Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Tuesday, May 21, 2013

Mamai

Bismillahirrahmanirrahim...

Mamai. 
Mengantuk. 
Belum tidur sejak semalam. 
Bersengkang mata demi tesis yang semakin menghampiri minit-minit akhir.
Makin mencecah garisan penamat, makin berat langkah untuk menghabiskannya.
Motivasi terkini adalah kembara bersama keluarga iaitu 2 hari selepas viva pada awal bulan Jun.
Ayuh tabahkanlah hatimu wahai Karimah!
Agi idup agi ngelaban!

Catatan si mamai.

Friday, May 17, 2013

Selamat Hari Guru

Bismillahirrahmanirrahim...

16 Mei. Tarikh keramat buat seorang yang bergelar guru pada setiap tahun. Hari para guru diraikan atas segala pengorbanan yang telah dicurahkan dalam mendidik anak bangsa. Tugas guru tidak dinafikan sungguh mulia malah saya juga dibesarkan oleh seorang guru dan kini ada beberapa orang ahli keluarga yang turut menyandang jawatan sebagai guru. 

Meskipun saya tahu bekas guru-guru saya tidak akan membaca catatan saya ini, saya tetap ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih saya kepada mereka atas segala ilmu yang telah dicurahkan. Saya sedar tanpa jasa dan pengorbanan mereka mendidik kami anak bangsa, sudah pasti kami tidak akan berada pada kedudukan sekarang.

Saya mula mengenali pendidikan formal hanya apabila memasuki sekolah rendah di usia 7 tahun. Ya, saya tidak pernah melalui alam pra-sekolah. Baiklah, saya mengaku sebenarnya pernah tetapi hanya 2 minggu dan ia langsung tidak berbekas di hati saya kerana sepanjang tempoh itu saya hanya mengalirkan mata sahaja. Saya sendiri sudah lupa sebab saya begitu sedih dan tidak dapat menghabiskan zaman pra-sekolah sehingga akhirnya memaksa Abah untuk terus memberhentikan saya. 

Namun, pemberhentian saya tidak bermakna proses pembelajaran saya juga terhenti. Dialah guru pertama saya yang mengajar saya mengenal abjad sama ada rumi atau jawi, tidak jemu-jemu melayan pertanyaan saya yang tahu mengeja tetapi tidak tahu sebutan perkataannya. Malah pertanyaan yang berulang kali sama itu tidak pernah diendahkan oleh Ummi, guru pertama saya. Guru yang hanya lulus setakat SRP sahaja tetapi punya cita-cita besar untuk anak-anaknya. Ummi bukan tidak pandai tetapi desakan kewangan dan keluarga yang pada masa itu masih terbelenggu dengan persepsi anak perempuan tidak perlu berpendidikan tinggi memaksa Ummi dihalang daripada meneruskan persekolahan. Dek kesabaran Ummi, saya sudah mampu membaca tulisan rumi dan jawi di usia 6 tahun. 

Apabila kami adik-beradik semakin membesar dan keperluan kewangan semakin meruncing, Ummi berkorban membantu meringankan beban Abah dengan membuat kuih popia. Ya, kuih popia yang hanya berharga 10 sen dan 20 sen sebiji mengikut saiz, dibuat oleh Ummi dengan kudrat yang saya rasa jauh lebih mahal daripada itu. Hancur kulit tangan Ummi akibat terlalu banyak memotong ubi keledek yang akan dimasak untuk dijadikan inti popia. Saya masih ingat, setiap hari Khamis yang merupakan hari pasar malam diadakan di bandar Dungun, Ummi akan memborong beberapa kilo ubi keledek daripada seorang makcik untuk diproses menjadi inti popia. Selalunya proses itu akan dilakukan pada hari Jumaat sewaktu menonton filem Hindustan. Ya, dulu filem Hindustan memang ditayangkan pada hari Jumaat berbanding sekarang pada hari Sabtu. Hari Jumaat pula merupakan hari cuti bagi kami di sebelah Pantai Timur. 

Untuk kulit popia pula, Ummi bancuh sendiri adunan dan memasaknya pada setiap petang. Tidak terbayang bagaimana Ummi mampu berdiri berjam-jam dan berhadapan dengan bahang api untuk menyiapkannya. Kemudian Ummi akan memasukkan inti ke dalam kulit-kulit yang telah disediakan, menggulung dan menyimpannya di dalam peti sejuk sebelum digoreng. Saya mengaku pernah beberapa kali mencuri makan popia tersebut. Seawal jam 4 pagi pula, Ummi akan bangun untuk menggoreng popia tersebut sebelum dimasukkan ke dalam bekas yang akan dibawa oleh kami secara bergilir-gilir ke kantin sekolah. Pada waktu itu, makcik kami mendapat tender menguruskan kantin sekolah dan ia memberi peluang kepada Ummi untuk menghantar popia ke situ. Memang kami seronok menjalankan tugas membawa popia kerana Ummi akan memberi upah atas tugas yang telah kami jalankan. 

Usaha ini Ummi teruskan beberapa tahun sejak saya bersekolah rendah sehingga saya dewasa. Seingat saya, Ummi hanya berhenti membuatnya apabila saya memasuki sekolah menengah. Namun, selepas itu Ummi mengambil upah membuat nasi lemak pula atas permintaan cucu saudaranya yang melanjutkan pelajaran di UiTM Terengganu. Saya masih ingat setiap kali pulang ke kampung, kami akan membantu Ummi membungkus nasi lemak sebelum cucu saudara Ummi datang mengambilnya sekitar selepas waktu Maghrib. 

Abah pula lebih tegas dalam mendidik kami. Mungkin kerana Abah sendiri seorang guru. Namun saya masih ingat sisi lembut Abah sewaktu kami masih kecil. Sengaja saya tidur di ruang tamu agar Abah mendukung saya ke bilik tidur. Pada waktu malam pula, Abah akan bangun menjenguk keadaan kami jika digigit nyamuk kerana rumah lama kami tidak mempunyai kipas jauh sekali penghawa dingin. Jika hujan pula, air hujan akan menitis kerana atap rumah kami adalah diperbuat daripada susunan kepingan bata. Masih saya ingat apabila Abah mengejutkan saya yang terkencing malam agar bangun untuk menukar pakaian sedangkan saya sendiri tidak sedar keadaan itu. Apabila kami demam pula, Abah pasti tidak tidur lena menjaga kami.

Hafalan sifir pula adalah satu kewajipan buat kami. Habuan beberapa sen pasti akan diberikan oleh Abah kepada kami jika berjaya menghafal sifir. Untuk memudahkan kami mengenali huruf jawi, Abah menulis sendiri di atas kad manila dan ditampalkan di dinding rumah kayu kami. Abah juga tidak pernah kedekut jika kami meminta duit untuk membeli buku. 

Masih banyak lagi jasa-jasa Abah Ummi yang jika ingin ditulis pasti akan memakan masa yang panjang dan tidak mampu untuk disenaraikan kesemuanya. Yang nyata, mereka guru pertama saya sebelum hadir guru-guru lain yang turut memberi kesan dalam hidup ini. 

Atas jasa kalian, hanya doa yang mampu dipanjatkan agar Allah membalas dengan sewajarnya. 

Wednesday, May 8, 2013

Mengundi dan Hari Lahir

Bismillahirrahmanirrahim...

4 Mei 2013 - Saya bertolak pada jam 8 pagi daripada teratak menuju ke Sungai Buloh untuk mengambil MakTeh dan berkonvoi bersama BaYu untuk pulang ke kampung. Seperti dijangka, trafik agak sesak namun masih boleh diterima berbanding pada malam tadi. Khabar daripada teman-teman yang tersangkut di dalam kesesakan pada malam tadi membuatkan saya rasa syukur kerana mengubah hasrat untuk pulang ke kampung kepada hari Sabtu. Kesesakan berlarutan sepanjang lebuhraya Karak menyebabkan perjalanan kami memakan masa lebih panjang daripada biasa. Suasananya memang macam balik berhari raya. 

Selepas 2 kali berhenti iaitu di Kuantan untuk makan tengahari dan di Cherating untuk solat jamak, kami akhirnya tiba di kampung halaman pada jam 6 petang. Abang-abang sudah ada yang tiba lebih awal daripada kami. 

Menghangatkan lagi suasana, Ummi memasak nasi dagang sebagai hidangan utama. Aduhai, memang soal diet tiada lagi dalam senarai setiap kali berada di kampung halaman.

5 Mei 2013 - Hari yang ditunggu tiba dan itu pun tujuan sebenar kami pulang iaitu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Pada mulanya, kami ke pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan Sura Dungun pada jam 10 pagi tetapi apabila melihat jumlah pengundi yang terlalu ramai dan kami tidak sanggup menunggu lama di dalam suasana panas, kami menunda hasrat untuk mengundi kepada waktu petang. Sementara itu, kami singgah di rumah ibu saudara untuk bertanya khabar saudara-mara. Memang macam raya. 

Akhirnya, kami ke sana sekali lagi selepas makan tengahari. Nampaknya suasana sudah agak reda dan kami tidak perlu beratur panjang untuk mengundi. Kali ini, saya mengundi di saluran 4 dan ini merupakan kali ketiga saya mengundi. 




Lucunya, sewaktu saya ingin memasuki barisan, saya menegur seorang wanita yang bersandar pada pintu kelas. Bimbang jika saya memotong barisan pengundi lain, dengan hormat saya bertanya kepada wanita itu,

"Assalamualaikum, awak sedang beratur ke?"

Wanita itu memandang saya sambil berkata,

"Karimah kan?" Begitu yakin wanita itu menyebut nama saya.

Saya terdiam seketika sebelum nama wanita itu menjelma di ingatan. 

"Subhanallah, Jamaliah kan?"

Saya sungguh gembira bertemu teman persekolahan malah di sekolah inilah kami sama-sama menghabiskan zaman sekolah rendah. Lebih ironi, kami mengundi di kelas yang merupakan salah satu kelas kami dahulu.

Kata Jamaliah, wajah saya tidak jauh berubah sejak dari dulu. Memang ramai juga kawan-kawan yang berkata begitu tapi saya sendiri kurang pasti. Yelah, wajah sendiri kan, mana nak perasan sangat. Hakikatnya, wajah Jamaliah juga tidak jauh berubah, masih cantik seperti dulu :)

Sempat juga kami berbual-bual bertanya khabar sementara menunggu giliran untuk mengundi. Rasanya sudah berbelas-belas tahun kami tidak bersua malah saya sudah lupa bila kali terakhir kami berjumpa.



Antara tujuan lain kepulangan kami pada kali ini adalah untuk meraikan hari lahir Ummi yang jatuh pada 3 Mei (59 tahun) dan hari lahir Adam yang jatuh pada 6 Mei (8 tahun). Atas faktor kekangan masa, hari lahir mereka terpaksa diraikan pada hari ini. Awal-awal lagi saya sudah menempah sate kegemaran di Pantai Teluk Lipat di samping hidangan lain termasuk subjek utama iaitu kek. 

Turut memeriahkan suasana majlis yang diadakan selepas waktu Isyak adalah saudara-mara terdekat. Seronok rasanya apabila sekali sekala dapat berkumpul bersama mereka dan mendengar pelbagai cerita. Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri sehingga terlupa akan kehadiran mereka. 







Usai makan-makan, kami berkumpul di hadapan TV untuk menunggu keputusan pilihanraya. Ia memang satu penantian yang cukup mendebarkan dan kami menunggu sehingga jam 3 pagi. 

6 Mei 2013 - Akhirnya, kami perlu kembali ke KL untuk meneruskan tanggungjawab yang belum selesai. Saya sendiri masih berdebar-debar kerana tesis yang masih belum disempurnakan sedang tarikh penghantaran semakin hampir. 

Hati memang sangat berat untuk pulang kerana masih belum puas bergomol dengan budak-budak kecil kesayangan tetapi kehidupan perlu diteruskan. Kami bertolak pada jam 3.30 petang daripada kampung halaman dan memilih untuk melalui jalan belakang daripada Dungun ke Kemaman bagi mengelakkan kesesakan terutama di jambatan Kuang yang masih dalam pembinaan. Saya percaya masih ramai yang memilih untuk bertolak pulang ke KL pada hari ini meskipun hanya negeri Selangor dan Pulau Pinang yang mengumumkan cuti pada hari ini. Telahan kami benar kerana didapati R&R sepanjang LPT dipenuhi dengan kenderaan. 



Sebaik memasuki lebuhraya Karak, kami menerima laporan trafik tentang kemalangan yang berlaku di Genting Sempah menyebabkan kesesakan teruk. Aduhai, jenuh juga melayan kesesakan di samping menyampah dengan sikap pemandu-pemandu yang suka menyusahkan pemandu-pemandu lain dengan menggunakan laluan kecemasan. Satu sikap yang memang saya sendiri tidak faham kerana ia menyusahkan orang lain dan menambahkan lagi kesesakan terutama apabila laluan kecemasan berakhir dan mereka berebut untuk memasuki laluan biasa. 

Dalam perjalanan, kami singgah di Hentian Masjid Lentang untuk menunaikan solat jamak dan melepaskan lelah meredah kesesakan. Pemanduan menjadi lebih mencabar apabila hujan lebat sepanjang perjalanan sejak dari lebuhraya LPT lagi malah berterusan sehingga kami tiba di Tol Gombak.


Alhamdulillah, akhirnya kami tiba di Gombak sekitar jam 9.30 malam dan sebelum pulang kami sempat singgah untuk makan malam di restoran kegemaran kami iaitu Pak Tam Corner. Setakat ini servis dan kualiti masakan mereka tidak pernah mengecewakan kami malah harganya juga berpatutan. 

Kini masa untuk kembali fokus kepada tugasan yang masih belum selesai.

Saturday, May 4, 2013

Hadiah Hari Lahir Ummi

Bismillahirrahmanirrahim...

3 Mei 2013 - Antara tarikh penting dalam hidup saya kerana ia adalah ulangtahun kelahiran Ummi. Tahun ini Ummi genap berusia 59 tahun. Saya hanya mengucapkannya kepada Ummi melalui WeChat sahaja pada pagi tadi.

Sebagai tanda syukur, sudah tentu saya ingin menghadiahkan sesuatu kepada Ummi tetapi seperti biasa, buntu memikirkan hadiah yang sesuai.

Mujur saya teringat perbualan bersama Ummi sebelum ini yang meluahkan keletihan menggosok pakaian Abah terutama jubah menggunakan seterika. Lalu saya putuskan untuk membeli garment steamer buat kegunaan Ummi. Oleh kerana kekangan waktu, saya hanya membelinya melalui laman web lazada sahaja dan penghantaran dibuat terus kepada Ummi. Semakan saya di sistem mereka sebentar tadi, tempahan sedang dalam proses dihantar ke Dungun dan saya jangka edaran akan dibuat esok. Saya harap hadiah tersebut akan tiba sebelum ketibaan saya ke kampung. Barulah seronok dan saya harap Ummi akan suka pilihan hadiah itu.





Seketika Bersama Dzaafir

Bismillahirrahmanirrahim...

3 Mei 2013 - Saya sepatutnya bertolak pulang ke kampung pada hari ini tetapi terpaksa menundanya kepada pagi esok. Alasan? Risau kerana urusan tesis yang masih belum selesai di samping ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan pada hari ini. Lagi pula saya menjangka keadaan trafik pasti agak sesak kerana ramai yang akan berpusu-pusu pulang ke kampung untuk mengundi.

Usai urusan di Bangi dan Putrajaya, saya hubungi sahabat baik, Arab. Sudah agak lama juga kami tidak keluar bersama terutama apabila masing-masing sibuk dengan urusan tesis. Lalu kami putuskan untuk keluar makan tengahari di Jusco Seri Kembangan. Saya menjemput Arab dan anak keduanya, Dzaafir yang berusia 7 bulan di rumah Arab di Seri kembangan sebelum menuju ke Jusco.

Saya memang sukakan kanak-kanak. Justeru kehadiran Dzaafir sememangnya tidak menjadi masalah buat saya malah keletahnya cukup menghiburkan hati saya. Lebih seronok apabila Dzaafir tidak takut dengan saya dan boleh bergelak ketawa apabila diacah. Lagilah saya suka. Teringat keletah anak-anak saudara saya yang begitu galak apabila diusik.

Saya ralit mendukung Dzaafir apabila kami membeli-belah di dalam Jusco sehingga tiba masa untuk kami pulang. Tidak terasa masa berlalu apabila bersama orang-orang yang kita sayangi. Jika diikutkan hati, ingin sekali saya meluangkan masa lebih lama tetapi apabila mengenangkan yang masih ada beberapa perkara yang perlu dibereskan sebelum pulang ke kampung, saya beransur pulang usai menunaikan solat Zuhur di rumah Arab.

Sampai kita berjumpa lagi di suatu ketika yang lain, insyaAllah.


Friday, May 3, 2013

Demi Tesis

Bismillahirrahmanirrahim...

29 April 2013 (Isnin) - Saya nekad ke kedai perabut yang terletak di Serdang untuk membeli kerusi belajar baru. Manakan tidaknya, kerusi lama sudah semakin tidak selesa untuk diduduki bagi tempoh yang lama terutama dalam keadaan sekarang yang memerlukan saya untuk duduk berjam-jam menyiapkan tesis. Pada saya, berbaloi membelinya pada harga RM79 kerana sebelum ini saya pernah melihat-lihat di kedai perabut lain termasuk di IKEA dan harga yang ditawarkan untuk model yang sama adalah RM100++. Apabila mendapat harga yang saya rasakan berpatutan, tanpa banyak soal saya terus bersetuju dan membayarnya. Kini saya akur bahawa faktor ergonomik adalah sangat penting untuk tugasan yang memerlukan seseorang untuk duduk berjam-jam menyiapkan tugasan. Jika dulu saya mungkin tidak berapa endah dengan keperluan kerusi ergonomik di rumah kerana jarang perlu duduk dalam tempoh yang lama. Tambahan pula kerusi yang disediakan di pejabat sememangnya selesa membuatkan saya tidak nampak keperluan untuk membeli kerusi baru.
 
Yang baru (kiri) dan yang lama (kanan)

Harap-harap saya akan lebih bersemangat untuk menyiapkan tesis yang perlu dihantar pada 23 Mei ini. Oh, air sudah berada di paras leher dan setiap saat adalah sangat berharga.
 


Bila BaMa Sakit

Bismillahirrahmanirrahim...

19 April 2013 (Ahad) - BaMa, abang sulung saya yang tinggal di Rawang, Selangor. Kecoh sekejap apabila mendapat khabar yang BaMa sakit teruk. Hasrat untuk fokus kepada tesis terpaksa saya ketepikan buat seketika apabila mendapat khabar itu. Entah apa sakit sebenar yang dihidapi saya sendiri kurang pasti tetapi apabila sudah sampai kepada tahap menelefon Abah Ummi di kampung memohon dihalalkan makan minum, sudah tentulah saya kira ia sesuatu yang serius. Lalu saya dan adik-adik berpakat untuk menjenguk BaMa. Saya bertolak daripada teratak sekitar jam 3 petang dan singgah pula di Sungai Buloh untuk menjemput MakTeh dan AyahChik yang menaiki kereta saya. PakSoo pula menaiki kereta sendiri dan datang daripada arah Gombak. Kami berjanji untuk bertemu di Rawang.
 
Tiba di rumah BaMa, memang didapati BaMa demam teruk. Jangkaan kami mungkin BaMa terkena demam denggi tetapi apabila adik ipar (doktor) menganalisa ujian darah, didapati ia bukan denggi. Apa yang dikesali adalah apabila mendapat tahu yang BaMa hanya ke klinik swasta sahaja dan bukannya ke klinik/hospital kerajaan atas alasannya yang tersendiri. Lalu tanpa banyak soal, kami membuat keputusan untuk membawa BaMa ke Hospital Sungai Buloh. Tiba di sana, kami terus ke unit kecemasan atau lebih tepat bilik dekontaminasi. Di saat-saat begini, mempunyai ahli keluarga yang bertugas sebagai doktor memang sangat membantu. Bukan pula bermaksud kami memotong giliran malah terpaksa menunggu hampir 1 jam untuk mendapatkan rawatan tetapi tahap keyakinan itu lebih tinggi apabila keputusan yang diperoleh disahkan oleh ahli keluarga sendiri.
 
Akif dan ayahnya yang sakit
 
Bilik dekontaminasi katanya, saya agak maksudnya saringan

Izzani lena sementara menunggu AyahLong mendapatkan rawatan
BaMa ditemani adik ipar mendapatkan rawatan

Sedar tak sedar hampir 3 jam kami berkampung di situ sementara menunggu BaMa mendapatkan rawatan. Oleh kerana tiada katil kosong, kami diminta untuk pulang dahulu. Aduhai, ini tidak boleh jadi. Perkara ini harus diselesaikan juga pada malam ini. Selepas berbincang dengan adik-adik, saya veto untuk membawa BaMa ke hospital swasta. Saya terpaksa berbuat demikian kerana pada mulanya BaMa enggan untuk dimasukkan air. Pengalaman saya berhadapan dengan situasi MakTeh yang demam panas pada malam sebelum Raya Haji membuatkan saya nekad yang itu juga jalan penyelesaiannya buat BaMa. Lebih meyakinkan saya apabila ia disokong oleh adik ipar malah dia menolong mendapatkan keputusan ujian darah yang telah dijalankan sebentar tadi untuk dibawa bersama ke hospital swasta.



BaYu yang mempunyai pengalaman berurusan di Putra Medical Center, Sungai Buloh membawa kami ke situ dan segala urusan kemasukan dibantu oleh adik ipar. Urusan pengangkutan membawa BaMa pula diuruskan oleh PakSoo. Sementara menunggu proses pendaftaran dan rawatan selesai, kami mengambil peluang untuk menunaikan solat di situ malah Izzani dan Qaisara juga terpaksa mandi di situ. Usai solat, kami dapati BaMa sudah diberikan rawatan untuk memasukkan air lalu kami sepakat untuk ke restoran berdekatan kerana msing-masing sudah kelaparan.
 
Qaisara dan Izzani

Akhirnya, selepas dimasukkan 2 botol air, BaMa sudah kembali pulih dan tidak lagi seperti sebelumnya. Pun begitu, dia masih memerlukan rehat yang panjang sebelum kembali pulih seperti sedia kala.
 
Elok sahaja kami ingin beredar daripada restoran, panggilan daripada Abah memasuki telefon saya. Hati saya memang sudah menjangka yang Abah akan bertindak sedemikian. Tekaan saya tepat. Abah sudah menghampiri Tol Gombak dan bertanyakan lokasi kami. Begitulah kasih ibu dan bapa. Walau diri sendiri tidak berapa sihat, demi anak digagahkan juga untuk memandu datang ke KL.

Qaisara tolong order makanan untuk kami :)

Kami kemudian terpaksa menjemput Abah Ummi di sekitar Bandar Manjalara kerana Abah tersilap memasuki lorong. Waktu itu jam sudah menghampiri jam 10 malam. Dari situ, kami berpecah dengan saya, PakSoo, MakTeh dan BaMa kembali ke Rawang sementara BaYu membawa Abah Ummi pulang ke rumahnya di Sungai Buloh. Kami perlu segera kembali ke Rawang kerana perlu menghantar anak BaMa kembali ke asrama yang terletak di Slim River. Kereta saya terpaksa diparkirkan di rumah BaMa kerana akan menaiki kereta PakSoo sahaja untuk ke Slim River. Kami tiba di Slim River pada jam 12 tengah malam dan terus kembali ke Rawang pula untuk mengambil kereta saya. Akhirnya, kami tiba di Sungai Buloh pada jam 2 pagi. Satu perjalanan yang cukup meletihkan namun kami tiada pilihan.
 
Satu perkara yang jelas buat saya adalah peranan dan penglibatan ahli keluarga apabila salah seorang ahli keluarga jatuh sakit. Kadang-kadang sakit ini bukan soal fizikal sahaja tetapi ia lebih kepada emosi. Bayangkan jika sebelum kedatangan kami, BaMa enggan ke hospital meskipun diajak oleh isteri sendiri tetapi menurut sahaja apabila diajak oleh kami. Di situ saya nampak pentingnya menjaga hubungan adik-beradik meskipun masing-masing telah mempunyai keluarga sendiri kerana hubungan darah tidak akan putus sampai bila-bila. Mungkin hati pernah terluka, dilukai dan melukai tetapi apabila mendapat khabar saudara sendiri ditimpa musibah, tiada hati yang tidak akan tersentuh dan sanggup membiarkannya begitu sahaja. Justeru, peliharalah hubungan itu di waktu kita sihat agar apabila kita sakit kelak, sokongan dan bantuan ahli keluarga itulah yang sebenarnya akan menyembuhkan kita.
 
Wallahua'lam.

Thursday, May 2, 2013

Bengkel SEM

Bismillahirrahmanirrahim...

27 & 28 April 2013 (Sabtu&Ahad) - Seawal jam 7 pagi saya sudah bertolak ke Wisma R&D, Universiti Malaya yang terletak bersebelahan Menara Telekom. Agak menghairankan juga apabila saya tidak pernah mengetahui kewujudan tempat tersebut sepanjang 2 tahun mengikuti pengajian di Pusat Matrikulasi UIA, Lembah Pantai sebelum ini. Namun kehairanan saya terjawab apabila mendapat tahu yang tempat tersebut diduduki oleh Telekom sebelum diambilalih oleh pihak UM (saya tidak pasti sama ada pihak UM membeli atau menyewanya daripada pihak Telekom). Memang mustahil saya tidak perasan tempat tersebut kerana di situlah kami akan turun daripada bas setiap kali pulang daripada pusat bandaraya dengan menaiki bas Metro bernombor 12.

Tujuan saya ke situ sebenarnya adalah untuk mengikuti bengkel Structural Equation Modelling atau ringkasnya SEM yang dianjurkan oleh Malaysian Postgraduate Workshop Series (MPWS). Saya mengambil keputusan untuk mengikut bengkel ini selepas mendapati saya memerlukannya untuk menyempurnakan tesis. Sedikit sesalan bersarang di hati kerana saya sepatutnya mengikuti bengkel ini lebih awal lagi dan bukannya apabila sudah berada di penghujung pengajian. Apapun, saya yakin pasti ada hikmah dan pengajaran di sebalik semua ini sebagai panduan pada masa hadapan. Siapa tahu saya memerlukannya untuk pengajian di peringkat PhD pula :)
 
Hampir 30 orang peserta menyertai bengkel ini yang rata-rata terdiri daripada pelajar PhD dan mempunyai profesion sebagai pensyarah. Hanya 3 orang termasuk saya sahaja merupakan pelajar Master. Saya tidak kisah dengan situasi itu malah jadi lebih bersemangat apabila bergandingan dengan mereka yang turut membakar semangat saya untuk menyempurnakan pengajian sehingga ke peringkat PhD juga.
 
Instruktor bagi bengkel ini adalah Dr. Zainuddin bin Awang, pensyarah daripada UiTM Kelantan. Saya puji cara pengajaran beliau yang mudah difahami dan sistematik dengan merujuk kepada buku tulisan beliau sendiri. Sungguh, tidak rugi saya melabur sebanyak RM300 untuk menyertai bengkel ini. Bengkel diadakan di dalam makmal komputer yang dilengkapi dengan kemudahan secukupnya.
 





Bengkel berlangsung sehingga jam 5 petang dan diteruskan pula sehingga esok untuk tempoh waktu yang sama. Mujur juga yuran penyertaan adalah termasuk kos makan minum menyebabkan kami tidak perlu tergesa-gesa untuk mencari tempat makan pula. Di samping mendapat ilmu baru, satu perkara yang paling saya gemari adalah dapat mengenali kawan baru. Kali ini saya berkenalan dengan 4 orang kawan baru yang bertugas di TATI, UTHOM, UiTM Melaka dan UiTM Shah Alam. Memang agak mustahil untuk mengenali kesemua peserta kerana ruang waktu yang agak terbatas.
 







 
 
Bengkel kami berakhir pada hari Ahad dengan pengalaman dan pengisian yang saya rasakan cukup berbaloi dan bermanfaat untuk diaplikasikan dalam tesis saya. Terima kasih Dr. Zai atas perkongsian ilmu yang cukup berguna dan santai.