Projek Pembinaan Surau An-Nur

Projek Pembinaan Surau An-Nur

Rakan Seperjuangan

Friday, April 12, 2013

Satu Perjalanan

Gate A7, KLIA, 1.48 petang.

Hidup memang satu perjalanan yang pasti ada penghujungnya. Perancangan untuk datang awal ke KLIA untuk melepak di anjung tinjau sementara menunggu waktu penerbangan gagal kerana kelemahan diri sendiri. Saya hanya tiba sejam lebih awal dan sempat untuk makan tengahari serta solat jamak. Satu nikmat yang patut disyukuri adalah ruang untuk menunaikan solat ada disediakan di mana-mana sahaja. Hanya tinggal kemahuan diri sendiri sahaja sama ada untuk menunaikannya atau tidak.

Semasa makan tengahari, saya ditegur oleh staf Eraman yang meminta izin untuk duduk di meja saya yang boleh memuatkan 6 orang. Dengan senang hati saya menerima permintaan mereka. Ternyata mereka cukup mesra dan senang diajak berbual. Sekurang-kurangnya saya tidak kebosanan sementara menunggu waktu berlepas. Namun kami tidak dapat berbual lama kerana saya perlu bergerak masuk ke balai berlepas.

Waktu penerbangan adalah pada jam 2.40 petang dan kelihatan sudah ramai penumpang yang menunggu untuk masuk ke ruang menunggu. Lucu pula apabila saya menjadi orang pertama untuk memasukinya kerana palang dibuka sebaik saya menghampirinya.

Antara KLIA dan LCCT, saya lebih selesa dengan suasana di KLIA. Terus-terang saya cukup rimas dengan kekalutan di LCCT. Ia adalah pilihan terakhir saya. Kali ini saya pilih MAS kerana harga tiketnya jauh lebih murah daripada AA. Dari segi keselesaan untuk datang ke KLIA juga memang jauh berbeza. Saya hanya perlu memarkir kereta di Putrajaya Sentral dan menaiki tren terus ke KLIA. Jika ke LCCT, saya perlu turun di stesen Salak Tinggi dan menaiki bas pula untuk ke sana.

Perasaan untuk pulang ke kampung pada kali ini bercampur-baur. Hari Ahad saya akan kembali ke sini dengan menaiki bas dan turun di Putrajaya. Satu kepulangan yang singkat tetapi penuh makna buat saya. Sekurang-kurangnya ia dapat menghilangkan ketegangan yang sedang saya harungi untuk menyiapkan tesis. Syukur kerana semalam saya terima e-mel memaklumkan yang tarikh penghantaran telah ditunda. Mungkin kerana tarikh sebelum ini berselisih dengan tarikh pilihanraya.

Ok, masa untuk masuk ke dalam belon.

No comments: