, satu perkara yang paling saya gemari adalah dapat mengenali kawan baru. Kali ini saya berkenalan dengan 4 orang kawan baru yang bertugas di TATI, UTHOM, UiTM Melaka dan UiTM Shah Alam. Memang agak mustahil untuk mengenali kesemua peserta kerana ruang waktu yang agak terbatas.
 







 
 
Bengkel kami berakhir pada hari Ahad dengan pengalaman dan pengisian yang saya rasakan cukup berbaloi dan bermanfaat untuk diaplikasikan dalam tesis saya. Terima kasih Dr. Zai atas perkongsian ilmu yang cukup berguna dan santai.


No comments: